assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Saturday, February 2, 2013

JANGAN SABOTAJ JIKA IBRAHIM ALI, ZUL NORDIN, HASAN ALI TANDING CALON BN

Mereka ini terlalu berjasa kepada UMNO. Jangan sabotaj mereka!
Oleh Abdul Rahman Hashim

Demam pilihan raya semakin menjadi topik hangat yang membahangkan. Orang politik di seluruh tanah air kini tidak bersabar lagi untuk menantikan detik pengumuman rasmi tarikh pembubaran Parlimen yang bakal diumumkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia.
Ada kemungkinan besar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan pembubaran parlimen selepas perayaan Chap Goh Mei; angin bertiup kencang meramalkan bahawa Parlimen akan dibubar pada 22 Februari ini. Penamaan calon mungkin pada 21 Mac diikuti pula dengan hari pembuangan undi pada 30 Mac 2013. Cuti sekolah penggal pertama akan bermula pada 23 Mac -31 Mac. Tarikh-tarikh ini mungkin sesuai untuk diadakan pilihan raya umum kali ke-13.
Kerajaan yang sedia ada yang dipimpin oleh Barisan Nasional kini akan menyerahkan mandat kepada rakyat yang layak mengundi menjelang PRU13. Ada yang meramalkan BN tidak mampu bertahan lagi dengan ombak yang bakal membadai; tidak kurang juga yang meramalkan Pakatan Rakyat akan dapat ditumbangkan bukan sahaja di Kedah, Pulau Pinang, Selangor malah Najib juga telah didendangkan oleh pencacai bahawa Kelantan juga akan disapu bersih oleh UMNO/BN.
Keyakinan ini semakin membuak-buak kerana ada juga pencacai UMNO yang telah meyakinkan Najib/Muhyiddin bahawa Anwar Ibrahim juga bakal rebah di Permatang Pauh? Bukan itu sahaja orang UMNO yang memPERKASAkan Datuk Paduka Haji Ibrahim Ali juga meramalkan bahawa Najib telah merestui Ibrahim Ali bertanding atas tiket BN setelah dia berjaya mengkhianati PAS dalam PRU12 yang lalu.
Orang UMNO juga teruja kononnya Najib akan memberi laluan terhormat kepada mereka yang telah mengkhianati parti asal mereka dalam Pakatan Rakyat untuk dicalonkan atas tiket BN menentang Pakatan Rakyat.
Orang-orang yang setia dengan Najib sekarang ini seperti Zulkifli Nordin mantan PKR, Zaharin Hashim juga mantan PKR, Ezam Mohd Nor juga pernah menjadikan Anwar sebagai ikonnya, Datuk Dr Hasan Ali mantan pemimpin PAS termasuk Wee Chee Keong dari PKR yang menang di Wangsa Maju sebelum ini, malah ramai lagi yang berpaling telah menyokong UMNO/BN kini akan diberikan peranan yang maha penting untuk bertarung dengan calon-calon Pakatan Rakyat.
Mungkin juga Ustadz Nasharudin Mat Isa yang teringin sangat supaya dirinya dipecat daripada PAS agar kali ini dapat diberikan laluan bertanding atas tiket BN menentang samada Haji Hadi Awang ataupun berdepan dengan Nik Aziz. Pencacai UMNO mungkin boleh meramalkan Ustadz Nasha sahaja yang mampu menundukkan Tok Guru berkenaan. 
Namun begitu saya tidak bersetuju Nasharudin berentap dengan Hadi mahupun Nik Aziz, seelok-eloknya UMNO utamakan kehebatan ulamaknya seperti Jamil Khir yang sedang tercari-cari kawasan selamat untuknya, begitu juga tonjolkan kehebatan Ustadz Muda yang menjadi kebanggaan UMNO iaitu Ustadz Pathul Bari, ada kemungkinan mereka ini mampu membuat kejutan menewaskan pemimpin kanan PAS tersebut.
Dalam artikata lain, jika benar mood rakyat kali ini berpihak kepada UMNO/BN kenapa harus kita takut  untuk  untuk memberi peluang kepada mereka ini sebagai mengenang jasa dan budi mereka terhadap UMNO. Rasanya Perdana Menteri dan Timbalannya boleh meyakinkan tokoh-tokoh UMNO yang lain supaya berkorban untuk ketika ini demi untuk menyapu bersih semua kerusi-kerusi yang dimenangi oleh PAS, PKR dan DAP.
UMNO Bahagian Gombak mungkin boleh memberi laluan kepada Hasan Ali supaya bertanding semula di DUN Gombak Setia atas tiket BN walaupun dia pernah berkata tetap yakin dengan perjuangan PAS. Begitu juga UMNO Bahagian Kulim Bandar Baru, elok juga berpakat baik-baik supaya dapat memberi laluan kepada Zulkifli Nordin sekali lagi untuk bertanding atas tiket BN kali ini.
Datuk Seri Zaharin Hashim pula dilihat layak untuk mewakili BN di kawasannya sekarang di Bayan Baru, Pulau Pinang. Berkat kesetiaan melampaunya kepada Najib sekarang ini mungkin dia mampu membuktikan kepada Najib bahawa hanya dia sahaja yang boleh menewaskan calon PKR di situ nanti.
Inilah dia transformasi politik yang perlu diuji oleh Najib untuk membuktikan bahawa mereka juga memiliki kriteria sebagai winnable candidate untuk BN. Berasaskan kepada kesahihan laporan yang dibuat oleh agensi-agens seperti Jasa, Kemas, MIO, SB dan responden yang lainnya seperti Utusan, TV3, Berita Harian malah jika kita berpuas hati dengan respon hanya dengan tiga buah universiti yang memuji Najib, maka apa lagi yang hendak ditunggu, percepatkan tarikh pembubaran Parlimen sebelum ada yang beralih arah. Bimbang juga ada yang masuk ingin akhirnya biskut menjadi lemau
Datuk Paduka Ibrahim Ali, Datuk Zulkifli Nordin, Datuk Dr Hassan Ali, Datuk Seri Zaharin Hashim, Wee Chee Keong, Ustadz Nasharudin Mat Isa, Dato' Ezam Mohd Noor, Datuk Nallakarupan, termasuk Mursyidul Am TIBAI, Zahid Md Arif dan yang sekutu dengannya, anda tak perlu khuatir kerana UMNO tidak akan mensabotaj jika anda diberikan peluang bertanding atas tiket BN dalam PRU13 nanti. Orang UMNO telah dilentur agar tidak mengkhianati partinya sendiri! Orang UMNO juga terhutang budi dengan anda semua kerana anda dikatakan telah berjaya menjadikan UMNO lebih mantap berbanding sebelum ini.
Walaupun saya tidak bersetuju anda mengkhianati parti yang telah memenangkan anda dalam PRU12 yang lalu, namun saya juga mungkin tidak bersetuju jika ada di kalangan ahli UMNO yang mungkin akan mensabotaj anda jika anda diberi peluang bertanding atas tiket BN dalam PRU13. Ikut sahajalah keputusan pucuk pimpinan jangan bantah jika UMNO/BN tidak mahu kecundang lagi.