assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Monday, September 1, 2008

Ramadhan Al-Mubarak juga Bulan Siyasiah (Politik)


Ketibaan Ramadhan Al-Mubarak pada tahun ini begitu syahdu sekali kedatangannya, kerana di negara kita Ramadhan tiba menjelangnya 1 September 2008, setelah seluruh rakyat Malaysia merayakan Hari Kemerdekaan Negara Yang Ke-51 pada 31 Ogos lepas.

Ramadhan bukan sekadar dihiasi dengan ibadah puasa untuk menahan diri daripada makan dan minum dan apa saja yang membatalkan puasa, malah Ramadhan juga merupakan Bulan Siyasiah yakni bulan politik, kerana di bulan ini jugalah hukum dan peraturan lengkap bagi manusia diperturunkan Allah kepada RasulNya Nabi Muhamad SAW.

Apabila saya memperkatakan bahawa bulan Ramadhan sebagai Bulan Siyasah bukan bermakna ianya mengharuskan UMNO bertelagah sesama sendiri, dan bukan juga membawa makna bulan puasa ini kita harus berlumba-lumba untuk berderma memancing undi dengan melupakan langsung golongan yang selayaknya menerima bantuan kebajikan.

Ramadhan juga sebenarnya membawa maksud 'Bulan Kebajikan' di mana di dalamnya ada zakat fitrah yang menjadi kewajipan untuk dilaksanakan setiap umat Islam. Di bulan yang mulia ini juga umat Islam digalakkan bersedekah sebagai melengkapi amalan ibadah puasa kita di siang hari.

Oleh yang demikian perbanyakkanlah juga amalan bersedakah kepada mereka yang memerlukannya. Kita harus insaf bahawa masih banyak lagi insan-insan yang perlu diberikan bantuan, kerana mereka juga berhak untuk merayakan hari kemenangan yakni Hari Raya Idulfitri setelah 30 hari berpuasa di sepanjang bulan Ramadhan

Para pakar tafsir dan hadis merekodkan, Allah juga menurunkan kitab-kitab dan suhuf iaitu kitab-kitab kecil selain Zabur, Taurat, Injil dan Al Quran kepada para rasul terdahulu pada bulan Ramadhan.

PERISTIWA BADAR


Perang Badar - Badar adalah nama tempat di sebuah lembah yang terletak di antara Madinah dan Mekah. Tentera Islam mengawal lokasi strategik dengan menguasai sumber air yang terdapat di situ.

Perang ini melibatkan tentera Islam seramai 313 anggota berhadapan dengan 1,000 anggota tentera musyrikin Mekah yang lengkap bersenjata. Dalam peperangan ini, tentera Islam memenangi pertempuran dengan 70 tentera musyrikin terbunuh, 70 lagi ditawan manakala bakinya melarikan diri.

Peperangan ini adalah suatu yang luar biasa apabila tentera Islam yang kurang jumlah, lemah daripada sudut kelengkapandan berpuasa dalam bulan Ramadhan memenangi pertempuran Perang Badar. Ini membuktikan puasa bukan penyebab umat Islam bersikap lemah dan malas sebaliknya berusaha demi mencapai keredhaan Allah. Orang yang berjuang demi mencapai kerdhaan Allah pasti mencapai kemenangan yang dijanjikan.

Allah menegaskan dalam Surah Ali ‘Imran ayat 123 hingga 125.

Sesungguhnya Allah menolong kamu dalam Perang badar, sedangkan pada masa itu kamu orang yang lemah. Sebab itu bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mensyukurinya.

ISLAM MEMBUKA KOTA MEKAH

Peristiwa ini berlaku pada 10 Ramadhan tahun ke-6 Hijrah. Peristiwa kemuncak ini berlaku apabila musyrikin Mekah melanggar perjanjian Hudaibiah yang termeterai dengan orang Islam. Antara kandungan perjanjian ini menyebut, setiap suku Arab boleh memilih sama ada menjadi sekutu Muhammad ataupun sekutu Quraisy. Kedua-dua pihak tidak boleh berperang dalam tempoh 10 tahun dan tidak boleh membantu pihak lain berperang. Malangnya, dalam suku-suku Arab yang bersekutu itu, ada golongan yang bertelagah iaitu Bani Bakar dan Khuza’ah. bani Bakar bersekutu dengan Quraisy Mekah manakala Khuza’ah memilih bersekutu dengan Nabi Muhammad. Pada satu malam, Bani Bakar dengan pertolongan Quraisy Mekah menyerang perkampungan suku Khuza’ah di lembah Watir. Apabila berita itu sampai ke pengetahuan Nabi Muhammad, beliau mengerahkan ratusan ribu umat Islam marake Mekah tanpa pengetahuan penduduk musyrikin Mekah. Beliau menolak sebarang rundingan dengan pihak Quraisy sehingga kemaraan umat Islam hanya diketahui apapbila hampir memasuki Kota Mekah. Penduduk musyrikin menjadi jumlah yang kecil tanpa sebarang persiapan hanya bersembunyi di bukit, rumah ibadat dan rumah Abu Sufian.

Akhirnya umat Islam memasuki kota Mekah tanpa sebarang pertumpahan darah. Peristiwa ini menggambarkan pertolongan Allah kepada hamba-hamba yang ikhlas kepadaNya. Allah menyebut dalam Al Quran Surah Al Fath ayat 1: Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata. Sebahagian pakar tafsir Al Quran memberi maksud ‘kemenangan’ sebagai kemenangan membuka Mekah.
Locengwangsa mengucapkan 'Ramadhan Kareem' kepada semua umat Islam negara ini, khususnya kepada warga tempatan di Wangsa Maju dan Setiawangsa. Mudah-mudahan kekuatan dan semangat yang terbentuk di sepanjang Ramadhan ini akan terus memperkukuhkan lagi perjuangan siyasiah kita untuk membela agama, bangsa dan juga negara.