assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Thursday, December 29, 2011

JIKA ANWAR TIDAK DIPENJARAKAN UMNO AKAN HABIS - KU LI

Khabarnya, muafakat politik Anwar & Ku Li semakin intim?
Kedua-duanya bercita-cita besar menjadi PM...

Oleh Abdul Rahman Hashim

Tengku Razaleigh Hamzah, Ahli Parlimen Gua Musang semenjak 1974 yang juga Ketua UMNO Bahagian itu menjangkakan Anwar Ibrahim akan dipenjarakan, kerana menurutnya jika Anwar tidak dipenjarakan UMNO akan habis dalam PRU13 yang akan datang.

"Sekarang Anwar sedang menjadi dilema kepada Najib. Ini mengikut lojik yang kita lihat.Saya yakin Anwar akan masuk penjara. Kalau Anwar bebas UMNO akan habis. Tidak dapat tidak Anwar akan dipenjara", demikian komen Ku Li.

Tengku Razaleigh Hamzah juga meramalkan dalam pilihanraya umum ke 13 yang akan datang UMNO akan menerima kekalahan lagi. Menurutnya pengundi bukan Melayu didapati semakin menjauhkan diri dari Barisan Nasional.

Beliau juga berkata ada kemungkinan Barisan Nasional dan juga Pakatan Rakyat tidak memiliki majoriti yang meyakinkan. Bila terjadi sedemikian, katanya negara kita mungkin menghadapi krisis.

Menurut Ku Li, hampir 90% peratus pengundi China bersedia untuk mengundi Pakatan Rakyat. Ada pengundi India yang telah kembali menyokong Barisan Nasional, tetapi majoriti masih bersama Pakatan Rakyat. Pengundi Melayu pula kini terbahagi kepada dua.


Ku Li, yang juga bekas Menteri Kewangan Malaysia, menganggap pentabiran di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak ini amat lemah dan tidak memahami krisis ekonomi global yang sedang melanda dunia sekarang.


Mengikut Ku Li pentabiran sekarang ini selalu berdolak-dalik atau flip flop apabila mengemukakan sesuatu dasar. Dasar sorong tarik ini terjadi kerana ianya tidak difikirkan secara masak terlebih dahulu.


Ku Li, seorang bekas penuntut Malay College Kuala Kangsar (MCKK), berkata demikian dalam satu majlis makan tengah hari bersama beberapa orang murid tua MCKK minggu lalu.


Mengenai isu hak royalti minyak, Ku Li dengan tegas menyatakan bahawa perjanjian antara Petronas dengan negeri-negeri jelas disebutkan sebagai hak royalti dan tidak ada fasal yang menyebut wang ehsan.


Malah Ku Li amat berbangga kerana beliau sebagai Pengerusi Petronas 1974 telah bertanggung jawab membuat butiran perjanjian minyak ini atas arahan Tun Abdul Razak.


"Walaupun perjanjian ini dalam bahasa hukum-hakam tetapi amat jelas Petronas wajib memberi 5% kepada negeri dimana minyak ditemui."

Mengulas mengenai Tun Dr. Mahathir beliau berkata bahawa Mahathir ini bukanlah cerdik sangat. Dia selalu menjalankan dasar 'ad hoc'. Selalu mencuri idea dan pandangan orang lain dan mengakui sebagai haknya.

"Dia curi lah!. Saya selalu melihat dia 'playing to the gallery'," kata Ku Li, menerangkan pandangan dan pengalaman beliau selama 5 tahun bersama Mahathir Mohamad sebagai menteri.

Ku Li juga merumuskan bahawa pentabiran pimpinan Najib Razak kebelakangan ini bukan sahaja lemah malah dalam keadaan yang huru hara. Mengikut pandangan Ku Li, Najib Razak sebagai Presiden UMNO terlepas peluang yang amat besar di Perhimpunan Agong UMNO yang baru berlangsung. Ketika mata dan telinga seluruh negara berpusat memandang ke PWTC, Najib tidak melakukan apa-apa terhadap Shahrizat.

"Shahrizat sepatutnya dibuang. Termasuk beberapa orang menteri yang nama mereka telah busuk ditelinga orang ramai. Tetapi Najib senyap membisu," katanya.

Wednesday, December 28, 2011

MAMPUKAH PAKATAN RAKYAT RAMPAS SETIAWANGSA?

Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi Badan Perhubungan
UMNO Wilayah Persekutuan ketika merasmikan
Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Setiawangsa


Oleh Abdul Rahman Hashim

Apabila terbaca akhbar Sinar hari ini (28 Disember 2011), saya rasa terpanggil untuk membuat ulasan mengenai kenyataan yang dibuat oleh Teresa Kok (DAP) dan Nurul Izzah (PKR) yang cuba meyakinkan diri mereka untuk menawan kerusi BN di Parlimen Setiawangsa menjelang PRU13. Kedua-dua tokoh Pakatan Rakyat ini optimis untuk mengekalkan semua kerusi yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur termasuk untuk menawan Setiawangsa yang dimenangi oleh Dato' Sri Zulhasnan Rafique daripada BN.

Saya tidak terkejut dengan kenyataan ini kerana mereka juga berhak untuk menzahirkan keyakinan untuk memenangi kerusi-kerusi berkenaan, namun saya agak musykil apabila mereka menyatakan keyakinan untuk menawan kerusi Parlimen Setiawangsa. Apakah terlalu mudah untuk menjatuhkan Dato' Sri Zulhasnan Rafique yang telah mencipta hatrik menang tiga kali berturut-turut untuk dirinya sejak pilihan raya 1999, pilihan raya 2004 dan juga pilihan raya 2008.

Kemungkinan mereka telah mencongak bahawa populariti Zulhasnan Rafique kian menurun setelah dirinya tidak lagi menjawat jawatan Menteri dalam kabinet Dato' Sri Najib Tun Razak. Dalam pilihan raya umum 2008 yang lalu, Zulhasnan dikejutkan kerana menghadapi 'kekalahan di dalam menang' akibat kemerosotan undi popular di beberapa peti undi terutama di kawasan majoriti pengundi bukan Melayu dan juga saluran golongan 'Y'.

BN di Parlimen Setiawangsa bernasib baik hanya mencipta kemenangan setelah sebilangan besar undi pos di situ telah memihak kepada Zulhasnan. Zulhasnan berjaya diselamatkan waalaupun rakan-rakan incumbentnya di Lembah Pantai, Titiwangsa, Batu, Bandar Tun Razak, Segambut dan Wangsa Maju tertewas secara mengejut. Manakala kerusi-kerusi tegar DAP seperti di Bukit Bintang, Seputih, Kepong dan Cheras terus didominasi oleh mereka. Pakatan Rakyat nampaknya masih belum mampu untuk menembusi Putrajaya dan juga Labuan.

BN hanya berpuas hati memenangi tiga kerusi parlimen daripada 13 kerusi yang dipertaruhkan di Wilayah Persekutuan. Jika Wilayah Persekutuan dianggap sebagai sebuah 'negeri' tentunya negeri ini adalah negeri keenam yang jatuh ke tangan Pakatan Rakyat selepas Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor dan juga Kelantan.

Teresa Kok tidak berani menyebut untuk menawan Putrajaya dan Labuan, mungkin mereka mencongak agak sukar Pakatan Rakyat untuk menang di sana. Persoalan yang timbul ialah kenapa mereka begitu yakin untuk menawan Setiawangsa? Apakah mereka yakin dengan pertambahan mendadak pengundi-pengundi baru yang mereka lakukan di Setiawangsa akan memungkinkan berpihak kepada mereka? Mungkinkah mereka beranggapan jika BN terus mengekalkan Zulhasnan lagi akan menjadi lebih mudah untuk mereka menawan Setiawangsa?

Sebenarnya bukanlah kerja mudah untuk Pakatan Rakyat menerobos Setiawangsa kerana Setiawangsa adalah 'winnable area' kepada BN. Seimbas lalu warga UMNO Setiawangsa dilihat masih konsisten berkehendakkan Zulhasnan Rafique, walaupun terdapat beberapa tokoh lain yang turut berminat untuk menjadi winnable candidate menyaingi kehebatan penyandangnya.

Dalam blogg ini, saya pernah menyebutkan tedapat tokoh-tokoh lain yang boleh disenarai pendekkan untuk menjadi winnable candidate di Setiawangsa sekiranya ada kecenderungan pucuk pimpinan untuk menggantikan Zulhasnan. Di antara calon-calon yang boleh di ketengahkan adalah seperti Dato' Halim Samad, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa, begitu juga dengan Dato' Ahmad Fauzi Zahari, Naib Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa. Kedua-dua tokoh ini mungkin di dalam senarai pendek di samping nama-nama lain yang tidak boleh diperkecilkan seperti Hairunnisha Ismail, Ketua Wanita UMNO Bahagian Setiawangsa, Azmi Badaruddin, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Setiawangsa dan juga Seriwani Sabtu, Ketua Puteri UMNO Bahagian Setiawangsa.

Kemunculan nama Datuk Astaman Abdul Aziz yang ditonjolkan oleh pihak tertentu di dalam UMNO Bahagian Setiawangsa juga bakal merancakkan lagi teka teki tentang siapakah yang lebih baik untuk menjadi winnable candidate di Parlimen Setiawangsa. Namun saya berpendapat siapa juga yang dikehendaki oleh pucuk pimpinan untuk menjadi calon BN, UMNO Bahagian Setiawangsa yang diterajui oleh Zulhasnan Rafique tidak mempunyai masalah untuk kerahan tenaga memenangkan BN.

Saya sendiri begitu mengenali tokoh-tokoh yang dinyatakan itu. Mereka bukanlah pengkhianat parti, mereka juga bukan 'musang berbulu ayam' dan bukan juga 'telunjuk lurus kelingking berkait'. Saya tak nampak kelibat nama-nama itu yang boleh merisaukan parti, kerana mereka tidak terjebak dengan kerja politik kotor yang dibenci oleh sebahagian daripada orang umno di Setiawangsa, malah Dato' Sri Zulhasnan, Dato' Halim, Dato' Fauzi, Kak Ani, Azmi dan Seriwani termasuk juga dengan Astaman mereka bukanlah tokoh politik yang berkecenderungan untuk menjurangkan permusuhan sesama sendiri, cuma kadang-kadang mereka dimusuhi oleh pihak-pihak tertentu yang telunjuk lurus kelingking berkait yang hidup di dalam unggun api permusuhan dan juga persengketaan.

Pakatan Rakyat bukanlah begitu kuat di Setiawangsa. Parti DAP, PAS dan juga PKR tidak banyak menubuhkan cawangan-cawangan atau cabang-cabangnya di kawasan parlimen ini jika dibandingkan dengan 48 buah cawangan UMNO di Bahagian Setiawangsa. Harus diingat, bahawa sokongan yang mereka perolehi di dalam PRU lepas adalah undi protes daripada sejumlah pengundi akibat sentimen isu-isu nasional yang bertempias di seluruh negara.

Jika dilihat peratusan pengundi di Setiawangsa, jelas terlihat bahawa pengundi Melayu masih menguasai dari segi peratusannya. UMNO kena bekerja keras untuk memikat hati pengundi-pengundi Melayu ini supaya jangan berganjak lagi untuk terus menyokong BN. Gerak kerja yang ditunjukkan oleh Wanita UMNO yang turut digerakkan oleh Puteri dan juga Pemuda UMNO di Setiawangsa janganlah diganggu lagi dengan karenah politikus tertentu yang sibuk dengan adu domba dan agenda membenci sesama sendiri sehingga menjadikan sebahagian daripada orang UMNO yang tidak disukai sebagai musuh serangannya.

Golongan parasit UMNO ini yang menggemari politik permusuhan sehingga membawa kepada perpecahan sesama sendiri hendaklah dijauhi oleh pencinta UMNO Setiawangsa, kerana mereka ini menjadi lebih berbahaya daripada pembangkang. Perbuatan iri hati, hasad dengki, cantas mencantasi dan memandang rendah orang yang tidak disukainya akan mengakibatkan kekuatan UMNO menjadi lemah.

Jika kerakusan ini tidak dibanteras dan semakin membarah, sudah pasti UMNO akan berhadapan dengan masalah untuk membereskan kerjanya. Namun begitu saya tetap yakin bahawa gelagat si musang berbulu ayam ini bukanlah ramai sangat di Setiawangsa, jikalau ada pun saya tidak fikir semua orang-orang UMNO Setiawangsa bersetuju untuk bersekongkol menjadi musang yang berbulu ayam ini.

Kepada Teresa Kok dan juga Nurul Izzah disarankan agar mereka tidak dibuai mimpi dengan provokasi murahan untuk menawan kerusi Parlimen Setiawangsa. Nurul Izzah sendiri dijangka akan menerima saingan yang hebat daripada Dato' Raja Nong Chik yang mungkin menjadi calon BN menentangnya di Lembah Pantai dalam PRU13 nanti. UMNO Setiawangsa pula jangan memperlekehkan kenyataan yang dibuat oleh Teresa Kok dan Nurul Izzah itu, kerana di dalam politik kita sering tersasar dan tersilap jangkaan. Namun begitu saya tetap yakin walaupun wujudnya pemegang watak 'si musang berbulu ayam' dan mereka yang berkelakuan 'telunjuk lurus kelingking berkait' di dalam UMNO Setiawangsa, namun ianya bukanlah menjadi faktor yang kuat sehingga boleh melemah dan menumbangkan Barisan Nasional di Setiawangsa.

Berdasarkan kepada kesiapsiagaan jentera pilihan raya BN Setiawangsa yang telah dibentuk, saya yakin UMNO/BN di Bahagian ini tidak mempunyai banyak masalah untuk menggemblengkan kekuatannya menggempur pihak lawan. Itu pun jika tidak berlaku unsur-unsur penyisihan dan sabotaj pihak tertentu yang mahukan telunjuknya diikuti sehingga mengenepikan hasrat sebenar Dato' Sri Zulhasnan yang mahukan jentera ini merangkumi semua pihak.

Namun begitu saya lebih yakin, tidak semuanya akan terjebak dengan kerangka jahat yang dicipta oleh si musang berbulu ayam ini. Lagi pun golongan ini bukanlah mendominasi UMNO Bahagian Setiawangsa, kerana saya turut tak percaya apakah Dato' Sri Zulhasnan juga terperangkap dengan permainan kotor yang sedang berlaku.

Monday, December 19, 2011

MAHATHIR & ANWAR DITUDUH PEMBOHONG?

Mahathir & Anwar dituduh berbohong?

Oleh Abdul Rahman Hashim

Anwar Ibrahim dituduh berbohong oleh orang UMNO apabila rancangannya untuk menawan Putrajaya pada 16 September 2009 tidak berjaya menjadi kenyataan. Sekarang ini orang-orang PKR pula mendakwa Tun Dr. Mahathir Mohamad berbohong (tidak bercakap benar) kerana mereka mendakwa mantan Perdana Menteri itu telah membuat pinjaman kepada Bank Dunia bagi menangani kemelut krisis kewangan 1997/1998, walaupun beliau dilihat amat membenci IMF.

Kedua-dua tokoh ini pernah menjadi Perdana Menteri dan juga Timbalan Perdana Menteri, malah kedua-duanya juga pernah menjadi Menteri Kewangan. Kini kedua-dua mantan pemimpin UMNO itu telah dicap sebagai pembohong oleh musuh-musuh politik mereka.

Semasa Anwar di dalam kerajaan tidak ada pun yang berani mendakwa beliau berbohong walaupun pembohongan politik tetap wujud dan lazim berlaku kepada orang-orang politik. Dr. Mahathir juga mungkin tidak terlepas daripada melakukan pembohongan politik, kerana mungkin pembohongan yang dilakukan itu adalah sebahagian daripada strategi untuk berhadapan dengan musuh politiknya.

Apabila kita enggan mendedahkan sesuatu yang menjadi rahsia/sulit, maka kita mungkin terpaksa berbohong kerana ia adalah strategi yang tidak boleh didedahkan. Dalam hal ini, para wartawan sering berhadapan dengan pembohonganp-pembohongan politik yang menyebabkan mereka keliru samada kenyataan sang pemimpin itu boleh dipercayai.

Tun Dr. Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri sering juga memberikan reaksi balas yang tidak tepat kepada wartawan apabila disoal tentang kerahsiaan strategi politiknya dalam menghadapi kemelut atau isu-isu politik yang melanda UMNO dan juga kerajaan. Kadangkala beliau terpaksa berbohong walaupun maklumat kerahsiaan itu telah dihidu oleh pihak media.

Contohnya beliau terpaksa berbohong tentang kerahsiaan tarikh untuk membubarkan parlimen, kadang-kadang terpaksa juga bercakap tidak benar tentang maklumat rombakan kabinetnya apabila ia diketahui oleh pihak media. Dr. Mahathir dilihat tidak suka maklumat strateginya diketahui oleh pihak lain, walaupun maklumat itu bukannya pembohongan.

Melanjutkan lagi tentang isu pembohongan ini, Dato' Sri Najib Tun Razak, Perdana Menteri sekarang ini juga tidak terlepas dari dakwaan oleh pihak tertentu sebagai 'pembohong'. Pada 16 September 2011, Najib mengumumkan akan menghapuskan akta ISA, namun beliau dituduh sebagai pembohong kerana terus melakukan tangkapan terhadap 10 orang di Sabah di bawah akta yang sama setelah beliau merasakan akta ISA masih diperlukan untuk keselamatan negara.
Mungkin beliau mempunyai alasan yang konkrit untuk berbuat demikian, namun musuh politiknya akan mencanangkan bahawa Najib adalah PM pembohong.

Mengandaikan bahawa Anwar adalah pembohong terbesar di dunia semata-mata tidak berjaya menunaikan hasratnya untuk menawan Putrajaya pada 16 September 2009 lalu, itu juga adalah taktik beliau untuk membuatkan UMNO/BN terus menggelabah. Akibat provokasi politik yang dianggap sebagai satu pembohongan oleh orang-orang UMNO itu, mengapa pula pihak BN dilihat seakan-akan mempercyaianya? Jikalaulah itu sebagai pembohongan, rasanya tak payahlah pihak kerajaan BN pergi menghantar lebih daripada 30 orang ahli-ahli parlimennya ke Taiwan pada masa itu semata untuk mengelakkan sebahagian daripada mereka itu keluar parti meninggalkan BN.

Bukankah kita telah tertipu dengan dakwaan pembohongan kita terhadap Anwar? Mungkin Anwar tidak berbohong, cuma perancangannya sahaja tidak kesampaian dan berkecai. Dalam hal ini, kita telah bertindak lebih pantas kerana terhidu dengan dakwaan bahawa Anwar telah membohongi kita! Persoalannya, kenapa UMNO/BN harus tertipu dengan kelicikan politik Anwar, lantas kita telah melabelkan Anwar seorang pembohong? Lain kali sebelum kita menuding orang lain sebagai pembohong, kita juga harus pastikan bahawa semua orang UMNO bukanlah pembohong dan yang afdal ialah kita jangan memohongi rakyat.

Jika kita bertekad untuk mendahulukan rakyat, kita mesti bersama-sama dengan rakyat jelata bukannya sekadar retorik politik membohongi mereka. Apakah kita yakin bahawa orang UMNO berada dalam posisi yang tidak berbohong? Jika kita tidak mahu rakyat mendakwa kita sebagai pembohong, maka jangan sekali-kali kita berbohong dengan mereka. Dengan menuding bahawa Anwar sebagai pembohong, kita juga terkedu kerana mereka semakin berani mendakwa Tun Dr. Mahathir juga telah berbohong.


Sunday, December 11, 2011

HARAP-HARAP UTUSAN MALAYSIA BUKAN JADI LIABILITI UMNO?

Jika Anwar dilucahkan, bimbang Najib yang memikul beban?

Oleh Abdul Rahman Hashim

Kenapa sejak dua menjak ini akhbar Utusan Malaysia begitu asyik maksyuk untuk memberikan publisiti kepada PAS yang pernah di sepak terajang sebelum ini? Agaknya Utusan, akhbar milik UMNO ini terlupa bahawa parti PAS adalah musuh UMNO yang pernah diserangnya sehingga menimbulkan kegelisahan pemimpin-pemimpin parti Islam itu, lalu mereka merasakan akhbar utusan benar-benar telah menjadi tali barut UMNO. Kadang-kadang serangan melampau utusan terhadap PAS menyebabkan ramai pembacanya beralih arah kerana meluat dengan gaya hantukan yang menyebabkan Melayu sesama sendiri berkecamuk?

Menyingkap seimbas lalu kronologi akhbar utusan menyerang PAS, bagaikan kita tidak mempercayainya sekarang ini utusan telah menukar kiblat menjadi agen publisiti kepada parti itu. Jika utusan mengharapkan perkahwinan antara PAS dan UMNO boleh menjadi kenyataan, biarlah utusan tidak hanya memberikan kredit mileage kepada Hasan Ali sahaja, sebaliknya utusan kena juga pastikan mereka tidak lagi menghina Mursyidul Am PAS, utusan juga kena tarik brek tidak lagi menerkam Mat Sabu yang pernah dimalukan oleh akhbar milik UMNO itu, mungkin juga Mat Sabu boleh bertukar fikiran menarik balik hasratnya untuk meneruskan samannya terhadap utusan.

Hasan Ali dikambing hitamkan?

Saya memang banyak kenalan di utusan itu, malah saya mengenali juga Dato' Zaini Hassan editor kanan utusan yang banyak mencetuskan kontroversi perkahwinan PAS & UMNO yang melibatkan Hasan Ali. Saya tidak hairan Zaini Hassan bersikap sedemikian, kerana utusan itu bukan dia punya...dia hanya menjadi pengarang yang disuruh begitu. Kalau tak disuruh begitu pun, dia kena jadi begitu, baru sesuai menjadi Pengarang akhbar Utusan Malaysia.

Kalau dia mengambil sikap berpihak kepada PAS, itu yang boleh dipoersoalkan. Tetapi sekarang ini Utusan Malaysia nampaknya lebih mesra PAS, kerana Zaini sedang berusaha untuk mempengaruhi Hasan Ali supaya PAS dapat dikahwinkan dengan UMNO! Mungkin Zaini tahu bahawa Hasan Ali tak boleh buat apa-apa, sebab Hasan Ali bukan lagi di dalam hirarki parti yang begitu berpengaruh untuk berbuat demikian.

Namun begitu utusan dilihat mempunyai agenda politik untuk meretakkan jalinan kepimpinan di dalam PAS dengan mengkambing hitamkan Dr. Hasan Ali. Saya tak terfikir utusan sanggup melonjakkan PAS sebagai pencetus kepada perpaduan Melayu, kerana UMNO telah diwajahkan oleh utusan sebagai mendahulukan Melayu berbanding PAS yang mendahulukan Islam. Oleh kerana itu tidak sewajarnya utusan bercakap soal perpaduan PAS dan UMNO, sedangkan sentimen menghina pemimpin PAS yang lain masih malar segar di dalam bentuk pemberitaan yang lainnya.

Macamana hendak mencantumkan PAS dan UMNO, jika utusan masih berwatak batu api sehingga Hasan Ali yang dipujanya kini menjadi mangsa kambing hitam, dan PAS kelihatannya tidak teruja dengan formula yang dibuat oleh utusan.

Saya tidak mahu mengheret emosi meluat dan meloya saya kepada pemberitaan utusan ini. Cuma saya merasakan utusan kini bukan lagi seperti perjuangan Utusan Melayu pada zaman-zaman Melayu dihimpit dengan kolonialisme atau imperialisme sebelum Melayu dimerdekakan. Utusan Malaysia pada hari ini menjelikkan malah kadang-kadang melucahkan kerana ia hanya menjadi utusan kepada Sang Batu Api sehingga Melayu PAS dan Melayu UMNO menjadi mangsa kepada bahang percikan api yang dicetuskan oleh Utusan. Menghina Anwar...memang tak boleh dinafikan sehingga utusan tanpa silu-silu lagi menjadi juara mengaibkan orang lain, walaupun Islam melarangnya.

Utusan dipornokan....utusan melucahkan

Gaya Utusan membela PAS?

Jika DAP terkeliru terhadap hukum hudud Islam, akhbar utusan tanpa berlengah lagi membesar-besarkan unggun api supaya menimbulkan kebencian masyarakat Islam terhadapnya, tetapi apablia MCA pula menghina hukum Islam, utusan mendiamkan diri tidak seperti kutukan dewatanya terhadap DAP. Walaupun MCA itu adalah rakan karib UMNO, tetapi tidak adil jika MCA dilayan lebih mulia daripada PAS yang lebih Islam daripada MCA. Nampaknya utusan telah memperlihatkan gayanya yang sebenar saling tak tumpah persis akhbar nyamuk yang lainnya. Kadang-kadang berdesing juga telinga saya apabila ada yang berkata akhbar utusan hanya menjadi barua....penabur fitnah!

Harap-harap Utusan Malaysia tidak menjadi beban kepada UMNO untuk mengembalikan semula majoriti 2/3 dalam PRU13 nanti.



Wednesday, December 7, 2011

HASAN ALI LEBIH LAYAK JADI MB SELANGOR DARI NOH OMAR?

Utusan lebih menonjolkan Hasan Ali dari Noh Omar

Oleh Abdul Rahman Hashim
Utusan kata Dr. Hasan Ali boleh menjadi penyelamat kepada orang Melayu yang sedang berpecah di Selangor. Kenapa Utusan tak iktiraf 'orang umno' yang patut menjuarai perpaduan Melayu ini...bukankah UMNO yang terjerit-jerit perjuangkan Melayu.
Hasan Ali itu orang PAS yang disyaki sebagai 'mata-mata' UMNO, akibatnya jawatan Pengerusi PAS selangor yang disandangnya selama ini pun sudah pun dilucutkan, silap-silap PRU13 nanti dia tidak akan dicalonkan semula oleh partinya sendiri. Apakah Utusan bersetuju supaya UMNO Selangor terima beliau sebagai winnable candidate BN jika PAS merasakan beliau bukan lagi layak menjadi orang PAS? Lepas itu suruh dia teruskan usaha menyatukan PAS/UMNO...boleh jadi ke? Utusan nampaknya tak yakin lagi dengan Dato' Seri Noh Omar, Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor sehingga tergamak melonjakkan orang kuat PAS yang bakal direbahkan oleh partinya sendiri.
Dato' Dr Hasan Ali...Utusan sedang memusingkan kepalanya

Elok juga selepas ini Utusan mencadangkan kepada pucuk pimpinan UMNO supaya calonkan Dr. Hasan Ali sebagai Menteri Besar Selangor jika usaha Dr. Hasan Ali berjaya mengkahwinkan UMNO/PAS. Buat apa nak melantik orang UMNO, kerana Utusan lebih menonjolkan kehandalan Hasan Ali daripada Noh Omar.

Kaedahnya mudah sahaja, jika Hasan Ali dipecat atau digugurkan daripada menjadi calon PAS dalam PRU13 nanti, Utusan harus memberikan pembelaan terhadap Dr. Hasan Ali supaya dia menjadi winnable candidate BN di kawasannya di DUN Gombak Setia, dan nasihatkan UMNO Gombak supaya bermati-matian menangkan Hasan Ali, untuk mengalahkan calon PAS yang baru nanti.

UMNO Bahagian Gombak harus berkorban memberikan laluan kepada tokoh PAS ini yang dijulang oleh Utusan Melayu, dan lupakan sahaja hasrat untuk meletakkan winnable candidate dari UMNO Bahagian itu bagi membolehkan Dato' Dr. Hasan Ali diangkat menjadi Menteri Besar Selangor yang baru, itu pun jika Utusan merasakan Hasan Ali boleh melakukan kejutan menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat.


PARTI KITA TETAP SOKONG PEMBANGKANG - ZAID

Datuk Zaid Ibrahim, Presiden KITA

Oleh Abdul Rahman Hashim

Datuk Zaid Ibrahim yang mengetuai parti barunya iaitu Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air atau KITA sekali lagi mengulangi kenyataan bahawa parti itu akan bersama-sama dengan parti pembangkang yang lainnya dalam menghadapi PRU13 nanti.

Datuk Zaid Ibrahim, Presiden Parti KITA dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan bahawa parti itu akan memberikan sokongan mutlak kepada pembangkang dalam apa juga cara untuk memastikan "kemenangan rakyat".

KITA mengambil pendirian itu setelah mengambil kira kenyataan daripada pemimpin UMNO terhadap parti pembangkang sejak kebelakangan ini yang didakwa memberi petanda buruk ke atas trend politik nasional, katanya.

"Untuk menunjukkan solidariti kita dengan pembangkang, dan penolakan kita terhadap idea fasis dan autoritarian, KITA ingin menyatakan semula bahawa kita akan terus menyokong pembangkang dengan harapan untuk perubahan sebenar,"
katanya.

Antara kenyataan yang paling keras menghentam pembangkang disuarakan daripada timbalan presiden UMNO sendiri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa Malaysia akan menjadi negara republik sekiranya pembangkang menang pilihan raya.

Zaid menyifatkan kenyataan Muhyiddin di perhimpunan agung UMNO minggu lalu itu sebagai "berbahaya dan tidak bertanggungjawab." Mengulas lanjut, Zaid berkata kenyataan itu juga dikesali dan amat membimbangkannya kerana ia hanya akan melebarkan lagi jurang di antara kelompok kaum.

"DAP telah dilabel sebagai parti rasis dan orang Melayu di dalam pembangkang disifatkan sebagai pak turut golongan Cina. Nampaknya pemimpin kita hari ini mahu menang pilihan raya umum dengan apa jua cara, dan mereka hanya mementingkan kedudukan dan kuasa sendiri berbanding kesejahteraan Malaysia dan rakyatnya", katanya.

Zaid juga berkata, serangan ke atas DAP hanya akan merenggangkan masyarakat Cina tetapi tidak akan menyakiti golongan berkenaan yang mampu berdidikari. Sebaliknya, orang Melayulah yang akan derita kerana UMNO hanya hanya menawarkan retorik liar seperti itu, kata beliau lagi.

Berdasarkan maklumat dan kenyataan yang dibuat itu, Zaid Ibrahim yang pernah berada di dalam UMNO dan juga PKR kini semakin terdorong untuk memenangi semula hati-hati rakannya yang berada di dalam Pakatan Rakyat setelah beliau bertindak keluar dari PKR dan menubuhkan parti baru.

Pemerhati politik sebelum ini melihat tindakannya keluar dari PKR telah menjejaskan kekuatan parti itu apabila beberapa orang tokoh PKR yang lainnya juga mengambil tindakan keluar parti. Namun mereka yang keluar parti menjadi Ahli Parlimen BEBAS seperti Zaharin Hashim, Zulkifli Nordin dan Wee Chee Keong tidak menyertai mana-mana parti yang lain namun mereka kini berlagak persis 'Mesra BN'.

Rasanya dalam PRU13 nanti mereka yang Mesra BN, walau setinggi langit sekalipun puji-pujian mereka terhadap Najib dan kerajaan BN, tidak mungkin UMNO/BN akan memilih mereka sebagai winnable candidate untuk bertanding mewakili BN. Jika mereka mahu menyerai sirkit PRU13 nanti, kenalah bertanding atas tiket Bebas untuk menentang BN dan juga calon Pakatan Rakyat.

Kalau mereka mahu mengekalkan kedudukan sebagai ahli parlimen di situ, Zaharin dan Zul Nordin terpaksalah mereka berhempas pulas menyenaraikan semula kebejatan BN selain mencerca parti asal mereka, PKR.

Berbeza dengan Datuk Zaid Ibrahim, dalam PRU13 nanti beliau mungkin tidak bertanding atas tiket PKR, namun dengan kenyataan terbarunya ini apakah mungkin Pakatan Rakyat akan melorongkan diri beliau untuk bertanding di mana-mana kerusi yang winnable pembangkang memenanginya?

Zaid Ibrahim janganlah mengharapkan Najib akan memberi lampu hijau untuk beliau bertanding atas tiket BN semata-mata beliau telah bertindak mufarakah dengan PKR. Begitu juga dengan Ibrahim Ali yang sebelum ini menang kerana beliau bertanding mengunakan lambang PAS di Pasir Mas, namun tak mungkin kali ini beliau boleh menang lagi di situ, kecuali Najib merasakan Presiden PERKASA itu wajar mengenepikan calon-calon UMNO di Pasir Mas untuk beliau bertanding mewakili BN menentang PAS. Siapalah yang mahukan Ibrahim Ali lagi, UMNO atau PAS?


Monday, December 5, 2011

UMNO & PAS TERJEBAK DENGAN POLITIK KUDA & POLITIK LEMBU?

Shahrizat terus didesak meletakkan jawatan

Oleh Abdul Rahman Hashim

Nampaknya isu lembu terus diperlembukan. Ia bukan sahaja diperlembukan oleh pembangkang malah terkini terdengar suara-suara resah dalaman UMNO sendiri yang secara terbuka menggesa supaya Senator Datuk Seri Shahrizat Jalil meletakkan jawatannya sebagai Menteri bagi membersihkan nama parti dan juga kerajaan.

Di dalam posting terbaru blogg http://umnobahagiancheras.blogspot.com, Ketua UMNO Bahagian itu Datuk Wira Syed Ali Alhabshee telah meminta Shahrizat segera meletakkan jawatan sebagai menteri jika beliau sayangkan UMNO.

"SHAHRIZAT perlu segera letakkan jawatan sebagai menteri jika benar-benar beliau ikhlas dan sayangkan parti,” tegas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee hari ini.


Syed Ali Alhabshee dan Bung Mokhtar minta Shahrizat letak jawatan

Merujuk kepada kontroversi Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam isu National Feedlot Corporation (NFC), beliau berkata hanya dengan berbuat demikian UMNO tidak dikaitkan dengan isu tersebut yang kini telah menimbulkan kemarahan rakyat.

Sebelum ini seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Bung Mokhtar, Ahli Parlimen BN Kinabatangan juga turut mendesak supaya Shahrizat meletakkan jawatan, kerana menurut beliau Shahrizat kini menjadi liabliiti terbaru kepada UMNO.
Isu ini telah menjadi semakin hangat dan hangit apabila Khairy Jamaludin (KJ) Ahli Parlimen Rembau yang juga Ketua Pemuda UMNO Malaysia telah mengaitkan bahawa syarikat National Livestock and Meat Corporation yang dimiliki oleh anggota keluarga menteri kabinet itu, Datuk Seri Shahrizat Jalil telah membeli unit apartment mewah 'One Menerung' di Bangsar, yang dilaporkan dengan bayaran sebanyak RM9.8 juta.

Khairy juga dikatakan mendedahkan bahawa kondo mewah tersebut dibeli sebagai pelaburan dengan menggunakan dana rakyat dari NFC yang sepatutnya digunakan untuk projek lembu negara (Projek Fidlot negara). Persoalan yang timbul ialah ini adalah syarikat keluarga Shahrizat, tetapi Khairy pula secara tiba-tiba memberikan penjelasan sekaligus mengkantoikan rakan sayapnya sendiri.

Saya sendiri melihat isu ini sebenarnya telah menjadi 'bola tanggung' yang telah dihantarkan ke gelanggang lawan untuk memudahkan pihak musuh melakukan pukulan kilas dan mematikan bola itu di atas gelanggang sendiri.

Kita mengharapkan UMNO dapat menguruskan isu ini dengan sebaik-baiknya dengan menggunakan kebijaksanaan otak sebagai ahli UMNO, bukan dilihat sebagai otak lembu, kerana ia telah melibatkan kredibiliti Ketua Wanitanya. Isu lembu ini juga dilihat telah dieksploitasikan oleh banyak pihak malah telah menjadi bahan cercaan oleh pihak pembangkang. Hadi Awang sendiri ketika menjawab cercaan UMNO yang menyatakan PAS telah diperkudakan oleh DAP, maka beliau secara sindiran menjawab bahawa biar partinya diperkudakan asal tidak diperLEMBUkan!

UMNO yang dilihat sedang memacu agenda transformasi politiknya, kini nampaknya sedang berhadapan dengan satu lagi masalah, iaitu UMNO LEMBU atau LEMBU UMNO?

CHUA SOI LEK MENGHINA HUKUM ALLAH


Datuk Seri Chua Soi Lek, Presiden MCA
berkata perundangan Islam (Hudud) kejam!
Oleh Abdul Rahman Hashim

Apalah nak dihairankan apabila Datuk Seri Chua Soi Lek, Presiden MCA seorang manusia yang bukan beriman dengan Allah cuba merendah-rendahkan hukum hakam Islam apabila menyatakan 'Hukum Hudud' hanya boleh menjerumuskan negara ini dengan kemusnahan diri.

Begitu juga tidak pelik jika Karpal Singh, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan lain-lain pemimpin bukan Islam menolak hukum Islam dilaksanakan di negara ini, kerana mereka tidak mendalami dan mungkin tidak pernah mempelajari selok belok hukum hakam Islam sebagaimana yang ditanzulkan oleh Allah SWT.

Dalam artikata lain, orang yang bukan Islam tentunya akan menolak Isl
am kerana mereka berpegang kuat dengan fahaman agama yang dianuti. Mungkin juga agama anutan mereka itu melarang mereka mempercayai agama Islam, sebagaimana Islam yang melarang kita mengengkari perintah-perintah Allah yang termaktub di dalam Al-Quran dan As-Sunnah, termasuk melarang kita menyembah berhala.

Rukun Iman yang enam pe
rkara telah menetapkan bahawa umat Isla
m wajib percayakan Allah sebagai Tuhan yang Esa, begitu juga di dalam Rukun Iman kita diwajipkan beriman kepada para Malaikat, beriman kepada kitab-kitab Allah, beriman kepada Rasul-Rasul, beriman pada hari kiamat dan beriman kepada qada dan qadar.

Jika kita meyakini kee
nam-enam perkara di dalam Rukun Iman itu maka terpancarlah keyakinan kita terhadap kemuliaan Islam. Pasti juga kita tidak tergamak untuk merendah-rendahkan hukum Islam walaupun mungkin ada perbezaan dalam
aspek pendekatan dan perlaksanaannya.

Namun begitu janganlah pula kita terperangkap dengan emosi politik yang sempit sehingga kita tidak dapat membezakan penentangan hukum hakam Islam oleh Chua Soi Lek, Karpal Singh, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng yang tidak mempercayai Rukun Iman sehingga kita turut (terikut-ikut) menjadi seperti mereka.



UMNO/BN tetap menolak Hudud?

Kalau pun kita tidak bersetuju dengan PAS, janganlah kita mengiyakan penentangan golongan ini terhadap Islam. Sedikit sebanyak kita harus terdesing di telinga kerana mereka sanggup menegang urat memperlekehkan hukum Allah, lalu pendapat mereka itu pula diberikan publisiti meluas seolah-olah UMNO juga terhasut untuk menentang hukum Allah.

UMNO kena melak
ukan dakwah secara berhikmah terhadap golongan yang tidak mempercayai Islam ini, bukannya selenggang sehayun dan bersekongkol dengan mereka semata-mata kita bermusuh dengan PAS. Perjuangan UMNO jangan sampai terlihat semata-mata Melayu didahulukan, Islam dikemudiankan. Inilah masalahnya apabila kita gagal meletakkan Islam sebagai ibu wadah perjuangan politik, kerana kita sering menuding jari dengan membuat alasan kononnya perjuangan menegakkan perundangan Islam ala-Pas tidak dapat diterima di negara ini, sehingga kita terlupa bahawa perjuangan memartabatkan Islam menjadi satu kewajipan kepada setiap umat Islam malah kita ditegaskan supaya tidak mengengkari segala ajaran yang diperintahkan oleh Allah, jika benar-benar kita beriman kepadaNya.

Perbezaan pendapat tentang kaedah perlaksanaan hukum hudud ini janganlah sampai keluhuran dan kesyumulan Islam berada di lapisan kedua, kerana kita telah meletakkan kepentingan politik kepartian berada di lapisan pertama sehingga menyebabkan sesama umat Islam terus dikelirukan. Akibatnya Islam sebagai agama 'a way of life' tidak dapat menambat hati golongan kafirin ini terhadap kebesaran Islam.

Kepada UMNO dan PAS, waspadalah apabila kita berhadapan dengan sanggahan puak-puak yang menentang agama wahyu Allah ini. Mereka menolaknya kerana mereka bukan beragama Islam, tetapi kita yang mengaku bahawa Islam adalah agama yang dianuti mestilah kita mempertahankannya dalam bentuk yang penuh berhikmah. Kita tak perlu terjebak dengan kecetekan fahaman mereka terhadap Islam, namun kita mesti bijak untuk memberikan penjelasan kepada mereka bahawa agama Islam bukan semata-mata memotong tangan jika terbukti seseorang itu mencuri. Itulah menakutkan mereka apabila Allah memerintahkan hukuman sedemikian.
Keceluparan Chua Soi Lek menghentamkan hukum Islam di hadapan ahli-ahli panel seperti Ustadz Kamal Saidin dan Ustadz Fathul (ulamak muda UMNO) yang dijemput untuk membahaskan tajuk forum mengenai hudud di Wisma MCA kelmarin, janganlah dibiarkan kehinaan itu naik ke muka kita, walaupun dia menentang hukum hudud cadangan PAS.
Apakah MCA hanya menentang hukum hudud (sebagai hukum Allah) kerana yang hendak melaksanakannya itu adalah PAS? Bagaimana pula pendirian mereka nanti jika UMNO mendapat hidayah Allah untuk melaksanakan perundangan Islam di negara ini? Namun jika hati mereka tetap tertutup rapat untuk menolak Islam, tentunya MCA apatah lagi DAP mereka sanggup menyingsing lengan mencabar UMNO supaya menghentikan niat itu!

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata pelabur-pelabur akan meninggalkan Malaysia jika PAS hendak melaksanakan hukum hudud di negara ini.
Beliau melahirkan pandangan terbaru ini ketika polemik mengenai sistem perundangan Islam itu masih berterusan. Dua bulan lalu ketika kepimpinan PAS merayu kepada umum agar diberi peluang untuk melaksanakan hudud di Kelantan sebagai percubaan, Umno pula berkata kini bukan masa yang sesuai untuk berbuat demikian.
Sebagai seorang yang bukan beragama Islam Dr Chua berkata sistem perundangan itu tidak adil kepada semua pihak khususnya ke atas kaum wanita selain mengenakan hukuman-hukuman kejam yang jelas bercanggah dengan konvensyen antarabangsa.
“Apabila rekod hak asasi kita tidak baik dan hukuman pula dianggap sebagai kejam, kedudukan global Malaysia akan merosot.
“Maka kita akan ada kesukaran untuk menarik pelaburan, malah pelabur-pelabur sedia ada juga kemungkinan keluar,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan forum mengenai hudud di Wisma MCA di sini.

Saturday, December 3, 2011

NAJIB DI KEMUNCAK - ALAH UNDUR BERPANTANG AJAL!

Oleh Abdul Rahman Hashim

"Marilah bersama saya....andainya UMNO tidak kita bela dan andainya UMNO kita biarkan, andainya UMNO tersungkur rebah, andainya UMNO lenyap....apakah terpandang mulia lagi orang Melayu. Kalau kita masih bersengketa, pasti kehinaan di muka pintu....Wahai orang UMNO bantulah parti ini, dakaplah perjuangan ini....panji-panji telah dikibarkan, alah undur berpantang ajal, gendunglah ia...demi agama Islam, demi bangsa Melayu dan demi negara Malaysia tercinta....HIDUP UMNO!"

Demikian kata-kata bersemangat sebagai mengakhiri ucapan penggulungan Dato' Sri Najib Tun Razak, Presiden UMNO di dalam Perhimpunan Agung UMNO 2011 yang telah tamat hari ini, 3 Disember 2011.

Dato' Sri Najib Tun Razak, Presiden UMNO begitu bersungguh-sungguh mengajak semua ahli UMNO di semua peringkat supaya sentiasa bersiap siaga untuk berhadapan dengan satu cabaran iaitu PRU13 yang disebutnya semakin hampir dan juga merupakan pilihan raya umum yang paling sengit dan getir.

Najib melahirkan harapan itu di atas kesedarannya betapa sukar untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap UMNO dan BN yang terjejas teruk dalam PRU12 2008 yang menyaksikann Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor dan Kelantan termasuk Wilayah Persekutuan dimana Barisan Nasional jatuh tersungkur di tangan Pakatan Rakyat.

Terpancar keazaman yang kuat di dalam Perhimpunan Agung UMNO kali ini untuk menentukan UMNO berada pada posisi yang betul untuk menggalas amanah mempertahankan Putrajaya dari dirampas oleh PKR, PAS dan juga DAP.


Di dalam Perhimpunan kali ini, Tan Sri Muhiyiddin Yassin yang dianggap Timbalan Presiden yang setia telah mengapalai Ikrar sebagai satu bai'ah kesetiaan ahli-ahli UMNO kepada Presidennya, dan berjanji akan bekerja keras untuk mengembalikan maruah parti seterusnya menentukan parti terus kekal memerintah negara ini.

Banyak isu berbangkit telah dibahaskan. Wakil-wakil yang berucap telah melontarkan pelbagai formula memantapkan parti dan tidak kurang juga yang mencerca serta membidas tohmahan-tohmahan yang dilemparkan oleh parti pembangkang selama ini yang perlu dijawab sebagai bekalan senjata yang ampuh untuk membedil Anwar, Kit Siang, Lim Guan Eng, Hadi Awang, Mat Sabu dan juga Nik Aziz.

Nama-nama mereka ini menjadi fobia kepada UMNO sehingga memaksa mempopularkan lagi nama-nama mereka dengan cara menghentam dan mencerca malah mereka diaibkan di hadapan ribuan perwakilan di dalam Perhimpunan ini, sekaligus menjadikan mereka sebagai musuh nombor wahid yang wajip diperangi. UMNO berpendapat, serangan bertubi terhadap mereka ini dianggap sebagai bentuk pertahanan yang ampuh untuk memenangi semula hati-hati rakyat kepada UMNO.

Persoalannya, apakah UMNO benar-benar bersedia untuk mempercepatkan pilihan raya umum kali ini semata-mata dibuai dengan tepukan bergemuruh apabila berpuas hati membuat cercaan yang menghina kepada musuh-musuh UMNO ini? Apakah bentuk produk yang dipakejkan kepada rakyat akar umbi supaya hati mereka tertambat untuk menyokong UMNO? Apakah langkah-langkah drastik yang perlu diambil tindakan untuk mengekang kebejatan akal budi yang melilit perwatakan orang UMNO yang digenangi dengan unsur-unsur kebencian yang terlampau sehingga UMNO sukar lagi diterima oleh rakyat terbanyak?

Sejauh manakah kesiap siagaan UMNO untuk menerima hakikat bahawa akan ada calon-calon yang winnable muncul untuk menggantikan wakil-wakil rakyat yang bakal digugurkan nanti. Apakah benar-benar ada jaminan pihak yang tidak dicalonkan semula bertanding mereka tidak akan kecewa dan tidak mensabotaj parti?

Pada pengamatan saya, Dato' Sri Najib Tun Razak memang serius untuk melakukan transformasi politik dalam memalar segarkan UMNO dengan mengetengahkan calon-calon muda supaya UMNO tidak terlihat dimamah usia yang bakal memikat hati golongan muda. UMNO harus melakukan muhasabah dalaman untuk memancarkan sinar UMNO kepada golongan muda yang tidak berparti (Third Forces) supaya gelombang kebencian mereka tidak melanda parti kita lagi.

Najib berkata, orang Melayu tidak mempunyai pilihan selain mengekalkan UMNO. Menurutnya lagi tragedi bakal menimpa Melayu jika UMNO kecundang dalam PRU13. Beliau meminta orang UMNO supaya mengelakkan bala dan musibah menimpa UMNO. Seterusnya Najib mengajak perwakilan bentenglah parti ini, walau apa aral yang mendatang, jangan sekali-kali kamu tinggalkan bukit-bukit Uhud ini. Kemenangan pasti milik kita..!!

Demikian Najib mengakhiri ucapan penggulungannya.





Justify Full