assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Sunday, May 31, 2009

DUN PENANTI PKR MENANTI UMNO, DUN MANEK URAI PULA UMNO MENANTI PAS..SIAPA LEBIH KUAT?


Siapa lebih tangkas?

Hari ini, 31 Mei 2009 merupakan hari mengundi untuk 15,384 pengundi berdaftar di DUN Penanti. Pilihan raya kecil di DUN Penanti yang dianggap oleh UMNO/BN sebagai tidak mengikut perlembagaan dan membazirkan wang rakyat telah menyebabkan parti itu tidak menyertai pertandingan, sekaligus memberikan laluan mudah untuk calon PKR memenanginya nanti.
Walaupun UMNO tidak mempersudikan calonnya untuk bertarung dengan PKR, namun terdapat empat calon lain yang telah menyertainya, di antara empat calon itu ialah Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman; 59; dan tiga calon bebas - bekas ketua wanita PKR, Pulau Pinang, Aminah Abdullah, 56; bekas ketua Pemuda Gerakan Cawangan Telok Wang, Penanti, Nai Khan Ari a/l Nai Keow, 41 dan pakar motivasi Kamarul Ramizu Idris, 42.

Sepanjang tempoh berkempen, kelihatannya gelanggang Penanti tidak sehebat dan serancak pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh yang mempertarungkan Anwar Ibrahim dengan Ariff Shah, kerana ketika itu UMNO belum lagi terlintas untuk 'memulaukan' pilihan raya kecil itu, walaupun kekosongan kerusi tersebut boleh juga dianggap sebagai satu permainan politik pembangkang untuk mengembalikan Anwar di dalam arena politik nasional.

Dalam pilihan raya kecil itu, rata-rata meramalkan terlalu sukar untuk calon UMNO menundukkan Anwar yang tidak lagi bertanding atas tiket UMNO/BN sejak dirinya dipecat oleh UMNO pada tahun 1998. Kali terakhir Anwar bertanding di situ ialah dalam pilihan raya umum yang diadakan pada tahun 1994. Pada masa itu Anwar adalah Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan juga Timbalan Presiden UMNO.

Kali pertama Anwar dipertaruhkan sebagai calon UMNO di kawasan parlimen Permatang Pauh ialah dalam pilihan raya umum pada tahun 1982. Sejak itu Permatang Pauh merupakan kubu kuat UMNO yang terlalu sukar untuk PAS memenanginya semula.

Apabila Anwar digulingkan secara hina oleh musuh-musuhnya di dalam UMNO, maka majoriti pengundi di Permatang Pauh telah beralih arah dan didapati ramai juga pengundi-pengundi dari kalangan ahli UMNO yang bersimpati dengan Anwar mengundi isterinya Wan Azizah yang bertanding atas tiket Parti KeAdilan di dalam pilihan raya umum 1999, yang telah menewaskan bekas Imam Besar Masjid Negara yang diharapkan dapat mengekalkan dominasi UMNO di kawasan itu.

(Foto - Datuk Firdaus dari Masjid Negara ke jalanan dan tewas di Permatang Pauh)

Terbukti percubaan meletakkan Dato' Firdaus Ismail bertanding di situ tidak melonglaikan pengaruh Anwarisme yang diwarisi oleh isterinya Wan Azizah sehingga gagal direbut untuk pilihan raya yang berikutnya pada tahun 2004 dan juga pilihan raya umum 2008. Wan Azizah memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh selama tiga penggal sehinggalah beliau meletakkan jawatan untuk mengosongkan kerusi itu selepas enam bulan memenanginya, sekaligus memberi laluan kepada suaminya (Anwar) yang sudah terlepas iddah akibat dipenjarakan selama 6 tahun untuk bertanding menggantikannya.

UMNO telah gagal untuk menyekat kemaraan pengaruh dan gelombang reformasi Anwar yang telah memenangi kerusi itu dengan majoriti yang besar. Dipercayai ribuan ahli UMNO juga turut menyokong dan mengundinya di dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh itu. Berbagai taktik dan helah telah diadaptasikan sehingga media arus perdana dipergunakan untuk ditayang semula adegan sensasi 'Anwar berdansa' dengan seorang wanita di dalam satu majlis makan malam ketika Anwar di tampuk kuasanya di dalam kerajaan dahulu.

Bukan itu sahaja, di dalam pilihan raya kecil itu juga tidak semena-mena orang yang mendakwa dirinya telah diperlakukan secara luar tabie oleh Anwar telah berakad sumpah di hadapan Imam Masjid Wilayah Persekutuan bahawa dirinya telah dicerobohi sedemikian rupa oleh Anwar.


(Foto - Saiful bersumpah di Masjid WP )

Sememangnya isu 'eksoz' Saiful ini diharapkan dapat meranapkan peluang Anwar untuk menang dalam pilihan raya itu, namun isu ini telah memakan diri UMNO sendiri. Rakyat di Permatang Pauh tidak menghiraukan sumpahan Saiful itu, malah mereka lebih berminat untuk mengembalikan kemenangan Anwar di gelanggang asalnya.

Apakah pilihan raya kecil DUN Penanti yang tidak disertai oleh calon UMNO ini mampu mengembalikan kekuatan UMNO yang baru saja dipimpin oleh Najib sebagai Presiden barunya? Walaupun UMNO mengharapkan calon PKR itu akan kecundang, namun begitu hakikatnya ialah UMNO terlebih awal telah mengumumkan tidak akan bertanding di kawasan DUN itu, yang tidak memungkinkan lagi calon PKR itu kecundang. Agak sukar juga bagi calon-calon bebas itu untuk menang, kerana mereka bukanlah calon tajaan UMNO.

Hanya UMNO saja yang dilihat berkemampuan untuk menyaingi kehebatan calon PKR di situ, tetapi UMNO tidak mahu menggunakan peluang ini, kerana mungkin UMNO merasakan mempunyai peluang menewaskan Anwar di dalam pilihan raya umum ke-13 nanti. Kini jentera UMNO telah digerakkan ke Manek Urai di Kelantan, dan mungkinkah UMNO lebih yakin untuk menang di situ jika dibandingkan dengan DUN Penanti?

Mustahil penyertaan UMNO di dalam pilihan raya kecil DUN Manek Urai pada 14 Julai nanti dibuat berdasarkan kepada peluang untuk menang adalah tipis. Najib, Muhyiddin dan Mustapha Mohamad lebih optimis untuk melihat UMNO menang di Manek Urai, di Kelantan jika dibandingkan dengan DUN Penanti di Pulau Pinang. Jika tidak, mana mungkin keberanian itu begitu cepat dinyatakan oleh mereka sebaik saja berlakunya kekosongan kerusi DUN tersebut.

UMNO bertanding di situ seolah-olah jika menang BN boleh membentuk kerajaannya di Kelantan. Persoalan bertanding akan membazirkan wang rakyat di dalam pilihan raya kecil di DUN Manek Urai sudah tidak berbangkit lagi, kerana tentunya mereka yakin rakyat Kelantan khususnya pengundi DUN Manek Urai akan lebih percaya kepada UMNO yang dipimpin oleh Najib daripada PAS Kelantan yang diketuai oleh Tuan Guru Nik Aziz.

Sama-samalah kita saksikan episod parti mana yang diterima oleh rakyat dan parti mana yang akan ditolak oleh rakyat. Sesungguhnya pilihan raya kecil DUN Penanti akan dinantikan keputusannya malam ini, sementara DUN Manek Urai pula akan menjadi lebih menarik kerana UMNO begitu yakin dengan kemenangan yang hendak dijulangnya di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.


TERKINI DARI DUN PENANTI....
SETAKAT PUKUL 3.00 PETANG 42.2%
TELAH KELUAR MENGUNDI,
AHLI UMNO JUGA ADA YANG
KELUAR MENGUNDI!!

Setakat pukul 3.00 petang tadi, sebanyak 42.2% pengundi telah keluar membuang undi. Demikian menurut maklumat yang dikeluarkan oleh SPR. SPR mensasarkan 70% jumlah pengundi yang akan keluar mengundi hari ini.

Sementara itu kelihatan juga ramai ahli UMNO yang telah keluar mengundi. Ahli-ahli UMNO ini merasakan mereka juga mempunyai hak sebagai seorang 'pemilih' yang berdaftar untuk memilih calon yang mereka kehendaki.

Calon Bebas Aminah Abdullah yang disebut oleh Azmin Ali sebagai 'Minah Ronggeng' mendakwa ramai ahli wanita UMNO yang telah keluar mengundi. Beliau sendiri telah membawa beberapa orang ahli wanita UMNO tersebut, yang didakwanya akan memberikan undi kepada dirinya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh (Dato' Abd. Jalil Majid) yang juga pernah menang di DUN Penanti tidak tahu menahu tentang maklumat ahli-ahli UMNO yang keluar mengundi hari ini. Oleh kerana UMNO tidak bertanding kali ini, maka beliau berkata terpulanglah kepada masing-masing untuk menggunakan haknya.

Manakala di pihak PKR, Pengarah Jentera Pilihan rayanya Saifudin Nasution berkata pihaknya yakin 75% daripada jumlah pengundi yang telah keluar membuang undi hari ini telah memangkah calon PKR, Mansor Othman.