Terlebih dahulu diucapkan tahniah kepada Datuk Dr. Zambri Kadir, (foto) ADUN Pangkor yang dilihat oleh Pak Lah sesuai untuk diangkat menjadi Menteri Besar Perak yang baru setelah melepasi pelbagai helah dan halangan untuk merampas kuasa daripada kerajaan Pakatan Rakyat yang telah diberikan mandat secara majoriti oleh rakyat negeri berkenaan di dalam PRU12 yang lalu.Datuk Dr. Zambri merupakan tokoh politik klon Anwarisme yang memiliki kelayakan yang lebih wibawa daripada Datuk Seri Tajol Rosli yang dilihat sebelum ini sebagai 'Lowbatt' sehingga UMNO ditolak oleh rakyat dengan menukar kerajaan kepada Parti Pakatan Rakyat. Datuk Seri Ir. Mohd. Nizar Jamaludin daripada PAS telah ditakdirkan terpilih menjadi Menteri Besar dari Pakatan Rakyat walaupun komposisi partinya agak kecil di Dewan Undangan Negeri Perak.
Nizar diangkat secara 'boneka' kerana undang-undang tubuh negeri Perak berkehendakkan seseorang Menteri Besar itu mestilah dari kalangan orang Melayu. Namun kerajaan yang dipilih rakyat itu hanya mampu bertahan 10 bulan sahaja setelah ianya diceroboh mengikut pintu belakang oleh UMNO, sehingga memaksa Paduka Seri Sultan Perak menitahkan Nizar meletakkan jawatannya serta merta berkuatkuasa semalam (5 Februari).
Hari ini Dr. Zambri sahabat baik Anwar Ibrahim akan dinobatkan sebagai MB Perak yang baru. Beliau pernah ditahan ISA ketika bergelut dengan pergolakan politik yang telah merebahkan Anwar dari takhta kerajaan pada masa itu. Beliau dikatakan tokoh yang dilonjakkan oleh Anwar dan sememangnya pada waktu itu Dr. Zambri bersama-sama dengan Zahid Hamidi, Saifudin Nasution (kini dalam PKR) dan beberapa tokoh yang lainnya begitu cenderung dan mirip bersimpati dengan Anwar yang telah dikonspirasikan sebegitu rupa.
Ketokohan Dr. Zambri tentunya turut dibanggai oleh Anwar, bahkan saya jua optimis bahawa Dr. Zambri mampu melakukan sentuhan yang lebih baik sekiranya beliau diberikan suntikan 'political power root' tanpa dikacau ganggu samada dari dalam mahupun dari luar partinya.
Menerajui negeri yang hanya mempunyai majoriti yang tipis, apatah lagi terdapat dua ADUN Bebas yang belum lagi menyertai UMNO yang hanya menunggu masa untuk diNyahkan akibat kes rasuah seksnya, termasuk seorang lagi ADUN Jelapang daripada DAP juga keluar daripada partinya, tetapi tidak menyertai MCA atau Gerakan, akan membuatkan kerajaan pimpinan Dr. Zambri terdedah dengan mara bahaya.

