assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Monday, May 31, 2010

SYED SOBRI DI PERSIMPANGAN, BN ATAU PAS?

Dato' Syed Sobri Syed Hashim ADUN Kuala Nerang kini sedang dijejaki oleh wakil-wakil media untuk mendapatkan pengesahan darinya tentang ura-ura beliau akan membuat pengumuman meninggalkan BN menyertai PAS hari ini.

(Foto terbaru Syed Sobri, kini berkopiah putih)

Menurut sumber yang rapat dengan beliau memberitahu bahawa wakil rakyat BN itu kini sedang berada di pejabat Majlis Daerah Padang Terap menghadiri satu majlis yang diadakan di sana. Difahamkan di samping beliau turut disertai oleh para penyokongnya yang lengkap dengan pakaian 'Kedah Sejahtera' yang sering dipakai oleh penyokong-penyokong PAS negeri ini.

Tidak dapat dipastikan samada beliau akan membuat pengumuman selepas majlis tersebut. Sementara itu difahamkan juga sehingga kini belum ada pemimpin tertinggi UMNO peringkat negeri mahupun di peringkat pusat yang dapat menghubungi beliau.

Kegagalann menghubunginya kerana beliau dikatakan telah menggunakan telefon yang tidak dimiliki oleh sesiapa pun melainkan kawan-kawan rapatnya sahaja. Debaran semakin memuncak kerana Syed Sobri dikatakan begitu kecewa dengan UMNO, manakala PAS melihat perkembangan ini sebagai sesuatu yang positif untuk kekuatan partinya yang sedang memerintah kerajaan Negeri Kedah Darul Aman.




SYED SOBRI ADUN KUALA NERANG KECEWA DENGAN SIKAP PEMIMPIN UMNO KEDAH?

Dato' Syed Sobri Syed Hashim (Foto) ADUN Kuala Nerang yang dihebohkan sebagai wakil rakyat UMNO Kedah yang bakal menyertai PAS dikatakan begitu kecewa dan kesal dengan sikap pemimpin UMNO negeri itu yang tidak memberikan perhatian di atas kemelut yang sedang dihadapinya.

Syed Sobri yang kini menyisihkan dirinya dikatakan juga sedang berjinak-jinak untuk menyertai PAS walaupun telah dipujuk oleh sahabat handai supaya beliau tidak meneruskan niatnya itu.

Menurut sumber daripada orang yang terdekat dengannya memberitahu, Syed Sobri akan tetap dengan pendiriannya untuk meninggalkan UMNO menyertai parti PAS.

Difahamkan Dato' Seri Azizan Menteri Besar Kedah memaklumi tentang perkara ini dan PAS dikatakan tidak menjadi halangan besar untuk menerima penyertaan Dato' Syed Sobri di dalam parti itu.


Kiri: Dato' Seri Shafie Apdal. Kanan: Dato' Ahmad Bashah Md Hanipah

Syed Sobri Syed Hashim dijangka akan mengumumkan penyertaannya di dalam PAS dalam sehari dua ini. Jika ini terjadi ia merupakan kegagalan UMNO negeri Kedah yang dipimpin oleh Dato' Seri Shafie Apdal (Foto di atas) yang juga Naib Presiden UMNO Pusat. Difahamkan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Dato' Ahmad Bashah Md Hanipah (Foto di atas) juga gagal untuk menemui wakil rakyat Kuala Nerang itu.

Dipercayai juga bahawa Dato' Syed Sobri akan membuat 'road show' ke seluruh negeri Kedah bersama PAS untuk menceritakan sebab musabab beliau meninggalkan UMNO, termasuk membuat pendedahan tentang beberapa penyelewengan yang berlaku di dalam UMNO semasa mengadakan siri program Juara Rakyat.