Tuan Haji Ghazali Shamsudin, JP, Setiausaha UMNO Bahagian Wangsa Maju telah rebah di cawangannya sendiri di Cawangan Taman Ibu Kota apabila beliau ditewaskan oleh pencabarnya Muzamir sebagai Ketua UMNO Cawangan berkenaan. Kekalahan beliau merupakan satu kejutan kepada UMNO Bahagian ini, terutamanya kepada Dato' Zainal Nazeri Zainuddin yang begitu mengharapkan cawangan ini dapat menambahkan pencalonan terhadap dirinya sebagai Ketua UMNO Bahagian.Justeru, UMNO Cawangan Taman Ibu Kota yang bersidang pada pagi ini (Ahad, 27 Julai) telah menyaksikan nama Dato' Mohd. Shafie Abdullah dicalonkan sebagai Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju. Sehingga malam tadi, Dato' Mohd. Shafie Abdullah telah memperolehi 20 pencalonan, dan menjangkakan hari ini saja beliau akan memperolehi 4 lagi pencalonan menjadikan jumlah kesemuanya 24 pencalonan untuk dirinya sebagai Ketua Bahagian. Manakala Dato' Zainal Nazeri dijangka akan mendapat satu lagi pencalonan untuk dirinya di cawangannya sendiri, itu pun jika persidangan cawangannya tidak menghadapi masalah korum seperti yang berlaku sebelumnya.
Manakala bagi cawangan Taman P. Ramlee yang juga bersidang pada hari ini,walaupun timbul sedikit masalah, namun akhirnya persidangan tersebut telah memilih semula Abdul Rashid Abd. Hamid mengetuai cawangan tersebut. Cawangan ini telah mencalonkan Dato' Mohd. Shafie Abdullah sebagai Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju.
Berita Terkini (Sehingga 29 Julai) - Dato' Zainal Nazeri Zainuddin telah menambahkan satu lagi pencalonan untuk dirinya sebagai Ketua Bahagian Wangsa Maju. Pencalonan kelima untuk dirinya ini telah diperolehi daripada UMNO Cawangan Jalan Genting Klang yang bersidang pada Selasa, 29 Julai 2008, yang diadakan di Pejabat UMNO Bahagian, di Taman Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur. Sebelum ini Cawangan Taman Setapak Indah Fasa Satu yang bersidang pada 27 Julai lalu telah menambahkan jumlah pencalonan Dato' Zainal Nazeri menjadi empat pencalonan.
Sementara itu Cawangan Jalan Genting Klang juga telah mencalonkan Datuk Astaman Abd. Aziz sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian, manakala Ketua Cawangan ini sendiri, Haji Zainuddin Othman telah dicalonkan sebagai Naib Ketua Bahagian.
TAUFIK, WAN SHAHRUL, KHAIRUDIN DAN SYED YAZID BEREBUT
JAWATAN KETUA PEMUDA BAHAGIAN.
Mohd Taufik Haji Husin
Jika di Setiawangsa lima orang tokoh pemuda sedang bersaing untuk mempertaruhkan jawatan Ketua Pemuda Bahagian, maka di Wangsa Maju pula turut merasakan bahang kehangatannya kerana sehingga kini terdapat empat calon yang akan berentap untuk merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian.
Mohd. Taufik Haji Hussin, Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Bahagian Wangsa Maju yang juga Ketua Pemuda UMNO Cawangan Taman Bunga Raya dikatakan sedang memburu pencalonan yang mencukupi bagi membolehkan dirinya beradu nasib di dalam pertandingan merebut jawatan nombor satu Pemuda UMNO Bahagian musim ini.
Setakat ini, Taufik telah mendapat pencalonan daripada 8 buah cawangan untuk jawatan tersebut, manakala Wan Shahrul Nizam, Ketua Pemuda UMNO Cawangan Kg. Pasir Wardieburn dikatakan telah mendepani dari segi jumlah pencalonan untuk dirinya bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda Bahagian ini. Sementara itu, Wan Shahrul yang juga ahli jawatankuasa Pemuda Bahagian yang baru saja dilantik oleh Dato' Mohd. Norza Zakaria kini telah menerima 18 pencalonan yang dilihat berpeluang besar untuk memenangi jawatan ini di dalam Persidangan Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Wangsa Maju yang akan diadakan pada bulan Oktober nanti.
Turut dilihat berghairah besar untuk bersaing bagi merebut jawatan ini ialah Khairudin Mohd. Zain, mantan Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Bahagian yang telah dilucutkan jawatannya oleh Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Dato' Mohd. Norza Zakaria. Khairudin yang baru saja mendapat dua pencalonan, satu daripadanya pencalonan yang diperolehi daripada Pemuda UMNO Cawangan Taman Setapak Indah Fasa Satu, iaitu Cawangan Pemangku Ketua Bahagian, Dato' Zainal Nazeri, telah menerima tamparan hebat daripada Cawangannya sendiri, kerana Pemuda UMNO Cawangan Seksyen 1 CD di dalam persidangannya baru-baru ini telah menolak beliau daripada memimpin pergerakan tersebut.
Khairudin yang pernah terlibat berkomplot bersama-sama dengan Naib Ketua Pemuda Bahagian, Shahabudin Husin telah memalukan Ketuanya sendiri, setelah mereka berdua menandatangani memorandum menolak kepimpinan Dato' Norza Zakaria yang turut ditandatangani oleh 12 orang ahli pemuda yang lainnya. Akhirnya Khairudin sendiri menerima hukuman daripada ahli-ahli pemuda cawangannya, dan tindakan cawangannya mencalonkan Wan Shahrul Nizam, sekaligus telah memercikkan air ludahnya di muka sendiri.
Walaupun Khairudin masih memburu pencalonan untuk melayakkan dirinya bertanding, namun permainan politiknya selama ini dilihat akan menjunamkan dirinya sendiri. Khairudin bakal 'belayar malam' bersama-sama idolanya Dato' Zainal Nazeri yang juga bakal kecundang di tengah jalan tidak berkesampaian untuk menjadi Ketua Bahagian yang sedang dipangkunya kini.
Kepada Wan Shahrul Nizam sayungia diingatkan bahawa langit tidak selalu cerah. Jumlah pencalonan yang diterima bukanlah bermakna anda tidak berkemungkinan untuk dikalahkan. Mana tau, Syed Yazid walaupun kini hanya mendapat satu pencalonan dia juga mampu membuat kejutan untuk menerima jumlah undi yang besar, walaupun terlalu sukar untuk menang.
Walau apa pun Taufik dijangka akan memberikan saingan yang sengit untuk berdepan dengan Wan Shahrul Nizam, kerana pergerakan senyapnya itu bakal menggigit Wan Shahrul yang sedang bersukaria dengan sokongan yang sedia ada.
Berita terbaru (Sehingga 29 Julai) - Mohd. Taufik telah menambahkan satu lagi pencalonan untuk dirinya menerusi keputusan persidangan Pemuda UMNO Cawangan Jalan Genting Klang yang diadakan pada 29 Julai 2008, di Pejabat UMNO Bahagian Wangsa Maju. Cawangan ini telah mencalonkan Taufik sebagai Ketua Pemuda Bahagian, sekaligus mengenepikan Khairudin Mohd. Zain yang yang menjangkakan dirinya akan dicalonkan oleh Pemuda Cawangan tersebut.
Pencalonan yang dibuat ini juga agak memeranjatkan kerana Ketua Pemuda Cawangan Jalan Genting Klang, Shahabudin Husin yang juga Naib Ketua Pemuda Bahagian Wangsa Maju telah bersekongkol dengan Khairudin mengaibkan Ketua Pemuda Bahagian tersebut, dalam misi menolak kepimpinan Dato' Norza Zakaria, tetapi nama Khairudin telah diketepikan di saat-saat akhir, kerana Shahabudin merasakan Khairudin hanya layak menjadi Naib Ketua Pemuda Bahagian sahaja. Kegagalan Khairudin menjadi Ketua Pemuda di cawangannya sendiri dikatakan menjadi faktor kepada percaturan sedemikian.
Sementara itu, locengwangsa difahamkan bahawa Dato' Norza Zakaria tidak merestui Taufik bergandingan dengan Khairudin, kerana beliau dikatakan tidak mahu Taufik bertindak seperti melepaskan anjing tersepit.


