assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Wednesday, August 29, 2012

IBLIS MENSYAITANKAN MALAIKAT?

Oleh Abdul Rahman Hashim 

Dr. Mahathir berkata UMNO adalah syaitan yang dikenali...

Sekitar tahun 1980 semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pernah berkata bahawa 'PAS lebih bahaya daripada komunis'. Beliau meyandarkan hujah ini kerana menurutnya di dalam Al-Quran Allah berfirman bahawa 'Fitnah itu lebih bahaya daripada membunuh'. Beliau rimas pada masa itu kerana menurutnya pemimpin-pemimpin PAS sering melemparkan fitnah kepada UMNO, manakala pengganas komunis pula sering melakukan siri-siri pembunuhan terhadap pasukan keselamatan negara. Justeru beliau mengandaikan bahawa PAS itu lebih merbahaya daripada pengganas komunis.
Tun Dr. Mahathir Mohamad sekali lagi telah mencetuskan kontroversi di persada politik tanahair. Kali ini beliau menunjukkan geramnya kepada puak-puak pembangkang yang kononnya berlagak lebih baik daripada UMNO sebagai MALAIKAT; manakala parti UMNO yang banyak melakukan kebaikan tetapi sering dilabelkan oleh puak pembangkang sebagai SYAITAN.
Justeru Dr. Mahathir Mohamad menyatakan bahawa lebih baik kita berkawan dengan SYAITAN yang kita kenal daripada berkawan dengan MALAIKAT yang tidak kita kenali. Sampai begitu sekali Dr. Mahathir marahkan PAS dan kuncu-kuncunya sehingga sanggup beliau memartabatkan bahawa syaitan ada juga yang baik, manakala beliau menyifatkan bahawa bukan semua malaikat yang wajar kita ikuti semata-mata kerana malaikat itu suci; mungkin beliau merasakan malaikat juga seperti kejadian manusia yang dijadikan daripada tanah, maka wajarlah ia dimusuhi.
Apakah beliau menyifatkan pemimpin UMNO itu merupakan syaitan, manakala puak-puak pembangkang PAS itu adalah golongan para malaikat? Jika itulah yang dimaksudkannya, maka jelaslah bahawa beliau begitu disakiti sehingga sanggup dirinya menggemari syaitan dan membenci pula malaikat. Pada saya Tun Dr Mahathir masih bebas untuk menyukai atau membenci mana-mana parti, tetapi bukannya menjerumuskan dirinya sebagai sahabat syaitan; malah beliau telah menyamakan UMNO dan pemimpinnya sebagai syaitan yang beliau kenali.
Jika syaitan dibenci Tuhan kerana ingkar dengan segala perintahNya, maka dibimbangi Tun Dr Mahathir juga adalah sekutu syaitan yang berjaya dihasuti oleh para Iblis laknatullah. Jika benar andaian Mahathir bahawa golongan yang menentang UMNO bagaikan malaikat yang beliau tidak kenali lalu wajar ia dimusuhi, maka Dr Mahathir dilihat terlalu berani bermain dengan 'api persepsi' bahkan beliau masih terkeliru untuk membezakan sifat-sifat syaitan dan juga sifat-sifat para malaikat sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah di dalam Al-Quran.
Menurut pandangan Islam, SYAITAN dicipta dari api oleh Allah S.W.T. dan juga dikatakan berasal dari golongan Jin sebelum dipilih menjadi MALAIKAT. Ini membezakannya dari malaikat-malaikat lain. Disebabkan iblis ini menentang perintah Allah S.W.T. lalu dia diusir dari golongan malaikat dan dinyahkan dari syurga, akibat ingkar dengan perintah Allah untuk sujud kepada Nabi Adam sebagai penghormatan ciptaan-Nya yang mulia.
Menurut agama Islam, Tuhan meletakkan taraf manusia lebih tinggi daripada makhluk-makhluk yang lain kerana mereka diberikan akal - terutamanya untuk membandingkan yang buruk dari yang baik.
Syaitan membangkang ciptaan Tuhan pada manusia dan mencegah dari menyujud di hadapan Adam seperti dilakukan oleh para malaikat lain. Tuhan bertanya kepada syaitan: "Apakah yang mencegahmu sujud menghormati sesuatu yang telah aku ciptakan dengan tangan-Ku?" Syaitan menjawab: "Aku adalah lebih mulia dan lebih unggul dari dia. Engkau ciptakan aku dari api dan menciptakannya dari lumpur." Ini menunjukkan bahawa syaitan merasa dirinya lebih bertaraf tinggi dari Adam kerana dia diperbuat dari api, manakala Adam diperbuat dari tanah, yang dianggap tidak bersih dan rapuh.
Justeru syaitan berjanji dan berkata di hadapan Tuhan, Nabi Adam dan para malaikat bahawa dia akan membinasakan Adam dan seluruh keturunannya (iaitu golongan manusia) sampai hari akhirat kelak.
Allah bersabda bahawa manusia yang mengikuti perintah-Nya tidak akan dibinasakan oleh syaitan, tetapi yang mengikuti syaitan akan turut dibinasakan dan diseksa di dalam api neraka pada hari akhirat. Syaitan juga yang memyebabkan Nabi Adam dan isterinya Siti Hawa terkeluar dari Syurga, walaupun mereka telah diampunkan oleh Allah, dan bisikannya telah menyebabkan anak mereka Qabil membunuh Habil.
Rasulullah bersabda, "Janganlah kamu marah, kerana perasaan itu datangnya daripada syaitan".
Perhatikan juga firman Allah dalam surah Al-Maidah ayat 91 yang bermaksud, "Syaitan bermaksud untuk menimbulkan permusuhan dan kebencian diantara kamu".
Di dalam surah Al-Baqarah, ayat 169 Allah juga telah berfirman, "Sesunggunya syaitan itu menyuruh kamu melakukan perbuatan jahat dan keji, dan menyatakan mengenai agama Allah apa yang tidak diketahui".
Di dalam surah Az-Zukhruf ayat 36, Allah berfirman "Sesiapa yang berpaling daripada mengingati Allah, maka syaitan adalah teman yang selalu bersamanya".
Wallahu A'lam.