assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Monday, August 18, 2008

Zulhasnan tiada tandingan, Shuib dahului 24 pencalonan Timbalan Ketua Bahagian, Halim pula 20 pencalonan.

Setelah 46 cawangan yang telah bersidang sehingga 17 Ogos lalu, jelas terbukti kekuatan Zulhasnan Rafique mendominasi pencalonan jawatan Ketua Bahagian Setiawangsa. Setakat ini dua cawangan sahaja lagi yang belum menyempurnakan persidangannya, dan dijangkakan UMNO Cawangan Dataran Sg. Bonus akan bersidang pada Rabu ini, 20 Ogos 2008 juga akan mengekalkan Dato' Sri Zulhasnan Rafique sebagai Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa untuk musm ini.

Sementara itu bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian, penyandangnya Dato' Halim Samad yang disebut-sebut akan memperolehi 27 pencalonan, tetapi hanya dicalonkan oleh 20 buah cawangan sahaja. Manakala, Shuib Ibrahim yang pernah membantu Halim memenangi jawatan ini pada musim lalu, telah melonjakkan jumlah pencalonannya untuk menentang Dato' Halim Samad dengan memperolehi 24 pencalonan kesemuanya.


Pak Ngah Bakar bersedia calonkan Shuib

Hampir pasti Shuib akan memperolehi satu lagi pencalonan terakhir untuknya menjadikan 25 pencalonan yang bakal diterimanya. Cawangan berkenaan yang akan mencalonkan beliau nanti ialah UMNO Cawangan Dataran Sg. Bonus yang diketuai oleh Abu Bakar Ismail (Gambar). Beliau yang ditemui baru-baru ini telah menyatakan kesediaannya untuk mencalonkan Shuib menentang Dato' Halim Samad bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian.

Seorang lagi calon yang hanya mendapat dua pencalonan bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian ialah Dato' Izudin Ishak yang dilihat kehampaan untuk menerjah kelayakan bertanding bagi jawatan nombor dua itu. Sebaliknya beliau hanya akan menumpukan cabaran untuk bertanding bagi jawatan Naib Ketua Bahagian bersama-sama dengan 4 calon lain yang juga layak bertanding.

Empat calon lain yang telah bersiap sedia itu ialah Kapten (B) Rafli Jusoh (Penyandang), Dato' Ahmad Fauzi Zahari, Ahmad Yamin Dato' Rahim dan Zainal Tan Sri Mahmud. Namun begitu difahamkan penyandang jawatan ini Kapten (B) Rafli Jusoh akan menarik diri dari sirkit pertandingan di musim ini untuk menumpukan sokongannya kepada Izudin Ishak yang dikatakan mendapat restu daripada UMNO Cawangan Seksyen 5 Wangsa Maju.

Zainal Tan Sri Mahmud pula telah memperolehi pencalonan yang mencukupi minggu ini, kerana tiga cawangan yang bersidang pada 16 & 17 Ogos lalu telah mencalonkan dirinya bagi jawatan Naib Ketua Bahagian. Tiga cawangan tersebut ialah UMNO Cawangan Bukit Wangsa, UMNO Cawangan Bukit Setiawangsa, iaitu cawangannya sendiri dan UMNO Cawangan Kg. Semarak. Sebelum ini terdapat dua cawangan telah memberikan perncalonan kepada beliau iaitu daripada Cawangan Seksyen 10 Wangsa Maju dan juga UMNO Cawangan Kelumpuk Bunga Raya.

Sehingga ini, Dato' Fauzi yang mendapat 18 pencalonan merupakan calon yang telah mendahului dari segi jumlah pencalonannya, jika dibandingkan dengan Ahmad Yamin yang memperolehi 10 pencalonan, diikuti dengan Dato' Izudin Ishak yang mendapat 9 pencalonan, Zainal Tan Sri Mahmud 5 pencalonan dan juga Kapten (B) Rafli Jusoh yang mendapat 5 pencalonan.


Sokongan merudum

Sementara itu, Dato' Ahmad Fauzi tidak lagi berada dalam kedudukan selesa, kerana beliau dikatakan terpaksa menerima kesan tempias penolakan beberapa cawangan yang dahulunya menyokong Dato' Halim Samad sebagai Timbalan Ketua Bahagian, tetapi tidak di musim ini. Sokongan merudum yang diterima oleh Halim di penghujung musim persidangan cawangan kali ini juga menyaksikan gandingan rapuh mereka berdua.

Dalam artikata lain Dato' Fauzi tidak boleh terlalu mengharap dengan gerak kerja yang dilakukan oleh pecacai-pecacai Dato' Halim yang juga dilihat cenderong menyokong calon-calon tertentu di peringkat Naib Ketua Bahagian. Begitu juga kemunculan Zainal Mahmud dan Dato' Izudin yang akan bertanding bagi jawatan ini juga dikatakan bakal meragut banyak jumlah undi yang sepatutnya diperolehi oleh Dato' Fauzi.

Kesan yang sama juga bakal dialami oleh Dato' Halim Samad yang akan ditentang oleh Shuib Ibrahim bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian. Dato' Halim Samad dilihat tidak boleh terlalu bergantung dengan pengaruh Dato' Fauzi yang dilihat semakin tohor. Dato' Fauzi juga dikatakan terpaksa berhempas pulas untuk melepasi halangan yang dihadapinya daripada terus memikirkan kedudukan Dato' Halim yang terus merudum.


Kak Ani bakal ditentang

Faktor Pergerakan Wanita, Pemuda dan juga Puteri juga dilihat saling mempengaruhi apabila memperkatakan kehangatan pertandingan di peringkat Timbalan Ketua Bahagian. Faktor Kak Ani dilihat lebih cenderong kepada Dato' Halim juga memberikan impak kepada mereka yang bertanding Timbalan Ketua Bahagian.

Kak Ani yang sebelum ini tidak pernah menghadapi tentangan, tetapi kali ini beliau menjadi cacing kepanasan apabila Raihana telah mencukupi pencalonan untuk menentang Ani, dan Raihana pula dikatakan calon proksi kepada Shuib Ibrahim yang bertanding jawatan Timbalan Ketua Bahagian.


Dato' Halim berang Wani sokong Shuib

Bagitu juga dengan Pergerakan Puteri, Dato' Halim Samad dilihat begitu berang kerana Seri Wani yang mendahului pencalonan Ketua Puteri dikatakan lebih mirip menyokong Shuib Ibrahim untuk menentang Dato' Halim Samad bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian. Siti Fatimah pula yang diharapkan untuk menjadi orang kuat Dato' Halim Samad kini berjaya melepasi kelayakan apabila memperolehi 3 pencalonan untuk menentang Seri Wani bagi jawatan Ketua Puteri Bahagian.

Lebih mengelirukan Dato' Halim apabila Cawangan Kelumpuk Bunga Raya mencalonkan Siti Fatimah sebagai Ketua Puteri Bahagian, sedangkan Ketua Cawangan ini Rosli Mohammad dikatakan tidak begitu berminat untuk menyokong Dato' Halim Samad bertandiing jawatan Timbalan Ketua Bahagian. Tentunya ada muslihat disebalik pencalonan cawangan ini terhadap Siti Fatimah yang kini dilihat semakin cenderong untuk menyokong Shuib Ibrahim. Seri Wani yang dilihat semakin dominan mengetuai Pergerakan Puteri dituduh pula sebagai P'ro Halim' supaya Wani dipinggirkan dari kelompok Pro Shuib.