assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Friday, April 17, 2009

SIAPA CALON YANG MENANTI DI DUN PENANTI?

Karnival pilihan raya kecil bakal berlangsung di Pulau Pinang sekali lagi selepas lima pilihan raya kecil diadakan di Parlimen Permatang Pauh, Parlimen Kuala Terengganu, DUN Bukit Gantang, DUN Bukit Selambau dan DUN Batang Ai.

Kali ini buat kali yang keenam selepas PRU12, DUN Penanti pula yang terletak di dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh juga merupakan kubu kuat Anwar Ibrahim di Pulau Pinang, akan menyaksikan satu lagi medan pilihan raya kecil yang tentunya akan mempertaruhkan calon-calon dari PKR yang mewakili Pakatan Rakyat dan juga UMNO yang mewakili Barisan Nasional.

Sebagaimana yang dijangkakan bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin (foto) yang juga ADUN Kawasan Penanti yang telah meletakkan jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri sebelumnya, juga telah meletakkan jawatannya sebagai ADUN Penanti menerusi satu kenyataan bertarikh 14 April 2009 yang diumumkan kelmarin, 16 April 2009

Fairus yang kini sedang disiasat SPRM berhubung kes sebuah kuari dikatakan terdorong untuk meletakkan jawatannya itu bagi membolehkannya melanjutkan pelajaran ke peringkat pasca siswazah di luar negara, di samping menggunakan peluang ini untuk beliau menumpukan masa terhadap keluarganya. Beliau juga mahu menumpukan usaha untuk membersihkan namanya dari segala tohmahan yang telah dilemparkan terhadapnya selama ini.

Dalam PRU12 yang lepas, Mohammad Fairus Khairuddin yang mewakili PKR telah menewaskan calon BN Datuk Abd. Jalil Majid yang juga Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh dengan majoriti 2,219. Fairus memperolehi 7,346 undi manakala Jalil pula memperolehi 5,127 undi daripada 15,421 jumlah keseluruhan pengundi di Kawasan DUN Penanti.


Datuk Jalil (Kiri), Datuk Arif Shah (Tengah) dan Datuk Firdaus (Kanan).
Ketiga-tiga calon UMNO ini pernah ditewaskan.
Adakah mereka masih menanti di DUN Penanti?

Jika sebelum ini Abd. Jalil Majid mungkin kecewa kerana tidak dicalonkan semula menentang Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, apakah Najib merasakan Jalil wajar dipertaruhkan kali ini untuk merebut semula 'Penanti' yang dinanti-nantikannya. Kalau bukan Jalil, siapakah lagi yang Najib fikir mampu mengembalikan semula maruah UMNO yang sedang direkayasa olehnya dengan slogan "SATU MALAYSIA - Rakyat Didahulukan dan Pencapaian diutamakan".

Rasanya Datuk Firdaus yang pernah tumpas di tangan Dr. Wan Azizah dalam pilihan raya umum sebelum ini juga menanti untuk dinamakan sebagai calon UMNO di DUN Penanti. Datuk Ariff Shah ADUN Seberang Jaya telah kalah teruk di tangan Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh yang lepas, dan beliau juga dilihat tidak sehaluan dengan Ketua Bahagiannya, Datuk Jalil Majid. Pergeseran dalaman di Permatang Pauh itu jika belum diredakan, kemungkinan ianya menjadi faktor kepada kekalahan lebih teruk di DUN Penanti ini.

Dato' Sri Najib yang baru saja memperkenalkan 'falsafah saktinya' itu dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri yang baru, tentunya beliau begitu mengharapkan agar seruannya itu dapat diterima baik oleh segenap lapisan masyarakat, bukan sahaja oleh warga UMNO dan BN yang perlu menjiwainya, malah beliau yang menganggap dirinya adalah Perdana Menteri untuk semua warga negara Malaysia wajar merasakan slogannya itu boleh diterima juga oleh warga yang tidak menyokong partinya.

Jika warga negara yang tidak menyokong partinya juga boleh diajak supaya menjiwai 'seruan hikmat Perdana Menteri' itu tentulah Najib benar-benar dapat meniru gaya kepimpinan ayahandanya Allahyarham Tun Abdul Razak yang telah mencipta gagasan 'Barisan Nasional' sehingga semua penyokong PAS di zamannya itu telah berjaya diSATUkan di bawah panji berlambangkan 'Dacing' menggantikan 'Kapal Layar' sebelumnya.

Melayu UMNO dan Melayu PAS telah dapat diSATUkan sehingga umat Melayu menjadi lebih kuat dan lebih perkasa jika dibandingkan dengan Melayu hari ini yang 'terbelah tiga' seolah-olah UMNO, PAS dan PKR dicipta khusus untuk melemahkan kekuatan Melayu. Janganlah ada hendaknya termuncul SATU lagi perkumpulan Melayu yang kononnya BEBAS tidak menyebelahi mana-mana pihak, tetapi menambahkan lagi kekusutan akibat adu domba yang melaga-lagakan diantara satu sama lain.

Tun Dr. Mahathir Mohamad yang telah keluar dari UMNO kini melompat masuk semula ke dalam UMNO bukanlah satu tindakan yang bijak jika seseorang itu bukannya MAHATHIR. Dr. Mahathir yang sering tidak bersetuju dengan PAS kononnya parti itu memperalatkan Islam telah menjadikan UMNO dilihat sebagai anti Islam. PAS pernah dikatakan olehnya sebagai lebih merbahaya daripada komunis.

Dr. Mahathir jugalah yang mencetuskan kontroversi kononnya bangsa Melayu tidak hilang keMelayuannya jika bahasa ibundanya tidak lagi menguasai ilmu matematik dan ilmu sains. Dr. Mahathir melihat bahasa yang digunakan oleh J.W.W Birch, Francis Light, Stamfort Rafles, Frank Swettenham dan banyak lagi nama 'orang putih' yang pernah menjajah kita di negara ini sebagai bahasa yang perlu diangkat darjatnya. Bahasa Melayu kini kian menjadi hampas, dan UMNO dilihat begitu takut untuk betentangan pendapat dengan Dr. M dalam isu ini.

Melayu juga dilihat semakin berpecah dan lemah akibat keangkuhan pemimpin-pemimpinnya yang sentiasa bersifat dendam kesumat. Anwar (Foto) sebagai pemimpin Melayu yang hebat, mungkin kehebatannya telah dipergunakan untuk melemahkan institusi kepimpinan Melayu di negara ini. Anwar yang memiliki aura dinamikanya perlulah diajak ke meja bulat supaya boleh diformulakan bersama-sama dengan Najib untuk menjayakan "SATU MALAYSIA' yang berteraskan kepada persefahaman, permuafakatan untuk penjenamaan semula Malaysia yang bersatu padu.

Jika konsep '1Malaysia' yang diserulingkan oleh Najib ini dapat mempertautkan semula pemimpin-pemimpin utama Melayu yang telah berpecah-pecah ini, sudah tentulah akan mempercepatkan lagi iltizam untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum yang disatukan menjadi 'Bangsa Malaysia' yang berteraskan Islam sebagai agama resminya dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, supaya dapat diterima oleh segala bangsa yang ada di negara ini.

Jika penyatuan 'ras' terbesar di negara ini tidak dapat diSATUkan, apakah mungkin wawasan SATU MALAYSIA dapat dijayakan sebagaimana kejayaan Tun Razak merekayasakan formula perkongsian kuasa di zamannya.

Diharapkan isu-isu yang tidak melambangkan 'SATU MALAYSIA' tidak mencemarkan nama baik Dato' Sri Najib yang menjadi arkiteknya di dalam pilihan raya kecil Penanti. UMNO dan BN hendaklah terlebih dahulu menjadi role model kepada konsep 'Satu Malaysia' ini yang berlandaskan matlamat 'Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan'.