assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Saturday, March 19, 2011

DUN SARAWAK BUBAR ISNIN INI

Oleh Abdul Rahman Hashim

Pilihan raya negeri terakhir buat Taib Mahmud....siapa penggantinya?

Penantian pembubaran DUN Sarawak akhirnya terjawab apabila Ketua Menteri Sarawak Pehin Sri Abdul Taib Mahmud hari ini mengumumkan pembubarannya pada Isnin ini, dan notis mengenainya telah dihantar kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. Sehubungan pembubaran itu, pilihan raya negeri hendaklah diadakan dalam masa 60 hari.

SPR dijangka akan menetapkan tarikh hari penamaan calon dan juga tarikh pembuangan undi minggu depan. Pilihan raya ke-10 negeri Sarawak ini merupakan pilihan raya negeri yang terakhir buat Taib Mahmud, apabila beliau membuat pengumuman akan melepaskan jawatannya selepas pilihan raya nanti.

NAJIB TAHU TAIB TELAH BERSEDIA UNTUK LAKUKAN PERALIHAN KEPIMPINAN

SERIAN, 19 Mac — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau dan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud telah pun tahu masa yang tepat untuk melakukan perubahan kepada kepimpinan di negeri ini.

Najib berkata beliau dan Taib mempunyai ‘‘persefahaman yang sangat baik’’ mengenai masa untuk membuat pengumuman berhubung perkara itu.

“Saya tahu beliau telah bersedia. Apabila tiba masanya, beliau sedia beredar dari arena dan kami mempunyai persefahaman yang sangat baik mengenai bilakah ia akan berlaku,” katanya ketika berucap pada program ‘‘Senada Sejiwa’’ di sini hari ini.

Program itu yang mengetengahkan pameran produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh pelbagai agensi kerajaan negeri dan persekutuan, dianjurkan oleh kerajaan Sarawak.

Najib berkata perubahan kepimpinan negeri bukanlah suatu perkara yang boleh didesak memandangkan peralihan yang lancar merupakan perkara paling utama.

“Janganlah desak tapi ikutlah tradisi yang baik dalam negara kita, yang penting peralihan kuasa yang tertib tersusun supaya kepimpinan baru yang ambil alih nanti boleh membawa Sarawak kepada keadaan yang lebih baik lagi,” kata Najib.

Menerusi peralihan kuasa yang lancar, beliau berkata kerajaan persekutuan akan dapat membantu Sarawak mencapai kejayaan yang lebih gemilang.

Katanya pendekatan ini, yang telah diterima oleh kalangan masyarakat Malaysia nyata bukan seperti yang dikehendaki oleh pembangkang memandangkan mereka mengharapkan perubahan radikal menerusi demonstrasi jalanan atau rusuhan.

Najib berkata perubahan kepimpinan yang lebih disukai oleh Barisan Nasional mengambil kira kestabilan dan pembangunan yang berterusan.

Katanya pembangunan pesat yang berlaku di Sarawak sejak beliau menjadi Perdana Menteri dua tahun lepas sebahagian besarnya disebabkan hubungan baik antara kerajaan persekutuan dan negeri.

Malah Ketua Menteri turut mengakui bahawa belum pernah Sarawak menikmati peruntukan yang begitu besar dan ia dilakukan bukan kerana pilihan raya tetapi yang penting ialah memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa dipelihara, katanya.— Bernama.

PILIHAN RAYA TERAKHIR BUAT TAIB MAHMUD?

Oleh Abdul Rahman Hashim

Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dijangka membuat pengumuman penting, yang bakal mengejutkan banyak pihak menjelang lawatan Perdana Menteri ke Sarawak sabtu ini.

Taib membayangkan akan mengumumkan sesuatu yang penting sempena majlis 'Sejiwa Senada' yang berlangsung di Serian hari ini, mungkin berkaitan dengan tarikh pembubaran DUN yang hangat diperkatakan di dada-dada akhbar tempatan sekarang ini.

Taib Mahmud yang menjadi Ketua Menteri sejak tahun 1981 itu juga dikatakan tidak akan kekal sebagai Ketua Menteri Sarawak selepas pilihan raya negeri yang bakal diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.

Mungkinkah ini adalah pilihan raya terakhir buat Taib Mahmud setelah beliau berjaya meletakkan Sarawak sebagai sebuah negeri yang membangun selari dengan dasar politik pembangunan yang dicetuskannya sejak memimpin negeri pada tahun 1981? Sama-sama kita tunggukan debaran ini.

Taib tidak membayangkan tarikh pembubaran DUN Sarawak tetapi beliau memberitahu pemberita di Kuching, “tunggu sehari lagi....”

Taib akan menyertai Perdana Menteri Dato' Sri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan bertemu rakyat di beberapa tempat, iaitu di Sadong Jaya, Taman Kenyalang dekat Kuching dan juga di Serian. Benarkah beliau akan membuat pengumuman akan melepaskan jawatan ketua menteri dan juga mengumumkan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri, yang bakal membuka laluan kepada pilihan raya negeri?

Penganalisa politik menjangkakan Dewan Undangan Negeri Sarawak yang memperuntukkan 71 kerusi akan dibubarkan seawal Isnin ini dengan penamaan calon dan pengundian dijangka diadakan pada bulan April depan, tiga bulan sebelum mandat semasa berakhir pada 23 Julai.

Terdapat spekulasi yang hangat dibincangkan kononnya Taib tidak harus bertanding lagi kali ini tetapi tidak kurang juga yang berpendapat bahawa pemimpin itu mampu untuk mengekalkan momentumnya terutama mengekalkan kesepaduan Barisan Nasional, malah kepimpinan Taib dilihat mampu menyumbang kepada kemenangan BN yang lebih besar kali ini.

Sarawak dan Sabah dilihat sebagai negeri “deposit hayat” bagi BN. Kemenangan BN dalam pilihan raya negeri Sarawak kali ini menjadi lebih berharga kerana ia dilihat sebagai penanda aras kepada BN untuk berhadapan dengan pilihan raya umum di peringkat nasional kelak.

Sekiranya Taib tidak mampu untuk mengemudi bahtera kemenangan besar dalam pilihan raya negeri Sarawak nanti, pasti ia bakal menjadi mimpi ngeri buat Najib di peringkat nasional. Najib pasti akan meletakkan sebesar harapan kepada Taib yang akan mengepalai gerak kempen untuk memenangi hati rakyat menjelang pilihan raya negeri ke-10.

Pada pilihan raya negeri 2006, BN memenangi 62 kerusi, DAP enam manakala PKR, SNAP dan Bebas masing-masing satu.

DAP dan PKR telah membentuk Pakatan Rakyat (PR) dengan gandingan PAS selepas pilihan raya negeri 2008 dan akan bertanding pada pilihan raya negeri bersama SNAP meskipun empat parti itu belum merumuskan pembahagian kerusi.

Sumber-sumber PR berkata perikatan itu berharap dapat menafikan majoriti dua pertiga BN tetapi BN lebih yakin akan mengekalkan prestasi lima tahun lalu.

“Kami harus mempertahankan majoriti kami walaupun kami kemungkinan hilang tambahan beberapa kerusi,” kata satu sumber BN.