assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Thursday, August 7, 2008

Anwar diseret ke mahkamah hari ini, sebelum impian tercapai ke Putrajaya..

Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim diheret ke mahkamah hari ini (7 Ogos 2008) di atas pertuduhan kes liwat yang dihadapinya, sekaligus menyaksikan impiannya ke Putrajaya menjadi berliku sebelum sampai ke destinasinya.

Satu notis telah diperolehinya daripada pihak Polis Kuala Lumpur pada jam 12.10 tengahari kelmarin (6 Ogos) meminta mantan Timbalan Perdana Menteri itu hadir ke mahkamah majistret, Jalan Duta, Kuala Lumpur pada hari ini.

Dokumen tersebut diserahkan sendiri oleh pegawai penyiasat kes ini DSP Jude Pereira kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim (Lihat gambar di atas), di rumahnya di Bukit Segambut hanya beberapa minit sebelum pihak SPR menetapkan tarikh pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh yang bakal disertainya pada 16 Ogos ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah menjadi ahli parlimen di kawasan itu sejak tahun 1982 hingga 1999 itu mengesahkan bahawa beliau akan tetap meneruskan hasratnya bertanding dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh 24 Ogos ini, meskipun berhadapan dengan prosiding kes liwat yang mengaitkannya.



Bercakap di dalam sidang media yang diadakan di sebelah petangnya di Ibu Pejabat PKR yang terletak di Merchant Square, Damansara, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa dirinya akan tetap bertanding walaupun beliau terpaksa ditahan untuk disoal siasat kes tersebut.

"Usaha untuk menghalang saya bertanding dan menang dalam pilihan raya kecil di Permatang Pauh akan pasti berlaku.
"Namun ianya tidak sedikitpun akan mematahkan semangat saya walaupun saya ditangkap, meskipun kain sarung dan songkok saya sahaja yang hadir," ujarnya pada sidang media tersebut.

Parlimen Permatang Pauh merupakan satu daripada 13 kerusi Parlimen di Pulau Pinang, memang 'panas' sejak 1999 lagi, kerana pada masa itu Anwar mula dipenjarakan sebelum dibebaskan pada tahun 2003. Di dalam tiga pilihan raya umum yang diadakan selepas itu menyaksikan rakyat di kawasan itu masih tegar memihak kepada PKR, ini terbukti apabila Datuk Seri Wan Azizah yang bertanding di kawasan itu dilihat mampu meneruskan wadah perjuangan suaminya.

Di dalam pilihan raya umum ke-12 lalu, Wan Azizah telah menewaskan buat kali kedua calon BN Datuk Pirdaus Ismail dengan majoriti yang bertambah iaitu 13,388 undi. Namun pada 31 Julai lalu, Wan Azizah yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat telah mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh, untuk memaksa suatu pilihan raya kecil diadakan.

Majoriti pengundi kawasan Parlimen Permatang Pauh ini terdiri daripada orang Melayu yang merupakan 69.4 peratus daripada 58,459 orang pengundi. Ini diikuti kaum Cina seramai 14,489 orang atau 24.79 peratus, manakala India 3,581 orang (6.0 peratus sahaja) serta lain-lain 240 orang, iaitu 0.1 peratus.

Terdapat tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi kawasan Parlimen Permatang Pauh ini, iaitu DUN Seberang Jaya yang diwakili oleh Datuk Arif Shah Omar Shah daripada BN, manakala DUN Permatang Pasir pula diwakili oleh Hamdan Abdul Rahman daripada PAS dan DUN Penanti pula diwakili oleh Datuk Mohammad Fairus Khairuddin daripada PKR yang kini menjadi Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Seluruh negara malah seantero dunia akan menghalakan fokus ke Kawasan Parlimen Permatang Pauh ini, kerana di situ Anwar yang menghadapi tuduhan kes liwat akan bertanding di dalam pilihan raya kecil yang didakwanya sebagai 'pra pelancaran ke Putrajaya' untuk menyahkan BN daripada tampuk pemerintahan negara ini.

Seluruh jentera dijangka akan dikerahkan oleh kedua-dua pihak di Permatang Pauh ini nanti. Pakatan Rakyat yang menjadi pemerintah kepada kerajaan negeri di Pulau Pinang pada hari ini terpaksa berhadapan dengan Barisan Nasional yang menjadi pemerintah Kerajaan Persekutuan. Permatang Pauh bakal berpesta dengan pilihan raya selama 10 hari bermula 16 Ogos ini hingga 26 Ogos, sebelum menjelangnya Ramadan yang akan tiba pada 1 September nanti.

Ayuh, semua jaksa UMNO di seluruh negara diseru agar bersama-sama berjuang mempertahankan maruah parti pusaka bangsa Melayu ini di Permatang Pauh ini, kerana gelombang Pakatan Rakyat yang dipimpin oleh Anwar di sini merupakan 'titik tolak' mereka untuk punahkan dominasi UMNO memerintah negara. Kalau bukan kita yang masih sayangkan UMNO, siapa lagi yang nak diharapkan?

UMNO mesti sentiasa waspada, elakkan diri daripada kerakusan untuk berjawatan dan mengejar pangkat, sehingga kita lupa kepentingan bangsa dan negara menjadi terkebelakang. Kendurkanlah berkempen untuk angkat darjat diri sendiri, sedangkan anak bangsa kita kini bagaikan telur di hujung tanduk.

Kita terasa kecewa dan amat kesal, kerana membiarkan pertelingkahan sebangsa ini berpanjangan sehingga terlupa mencari noktahnya. Emosi amarah begitu berselaput di kalangan setengah jaksa pemimpin-pemimpin kita, sehingga tak terjumpa ramuan herba yang boleh memujarabkan penyakit dengki khianat, fitnah memfitnahi yang amat tebal di dalam UMNO.

Si Kitul terpaksa mengkhianati bangsanya sendiri kerana bebal melihat kelakuan 'bertamak kuasa' di kalangan pembesar negara, sehingga banyak kes yang difitnahi tidak dapat diurus dengan penuh kesaksamaan, lalu mengakibatkan ramai satria pembela bangsa menjadi mangsa pembunuhan sesama sendiri.

Demikianlah malangnya satira bangsa Melayu berkulit sawo matang ini yang dikatakan terlalu mengagungkan kesetiaan Hang Tuah untuk melenyapkan saudaranya sendiri, Hang Jebat yang begitu membara membelanya dari kutukan fitnah. Perintah menghapuskan Si Jebat telah dapat dilunaskan oleh Si Tuah dengan menghunus keris sakti 'Taming Sari' yang menikam sahabat seperguruannya sendiri.

Memang benar amanat gurunya, Si Jebat tidak mudah dimatikan, melainkan tertikam dengan Taming Sari. Siapakah yang menikamnya, kalau bukan Si Tuah? Selepas membunuhnya, Si Tuah berkata dengan penuh kesyahduan, "Aku terpaksa membunuh kau Jebat, walaupun aku tahu kau membela aku...perintah raja mesti ku tunaikan."

Akhirnya, Si Jebat mati di tangan Si Tuah kerana mempertahankan saudaranya sendiri yang difitnahi. Sultan Melaka yang diancam oleh amukan Si Jebat ketika itu memuji Hang Tuah kerana berjaya membunuh Hang Jebat.

Jadikanlah satira ini sebagai renungan dan pengajaran supaya kita tidak berterusan dilekakan dengan pelbagai konspirasi sehingga kita tertikam sesama sendiri. Jika ada pihak yang berpuas hati supaya wujudnya pertikaman sedarah sebangsa ini, sebenarnya dialah pengkhianat bangsa yang layak mendapat anugerah si kitul. UMNO janganlah hendaknya mengagungkan si kitul ini.