
Benarkah UMNO kini sedang meminggirkan Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin? Demikian isu berbangkit yang ditiupkan oleh Pegawai Khas Tengku Razaleigh Hamzah Muhd. Lukhman Ghani ekoran teguran Muhyiddin terhadap kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah yang mendakwa kononnya kebebasan bersuara tidak ada lagi di dalam UMNO.
Muhyiddin Yassin ketika mengulas dakwaan Ku Li itu berkata adalah tidak benar UMNO menyekat kebebasan bersuara, malah beliau menyatakan ahli-ahli UMNO di semua peringkat masih bebas bersuara dan boleh memberikan buah fikiran demi untuk kebaikan dan masa depan parti.
Di dalam portal Malaysiakini hari ini Lukhman Ghani dipetik sebagai berkata bahawa Muhyiddin juga tidak sedar bahawa dirinya juga sedang dipinggirkan UMNO. Pegawai suruhan Ku Li itu juga menambah bahawa status Muhyiddin mungkin berada di tangga kelima dalam carta 'orang yang diberi prioriti' oleh UMNO.
Saya agak runsing apabila mengikuti isu ini, apatah lagi Lukhman Ghani yang juga AJK UMNO Bahagian PJ Utara mendakwa bahawa wujudnya pengampu-pengampu Najib seperti Senator Ezam Mohd. Nor, Zaid Mat Arip dan beberapa orang Ahli Parlimen Bebas yang mesra BN yang tibai Anwar secara melampau, kini berada di dalam ranking 'top four'. Muhyiddin dikatakan tidak ada dalam ranking empat yang utama, apatah lagi Naib-Naib Presiden UMNO yang lainnya.
Lukhman Ghani yang juga Ahli Majlis Tertinggi Angkatan Amanah Merdeka (AMANAH) yang diketuai oleh bossnya sendiri Ku Li, mungkin berkata dia berhak membuat kenyataan seperti itu, namun mungkin dia sendiri tidak menyedari bahawa dirinya juga masih seorang ahli UMNO yang kelihatan begitu bebas malah bernada keras mengkritik Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden UMNO.
UMNO yang dilabelkan oleh Ku Li sebagai tidak demokratik, kini ditibai oleh Ku Li dan Lukhman juga dlihat sedang menari mengikut tempo bossnya. Tidak demokratikkah UMNO apabila tindakan menghina pemimpin sendiri dilakukan sendiri oleh Ketua UMNO Bahagian Gua Musang? Benarkah hilangnya kebebasan bersuara di dalam UMNO, sedangkan Lukhman Ghani seorang AJK UMNO Bahagian PJ Utara juga bebas berpencak mendakwa Muhyiddin sedang disisihkan oleh UMNO?
PENGAMPU INI DALAM RANKING UMNO?

Senator Ezam Mohd. Nor & Zaid Md Arip, benarkah mereka pengampu Najib?
Walaupun itu hanyalah luahan pendapat Ku Li dan Lukhman, namun tidak bermakna UMNO harus memperlekehkan kenyataan seumpama itu. Jika benar pengampu-pengampu Najib seperti Ezam, Zaid Mat Arip, Zulkifli Nordin, Zaharin Bayan Baru dan beberapa orang lagi dilihat begitu selesa dan berbahagia sebagai 'tukang kipas' atau 'pengampu' tanpa bersusah payah menjaga UMNO selama ini, maka dikhuatiri tiang seri UMNO yang kelihatan rapuh akan runtuh dimakan oleh anai-anai ini.
DUA ZAHARIN YANG KOTROVERSI
Memetik sedikit apa yang diungkapkan oleh sahabat saya Zaharin Mohd. Yasin (ZMY) di dalam muka bukunya (facebook) bahawa dirinya mungkin hari ini telah dilantik senator jika beliau juga bersikap menghina dan menghentam UMNO semasa berada di luar parti, malah berbohong sedikit kononnya memiliki satu kapal dokumen-dokumen penyelewengan pemimpin UMNO, dan kemudian menyesal berbuat bohong lalu menyertai UMNO serta mengutuk Anwar habis-habisan, selepas itu diberi habuan menjadi senator dan ada juga memperolehi gelaran Datuk. Demikianlah hinanya sipenghina berkenaan yang berjaya meloloskan diri masing-masing sehingga menjadi lebih 'istimewa' daripada pemimpin UMNO yang lebih setia di dalam perjuangan.
Mengandaikan mereka ini lebih istimewa daripada Muhyiddin Yassin merupakan satu penghinaan yang berat, dan UMNO harus disarankan supaya tidak tersasar membuat penilaian yang salah itu, kerana mereka yang pernah menodai UMNO itu sememangnya tidak wajar diberikan keistimewaan melampaui jasa bakti yang dilakarkan oleh pejuang UMNO lain yang lebih taat dan setia, tidak seperti si pengampu-pengampu itu..!!
Kadang-kadang hal seumpama ini bakal menjadikan UMNO lebih sukar untuk menjawab keluh kesah dan rintihan akar umbi yang dimomok-momokkan oleh penyokong pembangkang yang pernah melonjakkan si pengampu ini.
Rasanya Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu untuk melayani karenah desperado yang dibayangi oleh Tan Sri Tengku Razalegh Hamzah itu yang pasti mempunyai agenda sulitnya untuk melepaskan pucuk dan menangguk di dalam air yang keroh.
Ahli-ahli UMNO hendaklah merapatkan saf perjuangan untuk berhadapan dengan cabaran politik yang semakin getir menjelang PRU13 nanti. Sebarang percubaan untuk melaga-lagakan sesama pemimpin UMNO merupakan jerangkap samar yang bakal menjerumuskan UMNO dengan mimpi ngeri yang tidak berkesudahannya.
Seelok-eloknya disarankan UMNO dan AMANAH janganlah bersengketa. Janganlah terperangkap lagi sehingga yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran.



