assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Thursday, July 10, 2008

Pak Lah prihatin dengan Ketua-Ketua Cawangan di Wilayah Persekutuan

Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi-
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri di dalam satu majlis dialog bersama-sama dengan ketua-ketua cawangan UMNO seluruh Wilayah Persekutuan pada 9 Julai lalu begitu prihatin dengan perkara yang dibangkitkan oleh ketua-ketua cawangan yang menyuarakan isi hati mereka, terutama yang membabitkan peranan mereka di peringkat akar umbi.Rata-rata ketua cawangan yang mengambil bahagian di dalam sesi dialog itu telah melepaskan 'geram' masing-masing dan kebanyakan pertanyaan tertumpu kepada isu-isu pilihan raya yang lalu termasuk juga isu bagaimana untuk mengukuhkan UMNO yang dikatakan tertekan akibat kekalahan calon-calon BN di dalam pilihan raya lalu.

Diantara perkara yang dibangkitkan ialah isu peruntukan pilihan raya yang dikatakan tidak sampai ke akar umbi sehingga menimbulkan kesulitan sebahagian besar ketua-ketua cawangan untuk menggerakkan jentera pilihan raya. Beberapa ketua cawangan menyuarakan rasa kesal mereka kepada pemimpin UMNO Bahagian tertentu yang dikatakan tidak mengagihkan peruntukan secukupnya dan ini menyebabkan berlakunya unsur sabotaj sehingga melemahkan jentera parti semasa pilihan raya diadakan.

Pak Lah ketika menjawab persoalan ini telah melahirkan rasa kecewanya dan beliau menyatakan isu ini sepatutnya tidak berbangkit lagi seterusnya beliau berharap agar laporan terperinci dapat dibuat sebelum apa-apa tindakan diambil. Pak Lah juga bersetuju agar peranan ketua cawangan dapat dipertingkatkan supaya masalah akar umbi dapat diatasi dengan segera. Perdana Menteri juga bersetuju supaya Kementerian Wilayah Persekutuan dapat menyegerakan penubuhan 'JKKP' di peringkat Wilayah Persekutuan bagi membolehkan pemimpin di peringkat akar umbi menggunakan makenisma ini untuk menyelaraskan semua urusan berkaitan dengan masyarakat di kawasan masing-masing. Ketua-Ketua UMNO Cawangan boleh dilantik untuk mengetuai JKKP ini.

Sesi dialog ini di adakan di dalam satu majlis Ramah Mesra Bersama Perdana Menteri anjuran JASA yang diadakan di PWTC, Kuala Lumpur. Seramai 455 orang ketua-ketua UMNO Cawangan dari seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan telah menghadiri majlis ini.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Dato' Shabery Chik, Menteri Penerangan Malaysia, Dato' Seri Tengku Adnan Mansor, Setiausaha Agung UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Dato' Azim Zabidi, Bendahari UMNO Malaysia yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang dan pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO Bahagian-Bahagian di Wilayah Persekutuan Dato' Sri Zulhasnan Rafique, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan tidak hadir dalam majlis ini kerana beliau dikatakan masih keuzuran.