assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Thursday, September 17, 2009

16 SEPTEMBER 2009, HARI PENUBUHAN MALAYSIA KE-46 TAHUN YANG DILUPAKAN?

Kelmarin, 16 September 2009 (1609) sepatutnya negara merayakan hari ulangtahun ke-46 'Penubuhan Malaysia', tetapi ia disepikan tanpa sebarang acara resmi untuk mengingatinya. Alangkah ruginya 'Gagasan 1Malaysia' yang dikumandangkan oleh Perdana Menteri ttetapi idak dimanfaatkan untuk mengajak segenap lapisan rakyat di negara ini agar terus mensyukurinya, kerana ianya juga selari dengan konsep 1Malaysia yang menjurus kepada ikatan satu hati tanpa mengenal ras dan anutan agama demi mencapai matlamat perpaduan yang diidamkan.

Jangan lupa, tanggal 16 September 1963 merupakan tarikh keramat yang telah mencantumkan Sabah, Sarawak dan juga Singapura bersama Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya yang kemudiannya menjadi satu negara, yang dikenali sebagai Malaysia.

Nama Malaya tidak terpakai lagi, sebaliknya sebuah nama baru yang melambangkan negara bangsa telah terbentuk yang dinamakan Malaysia.

Mulai detik itu, Malaysia merupakan sebuah negara yang berdaulat yang mengandungi 14 buah negeri yang terdiri daripada negeri-negeri berikut:-

1. Perlis
2. Kedah
3. Pulau Pinang
4. Perak
5. Selangor
6. Kelantan
7. Terengganu
8. Pahang
9. Negeri Sembilan
10. Melaka
11. Johor
12. Singapura (Keluar Malaysia pada tahun 1965)
13. Sarawak
14. Sabah

Rakyat Sabah dan Sarawak telah memperlihatkan minat mereka untuk menyertai Gagasan Malaysia setelah diadakan pungutan suara yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Cobbold. Penyertaan kedua-dua negeri dari Pulau Borneo ini ke dalam Malaysia sekaligus telah membebaskan rakyat negeri tersebut dari cengkaman penjajah. Brunei Darussalam yang dijangkakan lebih awal untuk bersama-sama di dalam Malaysia, tetapi telah menemui jalan buntu.

Singapura pula terpaksa bersetuju dengan cadangan Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj (Foto) supaya negeri itu bercantum dengan Persekutuan Tanah Melayu serentak dengan percantuman Sabah dan Sarawak, kerana situasi politik di Pulau Temasik itu begitu rencam dengan tekanan arus politik sosialis yang pro kepada komunisme.

Kekalahan PAP pimpinan Lee Kuan Yew (Foto) di dalam pilihan raya kecil Hong Lim pada penghujung April 1961 telah menggerakkan hati Tunku Abdul Rahman dan juga Tun Razak untuk menyelami hati nurani Lee Kuan Yew yang agak kecewa dengan tekanan rakyat di kawasan pilihan raya itu.

PAP dikatakan bakal ditolak oleh majoriti rakyat di Singapura jika berlaku piihan raya yang mendatang. Jika ini yang terjadi sudah tentu Singapura akan dibayangi dengan kekuasaan front sosialis yang jelas cenderung kepada aliran komunis (PKM) yang pro-China. Kemungkinan tempiasnya juga akan melanda senario politik di Tamah Melayu yang sedang bergelut dengan ancaman komunis yang digerakkan oleh gerila Parti Komunis Malaya (PKM).

Bimbang dengan kemelut ini, pada 23 April 1961, Tunku telah menjemput Lee Kuan Yew ke Kuala Lumpur untuk berbincang mengenai gagasan 'Grand Design' dan percantuman Singapura dengan Tanah Melayu.

Di dalam perbincangan itu Tunku menjelaskan tentang rancangan Malaysia. Mengikut Tunku, gagasan Malaysia akan dibentuk secara berperingkat bermula dengan percantuman Tanah Melayu dengan Brunei, Sarawak dan Borneo Utara (Sabah), kemudian akan disusuli dengan percantuman Singapura.

Lanjutan daripada itu juga, Lee Kuan Yew diarahkan supaya menyediakan kertas cadangan mengenai grand design itu yang bertajuk 'Paper on future of the Federation of Malaya and the Borneo Territories'. Kertas cadangan itu berkisar kepada kajian pro & kontra terhadap cadangan percantuman Singapura bersama Tanah Melayu termasuk kajian mendalam terhadap aspek keamanan serantau.

Kertas ini telah dimajukan kepada Tunku Abdul Rahman melalui Tun Razak. Ia mengemukakan dua alternatif dalam usaha untuk pembangunan politik bagi rantau ini. Alternatif pertama ialah setiap Wilayah akan mencapai kemerdekaan secara bersendirian, maakala alternatif kedua pula ialah ketiga-tiga Wilayah itu bercantum dalam satu gagasan yang dikenali sebagai Malaysia. Kertas itu lebih cenderung memberikan pandangan bagi alternatif yang kedua sebagai jalan terbaik bagi menyelesaikan tiga Wilayah itu.

Pada 27 Mei 1961, Tunku telah mengemukakan cadangannya secara terbuka tentang gagasan Malaysia ketika menyampaikan ucapan di Kelab Wartawan di Singapura. Menurut Tunku, sebagai satu bangsa, Malaya hari ini amat sedar bahawa dia tidak dapat berdiri sendiri dan hidup bersendirian.

Menurutnya lagi, di luar bidang politik antarabangsa, maka politik kebangsaan kita hendaklah didasarkan kepada konsep yang lebih luas. Tambahnya lagi, lambat laun Malaya akan dapat mencari persefahaman dengan British dan dengan rakyat di Wilayah Singapura, Borneo Utara (Sabah), Brunei dan Sarawak.

Ucapan Tunku ini telah menimbulkan pelbagai reaksi pro dan kontranya. Pihak British sendiri telah menunjukkan reaksinya untuk mengadakan perundingan dengan Tunku bagi mendapatkan maklumat yang lebih jelas terhadap cadangannya itu.

Pada 26 Jun 1961, telah diadakan satu mesyuarat pegawai-pegawai kanan British di Singapura yang turut disertai gabenor-gabenor British di Sarawak dan Borneo Utara (Sabah) termasuk Pesuruhjaya British di Brunei. Mesyuarat itu telah dipengerusikan oleh Lord Selkirk, dan beliau telah meminta pandangan daripada kesemua gabenor berkenaan.

Pada asasnya semua pihak yang berkaitan telah menyambut baik idea Tunku itu, kerana mereka berpendapat idea tersebut boleh menyelesaikan banyak masalah berhubung dengan masa depan Wilayah itu, kerana Wilayah Borneo dikatakan tidak berkeupayaan untuk berdiri sendiri dalam menangani masalah-masalah dalaman. Ugutan dan ancaman dari pihak Indonesia juga begitu menekan termasuk juga ancaman serta tuntutan pihak Filipina terhadap wilayah Borneo Utara (Sabah) telah mendorong ke arah merealisasikan idea Tunku itu.

Akhirnya pada 23 November 1961, kerajaan British dan Tanah Melayu telah mengeluarkan kenyataan menyokong cadangan penubuhan Malaysia. Sebuah suruhanjaya bersaama British-Tanah Melayu telah dibentuk bagi meninjau pandangan penduduk di Wilayah yang terlibat. Suruhanjaya ini lebih dikenali dengan nama 'Suruhanjaya Cobbold' kerana suruhanjaya ini telah dipengerusikan oleh Lord Cobbold.

Suruhanjaya Cobbold telah memulakan tugasnya pada bulan Februari 1962. ada 1 Ogos 1962, suruhanjaya itu telah mengeluarkan laporannya yang menyimpulkan bahawa dua pertiga daripada rakyat negeri Sarawak dan Sabah ingin menyertai Malaysia, manakala bakinya menyokong pemerintahan British. Di Singapura pula lebih 70 peratus rakyatnya telah menyokong penubuhan Malaysia.

Di dalam keghairahan rakyat di Sabah, Sarawak dan Singapura yang telah bersetuju menyertai Malaysia tetapi ianya tidak posiitif di Brunei, kerana pemberontakan yang dicetuskan oleh Parti Rakyat pimpinan A.M Azahari terhadap kerajaan British telah menjadi faktor kepada kegagalan membawa Brunei dalam Malaysia.

Pemberontakan rakyat Brunei yang tercetus pada 8 Disember 1962 telah dikaitkan dengan provokasi dan juga sokongan moral yang diberikan oleh pihak Indonesia dimana Presiden Sukarno telah membuat tanggapan yang negatif terhadap percatuman Sabah, Sarawak dan Brunei di dalam Malaysia akan memperkukuhkan lagi imperialisme British di rantau ini.

Dalam artikata lain, Presiden Sukarno telah menentang hasrat Tunku untuk membentuk gagasaan Malaysia, kerana beliau berpendapat Tunku telah diperkudakan oleh pihak British dan bakal mengancam kedaulatan Wilayah Indonesia.

Kondisi tidak senang Presiden Sukarno terhadap penubuhan Malaysia ini telah menimbulkan suanana menjadi lebih tegang di antara Tanah Melayu dengan Indonesia, dan ianya telah mengundang kepada 'konfrontasi Ganyang Malaysia' atau KOGAM oleh pihak Indonesia.

Wilayah-wilayah di negeri Sarawak dan juga di selatan Sabah telah menjadi sasaran serangan oleh Tentera Nasional Kalimantan Utara (TNKU) yang disokong oleh kerajaan Indonesia. TNKU telah dibekalkan persenjataan yang lengkap serta memberikan latihan gerila kepada pihak-pihak yang melakukan pemberontakan di Sarawak, Sabah dan juga di Brunei, termasuk mempersenjatai gerila komunis PARAKU di Sarawak terutamanya.

Walaupun gagasan Malaysia telah berjaya diisytiharkan pada 16 September 1963, namun Presiden Sukarno dari Indonesia tetap dengan pendiriannya untuk mengganyang Malaysia. Akibatnya banyak wilayah-wilayah Malaysia terutamanya di Sarawak telah diserang oleh TNKU. Pihak komunis PARAKU pimpinan Bong Kee Chok telah diperkuatkan untuk membarakan lagi penentangan rakyat Sarawak terhadap gagasan Malaysia.

Balai polis Tebedu di Sarawak yang bersempadan dengan Kalimantan Barat telah diserang oleh TNKU pada 12 April 1963 sehingga mengorbankan nyawa dan mencederakan ramai anggota polis tempatan yang bertugas. Rumah panjang penduduk kaum bidayuh di Kampung Mongkos dan di Kampung Bunan Gega yang bersempadan dengan Kalimantan Barat juga telah diserang oleh TNKU sebanyak tiga kali.

Kesan-kesan serangan TNKU itu masih boleh dilihat di Balai Polis yang terletak di Bukit Pego, di Tebedu, Sarawak; dan juga di rumah panjang Kampung Mongkos yang terletak di dalam daerah Serian, di Sarawak.

Saya sendiri telah berkesempatan ke lokasi ini ketika membuat asigment menyiapkan buku Memoir Skuad 69 PDRM Edisi Sarawak pada tahun 2006 yang lalu. Di Kampung Mongkos, saya sendiri telah menemu bual beberapa orang lama yang pernah berhadapan dengan serangan TNKU pada tahun 1963. Kesan-kesan peluru di bahagian dinding rumah panjang itu masih diabadikan.

Begitu juga kesan-kesan peluru di pintu pagar Balai Polis Tebedu (Balai lama) di Bukit Pego, Tebedu masih boleh dilihat. Balai polis Tebedu yang baru kini telah dipindahkan di sebuah lokasi baru sebagai menggantikan balai lama di Bukit Pego.

Sebenarnya banyak lagi wilayah-wilayah Malaysia di Sarawak yiang menjadi mangsa serangan TNKU yang dibantu oleh komunis PARAKU. Tekanan yang diberikan oleh Regim Sukarno terhadap Malaysia benar-benar telah memberi impak yang besar terhada kestabilan di rantau ini. Parti Komunis Indonesia (PKI) begitu berpengaruh di dalam regim Sukarno sehingga negara serumpun ini terjebak dengan pertelingkahan yang melemahkan kekuatan yang tidak melambangkan kebijaksanaa untuk berhadapan dengan imperialisme.

Demikianlah memori lampau yang dapat saya coretkan sedikit sebagai mengenang kembali perjuangan untuk menegakkan sebuah negara bangsa yang bernama MALAYSIA. Sebagai sebuah negara yang berdaulat, setiap rakyat di negara ini haruslah merasa bangga dengan pembentukan Malaysia yang diperjuangkan oleh Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj.

Walaupun Laut China Selatan telah menjarakkan Sabah dan Sarawak daripada tanah semenanjung, namun kita telah disebatikan dengan ikatan perpaduan sejagat menerusi gagasan satu negara yang menjadikan Malaysia semakin maju ke hadapan. Peristiwa lampau yang mencuit hati janganlah dijadikan alasan untuk memisahkan negeri-negeri yang berada di Pulau Borneo dengan negeri-negeri yang berada di tanah semenanjung.

Konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh pimpinan negara sewajarnyalah tidak hanya manis di bibir tetapi biarlah ianya menjadi slogan sakti yang menjadikan negara ini terus diperkuatkaqn dengan kesatuan rakyatnya tanpa mengira anutan agama dan juga anutan parti-parti politik. Perbezaan fahaman politik janganlah sampai kita terlupa bahawa kita sebenarnya adalah sewarga yang berjenama Malaysia.