assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Thursday, December 31, 2009

GUS DUR MENINGGAL DUNIA, AL-FATIHAH..

GAMBAR-GAMBAR KENANGAN SEMASA HAYAT GUS DUR

Potret resmi Abdurrahman Wahid (Gus Dur)
Presiden Indonesia 1999 - 2001

Jemaah Menteri Gus Dur

Gus Dur bersama BJ Habibie

Gus Dur mengunjungi SBY sempena Aidilfitri


Megawati Soekarnoputri ketika melawat Gus Dur, Julai 2009.

Gus Dur semasa mengunjungi Suharto

Wahid Hasyim (Ayahanda Gus Dur)

Wajah Gus Dur semasa remaja

JAKARTA 30 Dis. - Bekas Presiden Indonesia, Abdurrahman Wahid meninggal dunia 6.45 petang ini (waktu Indonesia barat) ketika menerima rawatan di Hospital Cipto Mangunkusumo di sini. Adik kandung Abdurrahman, KH Sholahudin Wahid mengesahkan Abdurrahman yang lebih dikenali sebagai Gus Dur dan merupakan Presiden Indonesia keempat telah meninggal dunia.

"Saya mendapat khabar beliau meninggal. Khabar yang saya terima beliau meninggal pada pukul 6.45 petang," kata Gus Sholah dipetik detikcom. - Utusan

Gus Dur menjadi Presiden Indonesia yang ke-IV sejak 1999 sehingga 2001 selepas BJ Habibie. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang soleh. Amin!


Sunday, December 27, 2009

KEHILANGAN DUA ENJIN F-5E DENGAN KEHILANGAN LIMA NEGERI...ANGKARA SIAPA?

Zahid Hamidi yang juga Menteri Pertahanan sekarang tiba-tiba telah mensensasikan kehilangan dua enjin pesawat pemintas F-5E milik TUDM yang berharga RM50 juta setiap satu itu, sehingga memaksa Dato' Sri Najib yang pernah mengetuai kementerian ini membuat kenyataannya dengan memberi jaminan bahawa kerajaan tidak berhasrat untuk menutup kes kehilangan dua enjin yang bernilai RM50 juta setiap satu sebagaimana yang didedahkan itu.

Malahan beliau juga berkata aduan polis telah dibuat apabila kementerian pertahanan menyedari tentang kejadian tersebut yang berlaku semasa beiau menjadi menteri berkenaan.

"kita telah pergi kepada polis, ketika itu saya adalah menteri yang berkenaan. Saya membuat keputusan bahawa kita perlu membuat laporan polis," beliau dipetik berkata lapor Bernama.

Zahid Hamidi dalam kenyataan susulannya juga berkata selain daripada dua pesawat yang telah hilang, terdapat peralatan lain yang berkaitan turut lesap tiga tahun lalu.

Persoalan yang timbul daripada insiden yang memalukan ini ialah kenapa hampir tiga tahun baru cerita ini berbangkit - yang mendedahkannya pula bukan dari kalangan pembangkang malah pihak pembangkang dilihat semakin mencungkil dan terus menggali untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenainya.

Isu 'kehilangan enjin F-5E' ini juga dilihat akan terus disensasikan oleh para politikus, kerana kehilangannya juga dilihat menjadi bebanan kepada kerajaan BN yang pastinya tidak mahu 'kehilangan kuasa' menjelang PRU13.

Angkara siapakah ini? Apakah Zahid Hamidi begitu optimistik untuk mendedahkan nama-nama mereka yang terbabit itu sebagai bukti ketelusan kerajaan 1Malaysia yang ingin mendahulukan rakyat untuk mengejar pencapaiannya?

Sebenarnya saya semakin runsing untuk menterjemahkan motif di sebalik pendedahan itu, kerana ianya bakal mengundang risiko yang amat membahayakan Barisan Nasional yang telah kehilangan banyak kerusinya di dalam PRU12, sehingga telah merebahkan empayar BN di Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Kelantan termasuk Perak dan juga di Wilayah Persekutuan.

Jika diperhalusi di sebalik kenyataan Perdana Menteri itu, jelas membayangkan bahawa beliau sendiri mengetahuinya, jika tidak mana mungkin beliau terdorong untuk melaporkan kepada pihak polis? Persoalan yang timbul ialah kenapa kejadian yang berlaku pada tahun 2007 ini dilihat semacam hendak disembunyikan sehinggalah Zahid Hamidi sendiri menyelongkarkannya untuk diketahui umum?

Kehilangan enjin pesawat pemintas yang bernilai puluhan juta ringgit ini begitu menyayat hati, kerana ia berlaku di dalam zon larangan tentera (kem tentera) yang menggambarkan kerapuhan sistem pertahanan negara yang amat mudah ditembusi dan dicerobohi. Kerakusan pihak tertentu yang dikatakan telah berjaya menjual enjin-enjin itu kepada sebuah syarikat antarabangsa yang berpengkalan di Afrika Selatan hendaklah segera disiasat supaya mana-mana pihak yang terbabit itu tidak dibiarkan bermaharaja lela mengaup laba keuntungan sehingga rakyat dan negara terdedah dengan bala.

Kita tidak mahu lagi mendengar terdapatnya penyiasatan terpilih oleh pihak polis dan juga pihak SPRM sebagaimana yang didakwa oleh pembangkang setelah beberapa insiden yang membabitkan juga isu PKFZ yang tidak menampakkan 'pemain utamanya' diambil tindakan. Rakyat semakin jelik dengan opera sedemikian rupa dan akhirnya rakyat juga yang akan menjatuhkan hukuman setimpal kepada kerajaan yang tidak telus.

Sesungguhnya sindikator kehilangan enjin pemintas F-5E TUDM dengan sindikator kehilangan kuasa BN di lima negeri merupakan lanjutan sindiket yang telah mencetuskan kebenciaan rakyat kepada krew opera BN yang dilihat tidak bijak lagi menghambat hati nurani rakyat. Najib hendaklah segera menghidu vibrasi atau gerak hati rakyat menjelang PRU13 dengan segala daya dan deria rasa; kerana begitu banyak isu yang menimbulkan kebimbangan yang membabitkan kepincangan gerak laku di dalam urusan politik dan juga pentadbiran negara.

Monday, December 21, 2009

70 AHLI PARLIMEN BN YANG TIDAK HADIR

Berikut ini adalah senarai nama dan wajah-wajah 70 Ahli Parlimen UMNO/BN yang tidak hadir semasa sesi pengundian belah bahagi terhadap bajet sulung Dato' Sri Mohd. Najib Tun Razak (bajet 2010) 14 Disember lalu. Kerajaan BN dikatakan hampir tersungkur dengan bilangan kehadiran Ahli Parlimennya yang tidak mencukupi pada hari tersebut.

Kehadiran ahli parlimen BN yang hanya 48% jika dibandingkan 78% dari kalangan ahli parlimen Pakatan Rakyat begitu mencemaskan. Kelebihan 3 undi yang diperolehi oleh BN (66 - 63) dilihat telah memalukan Perdana Menteri sendiri, lantas memaksa Perdana Menteri untuk mengeluarkan kenyataan kecewanya tempoh hari.


Kemungkinan berbagai alasan yang akan diberikan, antaranya mungkin sebahagian daripada mereka itu berada di luar negara, mungkin juga terlibat dengan urusan-urusan resmi dan tidak kurang juga masih berada di kawasan masing-masing, termasuklah beberapa orang yang belum pulang daripada mengerjakan haji.

Sebenarnya di pihak Pakatan Rakyat juga mereka kecewa kerana gagal menggunakan kesempatan ini untuk meraih kejayaan menyekat bajet 2010 daripada diluluskan. Kehadiran Perdana Menteri sehingga memaksa dirinya meninggalkan majlis di Sekolah Chung Hua di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada malam itu juga dilihat betapa cemasnya beliau terhadap strategi Pakatan Rakyat yang berusaha untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Najib yang baru berusia 8 bulan itu.

Apakah bentuk tindakan yang bakal diambil terhadap mereka yang tidak hadir itu? Sama-samalah kita saksikan
nanti.

MENTERI


Tambun – Husni Hanadzlah, Tasik Gelugor – Nor M Yakop, Penampang – Bernard Dompok, Sembrong - Hishammuddin, Bagan Datok – Zahid Hamidi


Semporna – Shafie Apdal, Marudu – Maximus Ongkili, Betongi – Douglas Uggah, Pasir Gudang – Khaled Nordin, Jelebu - Dr Rais Yatim


Jeli – Mustapa Mohamed, Lumut – Kong Cho Ha, Kemaman – Shabery Chik, Tampin – Shaziman Mansor


Tg Karang – Noh Omar, Segamat – S Subramaniam, Raub - Ng Yen Yen, Kimanis - Anifah Aman

TIMBALAN MENTERI


Baram - Jacob Dungau, Bt Pahat – Puad Zarkashi, Beaufort – Lajim Ukim, Cam. Highland - Devamany


Jerlun - Mukhriz Mahathir, Kampar – Lee Chee Leong, Kluang - Hou Kok Chung, Larut – Hamzah Zainuddin


Muar - Razali Ibrahim, Papar – Rosnah Shirlin, Pontian – Ahmad Maslan, Sg Besar - Noriah Kasnon

AHLI PARLIMEN

Alor Gajah - Fong Chan Onn, Bintulu - Tiong King Sing, Bukit Katil - Md Sirat, Bt Sapai - Edmund Chong, Batang Sadong - Nancy Shukri


Gelang Patah – Tan Ah Eng, Gua Musang – Razaleigh Hamzah, Hulu Rajang - Billy Abit, Igan – Abd Wahab, Jerantut – Tengku Azlan


K Batas – Abdullah Badawi, K Kangsar – Rafidah Aziz, Kalabakan – Ghapur Salleh, Kangar – Radzi Sh Ahmad, Keningau – Joseph Pairin


Kinabatangan – Bung Mokhtar, K Tinggi – Syed Hamid Albar, Kulai – Ong Ka Ting, Lanang - Tiong Thai King, Lawas – Henry Sum Agong


Libaran – Juslie Ajirol, mamboing – James Dawos, Mas Gading – Tiki anak Lafe, Mukah – Leo Michael Toyad, Pasir Salak – Tajuddin Ramli


Padang Besar – Azmi Khalid, Pengerang – Azalina Othman, Pulai –Nur Jazlan, Putatan – Makcus Mojigoh, Putrajaya – Tengku Adnan


Rembau – Khairy Jamaludin, Rompin – Jamaluddin Jarjis, Seria – Richard Riot,Sibuti – Ahmad Lai Bujang, Setiawangsa - Zulhasnan Rafique


Tebrau – Teng Boon Soon, Tg Batu – Idris Haron, Tg Malim – Ong Ka Chuan, Tg Manis - Norah Rahman, Tuaran – Mujilip Bumburing


Friday, December 18, 2009

KERAJAAN BN NYARIS TERBALIK, NAJIB & MUHYIDDIN BERGEGAS KE PARLIMEN MENYELAMATKANNYA

Detik 14 Disember 2009 yang lepas amat menyayatkan hati semua pihak terutamanya di pihak Barisan Nasional, kerana strategi Pakatan Rakyat hampir menjadi untuk 'terbalikkan' kerajaan BN setelah pihak pembangkang berjaya membuat kejutan memintas Bajet 2010 yang boleh membawa implikasi politik dan ekonomi yang amat besar kepada negara.

Terdapat banyak cerita di sebalik drama di bangunan Parlimen yang cukup mendebarkan pada Isnin malam itu sehingga memaksa Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd. Najib Tun Razak bergegas meninggalkan majlis yang dihadirinya di Sekolah Chung Hwa di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur setelah menerima panggilan 'kecemasan' tentang jumlah Ahli Parlimen pembangkang dikatakan melebihi daripada Ahli Parlimen BN dalam Dewan Rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga dikejutkan dengan panggilan kecemasan itu dan beliau juga terpaksa segera ke bangunan Parlimen setelah dimaklumkan BN menghadapi kekurangan undi untuk meluluskan Bajet 2010 yang telah dibentangkan itu.

Begitu juga bekas Menteri Kerjaraya yang juga Ahli Parlimen Sepang Datuk Mohd Zin Mohamed yang baru turun dari pesawat di KLIA sekembali dari luar negara tidak sempat pulang ke rumah. Kebetulan sebaik saja menghidupkan telefon bimbitnya di lapangan terbang itu dan membaca SMS yang masuk meminta segera ke Parlimen, beliau tanpa memikir panjang terus mengarahkan pemandunya memecut ke bangunan Parlimen.

Pada keesokan harinya (Selasa), walaupun suasananya tenang-tenang saja di Parlimen, kekalutan yang terjadi pada hari Isnin malam itu membuatkan ramai kalangan Ahli Parlimen Barisan Nasional termenung menepuk dahi memikirkan betapa mereka bernasib baik bajet itu akhirnya lulus dengan 66 undi menyokong dan 63 menolak – dengan perbezaan cuma 3 undi sahaja.

Di fahamkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz yang menjaga urusan parlimen terpaksa bekerja keras dan ‘pusing keliling’ menyelaraskan usaha memastikan jumlah Ahli Parlimen BN cukup. Nazri dibantu oleh Penyelaras Ahli Parlimen BN, Datuk Zainal Abidin Rahim untuk menyelamatkan keadaan yang cemas ini dengan menelefon dan SMS kepada semua Ahli Parlimen BN yang tidak ada di parlimen supaya segera datang.

Turut sama membantu mengawasi keadaan ialah Ahli Parlimen Johor Bharu Datuk Shahrir Samad dan Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Latif Ahmad.

Keadaan memang cukup mendebarkan waktu itu setelah mereka menyedari macam ada sesuatu ‘tak kena’ melihatkan pergerakan ‘lain macam’ Ahli Parlimen pembangkang yang semakin ramai muncul memasuki Dewan. Kebiasaannya pada waktu malam begini jumlah Ahli Parlimen baik di pihak BN dan pembangkang tidaklah begitu ramai di parlimen.

Drama ini bermula semasa penggulungan perbahasan di peringkat jawatankuasa belanjawan Kementerian Dalam Negeri oleh Timbalan Menterinya Datuk Wira Abu Seman sekitar jam 8 malam.

Dikatakan juga, perasaan curiga di kalangan ahli-ahli Parlimen BN mula memuncak apabila melihat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS Datuk Seri Haji Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang dan Penasihat DAP Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timor) turun ke lobi parlimen (dari pejabat Anwar di Menara Parlimen). Ketika itu jumlah Ahli Parlimen BN kurang dari Ahli Parlimen pembangkang.

Awalnya kehadiran mereka yang makin ramai tidak disedari. Sebahagiannya ada di dalam dewan manakala lain-lainnya di sekitar bangunan Parlimen. Terdapat juga yang datang semula ke Parlimen setelah keluar sebelumnya.

Malah ketika itu ada seorang Ahli Parlimen pembangkang sedang menonton siaran langsung pertandingan bola sepak Malaysia-Laos dengan beberapa orang Ahli Parlimen BN di sebuah bilik tidak jauh dari Dewan Rakyat.

Ia dikatakan satu gerakan terancang untuk ‘perangkap’ Ahli Parlimen BN agar tidak menyedari jumlah Ahli Parlimen pembangkang sebenarnya. Rupanya secara diam-diam mereka dikatakan mengira jumlah Ahli Parlimen BN yang ada.

Apa yang diduga ternyata betul apabila Ahli Parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng telah bangun dan meminta agar undi belah bahagi dibuat. Undi belah bahagi bermaksud setiap ahli yang ada di dalam Dewan Rakyat akan dikira undinya dan bukan sekadar laungan suara bersetuju atau tidak.

Bayangkan jika tewas dalam undi belanjawan KDN ini bererti peruntukkan kewangan untuk kementerian itu tidak dapat digunapakai sehinggalah belanjawan itu dibentang semula dan diluluskan.

Ini bererti jika ambil masa dua tiga bulan – makanya wang untuk gaji kakitangan di bawah KDN dan agensi-agensi di bawahnya juga tidak dapat disalurkan. Begitu juga dengan wang untuk projek-projek, program dan sebagainya.

Debar tak debar…bayangkan beberapa minit menjelang pengundian belanjawan KDN jumlah Ahli Parlimen BN dan pembangkang sama 63-63. Nasib baik kemunculan Dato' Johari Baharum, Timbalan Menteri Pertanian yang masuk ke dalam dewan ketika undian sedang berjalan dikatakan telah menyelamatkan BN.

Beliau bersyukur sejurus tiba di bangunan Parlimen dan bergegas masuk ke dalam Dewan Rakyat pengundian betul-betul hampir bermula.

Ketika itu jam menunjukkan sekitar jam 10.45 malam dan jumlah Ahli Parlimen BN dan pembangkang 63-63. Kemasukan beliau di saat akhir itu menjadikan BN 64 orang cuma lebih seorang saja.

Drama mendebarkan itu berterusan kerana setelah urusan perbahasan peringkat jawatankuasa selesai, Dewan Rakyat harus mengundi sekali lagi bagi bacaan kali ketiga untuk meluluskan keseluruhan Bajet 2010.

Sekali lagi pihak pembangkang melalui Ahli Parlimen DAP Ipoh Barat, M.Kulasegaran meminta agar undi belah bahagian dijalankan.

Dua orang yang terakhir melangkah masuk ke Dewan Rakyat menjelang pengundian sekitar jam 11.15 malam menjadikan jumlah Ahli Parlimen BN 66 orang ialah Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk M Saravanan dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat.

Pengundian telah memihak kepada BN 66-63 iaitu kelebihan 3 undi saja.

Difaham jika BN tewas dalam pengundian yang dijalankan itu, belanjawan kerajaan tahun 2010 tidak dapat digunakan sehinggalah ia dibentangkan semula dan diluluskan. Proses itu dijangka memakan masa. Impaknya bukan sahaja dari segi politik malah ekonomi dan pembangunan negara juga turut menerima kesannya.

Apa yang telah berlaku ini seharusnya dijadikan iktibar oleh semua ahli parlimen terutamanya di pihak pemerintah. Barisan Nasional harus segera memantau permasalahan ini, kerana faktor kekurangan majoriti 2/3 di Dewan Rakyat akan memudahkan lagi pihak pembangkang untuk memerangkap BN sebagaimana yang telah berlaku pada 14 Disember lepas.

Persoalan yang ingin dibangkitkan di sini ialah apakah BNBBC yang dipimpin oleh Dato' Seri Tiong King Sing tidak menyedari bahawa sikap sebilangan besar daripada ahli-ahli parlimen BN di Dewan Rakyat yang liat untuk menghadiri sidang telah menjerumuskan Barisan Nasional dengan berbagai kemungkinan untuk digulingkan oleh Pakatan Rakyat?

BNBBC seharusnya lebih berhati-hati dan sewajarnya sentiasa monitoring pergerakan pembangkang di Dewan Rakyat yang dilihat mudah memerangkap Barisan Nasional sebagaimana insiden yang dramatik 14 Disember 2009 yang lalu.

Hendaknya janganlah insiden ini berulang lagi, kerana rakyat akan melihat kealpaan yang berlaku itu amat memalukan mereka. Saya percaya, Perdana Menteri juga akan terkesan dengan kejadian ini. Kehadiran ahli parlimen BN adalah satu tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan lebih-lebih lagi ketika hendak meluluskan bajet.

Sepatutnya semua Ahli Parlimen BN membatalkan semua program di luar pada hari yang penting seperti itu. Hakikatnya, kerajaan BN akan kehilangan kuasa sekiranya bajet itu tidak diluluskan di Dewan Rakyat. Bagi menggerakkan sesebuah kerajaan ia memerlukan bajet dan sekiranya bajet tidak ada bagaimana sesebuah kerajaan itu boleh berjalan.

Rasanya elok kita perhatikan rekod kehadiran ketika tercetusnya insiden yang memalukan Barisan Nasional ini. Berdasarkan rekod Parlimen, daripada 66 Ahli Parlimen BN yang hadir, tujuh orang adalah Menteri, 20 Timbalan, dua Timbalan Speaker dan 37 ahli penyokong kerajaan (BNBBC).

MENTERI YANG HADIR:

Tujuh menteri tersebut ialah Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Kiat, Menteri di JPM, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

TIMBALAN MENTERI YANG HADIR:

Manakala Timbalan Menteri yang hadir pula ialah Datuk Dr Abdul Latif Ahmad, Datuk Wira Johari Baharom, Datuk Wira Abu Seman Haji Yusop, Datuk Yong Khoon Seng, Datuk Rohani Karim, Datuk Wira Chor Chee Heung, Wee Jeck Seng, Datuk Robert Lau, Datuk Joseph Salang Gandum, Joseph Entulu Belaun, Datuk Dr Wee Ka Siong, Jelaing Mersat, Fadillah Yusof, Datuk Tan Lian Hoe, Saifuddin Abdullah, Datuk Hassan Malek, Datuk Abdul Rahim Bakri, Tan Sri Joseph Kurup, Datuk M. Saravanan dan Datuk Liew Vui Keong.

Menariknya bekas Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abd Taib (Kota Samarahan) yang kini berstatus penyokong kerajaan turut hadir menyokong kelulusan bajet berkenaan.

37 AHLI BNBBC YANG HADIR:

Selain beliau, Ahli BNBBC yang berjumlah 80 orang semuanya, yang hadir cuma seramai 37 sahaja yang hadir manakala tidak hadir seramai 41 orang.

Mereka ialah Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman (Lipis), Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fakri Kuala Nerus), Datuk Abdul Manan Ismail (Paya Besar), Datuk Paduka Abu Bakar Taib (Langkawi), Salleh Kalbi (Silam), Datuk Abd Rahman Dahlan (Kota Belud), Alexander Nanta Linggi (Kapit), Aaron Ago Dagang (Kanowit), Yussof Mahal (Labuan), Datuk Abd Rahman Bakri (Sabak Bernam), Datuk Lillah Yasin (Jempol), Datuk Raime Unggi (Tenom), Ding Kuong Hiing (Sarikei), Hasbi Habibollah (Limbang), Sairingan Gubat (Ranau).

Mohd Nizar Zakaria (Parit), Masir Kujat (Sri Aman), Datuk Sapawi Ahmad (Sipitang), Liang Teck Meng (Simpang Renggam), Chua Tee Yong (Labis), Mohd Nor Othman (Hulu Terengganu), Datuk Wira Ahmad Hamzah (Jasin), Matulidi Jusoh (Dungun), Datuk Mohamed Aziz (Sri Gading), Datuk Seri Ir. Mohd Zin Mohamed (Sepang), Datuk Shahrir Abdul Samad (Johor Bahru).

Datuk Ismail Abd Mutalib (Maran), Ir Hamim Samuri (Ledang), Datuk Baharum Mohamed (Sekijang), Datuk Dr Abdullah Md Zin (Besut), Datuk Ismail Kasim (Arau), William@Nyallau Badak (Lubok Antu), Datuk Ismail Mohamed Said (Kuala Krau), Datuk Halimah Sadidque (Tenggara), Datuk Mohd Jidin Shafee (Setiu), Datuk Shamsul Anuar Nasarah (Lenggong) dan Datuk Noraini Ahmad (Parit Sulong).

Dua lagi Timbalan Speaker iaitu Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Santubong) dan Datuk Ronald Kiandee (Beluran) turut mengundi atas kedudukan mereka sebagai Ahli Parlimen BN dan penyokong kerajaan.

AHLI PARLIMEN PAKATAN RAKYAT YANG TIDAK HADIR:

Di pihak pembangkang pula, seramai tujuh Ahli Parlimen PKR tidak hadir iaitu Azmin Ali (Gombak) , Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai) , Datuk Zainal Abidin Ahmad (Hulu Selangor) , Dr Lee Boon Chye (Gopeng) , Manickavasagam (Kapar) , Datuk Zaharin Hashim (Bayan Baru) dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (Bandar Tun Razak) .

Tujuh Ahli Parlimen DAP yang turut tidak hadir ialah Lim Guan Eng (Bagan) , Jeff Ooi (Jelutong) , Dr. Ramasamy (Batu Kawan) , Teresa Kok (Seputeh) dan Choe Ken Yow, Karpal Singh (Bukit Gelugor) dan Gobind Sing Deo (Puchong) yang kini menjalani hukuman penggantungan satu tahun.

Ahli Parlimen PAS yang tidak hadir ialah Dato' Mahfuz Omar (Pokok Sena) , Dr Che Rosli (Hulu Langat), Mujahid Yusof Rawa( Parit Buntar) , Datuk Taib Azamuddin (Baling).

Wednesday, December 16, 2009

SHAFEI DI TRIBUNALKAN KERANA MEMBELA RAKYAT

Dato' Mohd. Shafei Abdullah, Setiausaha Politik kepada Dato' Sri Najib Tun Razak kini menjadi fokus awam setelah dirinya yang telah banyak memberikan pembelaan terhadap rakyat di Wangsa Maju, telah dipolemikkan oleh Ahli Parlimen Wangsa Maju Wee Choo Keong daripada PKR.

Wee Choo Keong yang sentiasa tidak berpuas hati dengan gerak kerja membela rakyat yang dijalankan oleh Shafei selama ini telah mengheret isu terbabit di dalam Dewan Rakyat dengan menuduh Ketua UMNO Bahagian itu telah mencampuri urusan DBKL.

Dato' Shafei Abdullah dikatakan telah meminta DBKL supaya menangguhkan tindakan penguatkuasaan terhadap kegiatan perniagaan peniaga-peniaga kecil di Taman Melati dan juga di Seksyen 2 Wangsa Maju yang tidak disenangi oleh Wakil Rakyat PKR Wangsa Maju itu.

Polemik yang membabitkan dua tokoh politik ini dilihat sebagai pertembungan menguji pengaruh diantara UMNO dan PKR dalam pasca pilihan raya ke-13 yang bakal mendatang. Tindakan Shafei yang konsisten untuk membela masalah rakyat di Wangsa Maju begitu tidak disenangi oleh Wee Choo Keong sehingga Wee dilihat lebih berpuas hati meminta DBKL melakukan tindakan penguatkuasaan terhadap peniaga-peniaga kecil yang berkenaan.

Reaksi sedemikian telah mengundang kebencian rakyat terbanyak terhadap Wee Choo Keong dan masyarakat Melayu di kawasan ini yang rata-rata telah menunjukkan sokongan padu kepada Ketua UMNO Bahagian itu.

Sebagai orang yang telah dipolemikkan, Shafei dikatakan telah bersemuka dengan Wee di bangunan Parlimen dan meminta penjelasan daripada Wee terhadap isu yang telah dibangkitkannya di dalam sesi perbahasan di dewan rakyat. Pertanyaan Shafei itu telah membuatkan Wee merasakan dirinya tercabar sehingga mendorong jawatankuasa penyiasat dibentuk bagi membuktikan kebenaran dakwaan itu.

Dewan Rakyat kelmarin telah pun meluluskan usul tanpa bahas bagi menubuhkan satu jawatankuasa bagi menyiasat aduan Ahli Parlimen Wangsa Maju Wee Choo Keong berhubung satu laporannya terhadap Setiausaha Politik Perdana Menteri, Dato' Shafei Abdullah.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia membuat keputusan itu selepas majoriti anggota Parlimen bersetuju bahawa usul yang dikemukakan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz itu tidak di bahas.

Melalui usul itu, Mohamed Nazri mencadangkan agar jawatankuasa itu ditubuh bagi membolehkan tindakan yang sesuai diambil berhubung perkara itu mengikut Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

Tan Sri Pandikar Amin Mulia sendiri telah dicadangkan oleh Nazri Aziz untuk mengetuai jawatankuasa penyiasat ini, manakala Datuk Ronald Kiandee telah dicadangkan sebagai Timbalan Pengerusi.

Lain-lain anggota parlimen yang turut dilantik menganggotai jawatankuasa penyiasat ini ialah terdiri daripada Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu), Datuk Seri Dr. Fong Chan Onn (BN - Alor Gajah), Nancy Hj Shukri (BN - Batang Sadong), Lim Kit Siang (DAP - Ipoh Timur), R. Sivarasah (PKR - Subang) dan Datuk Kamarudin Jaafar (PAS - Tumpat).

Pada saya, apakah rasionalnya jawatankuasa ini perlu dibentuk semata-mata untuk menyiasat kewajaran Shafei menunjukkan kemarahannya terhadap musuh politiknya di Wangsa Maju itu. Jika Wee merasakan dirinya tidak tenteram lagi dengan kemarahan yang ditunjukkan oleh Shafei, apakah wajar Wee juga patut ditribunalkan setelah jawatankuasa ini nanti akan membuat keputusan bahawa faktor emosi dan marah kepada seseorang itu tidak wajar dikenakan tindakan disiplin?

Tindakan sekumpulan Pemuda UMNO yang didakwa telah 'mengkasari' Karpal Singh di luar Dewan Rakyat adalah tidak sama dengan tindakan 'memarahi' Wee oleh Dato' Shafei. Shafei berhak untuk meminta penjelasan dari Wee, sebagaimana Wee sebagai Ahli Parlimen juga berhak untuk bercakap atas apa jua isu sebagaimana yang dikehendaki oleh peraturan Dewan Rakyat.

Biarlah jawatankuasa penyiasat ini yang membuat keputusan bagi memuaskan hati Wee. Wee Choo Keong tidak perlulah mengajar Shafei supaya meletakkan jawatannya sebagai Setpol Najib, kerana itu bukanlah urusan Wee. Saya pula merasakan apa rasionalnya Shafei perlu meletakkan jawatan semata-mata hendak melayani selera wakil rakyat pembangkang itu. Shafei perlu meneruskan agenda rakyatnya, kerana rakyat di Wangsa Maju begitu memerlukan pembelaan UMNO yang dipimpinnya.


Monday, December 14, 2009

PERKASA memperkasa bangsa!

Hari ini saya terpanggil pula untuk mengulas serba sedikit mengenai PERKASA yang diasaskan oleh Dato' Paduka Ibrahim Ali yang menjadi Presidennya. Tanggal 13 Disember 2009, selain daripada berlangsungnya Konvensyen PKR Negeri Sarawak yang dilancarkan oleh Anwar Ibrahim, satu lagi peristiwa penting telah terlakar di Bumi Kenyalang, kerana Ibrahim Ali telah berjaya mengembangkan sayap PERKASA di negeri ini apabila beliau sendiri yang melancarkannya di dalam satu majlis yang gilang gemilang di hadapan lebih 300 anggotanya di Kelab Golf Sarawak, di Petra Jaya, Kuching, Sarawak.

Saya yang masih berada di Kuching sejak 4 Disember lalu telah diundang oleh seorang kenalan baru saya di Sarawak iaitu Tuan Haji Ahmad Sazali Annuar yang juga Bendahari Kehormat PERKASA Negeri Sarawak yang telah meminta saya agar dapat melapangkan masa untuk menyaksikan upacara yang bersejarah itu.

(Foto - Barisan AJK Perkasa Sarawak bersama Ibrahim Ali)

Sebelum itu, sahabat lama saya di Kuching iaitu Saudara Rahman Lariwoo yang juga ahli jawatankuasa PERKASA Negeri Sarawak telah lebih awal memaklumkan kepada saya tentang kehadiran Ibrahim Ali yang akan melancarkan PERKASA di negeri ini. Saya berterima kasih di atas jemputan itu, sekaligus telah menyatakan persetujuan untuk menghadirinya.

Saya sudah lama mengenali Ibrahim Ali sejak bersama-sama dengannya di dalam Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia semasa Anwar Ibrahim menerajuinya. Dalam tahun 1986 saya telah diberikan kepercayaan untuk menduduki barisan ahli jawatankuasa Biro Kemiskinan Pemuda UMNO yang diketuai oleh Ibrahim Ali. Waktu itu saya bergiat cergas di dalam Pemuda UMNO Bahagian Lembah Pantai.

Saya masih ingat lagi Setiausaha Biro ini iaitu Dr. Samarudin Rejab yang juga bos saya di dalam Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Lembah Pantai pada masa itu telah mempelawa diri saya untuk berada di dalam biro kemiskinan ini dalam merangka 'modus operandi' pembasmian kemiskinan yang bakal dibentangkan oleh Ibrahim Ali di dalam satu kovensyen kemiskinan yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada tahun 1986.

(Foto - Abdul Rahman Hashim bersama Ibrahim Ali di Kelab Golf Sarawak, selepas pelancaran PERKASA Sarawak)

Penglibatan saya bersama Ibrahim Ali tidak terhenti setakat itu sahaja, malah saya juga pernah bersamanya ketika menganjurkan Larian Antarabangsa Pasir Mas yang diadakan pada tahun 1994 ketika beliau menjadi Pengerusi Yayasan Pasir Mas dan juga Ahli Parlimen BN Pasir Mas. Larian tersebut yang dihadiri lebih 30,000 orang memenuhi Padang Sekolah Kebangsaan Sultan Ibrahim II Pasir Mas itu telah dirasmikan oleh Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia.

Walaupun pelbagai jenama yang dilabelkan terhadap Ibrahim Ali, namun saya tidak boleh menafikan kehebatannya berpidato terutama yang membabitkan isu-isu nasionalisme yang menjurus kepada hak-hak ketuanan Melayu. Beliau kelihatan bagaikan 'harimau' ketika mengaumkan isu-isu yang memperlekehkan bangsanya.

Ibrahim Ali tidak 'appologitic' dan tidak mudah berkompromi jika maruah bangsa Melayu tercabar; waima beliau juga tidak segan silu untuk bertikam lidah dengan sesiapa sekali pun, malah sanggup 'naik meja' untuk menerkam orang yang 'berkurang ajar' terhadap Melayu. Gelaran katak yang sering diungkapkan oleh Karpal Singh di Parlimen terhadapnya langsung tidak mengurangkan suhunya untuk mempertahankan martabat bangsa Melayu yang kini terus dicabar oleh golongan chauvinist tertentu di negara ini.

Hari ini Ibrahim Ali meneruskan kelantangan suaranya menerusi platfom PERKASA yakni Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia yang telah didaftarkan penubuhannya pada 12 September 2008.

(Foto - Ibrahim Ali bersama Datuk Mohamad Nasir MB Kelantan, tahun 1977)

Berbekalkan keperkasaannya sejak memimpin persatuan pelajar sekitar tahun 1970-an hinggalah penitiannya di dalam arena politik tanahair bermula dengan Parti BERJASA yang berjaya memporak perandakan pemerintahan PAS di Kelantan pada 1977, dan kemudiannya melangkah masuk pula ke dalam UMNO pada tahun 1978 sebelum keluar bersama-sama dengan Tengku Razaleigh Hamzah menubuhkan Parti Melayu Semangat 46 dalam tahun 1988, sehingga mereka berjaya menumbangkan kerajaan BN di Kelantan di dalam PRU yang diadakan pada tahun 1990.

Semasa bertanding dalam PRU tahun 1995 atas tiket UMNO, Ibrahim Ali telah ditewaskan oleh calon daripada Parti Semangat 46. Namun begitu perjalanan politiknya tidak bernoktah, beliau telah dilantik pula sebagai Senator bagi membolehkannya diangkat menjadi Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri oleh Perdana Menteri ketika itu Dr. Mahathir Mohamad.

Pendekata, jatuh bangun kerajaan negeri Kelantan jika tidak dikaitkan dengan 'tingkah politik' Ibrahim Ali adalah sesuatu yang tidak lengkap di dalam fakta sejarahnya. Jika Dr. Mahathir Mohamad begitu lantang menyuruh Nazri Aziz meletakkan jawatannya di dalam UMNO kerana parti itu dikatakan bersifat perkauman, Ibrahim Ali pula tidak rasa bersalah dengan beraninya telah meminta Tuan Guru Nik Aziz supaya meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar Kelantan, walaupun beliau tahu tidak masuk akal untuk Nik Aziz menuruti kehendaknya itu.

PERKASA yang diasaskannya itu adalah bersifat kesukarelaan sebagai bukti iltizamnya untuk meneruskan agenda memperkasakan Islam sebagai agama persekutuan, memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, di samping tidak berkompromi memperkasakan kedaulatan Raja-Raja Melayu dan juga kedaulatan negara.

Di dalam perlembagaan PERKASA Fasal 4 juga dengan jelas memperincikan matlamat perjuangannya untuk mempertahan dan memperkasakan hak-hak keistimewaan orang Melayu dan juga Bumiputra di negara ini.

Apakah PERKASA di bawah pimpinan Ibrahim Ali yang kini menjadi Ahli Parlimen (Bebas) di Dewan Rakyat mampu menggalas tugas dan amanah ini untuk menjadi juru bicara dan penyambung lidah bangsa pribumi di bumi Malaysia? PERKASA sebenarnya menjadi lebih penting daripada Ibrahim Ali yang telah memperkasakan penubuhannya itu. Keperkasaan PERKASA juga tidak mungkin dapat diwarisi oleh generasi pewarisnya jika PERKASA tidak mampu menterjemahkan erti sebuah perjuangan bangsa sebagaimana yang ditingkahkan oleh Dato' Paduka Ibrahim Ali dalam road shownya di seluruh negara.

Hendaknya janganlah PERKASA disalah gunakan sehingga keperkasaannya tidak bertempat, hanya dilihat perkasa pada zahirnya tetapi menjadi kemuncup apabila bangsanya kehilangan nilai dan jati diri sehingga MELAYU dan PRIBUMI tidak lagi terbela akibat kemaruk harta karun dan perebutan takhta yang menjadi agenda utama di kalangan pemimpin-pemimpinnya. Ingatlah, perjuangan melonggok kekayaan janganlah sampai dilihat yang dikejar tak dapat, yang dikendung pula keciciran. Jika ini yang berlaku, kita bimbang PERKASA bukan sahaja tidak lagi perkasa, tetapi PERKASA akan menyaksikan kemusnahan bangsa tanpa mendapat pembelaan lagi. Tidak bermakna lagi titisan air mata, jika bumi Melayu ini menjadi milik orang lain, akibat persengketaan sesama sendiri yang tidak berkesudahan.

Oleh yang demikian, saya tabik hormat kepada sahabat saya Ibrahim Ali yang sanggup menggelumangkan sisa-sisa hidupnya demi untuk memartabatkan Melayu dan pribumi serta meletakkan Islam sebagai agenda perkasanya. Saya begitu kagum dan teruja apabila mendengar pidato Ibrahim Ali semasa melancarkan PERKASA Negeri Sarawak yang telah mendapat respon yang cukup meyakinkan itu.

Biarlah Tuhan yang menilaikan keikhlasan perjuangan ini, janganlah kita membuat tafsiran yang negatif dan tidak adil terhadap perjuangan Ibrahim Ali. Walaupun dia merupakan Ahli Parlimen Bebas yang konflik dengan parti PAS yang menyokongnya dahulu, tetapi dia tetap Islam, dia tetap Melayu, malah saya percaya Ibrahim Ali tidak akan menjadi pengkhianat Melayu. Oleh itu PERKASA juga janganlah dilihat terdorong untuk terlalu partisan, sehingga tidak mampu menyatu padukan orang-orang Melayu yang terbelah tiga hari ini.

Akhirul kalam, saya ingin mengucapkan tahniah kepada pimpinan PERKASA Negeri Sarawak yang diketuai oleh Abang Abd. Nasser Bin Abg Hadari sebagai Yang Dipertuanya. Manakala Awg Mohamad Bin Awg Bunsu pula merupakan Timbalannya yang turut dibarisi oleh Naib Yang Dipertua 1, Ganchai Ak Jinta dan Naib Yang Dipertua II, Leornard Sepoi.

Mudah-mudahan PERKASA Negeri Sarawak dapat menjiwai perjuangan ini untuk menegakkan keadilan dan mempertahankan hak-hak keistimewaan pribumi di bumi kenyalang ini. Perkasakanlah pertubuhan ini demi nusa dan bangsa.


Friday, December 11, 2009

SHAFEI BELA RAKYAT, WEE CHOO KEONG MENCEMBURUINYA...

Lebih kurang seminggu saya tidak menulis di ruangan maya ini, malah saya juga tidak berkesempatan untuk meninjau isu-isu sensasi yang berlaku di Kuala Lumpur, terutama yang membabitkan isu-isu mutakhir dalam ruang lingkup politik tanah air di laman-laman maya pilihan saya.

(Foto - Dato' Dr. Shafei Abdullah)

Saya kini berada di Kuching Bumi Kenyalang (Sarawak) sejak 4 Disember lalu. Kebetulan pula saya menghadapi masalah teknikal dengan komputer riba yang telah menjejaskan urusan 'posting' di dalam locengwangsa sehingga menghalang saya untuk mengikuti perkembangan isu-isu semasa yang tersiar di dalam blog dan laman sesawang yang lainnya.

Hari ini saya terpanggil untuk menatap kembali komputer riba yang sudah pun dibaiki maka dapatlah saya melayari beberapa laman blog yang sering menjadi pilihan saya; diantaranya saya berkesempatan menjengah laman blog 'umnogombakselatan' yang dilihat begitu bersimpati dan membela Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Dato' Dr. Shafei Abdullah yang dikatakan telah diganyang oleh Ahli Parlimen Wangsa Maju dari PKR iaitu Wee Choo Keong (WCK) seraya melabelkan Shafei sebagai 'Mr. Political Toll' dengan melemparkan pelbagai tuduhan dan dakwaan kononnya Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan itu telah mencampuri urusan pentadbiran DBKL yang dikatakan telah menghalang kerja-kerja tindakan penguatkuasaan terhadap gerai-gerai haram di Taman Melati, begitu juga dengan sebuah restoran Rashastini di Seksyen 2 Wangsa Maju dan juga bazar malam uptown di Danau Kota.

Wee Choo Keong (Foto) dikatakan telah menempelak tindakan Shafei itu di dalam Dewan Rakyat beberapa hari yang lalu, seterusnya WCK telah menggesa agar Parlimen mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap perlakuan Setiausaha Politik Dato' Sri Najib itu yang didakwa telah memarahinya semasa beliau keluar daripada Dewan setelah mengganyang Shafei semasa beliau mengambil bahagian berbahas di dalam sidang dewan berkenaan.

Semasa saya mengunjungi Dato' Shafei di pejabatnya di Putrajaya pada 10 November lalu saya sempat bertanyakan kepada beliau tentang isu ini yang secara kebetulan telah dibangkitkan oleh Wee Choo Keong semasa membahaskan penggulungan bajet Kementerian Wilayah Persekutuan oleh Dato' Raja Nong Chik. Dalam perbahasan itu Wee telah mengemukakan pertanyaan kepada Menteri WP tentang dakwaan kononnya Setiausaha Politik PM itu telah mencampuri urusan DBKL dalam operasi penguatkuasaan di kawasan Wangsa Maju.

(Foto - Abdul Rahman Hashim (Dua dari kanan) bersama Dato' Shafei Abdullah (Dua dari kiri) di pejabat Setiausaha Politik Menteri Kewangan, di Putrajaya, 10 November 2009)

Dato' Shafei yang mendapat tahu tentang perkara ini daripada seseorang yang berada di Dewan Rakyat yang telah melaporkan kepadanya, dan beliau sempat memberikan ulasan spontannya kepada saya, dimana secara konsisten beliau telah berkata bahawa dirinya tidak akan terjebak dengan taktik kotor dan manipulasi yang dibuat oleh Ahli Parlimen Wangsa Maju itu; sebaliknya beliau berkata akan tetap meneruskan agenda pembelaan kepada rakyat di kawasan Wangsa Maju tanpa memikirkan samada Wee Choo Keong perlu bersama-samanya ataupun tidak.

Persoalannya, benarkah Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju itu telah mencampuri urusan DBKL semata-mata tindakannya itu hanya untuk memberikan pembelaan kepada penjaja yang sedang menghadapi masalah? Apakah kerja-kerja pembelaan seorang pemimpin UMNO terhadap rakyat di kawasannya yang sedang bergelut dengan masalah wajar didakwa sebagai tindakan yang salah? Jika rakyat datang mengadu dan memerlukan pertolongan daripada UMNO, tetapi tidak diindahkan pula oleh pemimpinnya, maka saya merasakan pemimpin itu bukanlah berjiwa rakyat.

Pemimpin UMNO yang tidak berjiwa rakyat akan mengakibatkan rakyat membenci dan menolak UMNO. Begitu juga jika rakyat telah muak dengan perlakuan pemimpin UMNO yang tidak peka untuk membela rakyat, saya tidak hairan jika UMNO/BN sekali lagi akan dimalukan oleh rakyat. Lebih baik pemimpin yang berjenama ini meletakkan jawatannya segera, kerana tindakan sedemikian merupakan suatu liablity kepada UMNO/BN yang sedang diipersonakan dengan slogan 'rakyat didahulukan pencapaian diutamakan'.

Secara peribadi, saya bersedia untuk mengangkat topi kepada Dato' Dr. Shafei Abdullah yang telah menampakkan kecenderungan untuk merakyatkan UMNO yang dipimpinnya. Tindakannya dengan meminta pihak DBKL supaya tidak mengambil tindakan drastik untuk merobohkan gerai-gerai sebagaimana yang didakwa oleh wakil rakyat pembangkang sebagai menghalang tugas-tugas DBKL itu telah mencerminkan kewibawaannya sebagai seorang pemimpin yang berhati rakyat yang tidak dimiliki oleh Wee Choo Keong.

Kelibat Wakil Rakyat PKR itu yang begitu resah dengan tindakan pantas yang dibuat oleh Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju membela rakyat, telah mendorong WCK menuduh pula Shafei mencampuri urusan DBKL, sedangkan apa yang dilakukan oleh Shafei bukannya kerana telah dirasuah oleh peniaga berkenaan, tetapi itu merupakan tanggungjawabnya sebagai pemimpin UMNO untuk mampastikan rakyat yang terbabit itu dapat meneruskan perniagaannya.

Wee sepatutnya tidak gembira apabila melihat rakyatnya menghadapi kesulitan untuk meneruskan perniagaan, tetapi Wee dilihat begitu tidak senang hati apabila DBKL tidak meneruskan tindakan terhadap peniaga Melayu berkenaan, sebaliknya Wee menuding jari dengan mendakwa Shafei telah cuba mencampuri urusan DBKL.

Dalam isu yang berbangkit ini, tidak sepatutnya Wee Choo Keong mendakwa DBKL seolah-olah telah tunduk dengan UMNO. Apakah Wee berpendapat DBKL tidak perlu melayani rayuan pemimpin UMNO dalam menghadapi isu prasarana rakyat? Apakah Wee merasakan DBKL hanya patut melayani rayuan-rayuan yang dibuat oleh PKR, DAP dan PAS seolah-olah Wee merasakan DBKL kini berada di dalam Pakatan Rakyat?

Walaupun BN hanya menang di Parlimen Setiawangsa, namun ia tidak bermakna Pakatan Rakyat boleh meletakkan DBKL di bawah telunjuknya sahaja. DBKL merupakan penguasa tempatan yang diurus tadbirkan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, manakala Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar diberikan tanggungjawab untuk mengkodinasikan DBKL sebagai jentera pelaksana membangunkan Kuala Lumpur sebagai sebuah Ibu Negara Malaysia.

Saya ingin mengucapkan syabas kepada Dato' Dr. Shafei Abdullah kerana telah menampilkan martabat jati diri UMNO yang kini sedang mengetuai kerajaan BN di peringkat persekutuan. UMNO mestilah bertindak mendepani segala isu rakyat dengan segala iltizam untuk mendahulukan rakyat. Persetankan sahaja apa yang dibangkitkan oleh Wakil Rakyat PKR itu, kerana Wee Choo Keong sebenarnya sedang berhadapan dengan kekuatan UMNO Wangsa Maju yang dipimpin oleh penerajunya yang begitu dekat di hati rakyat.

Semua peringkat UMNO hingga ke akar umbi haruslah memperkuatkan daya juang untuk membuktikan kepada rakyat di Wangsa Maju bahawa parti ini masih relevan dan berkeupayaan untuk menundukkan Wee Choo Keong daripada PKR di dalam PRU yang akan datang. Saya penuh yakin agenda Dato' Shafei untuk mengembalikan semula kerusi UMNO di Parlimen Wangsa Maju dalam PRU yang akan datang bakal meleburkan harapan Wee Choo Keong untuk mengekalkannya buat kali kedua.