assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Thursday, February 5, 2009

Nizar masih MB Perak? Pejabatnya di kepung FRU, SUK arahkan MB kosongkan pejabat...

EPISOD RAMPAS KUASA SEMAKIN BERLIKU

TERKINI.....Sidang media yang diadakan oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Ir. Mohd. Nizar Jamaludin yang turut disertai oleh Anwar, Hadi Awang, Lim Kit Siang dan lain-lain pemimpin Pakatan Rakyat baru saja selesai.

Nizar berkata beliau masih kekal sebagai Menteri Besar Perak yang sah, dan beliau tidak berhasrat untuk meletak jawatan sebagai Menteri Besar. Kedudukan seri diantara BN-28 dan PR-28, manakala Bebas-3, memperlihatkan tidak ada pihak (BN/PR) yang mempunyai majoriti.

Maka sebab itu Nizar berkata kewajaran baginya membubarkan Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan rakyat membuat pilihan yang baru di dalam satu pilihan raya umum Negeri Perak. Namun begitu Paduka Seri Sultan Perak telah tidak memperkenankan nasihat Menteri Besar itu dengan alasan MB Perak itu tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar dari kalangan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Perak, seterusnya menitahkan supaya Nizar meletakkan jawatan serta merta.

Dalam satu perkembangan yang lain, keadaan di Ipoh terutamanya di Bangunan SUK kelihatan Pasukan FRU telah membuat kepungan di sekitar bangunan yang menempatkan pejabat Menteri Besar sebaik sahaja mendapat arahan daripada pihak tertentu. Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Dr. Abdul Rahman Hashim telah mengarahkan MB Perak dan semua exconya supaya mengosongkan pejabat masing-masing dengan segera. Mereka diarahkan juga supaya memulangkan semua aset kerajaan negeri, termasuk kunci pejabat dan menyerahkan kenderaan resmi masing-masing dengan segera. Kesemua mereka juga dilarang memindahkan sebarang dokumen dari bilik masing-masing.

Begitu juga sekitar kawasan Stadium Negeri yang bakal menerima kehadiran dan limpahan lebih 100 ribu manusia untuk mendengar ceramah dari pemimpin Pakatan Rakyat pada malam ini juga telah dikepung oleh FRU, kerana perhimpunan ini dikatakan tidak mempunyai permit daripada pihak Polis.

UMNO mendakwa memiliki kecukupan untuk membentuk kerajaan setelah dua ADUN yang bermasalah itu keluar PKR, tapi tidak masuk UMNO; dan seorang lagi ADUN Jelapang dari DAP yang turut keluar menjadi wakil Bebas, tapi tidak masuk MCA.

Manakala ADUN Bota yang berjaya merebut takhta 'katak lompat' daripada Datuk Ibrahim Ali telah melompat sekali lagi mengikut pusingan U setelah meninggalkan UMNO selama 10 hari, dan kemudiannya masuk semula UMNO.

(Difahamkan petang esok akan berlangsung upacara mengangkat sumpah di hadapan Sultan Perak bagi menjuruskan maksud pembentukan kerajaan baru yang berjaya dirampas oleh BN dari Pakatan Rakyat.)

UMNO terpaksa menerima sokongan dan juga kehadiran pemegang-pemegang watak kitul ini untuk berkuasa di Perak, dengan tidak memperdulikan apa yang mungkin berlaku terhadap DUN Behrang dan DUN Changkat Jering yang dikatakan terlibat dengan 'rasuah seks' yang bakal mengheret satu lagi pilihan raya kecil di kedua-dua DUN itu nanti.

Speaker DUN Perak juga kelmarin telah mengemukakan permohonan ke Mahkamah supaya status ADUN Behrang, ADUN CHangkat Jering dan ADUN Jelapang dikosongkan kerana mereka dianggapnya telah meletakkan jawatan sebagai ADUN di kawasan masing-masing.

Memandangkan kes-kes yang timbul ini akan merumitkan lagi keadaan, maka nasihat MB Perak kepada Paduka Seri Sultan Perak ialah supaya DUN dibubarkan untuk diadakan pilihan raya umum di negeri ini.



Lim Guan Eng sedang pujuk ADUN Jelapang sertai semula Pakatan Rakyat..

TERKINI....Di dalam kekalutan dan kemelut poltik yang sedang melanda Perak Darul Ridzwan dan Sultan Azlan Shah pula tidak perkenankan DUN dibubarkan, ADUN Jelapang Hee Yit Foong (Foto) yang merajuk kelmarin, kini dikatakan sedang dirayu oleh DAP agar kembali ke Pakatan Rakyat bagi memulihkan Kerajaan Pakatan Rakyat yang kini menghadapi dilema.

Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelapang itu, Hee Yit Foong supaya memikirkan semula keputusannnya keluar dari Pakatan Rakyat dan menjadi wakil Bebas, lapor Bernama.

Lim yang kesal dengan tindakan Hee itu yang sebelumnya merupakan anggota DAP, menegaskan, Hee sepatutnya memikirkan tanggungjawab dan amanah yang telah diberi oleh rakyat kepadanya pada pilihan raya umum lepas.

"Kami berharap agar beliau dapat memikirkan semula keputusannya.

"Kalau tidak menyertai semula parti sekurang-kurangnya beliau tidak mengambil keputusan yang boleh mengabaikan kepentingan rakyat," katanya kepada pemberita pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Hee beserta dua orang lagi wakil rakyat PKR, iaitu Adun kawasan Changkat Jering, Kapt (B) Mohd Osman Jailu dan Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi, telah keluar daripada parti masing-masing untuk menjadi ADUN Bebas sekaligus menjadi pelengkap kepada kerakusan BN untuk merampas semula kerajaan negeri Perak.

Sultan Perak tidak perkenan DUN dibubar....Nizar dititah meletakkan jawatannya?

TERKINI....Sehingga jam 3.30 petang ini, MB Perak masih belum mengadakan sidang medianya. Namun begitu beliau bersama-sama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan lain-lain pemimpin Pakatan Rakyat yang turut berada di kediaman resmi MB Perak itu telah bersedia bila-bila masa untuk mengadakan sidang khas media tersebut.

Di dalam satu perkembangan lain, difahamkan Baginda Sultan Perak Sultan Azlan Shah memutuskan untuk tidak memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan menitahkan supaya Menteri Besar Mohammad Nizar Jamaluddin dan barisan exconya meletak jawatan berkuat kuasa serta merta.

Pejabat Sultan Perak dalam satu kenyataan hari ini berkata, baginda setelah menemui kesemua 28 anggota dewan daripada Barisan Nasional dan juga tiga anggota Bebas, baginda yakin bahawa Mohammad Nizar telah terhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada kalangan anggota dewan.

“Sekiranya Mohammad Nizar tidak meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama ahli-ahli MMK (Majlis Mesyuarat Kerajaan), maka jawatan Menteri Besar serta ahli-ahli MMK tersebut dianggap telah dikosongkan,” kata kenyataan itu.

Najib dua kali menghadap Sultan, Nizar juga dititah menghadap..

TERKINI......setakat ini Datuk Sri Najib Tun Razak telah dua kali menghadap Sultan Perak, setelah kali kedua diminta membawa menghadap bersama ke empat-empat ADUN yang melompat. Manakala Menteri Besar Perak Datuk Seri Ir. Mohd. Nizar Jamaluddin juga dititah mengadap ke Istana Kinta, Ipoh kira-kira jam 12.45 tengahari tadi, dan kelihatan tersenyum mesra keluar daripada Istana Kinta kira-kira 20 minit selepas itu.

Datuk Seri Najib dalam satu kenyataan ringkasnya di Bangunan UMNO Perak, di Ipoh selepas bermesyuarat dengan semua pemimpin UMNO Negeri Perak berkata bahawa kita bersedia menunggu dan mematuhi apa jua keputusan yang dititahkan oleh Baginda Sultan Perak.

Sementara itu MB Perak pula akan mengadakan sidang medianya petang ini untuk memaklumkan sesuatu yang penting selepas beliau diterima menghadap Sultan Perak sebentar tadi. Sebelum dititah menghadap, MB Perak telah mengiringi Pak Lah Perdana Menteri di dalam satu upacara resmi kerajaan di Bagan Serai.

Nantikan pengumuman terus daripada mulut MB Perak sendiri sebentar saja lagi...