assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Thursday, April 11, 2013

PRU13 - BIARKAN ANWAR SYOK SENDIRI ASALKAN NAJIB TIDAK SEDEMIKIAN RUPA

Oleh Abdul Rahman Hashim

Najib TIDAK syok sendiri seperti ANWAR

SPR sudah pun mengumumkan iaitu hari penamaan calon bagi PRU13 ialah pada 20 April 2013, manakala hari pembuangan undi pula telah ditetapkan pada 5 Mei 2013. Semua parti yang akan menyertai pilihan raya umum kali ini dilihat sudah pun bersedia untuk sirkit PRU13 yang dianggap paling sengit dalam sejarah pilihan raya umum sebelum ini. 
Dato' Sri Najib Tun Razak, Pengerusi BN menyatakan akan berlaku beberapa kejutan yang mungkin di luar jangkaan terutama dalam proses menamakan calon-calon BN yang akan bertanding nanti. Tanpa menyebutkan apakah kejutan yang bakal dilakarkan oleh beliau nanti, Najib tentunya akan lebih berhati-hati untuk membariskan nama-nama player's pasukannya, kerana team BN kali ini mestilah yang 'winnable' untuk dipertaruhkan menentang team PR yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim.
Rasanya Najib lebih arif untuk menentukan barisan calon yang mampu menggalas tugas dan amanah untuk mengembalikan kekuatan dua pertiga seperti yang dikehendaki oleh beliau selama ini. Kegagalan BN memperolehi majoriti dua pertiga dalam PRU13 kali ini sudah dibayangkan betapa Najib bakal menghadapi tekanan supaya berundur dari memimpin BN dan juga sebagai Perdana Menteri. Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kenyataan sinikalnya baru-baru ini juga membayangkan sekiranya BN gagal memperolehi majoriti dua pertiga, Najib haruslah berundur seperti yang pernah berlaku kepada Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi sebelum ini.
Dalam suasana politik yang gawat ini, apakah begitu mudah untuk BN melepasi halangan dua pertiga ini? Inilah persoalan yang sering dicongakkan oleh penganalisa politik yang turut khuatir kemungkinan akan berlaku kejutan-kejutan sebaliknya terhadap BN. Rasanya Najib juga tahu betapa getirnya untuk menghadapi PRU13 ini; sebab itulah tarikh membubarkan parlimen sering tertangguh hingga ke waktu kecederaan, malah kini permainan ditambah sedikit masa kerana kedua-dua pasukan sedang bergelut dalam 'mode seri'. 
Dalam proses mentransformasikan politik UMNO/BN, Najib haruslah menggunakan kesempatan PRU13 ini untuk membuktikan acuannya adalah yang terbaik untuk masa depan generasi yang sedang mewarisi kepimpinan politik hari ini. Apakah UMNO/BN masih relevan lagi? Jika tersilap mencaturya, kemungkinan PRU13 bakal menjadi mimpi ngeri buat UMNO/BN. 
Dalam mengemudi bahtera kemenangan, jangan kita alpa bahawa kapal yang sedang dibahterai ini apakah ia masih berupaya untuk melawan ombak dan tsunami yang telah meranapkan enam negeri ketika PRU12 yang lalu? Tersilap memilih kelasi-kelasi kapal kali ini bukan sahaja misi merampas semula negeri-negeri yang kalah itu akan kecundang lagi, malah kita bimbang dua tiga negeri lagi turut menjadi mangsa; akhirnya Putrajaya turut berputih mata.
Apakah kekecewaan mereka yang tidak dicalonkan semula bertanding dalam PRU13 kali ini boleh menunjukkan supporting spirit sebagaimana sokongan yang telah diberikan oleh orang lain kepadanya ketika menjadi calon sebelum ini? Jika jiwa semurni ini diterapkan di hati sanubari setiap pemimpin yang tidak dicalonkan lagi kali ini, sudah pasti Najib akan tersenyum girang kerana BN telah berjaya ditransformasikan oleh beliau.
Jika berlaku sebaliknya, Najib sendiri bakal berhadapan dengan 'mimpi ngeri' akibat igauan dan kelakuan yang tidak senonoh oleh mantan-mantan yang hanya mementingkan diri mereka sendiri sahaja. Mereka inilah politikus yang menjadi perosak kepada entiti parti yang lebih buruk perangainya daripada tikus.
Mudah-mudahan gandingan Najib dan Muhyiddin tidak berhadapan dengan banyak karenah dan juga masalah untuk mencipta kemenangan yang berganda kali ini. Biarkan Anwar yang syok sendiri asalkan Najib tidak sedemikian rupa.