assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Sunday, January 30, 2011

BN MENANG MAJORITI 3707, TAPI PENGUNDI CINA MASIH BERPIHAK KEPADA PAS

BN - 6699 UNDI

PAS - 2992 UNDI

UNDI ROSAK - 142 UNDI


Tahniah kepada BN kerana berjaya mengekalkan kerusi DUN Tenang dengan majoriti yang bertambah 3707 undi, setelah calonnya Mohd Azahar Ibrahim memperolehi 6699 undi berbanding dengan calon PAS Cikgu Normala Sudirman yang memperolehi 2992 undi. Bilangan kertas undi yang rosak ialah 142 undi.

Walaupun BN telah menang, tetapi majoriti yang diperolehi tidak mencapai sasaran KPI yang dikehendaki oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden UMNO yang mahukan BN menang dengan majoriti 5000 undi. Keputusan di DUN Tenang ini juga menunjukkan bahawa pengundi Cina masih tegar dengan Pakatan Rakyat dengan menolak calon UMNO/BN.

Paling ketara Umno/BN tewas teruk di kawasan bandar yang majoritinya pengundi Cina. Ini jelas berdasarkan keputusan berikut mengikut peti undi.
  • Bandar Labis Tengah: PAS - 801, BN - 365
  • SMK Kamarul Ariffin: BN - 365, PAS - 801.
  • Bandar LabisTengah (S4): PAS - 209, BN - 90.
  • Bandar Baru Labis (S1): PAS - 123, BN - 64
Nampaknya masyarakat Cina di Labis masih belum terbuka hati mereka untuk memberikan sokongan kepada BN, mungkin kemarahan mereka masih menebal terhadap kepimpinan MCA yang kini diketuai oleh Chua Soi Lek.

MCA haruslah membuat kajian terperinci mengapa senario ini masih berlaku, sedangkan pengundi-pengundi Melayu sudah pun menampakkan kecenderungan untuk terus menyokong UMNO. Jika senario ini tidak mampu diperbaiki, BN sewajarnya lebih berhati-hati untuk berhadapan dengan kemungkinan PRU13 yang mahu dipercepatkan pada tahun ini.

Senario yang berlaku di Tenang ini juga amat membimbangkan jika ianya terjadi pada pilihan raya negeri Sarawak yang bakal diadakan dalam jangka masa yang terdekat ini. SUPP seharusnya lebih bersiap siaga samada parti itu mampu mengembalikan semula sokongan pengundi Cina kepada BN?




JIKA BN TIDAK BERJAYA PEROLEHI MAJORITI LEBIH 5 RIBU UNDI, BN GAGAL MENGEKALKAN MOMENTUMNYA

BN menang...tapi gagal dapat majoriti yang diharapkan.

Angka tidak rasmi yang diperolehi menyaksikan bahawa 71.78 % atau kira-kira 10,593 pengundi Tenang menunaikan tanggungjawab mereka hari ini.

Dari jumlah ini dijangkakan Calon BN, Mohd Azahar Ibrahim akan memperolehi 4,204 undi Melayu, 1,446 undi Cina dan 763 India iaitu jumlahnya 6,413 undi. Manakala Cikgu Normala Sudirman calon PAS memperolehi 4,180 undi. Majoriti BN sebanyak 2,233 undi.

Jika keputusan ini yang terjadi menunjukkan prestasi BN tidak banyak berubah, sebaliknya menyaksikan gelombang Pakatan Rakyat kian merobah lanskap politik negara. Lambakan janji manis dan kehadiran ramai pemimpin-pemimpin termasuk pak-pak menteri yang berkampung di Labis bagaikan mencurah air di daun keladi.

TAIB & NAJIB BERADA DI ABU DHABI TARIK PELABUR ARAB, MUNGKIN BINCANG TARIKH PILIHAN RAYA DI SANA

Oleh Abdul Rahman Hashim

Pehin Sri Abdul Taib Mahmud (foto) sudah mendapat ilham untuk adakan pilihan raya negeri Sarawak pada bila-bila masa sebelum Julai ini. Manakala Dato' Sri Najib Tun Razak juga sudah menunjukkan momentumnya untuk mempercepatkan pilihan raya umum ke-13 pada tahun ini, walaupun tempohnya masih panjang lagi hingga tahun 2013.

Hari ini, 30 Januari 2011 Najib akan berada di Abu Dhabi, manakala Taib Mahmud sudah pun berada lebih awal di negara Arab itu. Di Abu Dhabi Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak akan merasmikan 'Invest Malaysia 2011' bersama-sama dengan Putera Mahkota Abu Dhabi Jeneral Sheikh Mohammed Bin Zayed Bin Sultan Al-Nahyan.

Invest Malaysia 2011 yang diadakan di Abu Dhabi itu dikatakan mampu menarik pelabur dari negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang telah menunjukkan minat besar di Hab Halal Tanjung Manis (TMHH) di negeri Sarawak. TMHH merupakan projek pembangunan terbesar di bawah SCORE yang mampu menjana ekonomi negeri Sarawak lebih bersepadu menjelang 2020.

Selain daripada menghadiri Invest Malaysia 2011 itu, Najib dan Taib juga dikatakan akan bertemu di sana khusus untuk mendapatkan pandangan-pandangan yang boleh dirumus berkaitan dengan isu pilihan raya yang semakin membahang kehangatannya bukan sahaja di Sarawak, malah ia kini telah menjadi topik nasional.

Taib mempunyai beberapa pilihan untuk mengadakan pilihan raya negeri pada tahun ini. Bulan Februari bukanlah pilihan utamanya untuk diadakan pilihan raya, kerana pada bulan ini masyarakat Cina akan merayakan perayaan Tahun Baru Cina bermula 3 Februari depan. Namun begitu bulan Mac merupakan masa yang sesuai kerana cuti sekolah pertengahan penggal akan bermula 12 - 20 Mac.

Bulan April juga dikatakan tidak sesuai kerana pada bulan ini tidak wujud cuti panjang persekolahan. Walaupun pada 28 Mei sehingga 12 Jun merupakan cuti pertengahan tahun persekolahan, namun dalam jangka masa itu rakyat Sarawak berketurunan Dayak akan merayakan Hari Gawai Dayak yang jatuh pada 1 Jun 2011.

Difahamkan juga bahawa tarikh mengadakan pilihan raya boleh juga diadakan selepas 60 hari daripada tarikh akhir tamat penggal pada 24 Julai ini. Jika peruntukan klausa undang-undang pilihan raya itu digunakan, bermakna pilihan raya negeri Sarawak boleh diadakan sehingga bulan September 2011.

Rasanya jika tarikh pilihan raya Sarawak boleh dilanjutkan sehingga September 2011, maka PRU13 juga boleh diadakan secara serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak pada bulan September. Mungkin boleh diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri yang jatuh pada tanggal 30 dan 31 Ogos 2011.