assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Thursday, April 14, 2011

MIMPI NGERI BUAT BN SARAWAK?

KUCHING, 14 April: Jika betullah kajian yang dibuat oleh Zentrum Future Studies, kerajaan BN Sarawak bakal jatuh dalam pilihan raya negeri Sarawak kali ini apabila Zentrum meramalkan, BN hanya akan mendapat 24 kerusi Dun.

Pakatan Rakyat pula, Zentrum meramalkan akan mendapat 27 kerusi, Snap 13 kerusi manakala selebihnya calon bebas iaitu tujuh kerusi.

Hasil ini diperolehi berdasarkan kajian Zentrum melalui projek Sarawak Election (SELECT 2011) - iaitu Prediksi Period 2 oleh badan yang dipimpin oleh Dr Abu Hassan Hasbullah itu.

(Rajah: Sarawak Election (SELECT 2011) - Prediksi Period 2: Kedudukan parti)

Kajian itu meramalkan, PAS akan menang di tiga dari lima kerusinya iaitu N24 Beting Maro (PAS 53%, BN 47%), N22 Sebuyau (PAS43%, BN 40%, Bebas 17%) dan N3 Tanjong Datu (PAS47%, BN 35% dan Bebas 18%).

Dua lagi kerusi PAS adalah N20 Sadong Jaya (PAS 41%, BN 43% dan Bebas 16%) dan N15 Muara Tuang (PAS48% dan BN 52%).

Kajian itu juga meramalkan, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud akan kalah di Balingian di tangan sepupunya, Datuk Salleh Jafarudin (BN 33%, PR 30% dan Bebas 37%).

Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian pula diramalkan kajian ini akan menang di Ba'kelalan (PR64% dan BN46%).

Keputusan ini berdasarkan laporan prediksi period 2 yang dibuat oleh Zentrum PRN Sarawak 2011 yang disiarkan dalam lamannya di facebook hari ini.

Ia akan berubah bila-bila masa berdasarkan maklumat terbaru yang diterima oleh petugas kajian ini.

Namun begitu, ketepatan kajian ini agak meragukan untuk dibuat keputusan muktamad kerana semasa pilihan raya kecil Hulu Selangor, ramalan yang dibuat oleh Zentrum tersasar apabila didapati calon Pakatan Rakyat dari PKR, Datuk Zaid Ibrahim kalah kepada calon BN Kamalanathan.

Padahal keputusan akhir kajian Zentrum menunjukkan calon PKR itu akan menang dengan majoriti tipis.

Bagaimanapun, kajian ini bakal menjadi antara petunjuk awal ke manakah arah tuju pilihan raya Sarawak kali ini.

Sebelum ini, pengkaji PAS meramalkan, sekurang-kurangnya 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak sudah dalam genggaman Pakatan Rakyat manakala 11 kerusi lagi boleh jatuh bila-bila masa kepada Pakatan.

Dari 71 kerusi yang dipertandingkan, BN pula setakat ini didakwa hanya selesa di 43 kerusi, kata Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad pada sidang media PAS di Pejabat Badan Perhubungan PAS, di Matang Jaya di sini.

Menurut Malaysiakini pula, kerusi selamat untuk BN hanya 28 sahaja manakala 19 sudah dimenangi pembangkang manakala 24 kerusi lagi sedang menjadi rebutan.

LANSKAP POLITIK SARAWAK BAKAL BERUBAH?

Oleh Abdul Rahman Hashim

Nurul Izzah berceramah di Satok

Lautan manusia di Batu Kawah...Ceramah DAP

Ceramah pembangkang terus menjadi medan utama menyerang Pehin Seri Taib Mahmud. Mencemuh Taib Mahmud dilihat lebih mudah kali ini untuk menambat hati pengundi supaya melakukan perubahan dalam lanskap politik Sarawak menjelang pilihan raya umum negeri 16 April ini.

Ceramah Nurul Izzah malam tadi di Bilik Gerakan N.8 Satok telah dihadiri lebih 2,000 penduduk sekitar Satok. Saya sempat meninjau di lokasi berkenaan sementara saya hendak menunggu pesawat firefly yang delay ke Kuala Lumpur malam tadi. Sepatutnya saya sudah terbang pada jam 11.00 malam, tetapi jadualnya telah berubah kepada jam 1.45 pagi.

Walaupun saya sudah berada di lapangan terbang Kuching sejak 9.00 malam, namun dek kerana kelewatan penerbangan itu maka saya buat keputusan untuk keluar semula dari airport menuju ke pentas ceramah pilihan raya.

Jiwa saya dihambat untuk terus meniti realistik yang sedang berlaku dalam kerancakan berkempen menjelang pilihan raya umum Sarawak kali ini. Rakyat Sarawak sedang diuji oleh suatu fenomena persimpangan di antara sayangkan BN atau lebih sayangkan Taib Mahmud.

Dalam pilihan raya umum 2008 yang lalu telah berlaku satu fenomena dimana kebencian terhadap Pak Lah telah menggulungkan BN. Apakah pilihan raya Sarawak kali ini bakal menyaksikan fenomena yang sama berlaku samada Taib Mahmud akan menjadi faktor bangun atau jatuhnya maruah BN?

Sebelum sampai Satok, saya sempat melalui jalan ke Batu Kawah di Kuching, saya terperanjat apabila melihat lautan manusia yang berhimpun di Bandar Baru Batu Kawah (MJC) yang mendengar ucapan beberapa orang pemimpin DAP dan juga PKR termasuk Lim Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang.

Kebanyakan yang berada di lokasi itu ialah penduduk Cina bagi kawasan DUN N.13 Batu Kawah. Mereka menyokong calon DAP Chiew Wang See dan beberapa calon lain PKR yang bertanding di sekitar Kuching.

Saya terdengar Lim Guan Eng meminta supaya rakyat Sarawak di Batu Kawah supaya menolak BN kerana dakwanya Taib Mahmud adalah pemimpin korup yang telah banyak memperkayakan diri dan keluarganya sepanjang 30 tahun beliau menjadi Ketua Menteri Sarawak.

Saya tiba di Satok kira-kira jam 10.45 malam, saya juga dapati jalan utama ke Satok 'machet' kerana banyak kenderaan tersangkut yang menghala ke Bilik Gerakan PKR N.8 DUN Satok dimana Nurul Izzah akan berceramah di situ.

Nurul Izzah sampai di pentas PKR itu kira-kira jam 11.00 malam, dan beliau disambut dengan laungan 'reformasi' oleh kira-kira 2,000 penduduk di situ yang menunggunya untuk mendengar ceramah beliau.

Calon PKR N.8 Satok Ahmad Nazib Johari turut menanti kedatangan Nurul Izzah. Nurul Izzah telah diberikan ruang selama 30 minit untuk menyampaikan ceramahnya. Seperti biasa anak sulung Anwar itu telah memukau hadirin dengan kepetahan pidatonya, lantas beliau meminta penduduk Satok menolak BN dan tentukan kemenangan Ahmad Nazib Johari calon PKR yang menentang Abang Johari Tun Openg dari BN menjelang hari pengundian nanti.

Banyak isu yang disentuh oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, tetapi isu keengganan Taib Mahmud untuk berundur dari jawatan Ketua Menteri lebih memikat daripada isu-isu yang lainnya.

Beliau mendakwa barisan kabinet BN Sarawak selama ini dilihat sebagai 'kabinet auk' yang tidak berani menyekat kerakusan Ketua Menteri mereka yang telah memunggah kekayaan hasil mahsul negeri ini untuk kepentingan dirinya sendiri. Menurutnya dunia sudah pun mengetahui betapa Taib Mahmud memiliki kekayaan yang luar biasa sedangkan rakyatnya masih dibelenggu dengan kemiskinan tegar.

Demikianlah bertalu-talunya pihak pembangkang menggunakan isu ini yang mereka anggap sebagai peluang keemasan untuk merobek kuasa yang sudah dimiliki oleh BN negeri ini sejak Sarawak menyertai Malaysia pada tahun 1963.

Pakatan Rakyat percaya kali ini mereka akan berjaya memberikan cabaran hebat kepada BN, setidak-tidaknya semakin banyak kerusi yang akan mereka rampas walaupun sukar untuk meruntuhkan dominasi BN di bumi kenyalang ini. Kehilangan 2/3 majoriti di pihak BN kali ini akan menyebabkan Taib Mahmud terpaksa menerima hakikat untuk beliau menamatkan penguasaan tiga dekad sebelum diarah berhenti!

Penganalisa politik mengandaikan BN kali ini akan kehilangan banyak kerusi terutama di kawasan-kawasan DUN dalam bandar seperti di Kuching, Sibu, Miri, Sarikei, Bintulu dan di beberapa daerah pendalaman yang mundur teruk seperti di DUN Lingga, Beting Maro, Saribas dan lain-lain kawasan yang mungkin berlaku suatu kejutan pada 16 April ini.

Setakat ini, Pakatan Rakyat lebih yakin untuk melondehkan imunisasi Taib dalam misi mereka untuk melakukan perubahan penguasaan BN selama ini. Pakatan Rakyat kali ini merasakan akan berlaku gelombang yang bakal menjadi mimpi ngeri buat Taib Mahmud.

Benarkah BN kali ini akan menjadi mangsa akibat kebencian yang membara terhadap Taib yang sedang dipoco-pocokan oleh Anwar, Lim Kit Siang dan juga juak-juak PAS sepanjang kempen meNyahkan BN yang dikuasai oleh Taib Mahmud selama 30 tahun?