assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Tuesday, April 7, 2009

Kenapa heret Dr. Mahathir bercakap ISU DERHAKA RAJA?

Selamat mengundi kepada warga pengundi Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai. Maraton kempen di tiga-tiga kawasan pilihan raya kecil ini sudah pun berakhir, dan kuasa rakyatlah yang pasti didaulatkan kerana rakyat adalah 'Raja Demokrasi'.

Semua pemimpin terpanggil untuk merendah diri kepada raja demokrasi ini, termasuk pemimpin Barisan Nasional yang telah 'MEMOHON RESTU RAKYAT' agar rakyat kali ini berpaut semula kepada lambang dacing tua yang telah ditolak oleh 'raja demokrasi' terutamanya di tanah semenanjung. Lima negeri termasuk WP telah menawan hati 'raja demokrasi' untuk memilih Pakatan Rakyat membentuk pembaharuan kerajaannya.

Daripada lima negeri yang ditawan oleh Pakatan Rakyat, cuma Perak sahaja yang yang telah mengundang parti BN yang kalah dalam PRU12 lalu menemui Sultan Perak untuk memaksa secara derhaka kepada 'Raja Demokrasi' supaya akur bahawa kerajaan Pakatan Rakyat di negeri itu telah berjaya dirampas takhtanya.

Hari ini 7 April 2009 'Raja Demokrasi' akan membuat penentuan samada hasrat BN untuk menawan semula kerusi Parlimen Bukit Gantang, kerusi DUN Bukit Selambau dan percubaan untuk mengekalkan semula DUN Batang Ai dapat direstui oleh warga pengundi yang menjadi 'Raja Sehari' untuk sebuah demokrasi di negara ini.

Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengepalai gerombolan anti kekebalan 'Insititusi Raja-Raja Melayu' suatu ketika dahulu juga terdorong untuk diheret ke pentas ceramah BN di Bukit Gantang dan Bukit Selambau seraya menyeru agar rakyat menolak 'Calon Penderhaka Raja'?

Mengheret Dr. Mahathir yang memiliki rekod jelik terhadap Raja-Raja Melayu di pentas pilihan raya kecil di Bukit Gantang dan Bukit Selambau sehari sebelum hari mengundi dilihat memercikkan air beracun ke muka sendiri. Tentunya pucuk pimpinan UMNO/BN mahukan kehadirannya dapat memulihkan semula keyakinan pengundi kepada parti yang pernah beliau cerca selama Pak Lah memimpin kerajaan.

Begitu juga UMNO tentunya berpendapat hanya Mahathir sajalah yang boleh menjawab tentang isu raja yang dibiolakan oleh penggeseknya sendiri di pentas-pentas UMNO/BN di sepanjang kempen terutamanya di Bukit Gantang.

Penggesek biola UMNO (FOTO) begitu ghairah sekali mendakwa hanya parti UMNO sajalah yang layak mendaulatkan institusi kesultanan Melayu di negara ini, kononnya! Sedangkan dia lupa bahawa Raja Melayu yang dihilangkan imunitinya juga adalah Sultan kepada Raja Demokrasi yang sama-sama harus dihormati.

Tindakan menuduh orang lain menderhaka kepada Sultan semata-mata kerana yang dituduh itu dari kalangan pemimpin dan penyokong parti Pakatan Rakyat bukanlah suatu tindakan yang bijak, kerana rakyat TIDAK PERNAH LUPA betapa pemimpin UMNO sendiri yang begitu bergejolak telah menghentam dan menghina Sultan dengan menggunakan segala serangan media untuk dipaparkan kepada rakyat.

Sultan Terengganu yang kini menjadi Yang Dipertuan Agong dicerca dengan perkataan yang amat derhaka (Natang = Binatang) oleh penderhaka UMNO ketika mengadakan demonstrasi membantah campur tangan Sultan dalam isu lantikan Menteri Besar tahun lalu. Apakah tidak boleh kita labelkan tindakan UMNO itu sebagai penderhaka dan pengkhianat Sultan? Begitu juga Shahidan Kasim begitu marah sekali sehingga sanggup menyepak pintu gate Istana Raja Perlis kerana tidak dapat menjadi Menteri Besar boleh dikategorikan sebagai tidak derhaka?

Sebab itu saya kesal dengan percubaan yang telah dilakukan oleh kita dengan mengheret 'orang tua' itu untuk menuding jari ke muka 'Nizar Jamaludin' sebagai calon penderhaka yang tidak patut diundi oleh rakyat di Bukit Gantang. Rakyat di Bukit Gantang dikatakan telah mentertawakan Dr. M kerana angkara dialah UMNO terheret sebagai parti penderhaka kepada Raja-Raja Melayu....!! Kadang-kadang kita menjadi serba salah dan agak sukar untuk membidas pihak sebelah sana akibat road show yang pernah UMNO lakukan untuk menghina Sultan.

Mohon menyembah derhaka sekadar untuk menyatakan pendapat yang mungkin tidak diperkenan oleh Sultan, adalah lebih bersantun daripada mengatakan 'binatang' kepada baginda Sultan kerana marahkan Sultan tidak melantik Idris Jusoh sebagai MB Terengganu. Mohon menyembah derhaka yang diungkapkan oleh 'Nizar Jamaludin' adalah lebih bersantun daripada tindakan dan percubaan Anuar Musa untuk menukar Sultan Kelantan yang ada sekarang kepada calon Sultan yang pernah ditajanya.

Mengheret Dr. Mahathir ke gelanggang pilihan raya kecil di Bukit Gantang dan Bukit Selambau samalah juga memberi peluru kepada musuh untuk meMbunuh diri sendiri. Rakyat di sana rata-rata menganggap Dr. Mahathir sebagai 'Surat Khabar Lama' yang menyuruh warga pengundi merujuk semula berita-berita penderhakaannya kepada Raja-Raja Melayu yang pernah dipaparkan di dada-dada akhbar suatu masa dahulu.

Sayang....sepatutnya sebagai seorang tokoh negawaran beliau seharusnya lebih bijak untuk menyesuaikan hari-hari tuanya supaya tidak mengajar rakyat derhaka kepada Sultan dan tidak mengajak orang lain meninggalkan UMNO sehingga UMNO terjebak dengan delima penolakan rakyat terhadapnya. Pak Lah menjadi tidak keharuan akibat gelagat 'surat khabar lama' ini. Janganlah hendaknya Najib menjadi mangsa kedua persis Pak Lah.


SELAMAT MENGUNDI BUKIT GANTANG, BUKIT SELAMBAU
DAN BATAANG AI!