assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Wednesday, December 7, 2011

HASAN ALI LEBIH LAYAK JADI MB SELANGOR DARI NOH OMAR?

Utusan lebih menonjolkan Hasan Ali dari Noh Omar

Oleh Abdul Rahman Hashim
Utusan kata Dr. Hasan Ali boleh menjadi penyelamat kepada orang Melayu yang sedang berpecah di Selangor. Kenapa Utusan tak iktiraf 'orang umno' yang patut menjuarai perpaduan Melayu ini...bukankah UMNO yang terjerit-jerit perjuangkan Melayu.
Hasan Ali itu orang PAS yang disyaki sebagai 'mata-mata' UMNO, akibatnya jawatan Pengerusi PAS selangor yang disandangnya selama ini pun sudah pun dilucutkan, silap-silap PRU13 nanti dia tidak akan dicalonkan semula oleh partinya sendiri. Apakah Utusan bersetuju supaya UMNO Selangor terima beliau sebagai winnable candidate BN jika PAS merasakan beliau bukan lagi layak menjadi orang PAS? Lepas itu suruh dia teruskan usaha menyatukan PAS/UMNO...boleh jadi ke? Utusan nampaknya tak yakin lagi dengan Dato' Seri Noh Omar, Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor sehingga tergamak melonjakkan orang kuat PAS yang bakal direbahkan oleh partinya sendiri.
Dato' Dr Hasan Ali...Utusan sedang memusingkan kepalanya

Elok juga selepas ini Utusan mencadangkan kepada pucuk pimpinan UMNO supaya calonkan Dr. Hasan Ali sebagai Menteri Besar Selangor jika usaha Dr. Hasan Ali berjaya mengkahwinkan UMNO/PAS. Buat apa nak melantik orang UMNO, kerana Utusan lebih menonjolkan kehandalan Hasan Ali daripada Noh Omar.

Kaedahnya mudah sahaja, jika Hasan Ali dipecat atau digugurkan daripada menjadi calon PAS dalam PRU13 nanti, Utusan harus memberikan pembelaan terhadap Dr. Hasan Ali supaya dia menjadi winnable candidate BN di kawasannya di DUN Gombak Setia, dan nasihatkan UMNO Gombak supaya bermati-matian menangkan Hasan Ali, untuk mengalahkan calon PAS yang baru nanti.

UMNO Bahagian Gombak harus berkorban memberikan laluan kepada tokoh PAS ini yang dijulang oleh Utusan Melayu, dan lupakan sahaja hasrat untuk meletakkan winnable candidate dari UMNO Bahagian itu bagi membolehkan Dato' Dr. Hasan Ali diangkat menjadi Menteri Besar Selangor yang baru, itu pun jika Utusan merasakan Hasan Ali boleh melakukan kejutan menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat.


PARTI KITA TETAP SOKONG PEMBANGKANG - ZAID

Datuk Zaid Ibrahim, Presiden KITA

Oleh Abdul Rahman Hashim

Datuk Zaid Ibrahim yang mengetuai parti barunya iaitu Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air atau KITA sekali lagi mengulangi kenyataan bahawa parti itu akan bersama-sama dengan parti pembangkang yang lainnya dalam menghadapi PRU13 nanti.

Datuk Zaid Ibrahim, Presiden Parti KITA dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan bahawa parti itu akan memberikan sokongan mutlak kepada pembangkang dalam apa juga cara untuk memastikan "kemenangan rakyat".

KITA mengambil pendirian itu setelah mengambil kira kenyataan daripada pemimpin UMNO terhadap parti pembangkang sejak kebelakangan ini yang didakwa memberi petanda buruk ke atas trend politik nasional, katanya.

"Untuk menunjukkan solidariti kita dengan pembangkang, dan penolakan kita terhadap idea fasis dan autoritarian, KITA ingin menyatakan semula bahawa kita akan terus menyokong pembangkang dengan harapan untuk perubahan sebenar,"
katanya.

Antara kenyataan yang paling keras menghentam pembangkang disuarakan daripada timbalan presiden UMNO sendiri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa Malaysia akan menjadi negara republik sekiranya pembangkang menang pilihan raya.

Zaid menyifatkan kenyataan Muhyiddin di perhimpunan agung UMNO minggu lalu itu sebagai "berbahaya dan tidak bertanggungjawab." Mengulas lanjut, Zaid berkata kenyataan itu juga dikesali dan amat membimbangkannya kerana ia hanya akan melebarkan lagi jurang di antara kelompok kaum.

"DAP telah dilabel sebagai parti rasis dan orang Melayu di dalam pembangkang disifatkan sebagai pak turut golongan Cina. Nampaknya pemimpin kita hari ini mahu menang pilihan raya umum dengan apa jua cara, dan mereka hanya mementingkan kedudukan dan kuasa sendiri berbanding kesejahteraan Malaysia dan rakyatnya", katanya.

Zaid juga berkata, serangan ke atas DAP hanya akan merenggangkan masyarakat Cina tetapi tidak akan menyakiti golongan berkenaan yang mampu berdidikari. Sebaliknya, orang Melayulah yang akan derita kerana UMNO hanya hanya menawarkan retorik liar seperti itu, kata beliau lagi.

Berdasarkan maklumat dan kenyataan yang dibuat itu, Zaid Ibrahim yang pernah berada di dalam UMNO dan juga PKR kini semakin terdorong untuk memenangi semula hati-hati rakannya yang berada di dalam Pakatan Rakyat setelah beliau bertindak keluar dari PKR dan menubuhkan parti baru.

Pemerhati politik sebelum ini melihat tindakannya keluar dari PKR telah menjejaskan kekuatan parti itu apabila beberapa orang tokoh PKR yang lainnya juga mengambil tindakan keluar parti. Namun mereka yang keluar parti menjadi Ahli Parlimen BEBAS seperti Zaharin Hashim, Zulkifli Nordin dan Wee Chee Keong tidak menyertai mana-mana parti yang lain namun mereka kini berlagak persis 'Mesra BN'.

Rasanya dalam PRU13 nanti mereka yang Mesra BN, walau setinggi langit sekalipun puji-pujian mereka terhadap Najib dan kerajaan BN, tidak mungkin UMNO/BN akan memilih mereka sebagai winnable candidate untuk bertanding mewakili BN. Jika mereka mahu menyerai sirkit PRU13 nanti, kenalah bertanding atas tiket Bebas untuk menentang BN dan juga calon Pakatan Rakyat.

Kalau mereka mahu mengekalkan kedudukan sebagai ahli parlimen di situ, Zaharin dan Zul Nordin terpaksalah mereka berhempas pulas menyenaraikan semula kebejatan BN selain mencerca parti asal mereka, PKR.

Berbeza dengan Datuk Zaid Ibrahim, dalam PRU13 nanti beliau mungkin tidak bertanding atas tiket PKR, namun dengan kenyataan terbarunya ini apakah mungkin Pakatan Rakyat akan melorongkan diri beliau untuk bertanding di mana-mana kerusi yang winnable pembangkang memenanginya?

Zaid Ibrahim janganlah mengharapkan Najib akan memberi lampu hijau untuk beliau bertanding atas tiket BN semata-mata beliau telah bertindak mufarakah dengan PKR. Begitu juga dengan Ibrahim Ali yang sebelum ini menang kerana beliau bertanding mengunakan lambang PAS di Pasir Mas, namun tak mungkin kali ini beliau boleh menang lagi di situ, kecuali Najib merasakan Presiden PERKASA itu wajar mengenepikan calon-calon UMNO di Pasir Mas untuk beliau bertanding mewakili BN menentang PAS. Siapalah yang mahukan Ibrahim Ali lagi, UMNO atau PAS?