assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Wednesday, December 28, 2011

MAMPUKAH PAKATAN RAKYAT RAMPAS SETIAWANGSA?

Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi Badan Perhubungan
UMNO Wilayah Persekutuan ketika merasmikan
Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Setiawangsa


Oleh Abdul Rahman Hashim

Apabila terbaca akhbar Sinar hari ini (28 Disember 2011), saya rasa terpanggil untuk membuat ulasan mengenai kenyataan yang dibuat oleh Teresa Kok (DAP) dan Nurul Izzah (PKR) yang cuba meyakinkan diri mereka untuk menawan kerusi BN di Parlimen Setiawangsa menjelang PRU13. Kedua-dua tokoh Pakatan Rakyat ini optimis untuk mengekalkan semua kerusi yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur termasuk untuk menawan Setiawangsa yang dimenangi oleh Dato' Sri Zulhasnan Rafique daripada BN.

Saya tidak terkejut dengan kenyataan ini kerana mereka juga berhak untuk menzahirkan keyakinan untuk memenangi kerusi-kerusi berkenaan, namun saya agak musykil apabila mereka menyatakan keyakinan untuk menawan kerusi Parlimen Setiawangsa. Apakah terlalu mudah untuk menjatuhkan Dato' Sri Zulhasnan Rafique yang telah mencipta hatrik menang tiga kali berturut-turut untuk dirinya sejak pilihan raya 1999, pilihan raya 2004 dan juga pilihan raya 2008.

Kemungkinan mereka telah mencongak bahawa populariti Zulhasnan Rafique kian menurun setelah dirinya tidak lagi menjawat jawatan Menteri dalam kabinet Dato' Sri Najib Tun Razak. Dalam pilihan raya umum 2008 yang lalu, Zulhasnan dikejutkan kerana menghadapi 'kekalahan di dalam menang' akibat kemerosotan undi popular di beberapa peti undi terutama di kawasan majoriti pengundi bukan Melayu dan juga saluran golongan 'Y'.

BN di Parlimen Setiawangsa bernasib baik hanya mencipta kemenangan setelah sebilangan besar undi pos di situ telah memihak kepada Zulhasnan. Zulhasnan berjaya diselamatkan waalaupun rakan-rakan incumbentnya di Lembah Pantai, Titiwangsa, Batu, Bandar Tun Razak, Segambut dan Wangsa Maju tertewas secara mengejut. Manakala kerusi-kerusi tegar DAP seperti di Bukit Bintang, Seputih, Kepong dan Cheras terus didominasi oleh mereka. Pakatan Rakyat nampaknya masih belum mampu untuk menembusi Putrajaya dan juga Labuan.

BN hanya berpuas hati memenangi tiga kerusi parlimen daripada 13 kerusi yang dipertaruhkan di Wilayah Persekutuan. Jika Wilayah Persekutuan dianggap sebagai sebuah 'negeri' tentunya negeri ini adalah negeri keenam yang jatuh ke tangan Pakatan Rakyat selepas Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor dan juga Kelantan.

Teresa Kok tidak berani menyebut untuk menawan Putrajaya dan Labuan, mungkin mereka mencongak agak sukar Pakatan Rakyat untuk menang di sana. Persoalan yang timbul ialah kenapa mereka begitu yakin untuk menawan Setiawangsa? Apakah mereka yakin dengan pertambahan mendadak pengundi-pengundi baru yang mereka lakukan di Setiawangsa akan memungkinkan berpihak kepada mereka? Mungkinkah mereka beranggapan jika BN terus mengekalkan Zulhasnan lagi akan menjadi lebih mudah untuk mereka menawan Setiawangsa?

Sebenarnya bukanlah kerja mudah untuk Pakatan Rakyat menerobos Setiawangsa kerana Setiawangsa adalah 'winnable area' kepada BN. Seimbas lalu warga UMNO Setiawangsa dilihat masih konsisten berkehendakkan Zulhasnan Rafique, walaupun terdapat beberapa tokoh lain yang turut berminat untuk menjadi winnable candidate menyaingi kehebatan penyandangnya.

Dalam blogg ini, saya pernah menyebutkan tedapat tokoh-tokoh lain yang boleh disenarai pendekkan untuk menjadi winnable candidate di Setiawangsa sekiranya ada kecenderungan pucuk pimpinan untuk menggantikan Zulhasnan. Di antara calon-calon yang boleh di ketengahkan adalah seperti Dato' Halim Samad, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa, begitu juga dengan Dato' Ahmad Fauzi Zahari, Naib Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa. Kedua-dua tokoh ini mungkin di dalam senarai pendek di samping nama-nama lain yang tidak boleh diperkecilkan seperti Hairunnisha Ismail, Ketua Wanita UMNO Bahagian Setiawangsa, Azmi Badaruddin, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Setiawangsa dan juga Seriwani Sabtu, Ketua Puteri UMNO Bahagian Setiawangsa.

Kemunculan nama Datuk Astaman Abdul Aziz yang ditonjolkan oleh pihak tertentu di dalam UMNO Bahagian Setiawangsa juga bakal merancakkan lagi teka teki tentang siapakah yang lebih baik untuk menjadi winnable candidate di Parlimen Setiawangsa. Namun saya berpendapat siapa juga yang dikehendaki oleh pucuk pimpinan untuk menjadi calon BN, UMNO Bahagian Setiawangsa yang diterajui oleh Zulhasnan Rafique tidak mempunyai masalah untuk kerahan tenaga memenangkan BN.

Saya sendiri begitu mengenali tokoh-tokoh yang dinyatakan itu. Mereka bukanlah pengkhianat parti, mereka juga bukan 'musang berbulu ayam' dan bukan juga 'telunjuk lurus kelingking berkait'. Saya tak nampak kelibat nama-nama itu yang boleh merisaukan parti, kerana mereka tidak terjebak dengan kerja politik kotor yang dibenci oleh sebahagian daripada orang umno di Setiawangsa, malah Dato' Sri Zulhasnan, Dato' Halim, Dato' Fauzi, Kak Ani, Azmi dan Seriwani termasuk juga dengan Astaman mereka bukanlah tokoh politik yang berkecenderungan untuk menjurangkan permusuhan sesama sendiri, cuma kadang-kadang mereka dimusuhi oleh pihak-pihak tertentu yang telunjuk lurus kelingking berkait yang hidup di dalam unggun api permusuhan dan juga persengketaan.

Pakatan Rakyat bukanlah begitu kuat di Setiawangsa. Parti DAP, PAS dan juga PKR tidak banyak menubuhkan cawangan-cawangan atau cabang-cabangnya di kawasan parlimen ini jika dibandingkan dengan 48 buah cawangan UMNO di Bahagian Setiawangsa. Harus diingat, bahawa sokongan yang mereka perolehi di dalam PRU lepas adalah undi protes daripada sejumlah pengundi akibat sentimen isu-isu nasional yang bertempias di seluruh negara.

Jika dilihat peratusan pengundi di Setiawangsa, jelas terlihat bahawa pengundi Melayu masih menguasai dari segi peratusannya. UMNO kena bekerja keras untuk memikat hati pengundi-pengundi Melayu ini supaya jangan berganjak lagi untuk terus menyokong BN. Gerak kerja yang ditunjukkan oleh Wanita UMNO yang turut digerakkan oleh Puteri dan juga Pemuda UMNO di Setiawangsa janganlah diganggu lagi dengan karenah politikus tertentu yang sibuk dengan adu domba dan agenda membenci sesama sendiri sehingga menjadikan sebahagian daripada orang UMNO yang tidak disukai sebagai musuh serangannya.

Golongan parasit UMNO ini yang menggemari politik permusuhan sehingga membawa kepada perpecahan sesama sendiri hendaklah dijauhi oleh pencinta UMNO Setiawangsa, kerana mereka ini menjadi lebih berbahaya daripada pembangkang. Perbuatan iri hati, hasad dengki, cantas mencantasi dan memandang rendah orang yang tidak disukainya akan mengakibatkan kekuatan UMNO menjadi lemah.

Jika kerakusan ini tidak dibanteras dan semakin membarah, sudah pasti UMNO akan berhadapan dengan masalah untuk membereskan kerjanya. Namun begitu saya tetap yakin bahawa gelagat si musang berbulu ayam ini bukanlah ramai sangat di Setiawangsa, jikalau ada pun saya tidak fikir semua orang-orang UMNO Setiawangsa bersetuju untuk bersekongkol menjadi musang yang berbulu ayam ini.

Kepada Teresa Kok dan juga Nurul Izzah disarankan agar mereka tidak dibuai mimpi dengan provokasi murahan untuk menawan kerusi Parlimen Setiawangsa. Nurul Izzah sendiri dijangka akan menerima saingan yang hebat daripada Dato' Raja Nong Chik yang mungkin menjadi calon BN menentangnya di Lembah Pantai dalam PRU13 nanti. UMNO Setiawangsa pula jangan memperlekehkan kenyataan yang dibuat oleh Teresa Kok dan Nurul Izzah itu, kerana di dalam politik kita sering tersasar dan tersilap jangkaan. Namun begitu saya tetap yakin walaupun wujudnya pemegang watak 'si musang berbulu ayam' dan mereka yang berkelakuan 'telunjuk lurus kelingking berkait' di dalam UMNO Setiawangsa, namun ianya bukanlah menjadi faktor yang kuat sehingga boleh melemah dan menumbangkan Barisan Nasional di Setiawangsa.

Berdasarkan kepada kesiapsiagaan jentera pilihan raya BN Setiawangsa yang telah dibentuk, saya yakin UMNO/BN di Bahagian ini tidak mempunyai banyak masalah untuk menggemblengkan kekuatannya menggempur pihak lawan. Itu pun jika tidak berlaku unsur-unsur penyisihan dan sabotaj pihak tertentu yang mahukan telunjuknya diikuti sehingga mengenepikan hasrat sebenar Dato' Sri Zulhasnan yang mahukan jentera ini merangkumi semua pihak.

Namun begitu saya lebih yakin, tidak semuanya akan terjebak dengan kerangka jahat yang dicipta oleh si musang berbulu ayam ini. Lagi pun golongan ini bukanlah mendominasi UMNO Bahagian Setiawangsa, kerana saya turut tak percaya apakah Dato' Sri Zulhasnan juga terperangkap dengan permainan kotor yang sedang berlaku.