
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekali lagi akan terjebak dengan sandiwara politik semasa tanah air, setelah bertindak menjadi
HAKIM dengan meragui kesahihan surat perletakan jawatan dua ADUN dari Behrang yang memberang tak keharuan dan ADUN Changkat Jering yang masing-masing telah pun mengisytiharkan keluar parti asalnya (PKR), tapi tak berminat pula nak masuk UMNO (buat masa ini?).

Pasangan belangkas ini
(Foto kanan) memilih untuk menjadi ADUN Bebas yang jelas menggambarkan perwatakan sebenar diri mereka. Parti manakah yang bakal menerima dua ADUN yang bermasalah ini? Sama-sama kita saksikan dengan penuh debaran. Kedua-duanya dikatakan begitu bingung untuk menentukan hala tujunya dalam politik, kerana kedua-duanya akan dihadapkan ke mahkamah sedikit masa lagi kerana terlibat dengan masalah rasuah.
Jika kali ini tak jadi pilihan raya kecil, namun jika kedua-duanya disabitkan kesalahan rasuahnya nanti akan memaksa juga satu pilihan raya kecil berlaku di kedua-dua kawasan ADUN berkenaan. Itupun jika MB Besar Perak tidak berniat untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri dalam masa terdekat ini. Apakah jika MB Perak menggunakan kuasanya nanti untuk membubarkan Dewan Undangan Negerinya, maka SPR terpaksa berlagak sebagai sebuah mahkamah lagi dengan mempertikaikan kesahihan notis yang akan dikemukakan kepadanya? Sangat menarik untuk diperhatikan kewibawaan SPR selepas ini.
Persoalan dan kemelut baru yang mengheret dalam pergolakan politik negeri Perak kini ialah penampilan SPR yang dilihat lebih berminat untuk membincangkan niat surat yang telah dikemukakan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Perak yang diidakwanya ada keraguan, sekaligus SPR telah membuat keputusan untuk mengekalkan status Jamaludin Radzi dan Osman Jailu sebagai ADUN di kawasan masing-masing.

Lanjutan daripada keputusan SPR itu, telah mengundang pula penampilan kenyataan Speaker Negeri Perak V. Sivakumar yang bertegas untuk mengekalkan maksud surat asal yang telah dikemukakan kepada SPR supaya kedua-dua DUN ini dikosongkan bagi membolehkan suatu pilihan raya kecil diadakan di kawasan berkenaan. Dalam artikata yang lainnya, hasrat untuk melihat pilihan raya kecil bagi kedua-dua kawasan DUN ini tidak menjadi kenyataan. Namun begitu Speaker DUN Perak memaklumkan bahawa kedua-dua pembelot itu tidak akan dibenarkan menghadiri sidang DUN yang bakal diadakan nanti, kerana Speaker menganggap mereka telah meletakkan jawatan.
SPR juga didakwanya telah melakukan kesilapan besar apabila cuba bertindak sebagai mahkamah dengan menyatakan wujud keraguan daripada surat perletakan jawatan kedua-dua ADUN tersebut yang telah dikemukakan oleh Speaker Negeri Perak. V. Sivakumar juga berkata bahawa SPR telah gagal menjalankan tanggungjawabnya sehingga membelakangkan undang-undang dengan menolak notis yang telah dikeluarkan oleh 'Speaker' sebuah Dewan Undangan Negeri yang diberikan kuasa untuk memaklumkan kepada SPR tentang kekosongan kerusi di negeri berkaitan.
Hak untuk mempertikaikan keraguan surat perletakan jawatan kedua-dua ADUN bekenaan sepatutnya dikemukakan oleh empunya diri menerusi injunksi mahkamah dan bukannya SPR. Setelah mahkamah berpuas hati dengan hujah yang dikemukakan maka menjadi bidang kuasa pula pihak mahkamah untuk menentukan arahannya kepada pihak SPR tentang kewajaran ataupun keraguan surat-surat perletakan jawatan tersebut.
Menteri Besar Perak juga telah membuat kenyataan bahawa satu bantahan akan dikemukakan dalam masa 48 jam selepas SPR membuat keputusan itu, sebelum ianya dikemukakan kepada mahkamah untuk tindakan selanjutnya.
Ketika mengulas kes SPR ini, Anwar Ibrahim di dalam kenyataan di laman webnya (http://anwaribrahimblog.com) berkata bahawa kuasa untuk menentukan kesahihan surat tersebut bukanlah di dalam bidang kuasa SPR bahkan ianya harus dirujuk ke mahkamah.
Menurutnya kuasa SPR hanya untuk memastikan kelicinan perjalanan proses pilihan raya. Seterusnya Anwar mempersoalkan mengapa harus SPR melanggar batas bidang kuasa yang dimiliki oleh Speaker DUN Perak?
Malah menurutnya lagi pengkaji undang-undang menganggap keputusan SPR itu bercanggah dengan perlembagaan persekutuan, dan ianya bakal mengundang kemelut yang lebih rumit, kerana katanya kuasa Speaker DUN Negeri berkenaan telah dinafikan.
Seterusnya Anwar telah berkata, mungkin hanya tok dalang yang pandai bermain silap mata dengan menghilangkan orang tanpa dikesan sahaja mampu menjawabnya. Siapa pemain silap mata yang menjadi tok dalang yang dimaksudkan Anwar itu?
MAKLUMAT TERKINI !!Difahamkan MB Perak akan menghadap Baginda Sultan Azlan Shah sekali lagi pada hari ini (Antara jam 1.00 tengahari - 3.00 petang) untuk mendapatkan perkenan baginda membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak dalam tempoh yang terdekat ini. Sama-sama kita tunggu dengan penuh debaran...