assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Monday, May 28, 2012

PENJAJA & PENIAGA KECIL BERHAK TENTU HALA TUJU NEGARA

Najib bersama Penjaja. Di kanan, Dato' Ramli Dorani

"Selain berperanan sebagai penyumbang ekonomi negara, penjaja dan peniaga kecil juga mempunyai hak dan kuasa untuk menentukan hala tuju negara" - Dato' Sri Najib, Perdana Menteri.

Dato' Sri Najib Tun Razak semalam telah mengumumkan beberapa insentif penting untuk golongan peniaga dan penjaja kecil termasuk menurunkan kadar bayaran pendaftaran kali pertama bagi perniagaan pemilik tunggal dan perkongsian kepada RM50 untuk tempoh lima tahun sekali gus.
Sebelum ini, penjaja dan peniaga kecil perlu membayar RM30 bagi pendaftaran perniagaan Pemilikan Tunggal dan RM60 bagi Perniagaan Perkongsian, yang perlu diperbaharui setiap tahun. Perdana Menteri turut mengumumkan pemberian diskaun sehingga 50 peratus terhadap kadar kompaun bagi pendaftaran lewat perniagaan dan bayaran pendaftaran lewat.
Pengumunan tersebut disambut dengan tepukan gemuruh daripada kira-kira 15,000 warga penjaja dan peniaga kecil yang menghadiri Majlis Ramah Mesra Warga Penjaja dan Peniaga Kecil 1Malaysia di Dataran Merdeka malam tadi. Perdana Menteri berkata diskaun kadar kompaun itu akan berkuatkuasa 1 Jun sehingga 31 Dis 2012.
“Ini merupakan pemberian istimewa kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) kepada warga penjaja dan peniaga kecil di negara ini,” katanya.
Bagi menjamin kesejahteraan jangka panjang pula, Najib turut memaklumkan bahawa kerajaan akan memperkenalkan satu skim insurans berkelompok khusus untuk golongan penjaja dan peniaga kecil selepas proses mengemas kini data pendaftaran golongan itu dibuat.
“Kalau golongan peniaga ini sakit, mereka tidak ada SOCSO (Pertubuhan Keselamatan Sosial), jadi beban kos rawatan hospital itu sangat berat pada keluarga.
“Jadi pada golongan ini, yang pendapatannya tidak tetap, kita kena fikir perlindungan untuk mereka, bukan sahaja pada masa senang, tetapi juga semasa mereka susah, kita tetap jaga kebajikan mereka,” katanya.
Najib berkata kerajaan akan meneliti semua maklumat berhubung golongan penjaja dan peniaga kecil dan memaklumkan mengenai butir-butir skim insurans itu tidak lama lagi.
Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Persatuan Penjaja Dan Peniaga-peniaga Kecil Malaysia (PPPKM) Datuk Ramli Norani.
Pada majlis itu, Najib turut bersetuju dengan cadangan Ramli untuk meletakkan tanggungjawab bagi menjaga hal ehwal penjaja dan peniaga kecil di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
“Dengan ini jika ada masalah (penjaja dan peniaga kecil) sudah ada tempat untuk dirujuk dan mendapatkan perlindungan dan Datuk Seri Ismail Sabri boleh jadi bapa (mereka),” katanya secara berseloroh.
Sehingga kini, terdapat kira-kira sejuta penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara. Sebelum ini, tiada kementerian khusus bertanggungjawab menjaga hal ehwal penjaja dan peniaga kecil. Perdana Menteri berkata kejayaan PPPKM menghimpunkan sejumlah besar ahlinya malam ini secara aman dan tertib memberi isyarat jelas bahawa tindakan mengadakan demonstrasi jalanan tidak perlu jika mahu membuat sebarang kenyataan.
“Apa perlu demonstrasi jalanan untuk membuat kenyataan…kenyataan peniaga kecil malam ini sudah cukup kuat, hebat dan lebih bermakna dan menunjukkan mereka juga punya kekuatan sebagai sebuah kumpulan yang penting dalam masyarakat,” katanya.

Sunday, May 27, 2012

VETERAN UMNO DI JANDA BAIK MENGUPAS ISU SEMASA

Pemimpin-pemimpin Veteran UMNO dari seluruh negara berkampung di Kem ILMU, dekat Janda Baik, Bentong selama 3 hari bermula 25, 26 dan 27 Mei 2012. 

Dato' Seri Zahid Hamidi, Dato' Seri Shafie Apdal, Dato' Ahmad Maslan dan Tengku Adnan Mansor di antara pemimpin-pemimpin kanan UMNO yang menyampaikan penerangan berhubung dengan isu-isu politik semasa kepada semua peserta yang mengambil bahagian di dalam kursus ini. 

Seramai 400 peserta mewakili setiap negeri telah mengambil bahagian di dalam kursus ini. Sementara itu, Veteran UMNO Wilayah Persekutuan telah menghantar seramai 30 orang peserta yang diketuai oleh Pengerusinya, Datuk Zakaria Saleh.

Saya berbangga kerana turut mengambil bahagian atas kapasiti saya sebagai Setiausaha Kerja Veteran UMNO Wiayah Persekutuan. 

Banner Kursus terpampang pada jalan masuk ke Kem ILMU
Sebuah batu besar menghiasi lanskap di hadapan dewan makan
Dewan Besar Kem ILMU

Asrama penginapan peserta kursus
Abd Rahman Hashim (SUK) & Kamarudin Za (Wakil Setiawangsa)
Datuk Zakaria Saleh membasuh cawan minuman di dewan makan.
Dari kiri - Datuk Zakaria Saleh & Kamarudin Za
Datuk Zakaria Saleh bersama Abd Rahman Hashim (SUK)
Abd Rahman Hashim (SUK) bersama peserta-peserta veteran.
Sempat merakamkan gambar bersama Dato' Seri Shafie Apdal
Dato' Seri Shafie Apdal beramah mesra dengan Veteran UMNO.

Menyambut ketibaan Dato' Seri Zahid Hamidi

Monday, May 21, 2012

BENARKAH ALLAH MENGHARUSKAN PAS & UMNO BERSENGKETA?

Oleh Abdul Rahman Hashim
Bukakan hati mereka untuk perpaduan bukannya melebarkan perpecahan

Zainudin Maidin hendak melumpuhkan PAS sebagai ramuan perpaduan?

"PAS tidaklah seharusnya menjadi pilihan UMNO untuk perpaduan Melayu tetapi sebaliknya perpaduan Melayu hanya akan wujud dengan melumpuhkan PAS," tulis Zam dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini. 
Apakah jalan 'uslub' ini begitu mudah untuk UMNO melakukannya? Ingatlah, bercakap secara retorik memang mudah, namun saya percaya formula itu hanya menjadi mimpi ngeri buat diri Zam kerana UMNO rasanya bukanlah bertuankan kepada 'Zainuddin Maidin'. Kalau UMNO nak bertuankan juga dengan dia, eloklah turuti sahaja kata-kata dia itu, teruskan 'jelajah fitnah' dan semarakkan api kebencian terhadap PAS kerana mungkin itu senjata Zam untuk melumpuhkan PAS? 
Zam mungkin percaya bahawa Allah SWT tidak akan memurkainya apabila doa untuk menghancurkan sesama Islam dimakbuli Tuhan. Utusan mungkin boleh membantunya supaya orang Melayu terus saling bersengketa dengan melumpuhkan satu lagi entiti Melayu yang mungkin menjadi 'harus' untuk dibenamkan di muka bumi ini? 
Selama ini pun Utusan begitu banyak mendengar dan menuruti nasihat-nasihat beliau, lagi pun UMNO memang tidak pernah meraguinya, malah Zainudin Maidin@Zam merasakan rempah ratusnya untuk meracuni pemikiran rakyat membenci sesama umat Melayu yang beragama Islam yang berlainan anutan parti politik di negara ini wajar diperangi habis-habisan.
Zainudin Maidin telah banyak berjasa kepada Utusan dan juga kepada UMNO apabila dia secara konsisten meletakkan formula bahawa perpaduan Melayu hanya boleh tercapai jika puak yang memusuhi UMNO dihancur leburkan. Zam nampaknya berpegang kuat kepada prinsip perjuangan menegakkan syiar Islam haruslah berpaksikan kepada teori iaitu sesiapa yang menenentang UMNO adalah juga menjadi musuh Islam. Mungkin dia terlalu alergik dengan cara PAS menghina UMNO selama ini kononnya mereka yang menentang PAS samalah juga menentang Islam? 
Jika dia marahkan teori atau pun fatwa sesetengah pemimpin PAS yang mendakwa sesiapa yang menentang PAS sudah terpesong dari landasan Islam, maka janganlah dia terdorong pula untuk mengheret dirinya begitu taksub dan menjadi lebih asabiah daripada PAS. Saya sendiri tidak bersetuju jika seseorang itu menjadi ahli UMNO dikatakan sebagai tidak mencium bau syurga kelak. Jika PAS memang benar menganggapkan hal sedemikian, maka wajarlah parti yang memegang kuat perjuangan Islam itu supaya segera mengubah sauhnya sebelum badai melanda diri.
Kepada UMNO mahupun PAS, ingatlah bahawa kita hanya berlainan mengisi borang keahlian, tetapi syahadah kita tetap sama, pegangan akidah Islamiah kita juga bukan berbeza semata-mata kita berlainan lambang politik. Rasulullah SAW pun tidak diperintahkan oleh Tuhannya supaya umat manusia di muka bumi wajib menjadi ahli PAS atau UMNO sebagai pra syarat masuk syurga atau terhumban ke neraka jahanam.
Umat Islam yang menunaikan fardu Haji di tanah suci Mekah/Madinah pun tidak disyaratkan supaya menunjukkan identiti fahaman politiknya di negara masing-masing. Bukan sahaja umat Islam yang berfahaman komunis juga dibenarkan memasuki negara Arab Saudi untuk menyempurnakan fardu Haji, malah umat Islam negara ini juga rasanya tidak akan terperangkap di kaunter imigresen untuk menentukan kesahihan Islam dengan mengaitkan lambang parti masing-masing.
Oleh itu tidak wajarlah samada PAS atau UMNO untuk terus berbalah semata-mata kerana merebut kuasa. Diantara kedua-duanya hendaklah bermuhasabah dan merenung jauh, sampai bilakah umat Islam di negara ini terus dilanda musibah perpecahan, kerana ahli-ahli UMNO dan juga ahli-ahli PAS serta umat Islam lain yang berada dalam PKR semuanya berpegang teguh dengan kepercayaan bahawa Islam hanya akan kuat jika semunya sehati jiwa di bawah lembayung suci Al-Quran dan Asd-Sunnah. 
Sedih hati saya apabila melihat perbalahan diantara satu sama lain terutama melibatkan orang Melayu Islam di negara ini. Saya melihat keadaan ini jika tidak dibendung ia akan menjadi semakin meruncing bila melihat keretakan perpaduan sesama orang-orang Melayu kian besar dan semakin melebar jurangnya, kerana kedua-dua parti ini masih hangat berbalah sehingga mereka belum terjumpa noktahnya.
Kepada Zainudin Maidin, tak payahlah berlagak sangat untuk menjadi sang juara perpaduan Melayu jika seruan perpaduannya mempertaruhkan orang Melayu sendiri supaya menjahanamkan rakan seagama Islam yang tidak menyokong UMNO. Kekebalan UMNO bukan terletak kepada tebalnya kebencian kita terhadap PAS. Allah hanya sayang kepada hambanya yang bertaqwa dan beriman kepadaNya, bukan ketaksuban kepada UMNO atau PAS yang menjadi kriterianya. Wallahu'alam.





Saturday, May 12, 2012

UMNO 66 TAHUN, DIMANA 'WOW FACTOR' NYA?

Oleh Abdul Rahman Hashim
Perhimpunan UMNO 66 Tahun di Stadium Nasional Bukit Jalil, 11 Mei 2012
Demonstrasi BERISH 3.0 di Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur, 28 April 2012.
 Tahniah dan syabas kepada UMNO. UMNO telah merayakan Ulang tahunnya yang ke-66 kelmarin (11 Mei 2012). Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur telah menjadi venue utama yang menyaksikan lebih kurang 60/70 ribu orang UMNO dari segenap pelusuk tanah air termasuk dari Sabah telah berhimpun di situ.
Walaupun Tan Sri Muhyiddin Yassin menganggarkan lebih 100 ribu orang yang hadir, namun kapasiti sebenar yang boleh memenuhi semua kerusi yang ada di stadium nasional itu hanyalah sekitar 87 ribu orang. Masih banyak kerusi yang kosong di bahagian tingkat atas stadium, namun di bahagian atas padang stadium kelihatan telah diisi sepenuhnya. Jika Muhyiddin berkata masih ada ramai orang yang berpusu-pusu di luar stadium, sepatutnya mereka di luar itu masuk ke dalam memenuhkan ruang yang masih lompong di dalam stadium! Kenapa sehingga upacara kemuncak Najib memberikan ucaptama, masih terdapat ruang yang kosong itu tidak dipenghunikan? 
Rasanya eloklah kita jangan polemikkan tentang bilangan kehadiran orang yang hadir samada di perhimpunan jalanan BERSIH 3.0 pada 28 April atau perhimpunan Hari Jadi UMNO yang Ke-66 tahun pada 11 Mei 2012 kelmarin. Jikalau kita hendak membanggakan sangat tentang bilangan yang hadir, saya bimbang selepas ini UMNO masih tersenggok-senggok untuk bertahan dengan angka puluhan ribu yang sudah diperolehinya sempena upacara ulangtahun UMNO Ke-66 semalam, kerana yang jelas UMNO begitu sukar untuk menghimpunkan 'crowd' melainkan terpaksa menyediakan baju, topi, makan minum, bas-bas sewaan dan mungkin perbelanjaan yang lain-lainnya. 
Berbanding dengan demonstran BERSIH, mereka berhimpun dengan berbekalkan semangat yang tinggi, tidaklah seperti apa yang diperolehi oleh mereka yang hadir di dalam majlis-majlis perhimpunan kelolaan UMNO/BN.
Terdapat juga layanan berat sebelah yang diberikan oleh pihak polis terhadap BERSIH dan juga UMNO. Perhimpunan BERSIH terpaksa dikategorikan sebagai perhimpunan HARAM bagi membolehkan pihak polis melakukan tindak balas seperti mengadakan sekatan-sekatan jalan raya, melepaskan gas pemedih mata dan berlaku juga insiden provokasi pihak polis yang berlilit getah di lengan serta tidak kurang juga yang berpakaian baju kuning sama seperti demonstran BERSIH. Rasanya perhimpunan UMNO semalam tidak ada insiden-insiden provokasi yang memungkinkan gas pemedih mata dilepaskan kepada orang ramai yang mengambil bahagian.
Saya tidak pasti apakah perhimpunan kelolaan UMNO malam tadi turut melibatkan kerahan anggopa polis FRU dari seluruh negara, maklumlah UMNO juga hendak tunjukkan kepada BERSIH bahawa mereka juga mampu membawa puluhan ribu penyokong. 
Saya percaya jika terdapat unsur-unsur provokasi yang didalangi itu, pasti akan menimbulkan bahang kekecohan yang disengajakan. Akibatnya ramailah yang akan lintang pukang dan akhirnya akan berlaku pergelutan di antara pihak polis dengan orang ramai seperti yang telah berlaku dalam perhimpunan BERSIH pada 28 April lalu. Polis tidak bertindak sedemikian kerana perhimpunan ini disertai oleh pembesar-pembesar negara.
Kaedah pengawalan keselamatan yang dibuat oleh pihak polis terhadap BERSIH dan UMNO ternyata berbeza. BERSIH dianggap KOTOR, manakala UMNO dilihat lebih bersih dari BERSIH. Maka sebab itu perhimpunan BERSIH terpaksa diperlakukan sedemikian. Justeru ramai yang diburu, tidak kurang juga yang kena belasah akibat nak tunjukkan kemarahan kepada SPR. Para demonstran diperlakukan sebegitu kasar seolah-olah mereka ini memiliki senjata dan benar-benar hendak melakukan kekacauan kepada negara. Walaupun ada anggota polis yang tercedera, namun kita tidak boleh menutup mata terdapat ramai juga yang telah dibelasah oleh polis.
Oleh itu apabila Najib memberikan pembelaan kepada pihak polis, dia langsung tidak terfikir bahawa ramai juga rakyatnya yang telah digodam secara ganas, dipijak-pijak, dipukul malah mangsa juga ditendang secara beramai-ramai oleh pasukan keselamatan yang diberi kuasa. Mungkin juga Najib tak perlu membela mereka yang menyertai BERSIH, tetapi janganlah menafikan langsung bahawa pihak polis tidak melakukan kekasaran!!
Semasa menyampaikan ucaptamanya malam tadi, Najib kelihatannya tidak berbekalkan modal-modal baru yang mampu menyerlahkan 'WOW UMNO'. Najib masih menggunakan syair lamanya yang telah diulangi banyak kali di dalam ucapan-ucapan beliau sebelumnya. Sepatutnya Najib menggunakan pentas 'UMNO 66 Tahun' ini dengan menyelongkar iktisar sejarah perjuangan orang Melayu dan rakyat negara ini ketika berhadapan dengan kolonialisme dan memaparkan rentetan sejarah kejayaan negara hasil gagasan kepimpinan UMNO sejak dahulu lagi sehinggalah pada hari ini.
Sebagai Presiden UMNO, Najib seharusnya juga memancarkan tip-tip kelangsungan perjuangan UMNO yang lebih menarik untuk dihayati oleh generasi pewaris hari ini. UMNO sepatutnya dimekarkan dengan segala transformasi politik yang digariskan dengan menyeru umat Melayu negara ini supaya segera mencari noktah perbalahan yang tidak membawa apa-apa keuntungannya. 
Najib seharusnya bijak bermain dengan kata-katanya sebagai pencetus penyatuan umah dengan seruan perpaduan. Beliau sepatutnya menggunakan kesempatan ini untuk menjadikan UMNO lebih teruja untuk didekati oleh golongan muda. Saranan Dr. Mahathir supaya UMNO tidak mengenepikan golongan cerdik pandai, jangalah dipandang sepi. Ucapan Najib yang terlebih ego ini bagaikan UMNO tidak berhadapan lagi dengan masalah. Apakah beliau terlupa bahawa UMNO/BN telah kehilangan dominasi di beberapa buah negeri yang telah ditawan oleh Pakatan Rakyat kerana wujudnya jurang-jurang kebencian golongan muda dan golongan profesional terhadap perlakuan-perlakuan sumbang yang membabitkan pemimpin-pemimpin UMNO yang sudah lama berkuasa. 
Masyarakat bandar hendaklah diyakini bahawa UMNO masih relevan. Lakukan pembaharuan-pembaharuan yang memekarkan imej UMNO dengan agenda transformasi yang tidak berbaur dengan unsur-unsur rasuah dan penyelewengan.  Pragmatisme UMNO haruslah diterjemahkan dalam bentuk adanya keinginan untuk menghindarkan diri dari terjebak dengan perkara-perkara yang menjijikkan. 
Mentaliti rakyat hari ini janganlah disamakan dengan mentaliti zaman Dato' Onn, zaman Tunku, zaman Tun Razak dan juga zaman Tun Hussein Onn. Era hari ini adalah arus modenisasi yang telah dievolusikan oleh Dr. Mahathir Mohamad sejak beliau memimpin negara.
Maklumat-maklumat terbaru seluruh dunia kini sentiasa mendepani pemikiran rakyat. Kita tidak boleh memperdayakan maklumat mengikut selera kita sehingga membiarkan rakyat terus membenci UMNO akibat penyelewengan fakta yang ketara sekali di antara liputan berita TV3 dengan maklumat menerusi saluran-saluran media baru yang lebih pantas diterima. 
Oleh kerana wujudnya sentimen untuk menghina pihak yang menentang kerajaan, maka laporan yang dilihat memberi advantage kepada pihak pembangkang terpaksa disunting dengan pelbagai manipulasi jahat.  Jika kita masih dibuai dengan puisi lama, sedangkan dunia IT telah menjadikan pemikiran rakyat lebih terkehadapan, maka seolah-olah kita sedang menipu mereka. Akibatnya mereka akan menolak UMNO, kerana kebanyakan media arus perdana ini dimonopoli oleh regim UMNO. Golongan ini menuding jari kepada UMNO kerana parti ini dianggap tidak lagi berpijak di bumi nyata.
Saya masih menaruh harapan, supaya usia UMNO 66 tahun ini tidak menjadikannya semakin kebudak-budakan. Biarlah seusia begini, UMNO tidak ditempelak sebagai parti yang tidak matang. Dalam memekarkan muhasabah dalaman, UMNO kena lebih berani untuk melakukan lebih banyak pengorbanan dan juga pembaharuan demi kelangsungannya di masa hadapan.
Justeru, janganlah hendaknya wujud teori, kononnya pembaharuan di dalam UMNO mungkin boleh terjadi setelah UMNO kecundang dalam PRU13 nanti? Jika tidak sedemikian, masih ramai lagi golongan order lama di dalam UMNO yang begitu liat untuk mengundurkan diri, mereka ini mungkin popular di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO tempatan, tetapi tidak di hati rakyat. UMNO harus melihat fenomena ini sebelum parti ini direbahkan. UMNO kenalah membuktikan 'wow factor' untuk lebih bertahan lama.

Wednesday, May 9, 2012

DURIAN RUNTUH - NAJIB IMPIKAN PILIHAN RAYA JUN INI?

Oleh Abdul Rahman Hashim

Najib berucap di hadapan peneroka Felda di Jengka, Pahang.
Peneroka-Peneroka Felda teruja dengan 'Durian Runtuh'.
NAJIB tidak perlu marah-marah dengan menghamburkan kata-kata kesat seperti 'kurang ajar' dan 'biadap' kepada musuh politiknya apabila hendak mengumumkan durian runtuh kepada peneroka Felda. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa kelmarin telah mengumumkan durian runtuh bukan sahaja kepada peneroka malah untuk isteri dan anak peneroka serta warga kerja Felda. Durian runtuh untuk peneroka adalah berjumlah RM1.689 bilion untuk diagihkan kepada 112,635 keluarga peneroka di seluruh negara sempena penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia.
Beliau berkata pemberian durian runtuh itu akan dilakukan dalam tiga fasa iaitu fasa pertama berjumlah RM5,000 untuk ketua keluarga, fasa kedua sebanyak RM5,000 untuk isteri peneroka dan fasa ketiga RM5,000 kepada generasi kedua Felda. Pada majlis itu juga, Perdana Menteri turut mengumumkan bonus dua bulan setengah gaji kepada petugas dan pegawai Felda.
Jikalau Najib menganggapkan durian runtuh ini boleh menggandakan lagi keyakinan rakyat kepada Barisan Nasional, maka tidak ada sebab lagi untuk beliau menangguhkan pembubaran Dewan Rakyat bagi membolehkan pilihan raya umum ke-13 dapat disegerakan pada bulan Jun ini.
Menangguhkannya lagi dibimbangi semakin berganda isu-isu yang akan dimanipulasi oleh pihak pembangkang untuk menggagalkan impian Perdana Menteri merampas kembali negeri-negeri yang sudah ditawan oleh Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum yang lepas.
Begitu juga PRU13 nanti akan menjadi lebih sengit kerana Najib mahu membuktikan bahawa  BN berkemampuan untuk meraih kembali majoriti dua pertiga yang telah dinafikan oleh Pakatan Rakyat dalam PRU12 pada 8 Mac 2008.
Sejak pengumuman Najib semalam untuk memberi durian runtuh@RM15,000 kepada 112,635 warga Felda di seluruh negara, ia telah mengundang kepelbagaian tafsiran dan pendapat serta tidak kurang juga persepsi pro dan kontra yang bersandarkan kepada hujah-hujah untuk memikat hati rakyat.
PKR sendiri mendakwa bahawa durian runtuh yang diumumkan oleh Perdana Menteri itu merupakan petunjuk bahawa pilihan raya ke-13 semakin hampir, malah mereka lebih teruja untuk menyatakan Najib semakin gelabah dan tersasar menipu peneroka Felda, kerana jangkaan mereka selepas penyenaraian FELDA Global Ventures (FGV) di dalam Bursa Saham, setiap keluarga peneroka sepatutnya menerima lebih daripada itu, iaitu sekitar RM50,000, dan bukannya RM15,000.

PKR mendakwa penyembunyian fakta pelaburan ini membuktikan sekali lagi bahawa pentadbiran Barisan Nasional membolot kekayaan sesama mereka, sedang rakyat diberikan hampas dan imbuhan kecil sahaja.

Menurut sumber yang diperolehi oleh pihak pembangkang, mereka telah meneliti prospektus penyenaraian Felda Global Ventures (FGV) dan mendapati dana yang akan dikutip olehg Felda selepas penyenaraian berjumlah RM5.6 bilion, sementara FGV pula akan mendapat suntikan dana tambahan berjumlah RM4.557 bilion untuk menentukan berapakah nilaian sebenar ganjaran yang sepatutnya diperolehi oleh peneroka FELDA.

Ini berikutan urusniaga berikut:

1.FELDA akan menjual 59% dari pegangannya sedia ada di dalam FGV (bersamaan 1,208,890,900 saham) kepada pelabur-pelabur baru
2.FGV akan menerbitkan saham baru berjumlah 980,000,000 yang akan dijual kepada pelabur-pelabur baru
3.Harga penyenaraian setiap unit saham adalah RM4.65
4.Dana tambahan yang dikutip oleh FELDA adalah RM4.65 x 1,208,890,900 = RM5.6 bilion
5.Dana tambahan yang dikutip oleh FGV adalah RM4.65 x  980,000,000 = RM4.557 bilion

Jumlah keluarga peneroka FELDA di seluruh negara adalah 112,635 yang berhak mendapat keuntungan dari proses penyenaraian ini kerana tanah-tanah seluas 840,603 ekar yang diusahakan oleh Felda Plantations Sdn Bhd adalah milik mereka. Tanah ini dipajakkan kepada FGV yang memberi nilaian besar kepada penyenaraian ini. Tanpa tanah yang diambil oleh FELDA atas nama peneroka ini, penyenaraian FGV akan gagal.
Berasaskan kajian inilah, mereka berpendapat Dato' Seri Najib Tun Razak harus berterus terang kepada rakyat bahawa hanya 30% (berjumlah RM15,000 setiap keluarga) dari dana yang dikutip akan diagihkan kepada peneroka. Jumlah keseluruhan agihan ini adalah RM1.689 bilion.
Bakinya yang lebih besar (iaitu 70% dari jumlah dana yang dikutip) berjumlah RM3.942 bilion akan disimpan seterusnya mereka mendakwa ia akan digunakan oleh pentadbiran Najib.
Nampaknya 'durian runtuh' ini bakal menjadi isu rakyat. Persoalannya ialah pihak manakah yang bakal menjadi mangsa runtuhan daripada skim durian runtuh Felda ini?


Friday, May 4, 2012

BENARKAH BUDAYA LUCAH MEMPERKASA UMNO KINI?

Berita-Berita Melucahkan untuk menumbangkan Pakatan Rakyat?
Oleh Abdul Rahman Hashim

Media arus perdana seperti akhbar Utusan dan TV3 sekali lagi telah mendepani isu porno yang melucahkan pemikiran rakyat apabila menyiarkan gambar-gambar dalam jamban tahi yang memaparkan kononnya Azmin Ali, Timbalan Presiden PKR sedang beraksi lucah bersama seorang wanita. 
Samada ianya benar atau pun sebaliknya, rasanya tidak wajar akhbar utusan dan TV3 memilih maklumat itu untuk disensasikan semata-mata pelakunya adalah penentang regim UMNO. Itu pun belum tentu kesahihannya!  Azmin Ali yang juga Ahli Parlimen Gombak telah menafikan bahawa gambar itu bukanlah dia, dan menyifatkan ia sebagai fitnah jahat terhadap dirinya, lantas Azmin telah menyaman akhbar utusan sebanyak RM100 juta kerana menyiarkan gambar yang bukan dirinya sebenar.
Jika akhbar utusan dan TV3 merasakan maklumat melucahkan ini sebagai katalis untuk menghadang kerajaan BN dari ditumbangkan oleh gerombolan Pakatan Rakyat menjelang PRU13, maka langkah sedemikian sebenarnya bukan sahaja tidak mampu dilakukan, malah saya berpendapat ia menambahkan lagi kebencian rakyat atas pagar kepada UMNO/BN. 
Golongan yang menjadi 'penentu' ini rasanya hati mereka tidak tertambat untuk menyukai UMNO/BN sekiranya gambar/video lucah seperti itu menjadi senjata utama mereka untuk membenamkan Pakatan Rakyat. Saya bimbang, kecenderungan nemilih serangan peribadi yang tidak bertapis ini akan menikam diri kita sendiri, kerana strategi seumpama inilah yang telah melumpuhkan kekuatan UMNO sehingga kita tidak berupaya lagi untuk menyekat gelombang rakyat pada PRU12 yang lalu.
Pada PRU yang lepas, ternyata gambar dan video pornografi yang kononnya membabitkan adegan lucah Anwar Ibrahim sebagai bahan untuk menguatkan lagi UMNO, ternyata telah memakan diri. Ternyata rakyat Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor, Kelantan dan Wilayah Persekutuan tidak dapat menerima tohmahan sebegini, lalu mereka menghukum regim UMNO/BN. Lantaran itu BN telah kehilangan undi popular di bumi semenanjung, nasib baik ia diselamatkan oleh penyokong-penyokong BN di Negeri Sarawak dan juga Sabah. Akhirnya BN telah kehilangan majoriti 2/3 akibat tersalah langkah menyerang peribadi pemimpin pembangkang, di samping terlalu banyak pula isu penyelewengan dan rasuah pemimpin UMNO/BN yang dipungut oleh pambangkang.
Maka sebab itu, saya merasakan adalah wajar 'permainan kotor' atau pun 'Gutter Politics - Politik Longkang' seperti ini diBERSIHkan dan diNYAHkan oleh UMNO, kerana menyerang mereka dengan isu lucah akan menjadikan UMNO/BN hari ini sebagai parti 'VERSI LUCAH - Hanya Untuk Tontonan Dewasa Sahaja!' Jika UMNO terjadi sedemikian, janganlah dikecam mereka sekiranya mereka berkempen di serata tempat meminta rakyat tidak memilih parti versi lucah ini. Terlalu bannyak bahan cetak rompak yang diambil dari pelucah-pelucah (blogger) yang pro UMNO ini yang diguna pakai oleh akhbar arus perdana, sehingga ia menjadi sumber rujukan utama oleh Ketua-Ketua Pengarang media yang berkenaan untuk dijadikan bahan siaran ampu bodek mereka. 
Tidak dapat dinafikan bahawa akhbar Utusan dan TV3 mempunyai pembaca dan penonton yang setia dengan mereka, namun satu hakikat yang agak sukar mereka akui ialah ramai juga yang sedang membenci mereka, malah mungkin ada yang akan mengoyak-ngoyakkan akhbar ini untuk dimasukkan sahaja ke dalam jamban tahi. 
Sepatutnya mereka membantu UMNO/BN yang menjadi majikan mereka selama ini tanpa memilih pemberitaan yang melucahkan sehingga anak-anak kecil  dan remaja di bawah umur 17 tahun telah dihalang oleh sebahagian besar ibubapa supaya menjauhi akhbar seumpama ini.
Diharapkan UMNO tidak hanya diminati oleh penggemar gambar dan video lucah seperti yang diasuh oleh media lucah ini. Saya pun tidak terfikir apakah UMNO akan terdorong dilucahkan semata-mata untuk mengekalkan kuasanya? Apakah UMNO sudah ketandusan modal lagi sehingga sanggup membiarkan isu lucah ini membudayakan gerak kerja kempen untuk menawan hati rakyat?