Jawatankuasa Rukun Tetangga Seksyen 10 Wangsa Maju dengan kerjasama Dewan Bandara Kuala Lumpur dan Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional Wilayah Persekutuan akan menganjurkan sambutan 'Hari Keluarga Penduduk' bagi kawasan tersebut yang telah bermula pada hari ini sabtu, 5 Julai dan akan berakhir keesokan harinya 6 Julai 2008. Orang ramai terutamanya penduduk di sekitar kawasan Seksyen 10 Wangsa Maju dijemput datang beramai-ramai ke majlis ini, kerana banyak aktiviti kekeluargaan yang melibatkan kanak-kanak dan juga orang dewasa akan dijalankan.Pada hari sabtu telah diadakan acara sukan rakyat dan di sebelah malamnya pula akan diadakan acara hiburan karaoke keluarga. Ketika membuat tinjauan rambang ke tapak hari keluarga ini, kelihatan penduduk seksyen 10 Wangsa Maju telah mengadakan gotong royong melapah daging lembu yang disumbangkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, yang akan dijadikan hidangan jamuan untuk orang ramai yang hadir pada hari keluarga tersebut. Dimyati Jaffar (Gambar di atas) Timbalan Pengerusi Rukun Tetangga Seksyen 10 Wangsa Maju ketika ditemui juga menyatakan bahawa acara kemuncak Hari Keluarga ini ialah pada hari ahad, 6 Julai 2008, kerana pada hari berkenaan akan diadakan majlis perasmian di samping meneruskan beberapa acara sukaneka dan juga penyampaian hadiah.
Gambar atas: Dewan Seksyen 10 Gambar bawah: Banner Hari Keluarga
(Sila klik di gambar untuk kelihatan lebih jelas)
(Sila klik di gambar untuk kelihatan lebih jelas)
Majlis ini dijangka akan dirasmikan oleh Encik Burhanuddin, Penolong Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Wilayah Persekutuan. Locengwangsa mengucapkan tahniah kepada Jawatankuasa Rukun Tetangga Seksyen 10 Wangsa Maju di atas usaha yang dijalankan, kerana majlis seumpama ini mampu merapatkan lagi ikatan perpaduan masyarakat yang terdapat di kawasan ini.
Di seksyen 10 ini selain daripada wujudnya Jawatankuasa Rukun Tetangga, terdapat juga dua buah cawangan UMNO yang telah lama bertapak di situ. Dua buah cawangan UMNO itu ialah UMNO Cawangan Seksyen 10 Wangsa Maju dan juga UMNO Cawangan Bukit Wangsa. UMNO Seksyen 10 diterajui oleh Zainal Masri, manakala UMNO Bukit Wangsa pula diterajui oleh Abdul Rahman Hashim yang juga pernah menjadi Pengerusi Persatuan Penduduk di seksyen 10 pada tahun 1988 - 1990.
Pengerusi Rukun Tetangga Seksyen 10 ialah Salehudin Saidon, manakala Dimyati Jaffar merupakan Timbalannya yang menjadi nadi penggerak kepada hari keluarga yang diadakan ini. Selain daripada itu Surau Darul Huda juga memainkan peranan penting dalam urusan dan hal ehwal peribadatan Islam di kawasan ini. Surau Darul Huda yang dibina pada tahun 1988 ini telah dirasmikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, iaitu Datuk Dr. Yusof Nor dan merupakan Surau Jumaat yang telah mendapat tauliah daripada JAWI sejak 1990 lagi.
Seksyen 10 Wangsa Maju mula dibuka penempatannya pada tahun 1987 merupakan sebahagian daripada projek perumahan kos rendah yang dibangunkan sebagai bandar satelite yang dinamakan Bandar Wangsa Maju oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dengan usahasama Syarikat PGK Sdn Bhd sebagai syarikat perumahan yang diberikan tanggungjawab untuk membangunkan kawasan ini. Bandar Wangsa Maju ini telah pun dirasmikan pada tahun 1984 oleh Perdana Menteri pada masa itu, iaitu YAB Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad (Kini, Tun).
Gambar atas: Surau Seksyen 10 Gambar bawah: Jalan masuk ke Seksyen 10
(Sila klik di gambar untuk kelihatan lebih jelas)
(Sila klik di gambar untuk kelihatan lebih jelas)
Selain Seksyen 10, Bandar Wangsa Maju juga mengandungi penempatan projek perumahan (Flet) kos rendah di Seksyen 1, manakala Seksyen 2 dan Seksyen 4 merupakan projek perumahan pangsapuri kos sederhana. Seksyen 5 dan Seksyen 6 muncul kemudiannya yang menempatkan projek perumahan teres dua tingkat dan tiga tingkat. Projek Apartment, pangsapuri dan kondominium juga turut merancakkan lagi pembangunan Bandar Wangsa Maju dengan munculnya Kondominium Sri Ledang, Sri Kinabalu, Sri Jelatek yang terletak di Seksyen 10, manakala Menara Alpha pula muncul di Seksyen 2 dan juga Apartment Waizuri muncul di Seksyen 5 dan banyak lagi rumah-rumah sederhana mewah yan lainnya.
Kini Bandar Wangsa Maju semakin pesat membangun dengan bercendawan tumbuh kondominium mewah dan juga pusat-pusat bandar yang telah menambah serikan lagi Bandar ini. Pusat-pusat membeli belah terkenal seperti Carrefour dan Jaya Jusco juga terdapat di Bandar Wangsa Maju yang sering menjadi tumpuan orang ramai.

