assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Friday, May 29, 2009

AWANG ADEK ZIARAH KELUARGA ALLAHYARHAM HAMZAH KUNJOO MARAKAN

Dato' Dr. Awang Adek Hussin, Timbalan Menteri Kewangan Malaysia telah mengejutkan penduduk di Taman Setapak Jaya apabila beliau telah menjengukkan mukanya di dalam satu majlis tahlil arwah untuk Allahyarham Hamzah Kunjoo Marakan, ketua masyarakat di situ yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Setiawangsa yang diadakan kelmarin (Khamis, 28 Mei), di rumah Allahyarham No. 12 Jalan Rejang 2, Taman Setapak Jaya.

(Foto: Kelihatan Awang Adek bersama balu allahyarham Hawa Bivee Ismail (dua dari kiri), Puan Hairunnisa Bivee Ismail (Kiri sekali). Turut kelihatan Dato' Halim Samad (Kanan sekali)

Awang Adek Hussin bukanlah Ketua UMNO Bahagian di situ dan bukan juga wakil rakyat parlimen Setiawangsa, namun begitu ingatan dan keluhuran hatinya terhadap Allahyarham Hamzah telah membuatkan beliau terpanggil untuk menziarahi keluarga ini.

Awang Adek merasakan dirinya terhutang budi dan berterima kasih serta menghargai sokongan yang telah arwah Hamzah berikan kepadanya ketika beliau bertanding ahli MT UMNO Mac lalu. Allahyarham Hamzah Kunjoo Marakan merupakan salah seorang wakil UMNO Bahagian Setiawangsa (G7) ke Perhimpunan Agung UMNO 2009 yang lalu.


Membaca Surah Yasin


Hidangan Jamuan

Kehadiran Dato' Dr. Awang Adek Hussin di majlis ini telah disambut oleh Puan Hairunnisa Ismail, Ketua Wanita UMNO Bahagian Setiawangsa yang merupakan kakak ipar kepada arwah Hamzah. Turut berada di majlis tersebut yang menyambut kedatangannya ialah Dato' Halim Samad, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa, Dato' Ahmad Fauzi Zahari, Naib Ketua UMNO Bahagian dan juga ketua-ketua UMNO Cawangan di dalam bahagian tersebut.

Allahyarham Hamzah Kunjoo Marakan telah kembali ke rahmatullah pada hari Sabtu lepas (23 Mei). Beliau telah meninggalkan seorang balu Hawa Bivee Ismail dan empat orang anak. Pemergiannya merupakan satu kehilangan kepada masyarakat di Setapak Jaya yang dipimpinnya sejak sekian lama. Allahyarham begitu aktif dengan kepelbagaian kegiatannya yang sentiasa mendapat sambutan daripada masyarakat tempatan.

Marilah kita mendoakan semoga rohnya dicucuri rahmat dan di tempatkan di kalangan orang yang soleh. Al-Fatihah!

Thursday, May 28, 2009

PILIHAN RAYA KECIL DUN MANEK URAI 14 JULAI INI, UMNO AKAN SERTAI CABARAN KERANA IA IKUT PERLEMBAGAAN...

Pilihanraya kecil DUN Manek Urai, Kelantan ditetapkan pada 14 Julai ini, sementara penamaan calonnya jatuh pada 6 Julai - memberikan lapan hari tempoh berkempen.

Dalam pengumumannya di Putrajaya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyatakan 12,293 pemilih termasuk 25 pemilih pos dijangka membuang undi di kerusi tersebut, bawah parlimen Kuala Krai.

Pilihanraya itu dipanggil akibat kekosongan susulan kematian penyandangnya Ismail Yaakub daripada PAS pada 22 Mei lalu.

Sebagaimana yang dibayangkan oleh Perdana Menteri, UMNO/Barisan Nasional dijangka akan meletakkan calonnya, kerana kekosongan seperti ini dikatakan menepati kehendak perlembagaan jika dibandingkan dengan DUN Penanti?

Apakah tindakan SPR mengadakan pilihan raya kecil di DUN Penanti yang dianggap oleh UMNO sebagai tidak mengikut kehendak perlembagaan, maka SPR juga dianggap tidak mengikut perlembagaan? Nampaknya SPR menjadi susah hendak menjelaskannya, kerana SPR tentunya beranggapan tindakannya itu adalah betul.

Ulasan selanjutnya akan menyusul...

Wednesday, May 27, 2009

CHIN PENG PEMIMPIN KOMUNIS, BUKANNYA PEJUANG KEMERDEKAAN TULEN


Chin Peng, 82, atau nama sebenarnya Ong Boon Hua, bukanlah seorang pejuang tulen kemerdekaan negara ini. Jika Chin Peng dianggap sebagai pejuang kemerdekaan tentunya dia tidak tergamak untuk melancarkan perjuangan bersenjata sehingga mengorbankan ribuan nyawa perajurit-perajurit yang dianggapnya sebagai 'anjing kerajaan'.

Gerombolan Chin Peng telah melakukan pengkhianatan terhadap keamanan negara ini, malah Chin Peng dan konco-konconya yang bergerak atas nama Parti Komunis Malaya telah melakukan jenayah membunuh, maka dengan angkara itu juga dia sebenarnya tidak layak untuk bergelar sebagai wira kemerdekaan, lagi pun Chin Peng telah berhutang darah dengan ribuan jiwa yang menjadi mangsa keganasan perjuangan komunisme yang tidak berhati perut itu.

Pada tahun 1940, dalam usianya 18 tahun, Chin Peng telah diterima untuk menyertai Parti Komunis Malaya iaitu satu cabang Parti Komunis China di seberang laut. Dia turut menyertai Force 136, satu pasukan bersenjata yang ditubuhkan oleh perisik British bagi menentang Jepun di Tanah Melayu.


British yang agak tertekan dengan kemaraan tentera Jepun pada waktu itu, telah memperkudakan anak kelahiran Kg. Kok, Setiawan ini yang mengetuai MPAJA atau Malayan People Japanese Army, sebuah pasukan gerila bagi menentang pendudukan Jepun ketika itu di bumi Malaya.


Tentera British (Pasukan Special Air Services dan M16) yang diterjunkan di hutan Perak, telah memberi pelbagai senjata, kewangan, latihan dan lain-lain persenjataan bagi memperkuatkan Force 136 dan MPAJA untuk berperang dengan tentera Jepun.


Sebagai mengenang jasanya terhadap perjuangan menentang pendudukan Jepun di Tanah Melayu ini, maka pihak British telah menjemput Chin Peng ke London untuk menerima medal 'Order of the British Empire' kerana sumbangannya yang besar memimpin MPAJA dan Force 136.

Chin Peng merasakan inilah peluang terbaik bagi dirinya untuk
mengkomuniskan Tanah Melayu ini setelah Jepun menyerah kalah. Namun demikian penjajah British mulai sedar dengan pergerakan PKM ini, lalu pihak British mengatur langkah untuk menghapuskannya. Parti Komunis Malaya semakin berani bertindak dengan memperkuatkan lagi pasukan gerilanya bukan sahaja untuk berpertang dengan tentera British malah telah mengancam keselamatan orang awam yang tidak mengikut telunjuknya.

Orang Melayu tidak dapat menerima perjuangan PKM yang jelas begitu militan dengan fahaman Karl Marx dan Leninisme yang menjadi sumber rujukan kepada perjuangan mereka. Chin Peng menyedari betapa perjuangan komunisme agak sukar diterapkan di kalangan orang Melayu pada masa itu, kerana orang Melayu begitu kuat dengan pegangan agama Islam yang dianggap sebagai candu oleh 'Marxisme' (komunisme).

Penolakan orang-orang Melayu terhadap komunisme telah menyulitkan lagi PKM untuk diterima sebagai pejuang kemerdekaan. Orang Melayu tidak boleh menerima Chin Peng yang begitu kuat untuk membawa fahaman komunis di negara ini.

Chin Peng gagal untuk meyakinkan orang Melayu, malah rejim Chin Peng telah melakukan tindakan ganas yang melampaui batas dengan melakukan pencerobohan terhadap anak-anak gadis Melayu, memusnahkan prasarana awam termasuk menyerang balai-balai polis yang menjadi tempat perlindungan orang awam.

Ramai anggota polis dan askar yang telah terbunuh akibat serang hendap yang dilakukan oleh pengganas komunis yang diketuai Chin Peng. Perajurit-perajurit ini dibunuh kerana mereka dikatakan menjadi anjing kepada British yang menjajah negara ini. Tindakan ganas ini telah menyebabkan perjuangan mereka ditolak oleh rakyat akar umbi.

Rakyat pada masa itu bukan menolak aspirasi kemerdekaan, tetapi mereka tidak boleh bersekongkol dengan PKM yang melakukan keganasan yang tidak mententeramkan kehidupan seharian mereka. Bukannya mereka tidak menghargai perjuangan menentang penjajah, tetapi mereka bencikan bajingan-bajingan komunis yang dilihat lebih zalim daripada askar British.

Perjuangan menegakkan kemerdekaan di negara ini dilihat tidak secocok jika bergandingan dengan fahaman Marxisme dan Leninisme yang menjadi ikutan kepada Parti Komunis Malaya. Chin Peng tidak bijak untuk menjiwai hakikat ini, kerana beliau bukanlah seorang yang patriotis yang berjiwa merdeka, sebaliknya Chin Peng lebih cenderung untuk meletakkan '
Tanah Melayu' ini sebagai 'Jalur Komunisme' yang ditolak oleh rakyat.

Oleh yang demikian biarlah CHIN PENG menghabiskan sisa-sisa hidupnya di alam buangan di Bangkok, daripada dia terus dicerca sebagai bajingan komunis yang telah membunuh wira bangsa kita.

Tuesday, May 26, 2009

CHIN PENG PEMBUNUH, DIA NAK KOMUNISKAN NEGARA INI..

"Komunis tidak boleh diberi tempat di negara ini. Chin Peng dan komando-komandonya telah membunuh ribuan rakyat Malaya dan peristiwa itu tidak dapat dilupai dan sudah tercatat dalam buku sejarah".

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama, Dr Rais Yatim, berkata demikian kepada wartawan selepas majlis perjumpaan dengan pegawai-pegawai kanan kementeriannya di Angkasapuri, Isnin.


Beliau membidas usaha parti Gerakan yang memohon supaya Chin Peng dibenarkan pulang ke Malaysia kononnya atas dasar kemanusiaan.

Ahad lalu, Pengerusi Gerakan, Datuk Dr Teng Hock Nan dilaporkan mendesak Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak supaya menerima rayuan Chin Peng untuk pulang ke Malaysia setelah Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya bulan lalu.

“Pemimpin-pemimpin yang melahirkan perasaan positif terhadap Chin Peng atau Komunis lebih baik mengisytiharkan pendirian mereka secara jelas dan tidak harus berselindung di sebalik tabir politik parti masing-masing.

Chin Peng (Di tengah) bersama dengan pemimpin-pemimpin kanan
Parti Komunis Malaysia (PKM)

"Komunis tidak sekali-kali boleh diberi tempat di negara ini kerana mereka telah membunuh ribuan rakyat Malaya (Malaysia ketika itu). Tidak ada tempat untuk mereka bermuafakat atau melunakkan perasaan kita,” kata Dr Rais.

Dr Rais berkata, beliau juga akan membentangkan langkah dan cadangan ke kabinet mengenai langkah yang harus diambil terhadap blog-blog yang seolah-olah memberi pujian atau melahirkan perasaan nostalgia kepada komunisme.

“Saya menyeru rakyat Malaysia supaya tidak harus terburu-buru mempercayai kumpulan yang membawa idea baru yang mengagungkan komunisme,” katanya lagi.

(Nota: Sila layari http://skuad69.blogspot.com untuk menyelami perasaan para pejuang Skuad 69 PDRM terhadap isu ini)

Monday, May 25, 2009

DATO' SHAFIE ABDULLAH, SETPOL NAJIB KETUAI JENTERA PENERANGAN UMNO WILAYAH PERSEKUTUAN

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Dato' Dr. Mohd. Shafie Abdullah, (Foto) Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju yang telah dilantik sebagai 'Ketua Penerangan' Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan pada 22 Mei yang lalu.

YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutan telah melantiknya di dalam mesyuarat Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan tersebut yang merupakan kali pertama diadakan setelah Wilayah Persekutuan diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebagai rakan dan sahabat yang pernah bersama-sama beliau di Bahagian Wangsa Maju sebelum ini, tentunya saya berbangga dengan perlantikan ini. Lagi pun Dato' Shafie Abdullah yang juga merupakan Setiausaha Politik kepada YAB Dato' Sri Najib Tun Razak, Menteri Kewangan Malaysia bukanlah seorang tokoh yang terlalu 'greediness' yang terlonjak tanpa melepasi liku-liku dan ranjau di dalam kancah politik yang diceburinya.

Dato' Shafie Abdulah memasuki gelanggang UMNO setelah beliau berjaya merentasi jalur menara gading di Universiti Malaya pada era 1980-an, dan kemudiannya berkhidmat dengan salah sebuah institusi kewangan. Kematangannya di dalam UMNO sudah mula berakar sejak beliau menjadi ahli UMNO di Cawangan Taman Setapak yang kemudian melorongkan dirinya menjadi Ketua Pemuda UMNO Cawangan tersebut. Ketika itu Cawangan Taman Setapak berada di dalam Bahagian Batu yang diketuai oleh Allahyarham Datuk Azman Attar Othman.

Saya pernah menduduki Exco Pemuda UMNO Bahagian Batu di bawah pimpinan Datuk Yusof Hamid pada awal 1990-an sebelum terbentuk kawasan baru 'Wangsa Maju'. Semasa Zainuddin Othman mengambil alih kepimpinan Pemuda UMNO Bahagian Batu daripada Yusof Hamid, Shafie Abdullah telah dilantik sebagai Pen. Setiausaha Pemuda UMNO Bahagian tersebut.

Bermula di garisan inilah Shafie mula menyerlahkan bakat kepimpinannya sehingga beliau dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian yang baru iaitu Bahagian Wangsa Maju sekitar tahun 1994. Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju ketika itu ialah Datuk Dr. Kamal Salih. Manakala saya pula ketika itu telah dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian. Kami sama-sama berjuang untuk mempastikan kawasan parlimen yang baru ini dimenangi oleh calon UMNO (Datuk Dr. Kamal Salih) yang mewakili BN.

Penampilan gaya politik Shafie yang agresif bagaikan vocalist kepada generasi muda yang berada di dalam UMNO pada masa itu telah menjadikan dirinya semakin digeruni sehingga beliau dilihat sebagai 'olahragawan Wangsa Maju' yang sentiasa fit lagi perkasa. Dr. Kamal Salih sering diigaukan tentang ketangkasan Shafie sehingga memaksa UMNO Wangsa Maju menjadi dua kabilah - Kabilah Shafie & Kabilah Kamal Salih.

Begitu juga dengan Dato' Sri Zulhasnan Rafique bukanlah seorang tokoh yang dianggap terlalu mudah melonjak ke atas tanpa diperkuatkan dengan sokongan yang diperolehinya daripada 'kabilah Shafie' di Wangsa maju. Hakikat ini amat sukar untuk dinafikan, lagi pun Shafie merupakan seorang perancang politik (King maker) yang tidak bersifat 'defeatisme' yang mudah mengaku kalah.

Keazaman politiknya (politcal will) selama ini telah menjadi azimat kepada dirinya sehingga beliau berjaya dipersadakan sebagai Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju pada tahun 2008 yang lepas. Sokongan 'hegemony' yang diterimanya adalah berasaskan kepada pengaruhnya yang berakar umbikan pengikut-pengikutnya yang setia. Kesetiaan sokongan inilah juga yang mejadikan dirinya lebih berdaya tahan untuk melangkah ke hadapan membawa bersama Wangsa Maju yang berdaya maju. Semoga keperkasaan pimpinannya, Wangsa Maju dapat ditawan semula oleh UMNO/Barisan Nasional dalam PRU13 nanti.

Dipundaknya jugalah satu tugasan yang perlu digalas oleh Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan yang baru ini. Kita meletakkan harapan supaya UMNO Wilayah Persekutuan dapat diberikan suntikan semangat yang lebih perkasa di bawah kepimpinan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin. Shafie sebenarnya mampu menterjemahkan aspirasi ketuanya itu dengan segala kekuatan dan pengaruh yang ada pada dirinya.

Kepada Dato' Shafie, selamat berjuang..!!!

Sunday, May 24, 2009

AL-FATIHAH....HAMZAH MARAKAN MENINGGAL DUNIA

Innalillahi Wa inna ilaihi Raji'un.....Setiap yang hidup pasti menemui ajalnya. Semalam, 23 Mei 2009 warga di Taman Setapak Jaya di dalam Parlimen Setiawangsa telah menerima berita sedih dengan pemergian ke rahmatullahi 'HAMZAH BIN KUNJOO MARAKAN' (Foto) iaitu Ketua UMNO Cawangan Setapak Jaya Fasa 2 yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Setiawangsa. Allahyarham juga merupakan adik ipar kepada Puan Hairunnisha Ismail, Ketua Wanita UMNO Bahagian Setiawangsa.

Saya sendiri telah menerima berita kematian sahabat saya ini kira-kira jam 2.00 petang daripada Sdra Roslan Rahman, Setiausaha UMNO Cawangan Jalan Air Madu. Saya kemudiannya telah menelefon Dato' Fauzi Zahari, Naib Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa, dan beliau telah mengesahkannya.

Waktu itu saya bersama Sdra Rosli Mohammad, Ketua UMNO Cawangan Kelumpuk Bunga Raya berada di Akademi Kriket Melayu Malaysia di Bayuemas Oval, Pandamaran, Kelang kerana menghadiri Persidangan Agung Tahunan 2009 Persatuan Kriket Melayu Malaysia yang dipimpin oleh Yang Amat Berbahagia Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Sesunguhnya pemergian Allahyarham Hamzah bukan sahaja mengejutkan saya, malah seluruh warga Taman Setapak Jaya turut merasakan kehilangannya. Saya yang bergegas ke rumah kediamannya pada petang itu telah melihat ramai pemimpin-pemimpin UMNO yang menjadi rakan seperjuangan Allahyarham ketika hayatnya hadir untuk menziarahi jenazahnya.

Allahyarham yang telah 'pergi ketika dalam tidur' di rumahnya itu telah menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 1.00 tengahari telah dibawa segera ke hospital Kuala Lumpur oleh keluarganya untuk mengetahui punca sebenar kematian mengejutnya. Jenazahnya telah di bawa balik ke rumahnya pada jam 6.00 petang, sebelum di bawa ke Masjid Taman Sri Rampai untuk disempurnakan solat jenazah selepas solat maghrib.


Allahyarham Hamzah Kunjoo Marakan di semadikan di sini.

Kemudiannya, jenazah Allahyarham telah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Titiwangsa untuk disemadikan di sana.

Seluruh warga UMNO di Bahagian Seiawangsa mengucapkan TAKZIAH kepada keluarga Allahyarham. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan di tempatkan di kalangan insan yang soleh. ALFATIHAH...!


Allahyarham Hamzah Marakan di sembahyangkan jenazahnya di Masjid
Taman Sri Rampai.



Sunday, May 17, 2009

SEMOGA UMNO TIDAK SEBODOH SAYA, LAGI PUN BUKAN SAYA MEMBODOHKAN UMNO..



Salam buat semua sahabat maya locengwangsa seluruh negara!

Saya kini berada di Kuching, bumi kenyalang Sarawak. Saya berada di sini sejak 12 Mei yang lepas kerana mempuyai urusan resmi dengan SKUAD 69 PDRM SARAWAK. Saya begitu syahdu dan berterima kasih kepada anda semua, terutamanya para pelayar setia locengwangsa yang begitu tulus memberikan komen dan juga reaksi terhadap apa saja kupasan isu yang terlayar di dalam blog ini.

Saya amat menghargai semua pandangan samada yang bersifat harum manis mahupun sepahit jadam ATAU yang mengena sasaran dan juga yang tidak menepati maksud sebenar isi hati saya.

Pada saya, jika saya dilihat begitu kritis, mengapa pula saya harus mengenepikan setiap pandangan yang telah anda lemparkan terhadap penulisan saya. Saya kira, semua pendapat dan analisa yang mengupas mengenai tulisan saya di dalam blog ini merupakan satu suntikan semangat kepada diri saya supaya lebih berfikiran terbuka.

Saya tentunya akan lebih terdorong untuk melakukan muhasabah diri, terutamanya dalam melontarkan idea-idea yang mahu dikongsi bersama dengan anda semua. Saya bukanlah penulis yang terlalu matang sehingga perlu menolak dan bersakit hati dengan apa saja komen yang dilemparkan terhadap saya.

Saya lebih konsisten menyatakan kematangan hanya boleh tercapai jika kita lebih bersifat terbuka dan tahu apa yang hendak kita katakan. Saya tidak berniat untuk meranapkan institusi UMNO yang telah dibina sejak zaman berzaman ini, semata-mata kerana tulisan maya saya ini tidak terlalu memuji UMNO, terutamanya dalam beberapa isu mutakhir ini.

Saya lebih merasa hina meletakkan diri saya sebagai kaki ampu, tetapi tidak menyumbangkan buah fikiran yang mampu mencelikkan minda. Saya bimbang fenomena mengampu yang membobrokkan UMNO selama ini bakal mengundang keruntuhan parti yang dianggapkan oleh Tun Musa Hitam ini sebagai 'sudah tua'. Pada saya, mana-mana parti pun dan bukan UMNO sahaja yang takut dengan bayang-bayang jelmaan sendiri, ianya bakal memusibahkan diri.

Sebenarnya apabila kita berparti bukan bermakna hanya parti yang kita anuti ini sebagai 'maksum' sehingga kita terhijab daripada melihat cacat celanya. Hendaknya jangan ada di kalangan UMNO yang menyifatkan parti ini sebagai tempat mencari makan sehingga memakan diri sendiri. Parti hanya wadah untuk menyusun agenda perjuangan yang telah digariskan, tetapi tidak sesuai bagi mereka yang terlalu gemar sehingga taksub menjadi ' pelaga ayam' yang merosakkan entiti UMNO.

Maafkan saya jika pandangan ini tidak mampu menjadikan diri saya sebagai orang yang cerdik minda, dan saya insaf mungkin juga kebodohan dan kedangkalan pemikiran saya ini telah meyakiti hati mana-mana pihak yang mungkin lebih cerdik dan matang dari saya. Saya hanya budak yang baru belajar untuk mendewasakan diri. Mudah-mudahan UMNO tidak sebodoh saya, jika semua pandangan saya itu dilihat sebagai satu kebodohan.

Terima kasih.


ABDUL RAHMAN HASHIM
Kuching, Sarawak
17 Mei 2009.