assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Friday, March 23, 2012

KAMILIA MENCETUSKAN PERGOLAKAN WANITA UMNO?

Gandingan rapuh Shahrizat - Kamilia?

Oleh Abdul Rahman Hashim

Hari ini (Jumaat, 23 Mac 2012) Dato' Sri Najib dijangka menemui delegasi Wanita UMNO dari seluruh negara di PWTC setelah beliau bertemu dengan Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia jumaat lepas. Dato' Seri Shahrizat Jalil, Ketua Wanita UMNO yang akan melepaskan jawatan Menterinya pada 9 April ini telah mengetuai pertemuan tersebut tanpa kehadiran Dato' Kamilia Ibrahim yang difahamkan berada di luar negara.

Menurut kata Dato' Raja Ropiah Raja Abdullah, Exco Wanita UMNO yang turut berada di dalam pertemuan itu menyatakan bahawa Dato' Sri Najib meminta semua anggota Wanita UMNO supaya memberikan sokongan kepada Dato' Seri Shahrizat memimpin Pergerakan Wanita terutama di saat menghadapi cabaran pilihan raya umum ke-13 yang semakin hampir.

Tanpa diduga kemelut isu Fidlot-Lembu yang belum pun reda diperkatakan sehingga membahangkan kedudukan Shahrizat isteri kepada Dato' Salleh yang kini kesnya dihadapkan ke mahkamah, tiba-tiba Naib Ketuanya sendiri Dato' Kamilia Ibrahim mendesak pula supaya Shahrizat meletakkan jawatannya sebagai Ketua Wanita UMNO.

Menurut Dato' Kamilia, anggota Wanita UMNO di peringkat akar umbi menghadapi masalah untuk berhadapan dengan kes suaminya yang dianggap menjadi beban kepada parti di saat menghadapi PRU13.

Tan Sri Rafidah Aziz, mantan Ketua Wanita UMNO seperti yang dijangka telah bersikap menangguk di air yang keruh turut bersetuju dengan saranan yang dibuat oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad yang meminta Shahrizat supaya lebih pentingkan imej parti daripada kepentingan diri sendiri.

Ketika memberi komen selepas Shahrizat mengumumkan akan melepaskan jawatan menterinya pada tarikh luput senatorshipnya menjelang 9 April nanti, Rafidah secara sinis beranggapan bahawa Sahrizat bukanlah meletakkan jawatan tetapi sebenarnya Shahrizat dikatakan sebagai menghabiskan tempoh exipired jawatan senatornya yang tidak mengizinkan jawatan menteri yang disandangnya itu dilanjutkan tempoh.

Rafidah menyerlahkan dirinya sebagai pendendam terhadap Shahrizat yang pernah menentangnya ketika merebut jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO pada tahun 2008 yang lalu. Rafidah menganggap Shahrizat telah mengkhianatinya seperti yang pernah dialami oleh Tun Ghafar Baba ketika Dato' Seri Anwar Ibrahim hendak mendaki jawatan Timbalan Presiden UMNO suatu masa dahulu.

Kemelut dan pergeseran politik Wanita UMNO kini sedang meniti kemuncak yang membabitkan pucuk pimpinannya. Kamilia Ibrahim dilihat bukan keseorangan apabila mendesak Shahrizat meletakkan jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO. Biarpun bertalu kenyataan sokongan terhadap Shahrizat dibuat oleh Ketua Wanita UMNO negeri-negeri, namun hakikatnya luka-luka lama akan berdarah kembali akibat serangan virus yang sedang melanda politik Wanita UMNO.

Apakah tindakan Kamilia ini akan mendapat sokongan Rafidah Aziz? Sama-sama kita melihat arus gelombang ini yang sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada kekuatan yang sedang diperkasakan oleh UMNO/BN dalam menghadapi PRU13.


Tuesday, March 20, 2012

PRU13 - TUN DAIM RAMAL BN HANYA MENANG TIGA NEGERI?

Tun Daim Zainuddin bersama Anwar Ibrahim

Tun Daim Zainuddin

Beberapa hari yang lepas Dato' Sri Najib menjangkakan bahawa BN yakin menawan semula negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat pada PRU13; namun begitu keyakinan Perdana Menteri itu berbeza pula dengan ramalan yang dibuat oleh bekas Bendahari Umno dan mantan Menteri Kewangan Malaysia, di mana Tun Daim Zainuddin yang menjadi Bendahari UMNO selama 17 tahun meramalkan Umno BN hanya akan menang di Johor, Melaka dan Pahang pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dengan selainnya dimenangi Pakatan Rakyat.

Daim berkata demikian dalam wawancara eksklusif bersama akhbar harian Cina, Nanyang Siang Pau yang diterbitkan hari ini. Jika ramalan Daim itu benar-benar terjadi, maka jangka hayat Dato' Sri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri akan berakhir dalam tempoh dua atau tiga bulan sahaja lagi, itu pun jika PRU13 akan diadakan pada Mei atau Jun ini.

Daim turut dipetik sebagai berkata, Presiden Umno, Dato' Sri Najib Razak kini umpama “Jeneral tanpa askar” dalam berdepan cabaran PRU.

“Perdana Menteri dan pemimpin utama lain sudah pun melakukan lebih dari cukup. Maka situasi semasa mereka umpama ‘Jeneral tanpa askar’.

“Di manakah askar-askar BN? Pemimpin di peringkat cawangan dan bahagian perlu lebih proaktif melibatkan diri dengan orang ramai,” kata Daim.

Daim turut meramalkan agak sukar untuk Umno BN mengekalkan Sabah dan Terengganu ekoran krisis dalaman parti itu di kedua-dua negeri tersebut.

Mengenai Negeri Sembilan, Daim tidak menolak bahawa Pakatan Rakyat berpeluang cerah untuk menang di situ ekoran gabungan PKR, PAS dan DAP hanya memerlukan sekurang-kurangnya enam kerusi untuk membentuk kerajaan.

Selain itu, kata Daim, Umno juga terpaksa mencari calon sesuai untuk menggantikan Menteri Besar Negeri Sembilan ketika ini, Datuk Seri Mohamad Hasan yang dijangka bertanding kerusi Parlimen untuk dilantik sebagai menteri persekutuan.

Mengenai Perak yang dirampas Umno BN yang diketuai Najib sejak Februari 2009, Daim melihat agak sukar untuk Umno BN kekal di negeri itu.

Sementara Kelantan dan Pulau Pinang, Daim yakin Pakatan Rakyat akan terus memerintah di kedua-dua negeri itu.

Menjelang PRU 8 Mac 2008, Daim pernah meramalkan Umno BN akan kalah di Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang, namun tiada siapa melihat dengan serius ramalan beliau.

Sehinggalah keputusan 8 Mac diumum yang yang menyaksikan Umno bukan sahaja kalah di negeri itu, kecuali Terengganu, malah buat pertamakali dalam sejarah BN hilang 2/3 kerusi Parlimen.

Monday, March 19, 2012

KADIR SHEIKH FADZIR AKHIRNYA KELUAR UMNO

Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, keluar UMNO!

Oleh Abdul Rahman Hashim

KUALA LUMPUR, 19 Mac: Tokoh veteran UMNO yang juga Mantan Menteri Penerangan Malaysia dan juga mantan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir (gambar) telah mengisytiharkan dirinya keluar dari UMNO hari ini. Beliau yang terkenal dengan pemakaian 'Bow Tie' juga merupakan Timbalan Presiden Angkatan Amanah Merdeka (AMANAH) yang dipimpin oleh Tengku Razaleigh Hamzah.

“Pada hari ini saya telah pun mengirim surat kepada Setiausaha Agong Umno Malaysia untuk meletakkan jawatan selaku ahli Umno Malaysia mulai hari ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Dalam kenyataan itu, beliau memaklum mula menjadi ahli Umno dan memegang jawatan dalam parti itu sejak tahun 1956 sehingga sekarang iaitu selama 56 tahun.

Beliau pernah menjadi Exco Pemuda Umno selama 10 tahun dan Ahli Majlis Tertinggi Umno selama 24 tahun di samping jawatan-jawatan lain seperti Ketua Pemuda Umno Negeri Kedah dan sebagainya. Di dalam era Pemuda UMNO, beliau merupakan penyokong kuat Dato' Harun Idris yang pernah dilanda krisis semasa UMNO di bawah kepimpinan Tun Hussein Onn.

“Saya juga menjadi Ahli Pentadbiran Kerajaan Malaysia sekitar 30 tahun, selaku Setiausaha Politik, Setiausaha Parlimen, Timbalan Menteri dan Menteri.

“Pada minggu sudah saya telah meletakkan jawatan selaku Bendahari Umno Bahagian Kulim/Bandar Baharu, jawatan yang akhir dalam Umno yang saya menjawat,” ujarnya.

Tindakan beliau mengkritik kepimpinan Umno dan kerajaan hari ini telah menimbulkan rasa tidak senang di kalangan pemimpin utama parti itu.

Kritikan beliau selaku Timbalan Presiden Amanah terhadap Umno termasuk mendedahkan pembelian undi semasa pilihan raya umum jelas menimbulkan kemarahan beberapa pemimpin utama Umno.

Wednesday, March 14, 2012

BENARKAH ANWAR NAK HANCURKAN PALESTIN?

Kenyataan Anwar di dalam akhbar WSJ telah diperhangatkan
seolah-olah Anwar benar-benar bersekongkol dengan Israel
nak menghancurkan
rakyat Islam Palestin?

Isu Israel memang sensitif di negara ini. UMNO menuduh Anwar
sehati sejiwa dengan Israel, begitu juga Pakatan Rakyat sering
menggunakan isu Apco untuk mengIsraelkan 1Malaysia?

Oleh Abdul Rahman Hashim

Isu Israel telah menggamatkan Sidang Dewan Rakyat hari ini (14 Mac 2012). Anifah Aman, Menteri Luar ketika memberikan jawapan lisan di atas soalan asal yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Libaran berkata Ketua Pembangkang (Anwar Ibrahim) lebih mementingkan keselamatan Israel daripada keselamatan Palestin sambil memetik apa yg dinyatakan oleh Anwar dalam AWSJ, namun Nurul Izzah, Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Azmin Ali, Ahli Parlimen Gombak dari PKR membantah kenyataan itu sambil mendakwa bahawa Menteri Luar itu cuba berbohong kerana menurut Azmin Menteri Luar tu hanya membaca sekerat sahaja kenyataan Anwar sambil menyatakan bahawa Anifah Aman tidak memahami maksud Bahasa Inggeris seperti yang tertera di dalam akhbar itu.

Persoalannya, benarkah Israel lebih disayangi oleh Anwar daripada Palestin, semata-mata kerana Anwar menggesa supaya Israel mengiktiraf negara Palestin, sebelum Israel diberi jaminan keselamatannya? Nampaknya ada yang terperangkap dengan 'persepsi negatif' semata-mata kerana wujudnya persengketaan politik diantara UMNO dengan Pakatan Rakyat.

Jika benar kita 'purely' anti Israel, lebih baik kerajaan memutuskan sahaja hubungan dengan negara sekutu terkuat Israel iaitu AS. Berbaik dengan AS memberi persepsi bahawa kita juga bersekutu dengan Israel, kerana negara itu bersekongkol dengan Israel menjahanamkan bumi Palestin. Namun begitu, saya tetap merasakan bahawa kerajaan Malaysia tidak sanggup berbuat demikian kerana negara kita masih banyak terikat dengan kepentingan-kepentingan tertentu.

Menyebut soal persepsi ini, saya teringat Tun Dr. Mahathir pernah menjawab soalan Ustadz Nakhaei Ahmad, Ahli Parlimen Baling dari PAS di Dewan Rakyat sekitar tahun 1980 bahawa "Pas lebih bahaya daripada Komunis" kerana beliau merujuk Firman Allah yang menyatakaan perbuatan memfitnah itu lebih bahaya daripada membunuh.

Pada Dr Mahathir, PAS disifatkan asyik membuat fitnah, manakala komunis pula kerjanya mengganas dan membunuh orang. PAS membantah kenyataan Dr. Mahathir itu kerana mereka tak mahu parti mereka dilabelkan sedemikian rupa. PAS menyatakan bahawa Dr Mahathir cuba membuat persepsi jahat terhadap parti mereka.

Demikianlah bahayanya 'persepsi negatif' yg dicanangkan oleh penggiat-penggiat politik yang sering terjebak dengan sindrom persengketaan. Diantara mereka kelihatan sering mengibarkan jalur keegoaan masing-masing.

Sunday, March 4, 2012

SIAPA CALON BN DI WANGSA MAJU, UMNO ATAU MCA?

Dato' Dr. Mohd. Shafei Abdullah, Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju
dilihat lebih winnable menjadi calon BN Wangsa Maju kali ini.

Oleh Abdul Rahman Hashim

Insya Allah, pada malam ini (4 Mac 2012) gerakan menyuntik semangat memperkasakan Barisan Nasional di hati rakyat akan diteruskan di kawasan Parlimen Wangsa Maju. Saya sendiri telah dijemput untuk bersemuka dengan pengundi akar umbi di situ untuk menyampaikan ceramah politik secara bergandingan dengan penceramah daripada Parti Gerakan dan juga MIC.
Sudah tentu Dato' Dr. Mohd. Shafei Abdullah, Pengerusi BN Wangsa Maju yang juga Ketua UMNO Bahagian di situ mengharapkan sesuatu yang boleh membangkitkan kesedaran rakyat untuk melakukan transformasi merobah lanskap politik rakyat supaya mengembalikan keutuhan Barisan Nasional yang telah dirobek dalam PRU12 yang lalu. Parlimen Wangsa Maju yang menjadi kubu kuat UMNO/BN sebelum ini telah kecundang dan rebah di tangan PKR apabila Yew Tiong Look yang mewakili BN tumpas di tangan Wee Chee Keong daripada PKR. PKR menang dengan kelebihan 150 undi sahaja. Apa nak dikatakan, walaupun kelebihan 1 undi, BN telah kalah di situ.
UMNO di bawah kepimpinan Dato' Shafei Abdullah semakin berputar laju bagaikan putaran gasing menemui rakyat akar umbi dengan mengharapkan mandat supaya Wangsa Maju kembali semula ke tangan Barisan Nasional. Barisan Nasional Parlimen Wangsa Maju bermula dengan kejayaan Datuk Dr Kamal Salih pada tahun 1994, dituruti pula kemenangan Dato' Sri Zulhasnan Rafique pada tahun 1999, kemudiannya bersilih ganti kepada Yew Teong Look daripada MCA yang memenangi kerusi BN pada pilihan raya 2004, namun dalam PRU12 pada tahun 2008 Parlimen Wangsa Maju turut dilanda tsunami politik setelah BN ketinggalan hanya 150 undi untuk menobatkan Wee Chee Keong daripada PKR sebagai Wakil Rakyat pembangkang di Wangsa Maju.
UMNO, MCA, Gerakan dan juga MIC haruslah bergerak seiring dan sejalan untuk mempastikan kerusi ini tidak lagi dimiliki oleh pembangkang menjelang PRU13 nanti. Tidak wajar sama sekali kita terkeliru untuk mencari kemenangan, kerana kemenangan sebenarnya boleh dicapai jika BN dapat membuktikan sokongan padu kepada calonnya tanpa mengira dari parti komponen mana yang akan dipilih oleh pucuk pimpinan parti.
Jika sebelum ini calon UMNO yang diwakili oleh Kamal Salih, Zulhasnan dan Yew Teong Look daripada MCA boleh cipta kemenangan hasil sokongan semua pihak, maka jangan lagi memberi alasan kononnya semangat setiakawan dalam BN Wangsa Maju tidak bersemi lagi sehingga MCA boleh merajuk semata-mata Pengerusi BN Wangsa Maju kini berpindah kepada Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Dato' Shafei Abdullah.
Kekalahan Yew Teong Look di Wangsa Maju pada pilihan raya umum 2008 lepas bukan bermakna tiada langsung pengundi Melayu menyokong beliau. YTL harus juga melihat faktor sokongan pengundi Cina di situ yang lebih berpihak kepada Wee Chee Keong. Rata-rata keputusan Peti Undi yang majoriti pengundi Cina tidak berpihak kepada BN, sedangkan peti-peti undi yang dikuasai oleh majoriti pengundi Melayu walaupun berlaku penurunan namun masih ketara menyokong BN walaupun calonnya daripada MCA.
Yew Teong Look sebaik-baiknya tidak berterusan menuding jari ke arah UMNO akibat kekalahannya itu, kerana UMNO telah bekerja keras untuk mempengaruhi pengundi Melayu di situ supaya terima sahaja calon BN itu walaupun kedengaran ada yang tidak berpuas hati dengan prestasi YTL selama beliau menjadi wakil rakyat di situ.
Sebenarnya tidak timbul UMNO menolak MCA. Jika sentimen itu dipermainkan, mana mungkin YTL boleh menang di kawasan Melayu dalam PRU yang diadakan pada tahun 2004. Bukankah faktor sokongan pengundi Melayu yang memungkinkan YTL menang di Parlimen Wangsa Maju? Kini Wangsa Maju mempunyai lebih 53 peratus pengundi Melayu yang bakal memperkasakan kekuatan BN. Namun begitu jika semangat tolak ansur tidak dapat dijiwai oleh MCA dan lain-lain parti komponen BN di Wangsa maju sehingga isu yang remeh ini menjadi beban utama pula kepada faktor kekuatan BN, maka agar sukar diramalkan tentang masa depan BN Wangsa Maju untuk merampas kembali kerusi yang telah dimenangi oleh PKR sebelum ini.
Jika berbekalkan karisma kepimpinan Dato' Mohd. Shafei Abdullah yang mengetuai Jentera Barisan Nasional Wangsa Maju, dibuktikan pula dengan agenda rakyatnya selama ini, maka tidak mungkin BN boleh kecundang lagi dalam PRU13 nanti. Kebimbangan faktor sabotaj sesama sendiri agak sukar diramalkan untuk meraih kemenangan yang dihajati. Apalah maknanya jika benar ramalan Pakatan Rakyat kononnya MCA menjadi penghalang terbesar kepada BN untuk menawan semula Wangsa Maju.
Jika benar dakwaan Pakatan Rakyat itu, MCA haruslah membuktikan bahawa partinya bukanlah si pengkhianat kepada Barisan Nasional sebagaimana yang disangka oleh mereka. Yew Teong Look janganlah lagi memerangkap dirinya dengan berselindung di sebalik panji-panji Barisan Nasional untuk menghalang kemenangan BN dalam PRU13. Sewajarnya beliau memberikan sokongan padu kepada Shafei Abdullah sebagaimana sokongan yang telah diberikan oleh UMNO kepadanya ketika beliau memenangi kerusi ini pada PRU 2004.
Tidak ada maknanya jika YTL hanya mahukan jawatan Pengerusi BN dan mahukan dirinya pula dicalonkan semula dalam PRU13 nanti menjadi pra syarat untuk beliau menyokong membantu kemenangan BN. Beliau tidak harus mencemarkan nama baik partinya sendiri sedangkan MCA telah menyatakan akujanjinya untuk mempastikan BN menang cemerlang dalam PRU13 nanti.
MCA kena ingat juga bahawa ramai juga calonnya akan bertanding di beberapa kawasan yang majoriti pengundi Melayu. Undi Melayu juga penting untuk kemenangan mereka, maka YTL harus bertegas untuk menukar pendiriannya menjadi lebih patriotik terhadap Barisan Nasional.
Saya berharap saya mampu untuk berhadapan dengan kemelut politik ini di dalam majlis ceramah yang dianjurkan oleh BN Wangsa maju pada malam ini (4 Mac 2012). Misi untuk menawan semula kerusi Parlimen Wangsa Maju bukanlah kerja yang mudah, namun kita meyakini kerja yang rumit ini akan menjadi lebih mudah jika kita yakin dengan kekuatan yang dimiliki.