SAYU dan MEMILUKANSebenarnya apabila saya melihat pejuang-pejuang bahasa kita yang ingin mengadu kepada Rajanya sendiri diburu, dihambat dan kemudiannya di suraikan pula mereka ini dengan tembakan gas pemedih mata oleh FRU menjadikan hati saya semakin sayu, pilu dan bersimpati; sehingga berderai airmata kesedihan setelah terbaca ungkapan Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said (Foto) yang turut menyertai perhimpunan membantah PPSMI di Masjid Negara pada petang Sabtu, 7 Mac yang berkata:-
"Rupa-rupanya begini caranya untuk menyelamatkan bahasa..."
Jika seorang Sasterawan Negara sudah mengeluh sedemikian rupa memikirkan masa depan bahasa Melayu yang semakin dipinggirkan di negara sendiri, apakah yang patut UMNO lakukan sekarang? UMNO sebagai sebuah parti yang berlandaskan kepada perjuangan memartabatkan 'Ketuanan Melayu' sepatutnya lebih tersinggung apabila berdesing suara umat Melayu yang mewakili pelbagai pertubuhan mulai bangkit mempertahankan maruah bahasa ibunda yang menjadi bahasa resmi negara sejak 52 tahun kita di merdekakan oleh Penjajah Inggeris.
Apabila isu ini dikemundangkan, kita harus melihat persepsinya ialah betapa patriotiknya bangsa Melayu terhadap bahasanya. Melayu sebagai sebuah bangsa memiliki aura bahasanya sendiri sebagaimana warga Tionghua yang telah bangkit mempertahankan bahasa ibundanya. Turut bersuara mempertahankan Bahasa Tamil ialah golongan minoriti yang berbangsa India di negara ini.Tekanan daripada mereka ini telah memperlihatkan kejayaanya setelah kerajaan berkompromi mengekalkan juga jenama Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan juga Sekolah JenisKebangsaan Tamil sejak dahulu lagi sehingga sekarang. Para pejuang dan pencinta bangsa Cina/india telah berjaya melembutkan pemimpin Melayu UMNO yang menerajui Kementerian Pelajaran sehingga identiti keCinaan dan keIndiaan bagi penjenamaan sekolah berkenaan dikekalkan, sekaligus telah menggagalkan hasrat murni kerajaan untuk memperkenalkan konsep Sekolah Wawasan sebagai usaha penyatuan sebuah bangsa dan warga Malaysia yang lebih bersepadu.
Ironi daripada sketsa ini ialah betapa besarnya kejayaan Parti MCA, Gerakan dan juga DAP yang dilihat berada di belakang tabir opera perjuangan yang dipelopori oleh NGO yang mewakili ras masing-masing. MIC juga turut menjuarai perjuangan memartabatkan Bahasa Tamil.
Pada saya perjuangan memartabatkan 'bahasa bangsa' hendaklah dilakukan sendiri oleh bangsa itu sendiri, jika bukan kita, siapakah yang hendak diharapkan lagi untuk mengekalkan bahasa nenek moyang kita? UMNO mestilah serius memikirkan perkara ini, kerana di pundak parti inilah diletakkan segala harapan oleh bangsa Melayu di negara ini. Janganlah kita perlekehkan dan menghina pejuang-pejuang bahasa ibunda kita itu, semata-mata kita terdorong dengan persepsi sempit kononnya perjuangan mereka itu didalangi oleh parti-parti pembangkang (PAS/PKR). Apakah bangsa Melayu yang menganuti parti PAS dan PKR tidak layak untuk membanggai bahasa Melayu sepertimana juga Melayu di dalam UMNO?
Jika pun ada penglibatan parti-parti ini, mereka mungkin melihat UMNO tidak boleh lagi diharapkan untuk mendepani isu bahasa Melayu, kerana UMNO sendiri yang telah menggunakan pengaruhnya untuk menukar penggunaan bahasa dalam mata pelajaran matematik dan juga Sains dari BM kepada BI pada tahun 2003 sehingga ia menjadi kemelut hari ini.
Datuk Seri Hishammuddin Tun Huseein, Panglima Ketuanan Melayu yang sentiasa menghunus KERIS adat, kini dilihat sebagai Menteri Pelajaran yang semakin malu dan hilang keyakinan untuk mendaulatkan Bahasa Melayu yang menjadi bahasa perjuangan UMNO. Sepatutnya apabila kita berani bertempik atas slogan Ketuanan Melayu, kita juga harus berani menjiwai bahawa Melayu itu ada bahasanya sendiri yang perlu dipertahankan. Sesungguhnya bahasa itu adalah jiwa kepada bangsa.Justeru, menukar penggunaan Bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris terhadap mata pelajaran Matematik/Sains juga memberi pengertian betapa UMNO tidak lagi yakin dengan bahasanya sehingga kita dilihat lebih yakin dengan bahasa penjajah itu untuk memajukan bangsa yang pernah dicengkam penjajah Inggeris sebelum kita Merdeka. Jika benar dakwaan ini, UMNO akan menjerumuskan maruahnya kerana tidak yakin lagi dengan kekuatan Bahasa Melayu sebagai bahasa resmi negara ini.
Jika ada niat untuk mengantarabangsakan Bahasa Melayu di persada dunia, saya agak kurang yakin impian ini boleh tercapai kerana usaha merakyatkan Bahasa Melayu pu
n gagal ditangani dengan sebaik-baiknya oleh UMNO. Melayu GLOKAL yang pernah dicanangkan oleh bakal PM Najib Tun Razak juga hanya menjadi angan-angan mat jenin kerana bahasa ibundanya dilihat gagal diperkasakan.Apa pun rakyat mungkin hanya membanggai UMNO kerana Perhimpunan Agungnya yang bakal diadakan pada 24 - 29 Mac ini akan menyaksikan semua pahlawan UMNO hanya segak BERBAJU MELAYU tetapi bahasanya mulai dikerandakan. Kita nak saksikan bagaimanakah caranya pemidato UMNO berhujah mempertahankan BAHASA INGGERIS sebagai Bahasa yang diyakini untuk mengantarabangsakan MELAYU.
-----------------------------------------------------------------------------------------
NGO MELAYU YANG BERHIMPUN
Lebih daripada 40 pertubuhan NGO terlibat di dalam perhimpunan yang berlandsung pada petang Sabtu, 7 Mac. Mereka termasuklah:
1. Kumpulan Prihatin
2. Persatuan Linguistik Malaysia (PLM)
3. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
4. Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI)
5. Majlis Profesor Sains Dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia
6. Wadah Pencerdasan Umat (WADAH)
7. Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM)
8. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
9. Institut Alam Tamadun Melayu,Ukm (ATMA)
10. Persatuan Penulis Nasional (PENA)
11. Persatuan Eksekutif & Usahawan Bumiputera Malaysia (PESUMA)
12. Persatuan Bekas Pelajar ITM (PBP-ITM)
13. Persatuan Suluh Budiman (PSB)
14. Persatuan Mahasiswa Islam Timur Tengah (PMITT)
15. Persatuan Pengajian Melayu Malaysia (PPMM)
16. Persatuan Seniman Malaysia (Seniman)
17. Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA)
18. Teras Pengupayaan Melayu (Teras)
19. Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS)
20. Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi)
21. Persatuan Alumni Sekolah Alam Shah (Pasas)
22. Kesatuan Sekerja DBP
23. Persatuan Penulis Kuala Lumpur (Kalam)
24. Persatuan Penulis Johor (PPJ)
25. Persatuan Penulis Muar
26. Persatuan Ulama Malaysia Pulau Pinang (Pumpp)
27. Gabungan Mahasiswa Darulaman (Persada)
28. Gabungan Mahasiswa Bersatu Perak (Bersatu)
29. Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat(Kgmmb)
30. Persatuan Sains Keadaan Pepejal (Pskp)
31. Persatuan Biologi Gunaan Malaysia
32. Persatuan Sains Matematik Malaysia
33. Majlis Profesor Sains Dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia
34. Kesatuan Pelajar Islam Perak (KPIP)
35. Kesatuan Pelajar Islam Johor (KPIJ)
36. Gamis
37. Persatuan Pendidik Insan Negeri Sembilan (PPINS)
38. Ikatan Pengkajian Islam Pahang (Ikatan)
39. Persatuan Kebajikan Dan Pendidikan Islam Wilayah Persekutuan Dan Selangor Darul Ehsan (Pepias)
40. Persatuan Kebajikan Dan Pendidikan Islam Negeri Kedah (Persida)
41. Persatuan Kebajikan Islam Sarawak (Perkepis)
42. Kesatuan Pelajar Islam Melaka (KPIM)
43. Persatuan Pembimbing Pelajar Islam Kelantan (PPIK)
44. Persatuan Pembimbing Pelajar Islam Pulau Pinang (Pembimbing)
45. Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Wilayah Persekutuan (PPIWP)
46. Persatuan Sejarah Malaysia (PSM)
47. Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM)
48. Institut Peradaban Melayu, UPSI

