Oleh Abdul Rahman Hashim (locengwangsa@gmail.com)
Menjelang fajar 2011, nampaknya Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak tidak boleh bertahan lagi untuk mengadakan pilihan raya umum negeri Sarawak pada tahun ini juga.
Menjelang fajar 2011, nampaknya Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak tidak boleh bertahan lagi untuk mengadakan pilihan raya umum negeri Sarawak pada tahun ini juga.Penggal Dewan Undangan Negeri Sarawak akan tamat pada Julai 2011 ini, maka Taib Mahmud yang telah mengemudi kerajaan negeri Sarawak sejak tahun 1981 terpaksa mencari dan mencongak tarikh yang paling sesuai atau badas dan manah dalam bahasa Iban untuk mencadangkan pembubaran Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan PRU penggal berikutnya diadakan.
Kali terakhir PRU peringkat negeri Sarawak diadakan ialah pada tahun 2006 dimana BN menerusi komponen partinya iaitu Parti Pesaka Bumiputra Bersatu Sarawak (PBB) telah menang 35 kerusi daripada 71 kerusi yang dipertandingkan. Dalam pilihan raya itu juga Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) hanya menang 11 kerusi, manakala 8 kerusi masing-masing dimenangi oleh Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Rakyat Demokratik Sarawak (SPDP).
Kemunculan PKR bersama-sama dengan DAP di negeri ini telah menyebabkan BN kehilangan 9 kerusi semasa pilihan raya negeri itu diadakan pada tahun 2006. Pakatan Rakyat gandingan DAP dan PKR juga begitu ghairah sekali untuk menawan negeri Sarawak menjelang PRU yang bakal diadakan, setelah mereka berjaya merampas kerusi Parlimen Sibu dalam PRK yang diadakan pada 16 Mei lalu.
Sebagai usaha untuk mengaburi mata rakyat, berbagai janji manis dan omongan telah digembar gemburkan oleh pemimpin pembangkang termasuk berjanji untuk memberi kuasa autonomi kepada rakyat Sarawak untuk memimpin negeri ini jika Pakatan Rakyat berjaya memenangi PRU kali ini.
Begitu juga banyak tohmahan yang dipanahkan ke arah pemimpin BN terutamanya kepada Taib Mahmud yang mereka sifatkan tidak langsung memiliki kebaikan dan jasa kepada rakyat negeri ini, walaupun Sarawak dilihat semakin membangun di bawah 'politik pembangunan' yang digagaskan oleh Ketua Menteri itu selama BN menerajui Sarawak.
Sememangnya Sarawak dan Sabah menjadi sasaran Pakatan Rakyat kerana di negeri-negeri inilah mereka anggap BN memperolehi 'fix deposit' untuk terus berkuasa memerintah Malaysia. Pada mereka BN yang sudah kehilangan majoriti dua pertiga akan kehilangan kuasa jika kerusi-kerusi parlimen di Sabah dan Sarawak dapat ditawan sebanyak mungkin.
Oleh yang demikian, menjadi cabaran kepada Barisan Nasional untuk mempertahankan gelombang yang mereka cipta menjelang pilihan raya umum negeri yang akan diadakan kelak. Semua parti komponen BN di negeri Sarawak terutamanya SUPP haruslah sentiasa bersiap siaga untuk merakyatkan gerak kerja dan mencari kaedah yang baru bagi meyakinkan pengundi-pengundi, terutamanya pengundi Cina supaya tidak lagi merajuk terhadap Barisan Nasional.
Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam, Presiden SUPP yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak hendaklah mempersiapkan jentera partinya untuk menawan semula hati-hati pengundi Cina yang dikatakan sudah tidak berpihak lagi kepada Barisan Nasional. Dominasi pengundi Cina di kawasan-kawasan bandar seperti Kuching, Sibu, Miri, Sarikei, Bintangor, Bintulu dan banyak lagi kawasan DUN lainnya yang dilihat berisiko, haruslah dilipatgandakan usaha dan tenaga supaya wawasan 1Malaysia dapat diterjemahkan dalam bentuk sokongan terhadap BN.
Hendaknya janganlah dibiarkan hanya Taib Mahmud sahaja yang menjadi perlambangan kekuatan BN di negeri ini, sedangkan banyak lagi tokoh-tokoh hebat yang boleh membantu Taib Mahmud dalam merakyatkan politik pembangunan yang beliau cetuskan sejak dahulu lagi. Semoga kehebatan Taib dapat dicontohi dan didedikasikan oleh pejuang-pejuang BN yang serangkai dengannya.
Jika mereka masih memerlukan Taib untuk meneruskan gagasannya, rasanya Taib tidak perlukan puji-pujian melambung terhadap dirinya, kerana mungkin Taib akan lebih perkasa jika wujudnya komitmen untuk mengukuhkan Barisan Nasional menjelang fajar PRU 2011 Negeri Sarawak.

