assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Thursday, February 3, 2011

5 FEBRUARI ANWAR DI KUCHING DAN 6 FEBRUARI NAJIB DI MIRI

Oleh Abdul Rahman Hashim

Nampaknya semakin dekat pilihan raya negeri Sarawak hendak diadakan semakin kerap pula pemimpin-pemimpin parti nasional bertandang ke negeri bumi kenyalang ini.

Anwar Ibrahim, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat akan berkunjung ke Sarawak pada 5 Februari ini, manakala Dato' Sri Najib, Perdana Menteri Malaysia yang juga Pengerusi BN Pusat akan berada di Sarawak pada keesokan harinya (6 Februari) kerana beliau dikatakan akan menemui semua ADUN Barisan Nasional Negeri itu di Miri sebelum menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina peringkat kebangsaan yang akan diadakan pada sebelah malamnya.

Anwar Ibrahim akan berada di Kuching sabtu ini kerana beliau menjadi tetamu istimewa di dalam majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran partinya di Batu 3, Jalan Kuching/Serian. Beliau juga akan berjumpa dengan semua anggota Majlis Pimpinan PKR Negeri Sarawak sebelum menemui rakyat di Kampung Taei, Serian dan berceramah pula di Taman Sukma, Semariang di Petra Jaya pada sebelah malamnya.

Kunjungan Najib kali ini juga diharapkan dapat menyuntik semangat yang lebih padu kepada semua pimpinan parti-parti komponen BN negeri itu, terutama sekali beliau seharusnya diberikam gambaran mengenai pergolakan terbaru di antara PRS dengan Pengerusi BN Negeri, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Tokoh berpengaruh Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tedwin Ngumbang dikatakan telah bertindak menikam kepimpinan Taib Mahmud yang beliau anggap telah membuli parti itu. PRS juga dilihat sedang berada di ambang keruncingannya kerana parti itu menerima tekanan kuat dari sebilangan anggotanya supaya PRS keluar dari Barisan Nasional.

Anwar Ibrahim pula dilihat akan menjadikan isu ini untuk menarik sokongan anggota PRS supaya beralih arah menyokong Pakatan Rakyat yang juga disokong kuat oleh SNAP. Tedwin Ngumbang dikatakan akan menyertai SNAP untuk bersama-sama dengan Pakatan Rakyat dalam menghadapi pilihan raya negeri yang bakal diadakan kelak.

Najib pula diharapkan dapat memulihkan semula keyakinan komunti Cina yang dikatakan masih terdorong untuk menolak BN di negeri Sarawak. SUPP sebagai sebuah parti yang mewakili komunti Cina negeri itu hendaklah memberikan keyakinan kepada Dato' Sri Najib bahawa parti itu tidak lagi dibenci oleh pengundi Cina sebagaimana yang berlaku dalam pilihan raya negeri pada tahun 2006.

Semoga Tahun Arnab yang dirayakan tahun ini dapat memberi petunjuk kepada masyarakat Cina di negeri Sarawak supaya tidak beralih arah lagi kepada parti lain selain Barisan Nasional. Rakyat berketurunan Cina di Sarawak ini haruslah memahami bahawa DAP dan PKR bukanlah parti yang terbentuk asalnya dari bumi kenyalang, sebaliknya SUPP hendaklah diberikan kepercayaan supaya parti yang tertua di negeri ini dapat digilap semula untuk masa depan Sarawak.