
Dato' Sri Zulhasnan Rafique (Foto Kanan) merupakan salah seorang menteri di dalam kabinet Pak Lah yang telah menang sebagai Ahli MT UMNO tidak disenaraikan dalam saf jemaah menteri Najib yang diumumkan 9 April lalu. Raja Nong Chik (Foto kiri) yang menggantikannya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan bukanlah seorang Ahli MT yang menang bertanding, dan bukan juga 'Wakil Rakyat' bagi kawasannya di Lembah Pantai. Apakah puteri Anwar Ibrahim, Nurul Izzah mampu sekali lagi menewaskan bakal calon BN Lembah Pantai yang kini menjadi Menteri Wilayah Persekutuan ini?Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin naik mendadak dan beliau 'placing' dengan kehendak dan restu Perdana Menteri tanpa bersusah payah untuk menang dalam pilihan raya dengan melantiknya sebagai 'Senator' sebelum mengangkat sumpah jawatan Menteri Wilayah Persekutuan hari ini (10 April).


Tengku Adnan & Dr. Suleiman Mohamed
Zulhasnan satu-satunya Ahli Parlimen BN yang menang di WP Kuala Lumpur juga merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO dan BN Wilayah Persekutuan. Beliau tidak perlu berdukacita dan gundah gulana malah tidak wajar rasanya untuk dirinya menuding jari kepada sesiapa pun di atas penyingkiran ini.
Dato' Seri Dr. Suleiman Mohamed yang pernah menerajui UMNO WP juga pernah disingkirkan, begitu juga dengan Tengku Adnan Mansor yang pernah menang Ahli MT juga digugurkan sebagai Pengerusi UMNO WP, malah jawatan menterinya juga tercabut. Difahamkan penyingkiran terhadap dirinya sebagai Setiausaha Agung UMNO juga semakin menjadi tuntutan, akibat terlalu banyak kecelaruan yang berlaku semasa musim persidangan UMNO yang lalu.
Kini giliran Raja Nong Chik pula diberikan tempat untuk menjadi Menteri Wilayah Persekutuan, dan mungkin bakal menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO WP menggantikan Zulhasnan selepas ini. Apakah Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai ini mampu untuk mempertautkan semula 'retak-retak' yang sedang berlaku di dalam UMNO WP? Tentunya Dato' Sri Najib merasakan ada kesaktian yang dimiliki oleh anak raja ini untuk menawan semula hati-hati pengundi di Wilayah Persekutuan kepada UMNO dan BN.
Rasanya lebih bijak jika Raja Nong Chik dapat menawan hati-hati Ketua UMNO Bahagian di Wilayah Persekutuan ini terlebih dahulu sebelum meneruskan xpdc menawan hati rakyat yang berduka lara terhadap UMNO selama ini. Syed Ali dalam komentar blognya dilihat begitu positif terhadap Raja Nong Chik, dan beliau yakin Raja Nong Chik mampu untuk melakukan perubahan untuk masa depan Wilayah Persekutuan.
Sebagai mantan Menteri Wilayah Persekutuan, Zulhasnan pula hendaklah sentiasa berlapang dada dan menerima hakikat bahawa 'langit tidak selalunya cerah'. Bukan Zulhasnan sahaja seorang menteri yang menang sebagai Ahli MT tetapi tidak kekal di dalam jemaah menteri yang baru ini, malah penyingkiran juga berlaku terhadap Menteri Kerja Raya Dato' Seri Mohd. Zin Mohamed yang senasib dengan Dato' Sri Zulhasnan Rafique.
Dato' Seri Khaled Nordin dan Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim juga calon yang telah dikalahkan sebagai Naib Presiden UMNO, tetapi dikekalkan dalam jemaah menteri. Datuk Seri Syed Hamid Albar dan Mat Taib juga telah dikalahkan tetapi diri mereka terus disisihkan.
Datuk Seri Awang Adek yang ditolak oleh pengundinya di Bachok, Kelantan dalam PRU12 lalu, kini dimasukkan semula sebagai Timbalan Menteri Kewangan. Kejayaannya sebagai Ahi MT baru-baru ini dilihat lebih bernasib baik jika dibandingkan dengan kejayaan yang sama yang diperolehi oleh Zulhasnan dan Md. Zin. Apakah dengan perlantikan Awang Adek sebagai Timbala
n Menteri boleh mempengaruhi rakyat Kelantan untuk menumbangkan Tuan Guru Nik Aziz? Apa relevannya Awang Adek untuk negeri Kelantan itu?Nampaknya Perdana Menteri yang baru ini tidak terdorong untuk melantik mereka yang menang di dalam Majlis Tertinggi UMNO sebagai pra syarat untuk berada di dalam pasukannya kali ini. Kita lihat sahaja Khairy Jamaludin yang menang jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia tetapi terhalang untuk menyertai 'Kabinet Satu Malaysia' yang digagaskan oleh Presiden UMNO yang baru ini.
Sememangnya Pemuda UMNO patut berdukacita kerana Ketuanya itu dilihat tidak selayak untuk berada di dalam jemaah menteri, sebaliknya Najib terpanggil pula untuk menjemput calon Ketua Pemuda yang kalah iaitu Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir sebagai Timbalan Menteri MITI, malah Presiden UMNO itu juga telah bertindak sebagai melangkah bendul apabila melantik Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dato' Razali Ibrahim sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan.
Lebih menghiriskan hati Pemuda UMNO ialah apabila Dato' Seri Shahrizat Jalil, Ketua Wanita UMNO Malaysia yang tewas dalam PRU12 lalu telah dimasukkan semula di dalam jemaah menteri sebagai Menteri Pembangunan Wanita. Begitu juga Ketua Puteri UMNO, Dato' Rosnah tidak menerima nasib malang seperti Khairy Jamaludin, kerana beliau juga telah direstui oleh Najib apabila dilantik sebagai Timbalan Menteri Kesihatan.
Kesongsangan yang berlaku ini dilihat bakal mengundang kecelaruan yang juga telah merendahkan martabat seorang Ketua Pemuda UMNO yang telah dipilih oleh majoriti perwakilannya. Nasib baik Najib tidak terdorong pula untuk melakukan kerja songsang ini kepada Timbalannya Tan Sri Muhyidin Yassin.
Walaupun Najib telah berterus terang kepada KJ tentang alasannya tidak melantik Ketua Pemuda UMNO itu di dalam barisan kabinet, namun KJ telah memperlihatkan kematangannya dengan berterima kasih kepada Najib kerana telah melantik Naibnya sebagai Timbalan Menteri.
Mungkin Najib merasakan Naib Ketua Pemuda UMNO itu lebih layak untuk berada dalam barisan kabinetnya, manakala KJ dikatakan telah ditugaskan oleh Najib supaya menumpukan sahaja tanggungjawabnya di dalam Pemuda UMNO. Persoalannya kenapa Khairy saja dan tidak pula kepada Shahrizat? Ramai yang berkata, hanya Dr. Mahathir saja yang boleh menjawabnya bagi pihak Najib.









































