assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Sunday, December 21, 2008

Wan Farid akan letak jawatan Senator untuk jadi calon BN di Kuala Terengganu..

Senator Datuk Wan Ahmad Farid Salleh, Timbalan Menteri Dalam Negeri (Lihat Foto) telah diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari depan. Ia diumumkan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di majlis pengumuman calon BN di Kuala Terengganu kelmarin (20 Dis 08).
Najib juga merupakan pengarah pilihanraya kecil tersebut. Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah menetapkan tarikh penamaan calon pada 6 Januari depan dan sekiraya ada pertandingan tarikh pembuangan undi ialah pada 17 Januari 2009.
PAS dijangka akan membuat pengumuman calonnya pada hari ini (21 Dis 08). Antara nama yang disebut-sebut sebagai calon PAS ialah Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu; Ahli Dewan Undangan Negeri Adun) Batu Burok, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi; Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Mustafa Ali; Timbalannya, Datuk Wan Mutalib Embong dan tokoh korporat, Mohd Khazani Abdullah.

Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Razali Ismail di Genting Highland pada 28 November lalu.

Di dalam PRU12 yang lalu, PAS telah mempertaruhkan Naib Presidennya Mohamad Sabu menentang calon BN Datuk Razali Ismail, tetapi beliau tertewas dengan majoriti yang kecil. Dari segi pungutan jumlah undi bagi keseluruhan pengundi di Kuala Terengganu dalam PRU12, jelas memperlihatkan calon-calon BN tidak berupaya untuk mengatasi majoriti yang diterima oleh calon-calon pembangkang. Sejumlah undi (lebih kurang 685 undi) yang diterima oleh calon Bebas dalam PRU12 lalu sudah cukup membuktikan populasi undi tidak berpihak kepada BN.
Namun begitu kita harus ingat bahawa pilihan raya kecil sumpama ini merupakan satu medan yang akan dipergunakan secara habis-habisan oleh pihak-pihak yang akan bertanding. Masing-masing meletakkan harapan untuk memenangi kerusi ini.
Kerajaan BN Terengganu dijangka akan menggunakan segala daya upaya mereka untuk meyakinkan rakyatnya terhadap BN, setelah menerima kekalahan yang teruk di Permatang Pauh. Begitu juga tentunya PAS yang berada di dalam Pakatan Rakyat akan digerakkan dengan segala kekuatan yang terdapat di seluruh negara untuk membuktikan parti mereka mampu membuat upset sebagaimana tercabutnya dominasi UMNO/BN di Perak, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, kelantan dan juga di Wilayah Persekutuan.
Sudah pasti peranan Anwar Ibrahim bakal merancakkan lagi siri kempen yang akan dijalankan di dalam pilihan raya kecil ini. Mungkinkah Anwar Ibrahim akan membuat pendedahan demi pendedahan terhadap Dato' Sri Najib dengan isu Altantuya yang bakal dihangatkan lagi? Begitu juga apakah akan berlaku lagi cabaran untuk melakukan sumpahan demi sumpahan sebagai kaedah untuk menghalalkan cara?
Untuk memulihkan semula keyakinan rakyat terhadap BN yang sedang tercalar ini, UMNO dan BN memang perlu menang untuk mempertahankan kerusi yang telah dimenanginya dalam PRU12 lepas. Jika BN kalah kali ini di Kuala Terengganu ini merupakan satu tragedi malang yang terpaksa diterima oleh BN sebagai petanda betapa rakyat sudah tidak yakin lagi kepada UMNO.
Kehangatan berkempen untuk merebut jawatan tertinggi di dalam UMNO mungkin bakal melemahkan lagi jentera UMNO yang sepatutnya tertumpu kepada gerak kerja pilihan raya. Tentunya semua calon UMNO yang hendak bertanding di dalam Perhimpunan Agung UMNO pada bulan Mac tahun depan akan berkampung di Kuala Terengganu sambil menyelam minum air.
Bagaimana pula masalah kabilah di dalam UMNO Terengganu yang sedikit sebanyak juga bakal menjadi faktor melemahkan jentera parti. Semua orang tahu kabilah Idris Jusoh yang disokong kuat oleh Pak Lah telah tercabar begitu hebat akibat bersengketa dengan satu lagi kabilah Ismail Said yang sedang memerintah negeri keropok lekor ini.
Lihat sajalah calon BN yang sudah diumumkan kelmarin merupakan bekas Setiausaha Politik Pak Lah semasa Pak Lah menjadi Menteri Keselamatan Dalam Negeri dahulu. Persoalannya ialah mengapa Wan Farid yang sudah menjadi Senator yang berkedudukan sebagai Timbalan Menteri dipilih juga sebagai calon BN kali ini? Apakah tidak ada calon wibawa yang lain di kalangan tokoh UMNO di Kuala Terengganu yang boleh ditonjolkan?
Tanpa memiih Wan Farid sebagai calon bukannya bermakna Wan Farid akan kehilangan jawatan Timbalan Menteri. Tetapi jika Wan Farid tertewas, bermakna tumpasnya seorang Timbalan Menteri di gelanggang sendiri.
Penyertaan Wan Farid di dalam pilihan raya kecil ini berkehendakkan beliau terpaksa meletakkan jawatan sebagai Senator yang dengan sendirinya akan terlucut jawatan Timbalan Menteri yang disandangnya hari ini. Demikianlah risiko yang dihadapi oleh calon BN Wan Farid ini.
Keadaaan seperti ini jugalah yang telah berlaku di Permatang Pauh, dimana Datuk Arif Shah yang berkedudukan sebagai ADUN Seberang Jaya telah dicalonkan bertanding dalam piihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, sekaligus telah mengenepikan calon-calon lain yang mungkin lebih layak termasuk mengenepikan Datuk Jalil, Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh yang telah berkecil hati.
Kita mengharapkan kelemahan dan kecuaian pihak pembangkang sahaja yang mungkin dapat memberikan signal untuk kemenangan calon BN kali ini. Disamping tegarnya sokongan akar umbi kepada PAS di kawasan ini, kita juga mengharapkan pengaruh Anwar Ibrahim tidak lagi mampu membolosi kubu BN kali ini.
Kegilaan pihak media terutamanya RTM dan TV3 termasuk media cetak arus perdana seperti Utusan Malaysia, Berita Harian yang terlalu 'over reack' ketika membuat laporan juga bakal menjadi kemarahan sebahagian besar rakyat yang akan meluat dengan BN. Kesilapan Datuk Zam yang memperkudakan RTM menyebabkan rakyat tidak berminat untuk mengundi BN.



Monday, December 15, 2008

UMNO Bahagian Setiawangsa: Iltizam memperkasa pimpinan, merakyatkan UMNO


Dato' Sri Zulhasnan mempengerusikan mesyuarat


Dato' Sri Zulhasnan beramah mesra dengan Pemimpin Pemuda


Suasana Ramah Mesra Pemimpin UMNO Setiawangsa
Hampir semua ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Setiawangsa telah menyatakan janji di hadapan Ketuanya Dato' Sri Zulhasnan Rafique untuk memberikan sokongan dalam memperkasakan kepimpinan serta beriltizam untuk merakyatkan perjuangan UMNO khususnya di Bahagian Setiawangsa.
Pengakuan ini dibuat oleh ahli-ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Setiawangsa yang menghadiri mesyuarat pertamanya pada hari ahad 14 Disember yang lalu di bilik mesyuarat pejabat UMNO Bahagian Setiawangsa.
Mesyuarat yang pertama ini telah bermula pada jam 9.05 malam dan berakhir pada jam 10.30 malam telah dipengerusikan oleh Ketua Bahagiannya Dato' Sri Zulhasnan Rafique. Semua ahli jawatankuasa Bahagian yang terpilih di dalam persidangan perwakilan UMNO Bahagian yang lalu, kecuali Mohd. Rawi Hashim dan Ismail Che' Wan telah menghadiri mesyuarat tersebut.
Kelihatannya mesyuarat ini telah berjalan dalam suasana yang amat harmoni, juga menyaksikan keyakinan Dato' Sri Zulhasnan sendiri yang telah menerima sokongan padu daripada semua AJK ketika mereka menyampaikan ucapan masing-masing.
Bermula dengan Dimyati Jaffar sehinggalah kepada ucapan Naib Ketua Bahagian Dato' Ahmad Fauzi Zahari dan diakhiri dengan ucapan Timbalan Ketua Bahagiannya Dato' Abd. Halim Samad, kesemuanya begitu optimis dengan menyatakan sokongan padu kepada Dato' Sri Zulhasnan Rafique untuk merakyatkan perjuangan UMNO yang sedang bergelut dengan krisis keyakinan akar umbi.
Dato' Ahmad Fauzi Zahari sendiri di dalam ucapannya telah menyeru semua ahli jawatankuasa Bahagian agar sentiasa berpendirian teguh di belakang pucuk pimpinan dan jangan ragu-ragu untuk menangkis apa jua cemuhan yang dilemparkan kepada Ketua Bahagian selama ini.
Saya sendiri (Abdul Rahman Hashim) juga telah meminta supaya semua ahli jawatankuasa Bahagian sentiasa berada dalam posisi bersiap siaga untuk menghadapi apa jua cabaran yang terbentang sebagai persediaan menghadapi PRU13. Saya juga telah menggesa supaya setiap ahli jawatankuasa mengenepikan perkara remeh temeh dan tidak lagi mengamalkan budaya menuding jari, mencari kesilapan serta mengelakkan diri masing-masing daripada politik kabilah yang akan melemahkan UMNO.
Lain-lain ahli jawatankuasa seperti Othman Baba, Shaari Sidek, Yahya Tahir, Ahmad Laili, Haji Yusof Ishak, Razak Karim, Azhar Kassim, Yahya Bakar, Haji Osman Sab, Hamzah Marakan, Hamid Mayuni, Yatim Mohamad, Samad Saim, Roziana Osman, Abas Md. Dom dan Muner Nasution termasuk Ketua ketiga-tiga sayap Wanita, Pemuda dan Puteri juga telah menyatakan komitmen dan sokongan yang padu untuk memperkukuhkan jentera parti sebagai pernyataan harapan baru untuk UMNO Bahagian Setiawangsa.
Sementara itu dalam satu perkembangan lain, Dato' Sri Zulhasnan Rafique telah mengumumkan perlantikan semula Abdullah Mat sebagai Setiausaha UMNO Bahagian untuk sesi 2008-2011. Manakala bagi jawatan Ketua Penerangan, Bendahari dan 7 orang ahli jawatankuasa Bahagian tidak diumumkan di dalam mesyuarat kali ini, sebaliknya beliau menyatakan bahawa perlantikan tersebut akan diumumkan di dalam mesyuarat yang akan datang.
Sebaik sahaja selesai mengadakan mesyuarat tersebut, Ketua Bahagian dan ahli-ahli jawatankuasa Bahagian yang lainnya telah beramah mesra dengan Ketua-Ketua Cawangan 4 Peringkat yang turut dijemput untuk bersua mesra di dalam satu majlis jamuan ringan di perkarangan pejabat UMNO Bahagian Setiawangsa. Turut meraikan majlis ini ialah Datin Sri Ana Razak, Isteri Dato' Sri Zulhasnan Rafique.

Saturday, December 13, 2008

Puteri Setiawangsa anjur pertandingan boling antara cawangan


Seriwani Sabtu

Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Setiawangsa akan mengadakan Pertandingan Boling Diantara Cawangan-Cawangan dalam Bahagian ini, pada hari Sabtu, 13 Disember 2008, bertempat di Ampang Bowl, Ampang Point, Selangor.
Pertandingan ini akan bermula pukul 9.30 pagi dan akan berakhir pada lewat tengahari. YB Dato' Sri Zulhasnan Rafique, Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa akan merasmikan majlis penutupan seterusnya akan menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang.
Ketua Puteri Bahagian, Seriwani Sabtu (foto) menjemput semua pemimpin UMNO di dalam Bahagian Setiawangsa hadir di majlis perasmian penutup berkenaan. TAHNIAH...Pu3 Setiawangsa!

Thursday, December 11, 2008

UMNO BAHAGIAN SETIAWANGSA ADAKAN MESYUARAT AJK YANG PERTAMA 14 DISEMBER INI...

UMNO Bahagian Setiawagsa akan mengadakan mesyuarat ahli jawatankuasa yang pertama pada hari Ahad ini, 14 Disember 2008, jam 9.00 malam, bertempat di Bilik Mesyuarat Pejabat UMNO Bahagian.

Notis mesyuarat tersebut yang ditandatangani oleh Abdullah Mat (Foto) Setiausaha UMNO Bahagian telah pun diedarkan kepada semua ahli jawatankuasa Bahagian minggu lepas. Saya sendiri telah menerima notis berkenaan.

Difahamkan Dato' Sri Zulhasnan Rafique Ketua UMNO Bahagian akan mengumumkan beberapa perlantikan pegawai dan juga ahli jawatankuasa sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan UMNO.
Apa yang sudah pasti ialah jawatan Setiausaha Bahagian telah pun diketahui, kerana notis mesyuarat yang dikeluarkan itu telah pun ditandatangani oleh 'Abdullah Mat' sebagai Setiausaha UMNO Bahagian Setiawangsa. Selain akan mengumumkan perlantikan pegawai dan ahli jawatankuasa yang lainnya, nama Pak Lak yang sudah diketahui sebagai Setiausaha Bahagian juga akan diumumkan dengan resminya (endorsement) di dalam mesyuarat 14 Disember nanti.
Jika Samsuri Shahrom selama ini mengidamkan jawatan Setiausaha Bahagian bagi menggantikan Pak Lah, adalah lebih baik beliau melupakan sahaja idaman itu, kerana jawatan itu telah pun diisi dengan Pak Lah yang telah dilantik semula oleh Dato' Sri Zulhasnan Rafique.

Namun begitu, Samsuri juga pernah berkata kepada saya bahawa beliau juga idamkan jawatan 'Ketua Penerangan Bahagian' untuk menggantikan Haji Ahmad Hashim..? Apakah jawatan itu akan tersinggah ke pundak Samsuri kali ini? Sama-samalah kita tunggukannya pada 14 Disember nanti.




Saturday, December 6, 2008

Runtuhan menyembah bumi di Bukit Antarabangsa..



Akibat hujan lebat yang berterusan sejak beberapa hari ini telah menyebabkan tiga kejadian tanah runtuh berlaku di sekitar ibu negara, satu daripadanya berlaku di Ulu Yam, Selangor yang telah meragut dua nyawa adik beradik.
Selang beberapa hari sahaja, terjadi satu lagi runtuhan di Jalan Semantan dekat Damansara yang menimpa 14 buah kereta. Nasib baik tidak ada yang terkorban.
Kawasan Bukit Antarabangsa, Ulu Klang sekali lagi telah menyaksikan kejadian tanah runtuh berlaku. Kejadian yang menyayat hati ini telah berlaku secara tiba-tiba diantara jam 3.00 - 4.00 pagi, yang menyebabkan 14 buah banglo di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama ranap.
Setakat berita ini ditulis pasukan penyelamat telah menemui empat mayat yang tertimbus, dan gerakan mencari beberapa orang lagi yang dipercayai masih tertimbus sedang diperhebatkan. Diharapkan mereka yang tertimbus ini masih ada harapan untuk diselamatkan
Sementara itu, Datuk Thajudeen Abdul Wahab (Foto) Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri mengucapkan syukur kerana terselamat daripada kejadian itu. Salah sebuah banglo yang terlibat adalah miliknya, dan semasa kejadian itu berlaku beliau bersama keluarganya tidak berada di rumah tersebut kerana tidur di rumah ibunya di Kg. Bharu. Datuk Thajudeen terperanjat apabila melihat kejadian ini berlaku yang telah melibatkan banglonya.
Di dalam satu perkembangan lain pihak berkuasa telah mengarahkan lebih 3000 penduduk yang tinggal di lokasi berdekatan supaya berpindah segera, kerana bimbang kejadian susulan tanah runtuh ini akan berulang lagi.
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang melawat ke tempat kejadian juga telah mengarahkan semua projek di kaki bukit sekitar Bukit Antarabangsa dihentikan sementara menunggu selesai kajian kestabilan tanah.

Sila lihat gambar-gambar kesan tanah runtuh di Bukit Antarabangsa:















Dongjiozong telah berjaya memikat jiwa nurani pemimpin Melayu?

Sejak kebelakangan ini seringkali hak-hak Melayu menjadi topik hangat yang disentuh oleh kebanyakan pemimpin-pemimpin politik. Polemik perkauman ini sering menyentuh hati nurani bangsa yang terbabit. Saya seorang Melayu, nampaknya ketuanan bangsa saya dilapor telah dipertikaikan lagi.
Lazimnya isu ini semakin ketara dibangkitkan apabila parti-parti politik yang berteraskan perjuangan 'bangsa' berhadapan dengan kemelut merebut jawatan di dalam parti masing-masing.
Semua yang terlibat dilihat menjadi 'wira' kepada bangsa masing-masing. Baru-baru ini Timbalan Presiden MCA yang baru Chua Soi Lek dikatakan telah mencuit hati nurani bangsa Melayu dengan mempersoalkan konsep 'Ketuanan Melayu'. Walaupun beliau dilapor sebagai berkata bahawa kenyataannya itu telah dimanipulasikan oleh pihak media, namun tidak semua media tersalah lapor!
Selama 10 tahun Soi Lek berkelana tanpa jawatan untuk kembali dengan kedudukan yang lebih tinggi hari ini. Senario ini menjadikan dirinya seorang yang benar-benar hebat. Walaupun beliau terkandas dengan masalah peribadi yang dihadapinya sebelum ini, namun kemenangannya merebut jawatan Timbalan Presiden MCA baru-baru ini telah membuatkan parut lukanya semakin menghilang, dan Soi Lek telah bangkit dengan ngauman suara yang menggugat hati nurani Melayu.
Lantas ianya disanggah oleh Dato' Mukhriz Mahathir iaitu calon Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Mukhriz mempertahankannya sambil berkata sudah tiba masanya negara ini mengamalkan hanya satu sistem pendidikan kebangsaan yang dilihat mampu menyatu padukan semua bangsa di negara ini.
Kenyataannya itu telah ditempelak oleh 'chauvinist' lalu meminta Mukhriz meminta maaf kepada bangsa Cina di negara ini. Mukhriz berkata beliau tidak perlu melutut dan meminta maaf kerana pandangannya itu bersifat rasional yang seharusnya disokong oleh semua pihak yang menjadi rakyat Malaysia.
Apabila menganalisa kemelut ini, penulis teringatkan betapa "Dongjiazong' sebuah NGO yang mewakili kepentingan kaum Cina di negara ini sering mempertahankan hak-hak kecinaan di negara ini.
Dongjiazong ditubuhkan di awal tahun 1950an. Satu ketika dahulu pertubuhan ini sering dianggap sebagai kumpulan yang bersifat chauvinistik oleh orang-orang Melayu. Ini kerana perjuangannya yang berapi-api mempertahankan satu sistem pendidikan vernacular Cina serta berautonomi demi mengekalkan bahasa, budaya dan identiti etnik Cina di Semenanjung Malaysia.
Mereka berjaya menyerap dalam parti politik komponen BN melalui Parti Gerakan kerana mereka sedar kepentingan mereka hanya akan dapat dipertahankan hanya melalui dalam kerajaan sahaja. Walaupun pada mulanya Dongjiozong telah menjalinkan hubungan dengan DAP. Tindakan mereka ini menyebabkan DAP marah dan menentang dua tokoh calon Dongjiozong dalam pilihanraya pada tahun 1982, iaitu Kerk Choo Ting dan Koh Tsu Khoon.
Kerk Choo Ting telah kalah dan Koh Tsu Khoon hanya menang tipis. Hari ini melihat dari kelemahan BN, UMNO dan Melayu nampaknya sahabat karib UMNO iaitu MCA pun terpaksa mengikut rentak Dongjiozong demi survival politiknya.
Buktinya jelas apabila ada pemimpin muda yang mengumpan dengan mencadangkan satu sistem pendidikan yang berteraskan semangat kebangsaan nampaknya semua parti Cina termasuk MIC bersatu menentangnya. Apa yang lebih menarik hari ini Najib pun terpaksa menentang cadangan satu sistem ini dan menari mengikut rentak Dongjiozong demi “survival” politiknya juga.
Akibatnya terbuktilah kekuatan Dongjiozong, dan mereka telah menjadi aset, di mana sesiapa yang ingin survive dalam politik negara ini mesti menyokong perjuangan Dongjiozong. Maka akhirnya halatuju dasar pendidikan negara ini telah dicorak oleh dasar-dasar pendidikan Dongjiozong. Kini Dongjiozong telah bejaya memikat jiwa nurani pemimpin Melayu.

Sebelum saya mengakhiri bicara ini, izinkan saya bertanya satu soalan, "Sampai bilakah kita akan terus bergantung kepada 'politik perkauman' untuk meraih sokongan dan kedudukan?"

Monday, December 1, 2008

Mesyuarat AJK Bahagian Setiawanga 9 Disember?


Zulhasnan, Halim dan Fauzi Gandingan Trio Setiawangsa



Shuib, Izudin, Yamin dan Zainal bakal dilantik?

Spekulasi kuat mengatakan bahawa UMNO Bahagian Setiawangsa akan mengadakan mesyuarat ahli jawatankuasanya pada hari Selasa depan, 9 Disember 2008, iaitu sehari selepas menyambut Hari Raya Korban. UMNO Bahagian ini sejak selesai mengadakan persidangan perwakilannya pada 25 Oktober yang lalu masih belum lagi mengadakan mesyuarat ahli jawatankuasanya.
Setakat berita ini ditulis, saya masih belum lagi menerima sebarang notis daripada UMNO Bahagian mengenai tarikh sebenar mesyuarat tersebut. Namun begitu, semasa menghadiri majlis kesyukuran dan doa selamat anjuran Pemuda UMNO Bahagian tempoh hari, Sdra Azmi Badarudin Ketua Pemuda Bahagian semasa memberikan ucapannya telah membayangkan tentang kemungkinan mesyuarat ahli jawatakuasa Bahagian akan diadakan pada 9 Disember depan.
Persoalan bila mesyuarat ahli jawatankuasa Bahagian hendak diadakan kini telah menjadi bahan percakapan di kedai-kedai kopi di sekitar kawasan Setiawangsa. Berbagai andaian dibuat kerana semua Bahagian di Wilayah Persekutuan dikatakan telah pun membentuk barisan ahli jawatankuasa masing-masing. Mereka berkata, UMNO Bahagian Wangsa Maju yang terkemudian mengadakan Persidangan Perwakilannya juga telah mendahului UMNO Bahagian Setiawangsa dengan mengadakan mesyuarat ahli jawatankuasanya pada 20 November lalu. Itupun perlantikan pegawai-pegawainya telah dibuat terlebih awal daripada itu.
Sebelum ini juga Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Setiawangsa sendiri telah pun mengadakan mesyuarat pertama ahli jawatankuasa masing-masing, cuma UMNO Bahagian sahaja yang masih belum mengadakan mesyuarat ahli jawatankuasanya
Perkara ini dibangkitkan mungkin mereka sudah tidak sabar lagi untuk mengetahui siapakah yang bakal mengisi kekosongan bagi jawatan-jawatan seperti Setiausaha, Bendahari dan Ketua Penerangan Bahagian. Begitu juga siapakah tujuh orang lagi yang bakal dilantik menduduki ahli jawatankuasa Bahagian.
Di dalam perlembagaan UMNO Fasal 15, Ketua UMNO Bahagian diberikan kuasa melantik bagi jawatan-jawatan Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan dan tujuh orang ahli jawatankuasa UMNO Bahagian.
Semasa menyampaikan ucapan penggulungan di dalam Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian yang lalu, Dato' Sri Zuhasnan Rafique Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa telah menyebutkan bahawa beliau berkemungkinan akan melantik di kalangan calon-calon yang tewas untuk mengisi kekosongan bagi jawatan tertentu di dalam UMNO Bahagian kali ini. Beliau menyatakan perkara ini kerana mahukan supaya UMNO Bahagian Setiawangsa terus kukuh terutama sebagai persediaan menjelang PRU13 nanti.
Jika itu yang menjadi keazamannya, sama-samalah kita saksikan apakah Shuib Ibrahim yang tewas di tangan Dato' Halim Samad ketika merebut jawatan Timbalan Ketua Bahagian akan dilantik menduduki jawatan tertentu di dalam UMNO Bahagian? Begitu juga apakah Dato' Izudin Ishak, Ahmad Yamin dan Zainal Tan Sri Mahmood yang tewas bertanding bagi jawatan Naib Ketua Bahagian juga bakal ditawarkan untuk bersama-sama di dalam saf Dato' Sri Zulhasnan kali ini?
Bagaimana pula dengan bekas ahli jawatankuasa Bahagian yang lainnya yang tidak tersenarai di dalam Ahi Jawatankuasa Bahagian yang terpilih kali ini, seperti Dato' Baharum, Haji Mohamed Hashim Setpol Menteri Wilayah Persekutuan, Sakandar Khan, Md. Nasir Md. Amin, Cikgu Badarudin dan Ahmad Jais termasuk juga Haji Ahmad Hashim bekas Ketua Penerangan Bahagan. Apakah mereka ini turut diberikan pertimbangan untuk berada sekali di dalam kabinet Bahagian Setiawangsa?
Hamzah Kamarudin Ketua UMNO Cawangan Seksyen 6 Wangsa Maju juga menaruh harapan untuk dilantik, kerana beliau merupakan calon AJK yang tertewas yang mempunyai jumlah undi yang tertinggi di kalangan calon-calon AJK lain yang turut tertewas. Hamzah Kamarudin mendapat 113 undi, dan menduduki tangga yang ke-21 di dalam ranking ahli jawatankuasa Bahagian yang dipertandingkan.
Samsuri Shahrom yang kini bertugas sebagai Pegawai Khas kepada Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan juga terintai-terintai dan menaruh harapan agar dirinya dilantik setidak-tidaknya sebagai ahli jawatankuasa Bahagian.
Satu perkara yang cukup menarik untuk diperhatikan ialah siapakah yang bakal dilantik menjadi Setiausaha, Bendahari dan juga Ketua Penerangan Bahagian? Rata-rata membuat andaian bahawa Abdullah Mat (Pak Lah) (Lihat Gambar) bakal dilantik sekali lagi sebagai Setiausaha UMNO Bahagian, kerana beliau dilihat mempunyai hubungan yang rapat dengan Ketua UMNO Bahagian, malah faktor kecemerlangan tugasnya dikatakan begitu disenangi oleh Dato' Sri Zulhasnan Rafique.
Ada juga pendapat yang menyatakan bahawa Pak Lah tidak akan dilantik menyandang jawatan Setiausaha Bahagian kali ini, kerana beliau dikatakan akan ditarik ke Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan bagi mengisi jawatan tertentu yang dikosongkan.
Kepada mereka yang tidak senang hati dengan Pak Lah selama ini, tentunya mereka gembira dengan spekulasi ini. Namun begitu, bagi jawatan-jawatan penting di peringkat Pegawai ini dirasakan bakal diisi oleh mereka yang disenangi oleh Ketua Bahagian, bukannya mengikut acuan orang lain yang tidak berkenaan.
Tidak wajar rasanya, jika wujud pertikaian bagi mengisi jawatan penting ini, semata-mata tidak serasi dengan cermin kita. Biarlah ianya secocok dengan cermin yang dipegang oleh Ketua UMNO Bahagian sendiri.
Begitu juga kita ingin melihat pembentukan dan susunan biro-biro yang bakal dilantik oleh Dato' Sri Zulhasnan Rafique nanti. Pembahagian tugas dan tanggungjawab ini bakal digalas oleh semua mereka yang telah berjaya memenangi jawatan-jawatan yang dipertandingkan. Diharapkan tugas dan tanggugjawab ini benar-benar serasi dengan keupayaan masing-masing.
Apa pun kita tunggu sahaja pada 9 Disember nanti dan menyerahkan kebijaksanaan ini kepada Ketua UMNO Bahagian yang berkuasa untuk menentukannya.


Sunday, November 30, 2008

Pemuda Setiawangsa adakan majlis kesyukuran dan doa selamat.


Gambar Kiri: Azmi Badarudin (Kanan) dan Mohd. Ezani Abd. Rahman Pengerusi Biro Agama (Kiri).
Gambar Kanan: Dato' Halim Samad sedang berucap. Berbaju biru Ustadz Ismail Hashim


Gambar Kiri: Diantara tetamu yang hadir.
Gambar Kanan: Ustadz Ismail Hashim berbaju biru mengepalai bacaan Surah Yasin


Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Setiawangsa telah berjaya mengadakan majlis kesyukuran dan doa selamat di Pejabat UMNO Bahagian Setiawangsa, yang dihadiri oleh ahli-ahlinya kelmarin (Sabtu, 29 November 2008). Semasa memberikan ucapan, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Azmi Badaruddin berkata bahawa ini merupakan aktiviti pertama yang dapat diadakan sebelum mengakhiri tahun 2008, dan beliau juga mengucapkan tahniah dan syabas kepada Biro Agama, Kebajikan dan Pembangunan Islam di atas kejayaan mengelolakan majlis ini.

Dato' Haji Abdul Halim Samad Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa turut hadir di dalam majlis ini seterusnya menyampaikan ucapan sebagai mewakili Ketua UMNO Bahagian yang tidak dapat hadir. Majlis ini bermula dengan solat fardu maghrib diikuti dengan bacaan surah Yasin dan doa selamat serta tazkirah yang dipimpin oleh Ustadz Haji Ismail Hashim daripada JAKIM.

Beberapa orang ahli jawatankuasa Bahagian juga hadir meraikan majlis tersebut, antaranya ialah Abdul Rahman Hashim, Haji Yusof Ishak, Othman Baba, Haji Yahya Abu Bakar dan beberapa orang Ketua UMNO Cawangan yang terdiri daripada Haji Badarudin Ahmad, Abu Bakar (Pak Ngah), Rosli Mohamad, Wan Zainal dan juga Abdullah Mat.

Seri Wani Sabtu, Ketua Pergerakan Puteri Bahagian bersama-sama dengan beberapa orang ahli jawatankuasanya juga hadir, termasuk beberapa orang Ketua Pergerakan Wanita Cawangan. Haji Abdullah Abdul Rahman, Pengerusi Tetap UMNO Bahagian dan Yusaini Amir Setiausaha Akhbar Menteri Wilayah Persekutuan juga kelihatan di dalam majlis ini.
Locengwangsa turut mengucapkan tahniah kepada Pergerakan Pemuda Bahagian yang dipimpin oleh Azmi Badarudin beserta dengan saf ahli jawatankuasanya kerana telah berjaya membuat 'starting point' ini, di samping kejayaan mewujudkan laman blog mayanya sendiri iaitu http://www.pemuda118.blogspot.com/.

Monday, November 24, 2008

Shahrizat khianati janjinya? Rafidah akan terus pertahankan jawatan.


Kemelut politik Wanita UMNO Malaysia semakin meruncing. Tan Sri Rafidah Aziz Ketua Pergerakan Wanita UMNO dengan nada kesal dan kecewa mendakwa Dato' Seri Shahrizat Jalil telah memungkiri janjinya untuk akur dengan pelan peralihan kuasa yang telah dipersetujui bersama sebelum ini.

Sebagaimana yang dijangkakan, Rafidah Aziz juga telah mengambil ketetapan bahawa beliau akan terus mempertahankan jawatannya yang telah disandang sejak 1984 itu, dan menganggap pelan peralihan kuasa yang dirangka itu sudah pun ranap. Dalam artikata yang lainnya, kedua-dua jagoan Wanita UMNO ini akhirnya akan berentap sesama sendiri, setelah kedua-duanya tidak tersenarai di dalam jemaah menteri Pak Lah.

Rebutan kuasa yang berlaku di dalam Wanita UMNO ini juga dilihat sebagai pertarungan proksi, setelah Ketua Wanitanya Tan Sri Rafidah Aziz digugurkan dari jawatan Menteri walaupun beliau telah terbukti menang di dalam PRU12 lalu di kawasan Parlimen Kuala Kangsar. Manakala Naib Ketua Wanitanya Dato' Seri Shahrizat Jalil pula juga seorang Menteri ketika itu, telah ditewaskan oleh Nurul Izzah Anwar (PKR) di Parlimen Lembah Pantai, tetapi dilantik pula sebagai Penasihat Hal Ehwal Wanita kepada Perdana Menteri yang bertaraf Menteri.

Dalam sifir congak politik tentunya Shahrizat lebih rapat dengan Pak Lah jika dibandingkan dengan Rafidah. Pengguguran Rafidah Aziz daripada jawatan Menteri merupakan satu tamparan mengejut yang diterima oleh Pergerakan Wanita UMNO daripada Presiden partinya yang dilihat sebagai satu percubaan awal untuk melemahkan pengaruhnya dalam Wanita UMNO. Sebaliknya Perdana Menteri pula dilihat begitu 'excited' untuk memperkukuhkan kedudukan Shahrizat dengan menawarkan jawatan Penasihat yang bertaraf Menteri itu.

Tindakan memungkiri janji yang diperlakukan oleh Shahrizat itu sehingga membawa kepada ketetapan baru untuk mencabar Rafidah, tentunya dilihat mempunyai faktor 'membaling batu sembunyi tangan'. Shahrizat dilihat tergamak melukakan hati dan perasaan Ketuanya daripada menghampakan kehendak mentornya, Pak Lah.

Sebagai seorang yang telah dikecewakan, tentunya Rafidah akan terus bertindak untuk menebus maruahnya dengan berkata bahawa Wanita UMNO perlu berdiri teguh di belakangnya untuk mengembalikan haknya yang tercabul sehingga tidak ada seorang pun pemimpin kanan Wanita UMNO yang duduk sebagai Menteri. Jika ada pun hanya seorang 'Penasihat' kepada Perdana Menteri yang tertewas di dalam pilihan raya, yang dinaik taraf sebagai 'Menteri'. Itukah yang dibanggakan oleh Wanita UMNO?

Rasanya Rafidah mampu meraih sokongan dan simpati daripada perwakilan Wanita UMNO yang bakal membuat penentuannya di dalam Perhimpunan Agung pada bulan Mac tahun hadapan. Rafidah berkata, Shahrizat tidak perlu tergopoh gapah, kerana akhirnya nanti dia akan menyerahkan kuasanya kepada Shahrizat pada bulan Jun nanti, setelah membuat perlantikan Ketua-Ketua Wanita Perhubungan Negeri yang dipersetujui oleh Shahrizat juga.

Oleh kerana 'langit tidak selalu cerah' Shahrizat merelakan dirinya untuk mengkhianati Ketuanya yang pernah disanjung tinggi. Shahrizat terpengaruh dengan emosinya seolah-olah merasakan Rafidah akan menjadi sepertinya yang memungkiri janji. Shahrizat telah membuka pekong kelemahan dirinya di pusingan awal yang akan mengakibatkan dirinya bakal tersungkur.

Friday, November 21, 2008

Rafidah menerima tekanan, Shahrizat bertekad tanding Ketua Wanita



Nampaknya kemelut politik di dalam Pergerakan Wanita UMNO yang membabitkan Rafidah dan Shahrizat terus menjadi topik hangat di persada politik tanah air kini. Tan Sri Rafidah Aziz Ketua Pergerakan Wanita UMNO sejak 1984 lagi pernah ditewaskan oleh Dato' Sri Dr. Siti Zaharah Sulaiman suatu masa dahulu, kini semakin hampir dicabar sekali lagi. Tokoh kali ini yang bakal memberikan cabaran terhadap beliau ialah Naib Ketuanya sendiri, iaitu Dato' Seri Shahrizat Jalil yang kini menjadi Penasihat Hal Ehwal Wanita kepada Perdana Menteri.

Penganalisa politilk meramalkan Shahrizat mampu memberikan tekanan kepada Rafidah malah tekanan kali ini dilihat akan memberikan impak kepadanya untuk mengkaji semula pelan peralihan kuasa yang dirangka oleh Rafidah untuk menyerahkan baton Ketua Wanita kepada penggantinya pada bulan Jun 2009.

Jika Rafidah berdegil dan tetap mahukan pelan tersebut dipatuhi, maka sejarah Wanita UMNO bakal menyaksikan Rafidah akan tertiarap sekali lagi di dalam Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO yang akan diadakan pada Mac 2009; dan kali ini Wanita UMNO akan mengajarnya supaya tidak bersikap angkuh sehingga tidak nampak lampu isyarat merah sudah menyala di hadapan menyuruhnya berhenti.

Dato' Seri Shahrizat Jalil telah pun membuat pengumuman kelmarin (20 November 2008) dimana beliau telah menyatakan kesediaan dirinya untuk bertanding jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO di dalam Perhimpunan Agung Wanita pada bulan Mac 2009 nanti. Pengumumannya itu telah mendapat reaksi yang positif dari sebilangan besar Wanita UMNO Bahagian seluruh negara. Shahrizat dijangka akan menerima sokongan lebih daripada 100 Wanita Bahagian, termasuk Bahagian-Bahagian yang telah mencalonkan Rafidah. Tan Sri Rafidah Aziz telah mendapat 117 pencalonan, manakala Dato' Seri Shahrizat Jalil pula memperolehi 73 pencalonan daripada Wanita UMNO Bahagian yang telah mengadakan persidangan perwakilannya musim ini.

Kita menjangkakan Rafidah akan melenting dengan ketetapan yang diambil oleh Shahrizat itu, dan kemungkinan Rafidah akan tetap mempertahankan kedudukannya sebagai Ketua Wanita demi menjaga maruah dan air mukanya yang telah dicalarkan. Jika ini terjadi, rumahtangga Wanita UMNO akan terus bergolak dan drama tarik menarik rambut akan terus mencacat celakan imej Wanita UMNO.


Wednesday, November 19, 2008

Pemilik bengkel 10 anak, merayu DBKL jangan robohkan bengkelnya..

Setiawangsa, 19 November - Bengkel baiki kereta, bangsal besi buruk dan tapak sembelihan ayam antara yang dirobohkan oleh pihak DBKL, di Jalan Air Madu (Lot 28238), Air Panas, Setapak, hari ini.
-----------------------------------------------------------
Difahamkan pemilik tanah Air Panas Development Sdn Bhd telah buat rayuan kepada DBKL dan juga kepada Dato' Sri Zulhasnan supaya tindakan meroboh dapat
ditangguhkan sehingga satu bulan, tapi tidak diendahkan...
----------------------------------------------------------
DBKL keluar notis satu minggu pada 10 November dan telah berakhir pada 18 November. Menurut sumber yang dimaklumkan, tindakan dibuat kerana adanya aduan penduduk tempatan?
---------------------------------------------------------
Lebih 30 orang penguatkuasa DBKL telah menjalankan arahan pihak atasan untuk merobohkan bengkel ini...siapa orang atasan itu?
---------------------------------------------------------
Zaki Abd. Majid, seorang pengusaha bengkel membaiki kereta mempunyai 10 orang anak yang masih kecil mendiami rumah bengkel itu minta penguatkuasa jangan teruskan perobohan bengkelnya itu. Beliau minta simpati, tapi sebahagian bengkelnya telah pun dirobohkan.. Difahamkan dia diberi masa dua hari...ke mana anak-anak kecil ini akan dipindahkan?
---------------------------------------------------------
Semasa membuat tinjauan di sebelah petang 19 November, didapati mereka yang terlibat menjalankan perniagaan di tapak berkenaan bukan sahaja telah mendapat kebenaran tuan tanah (Air Panas Development Sdn Bhd), malah tidak mengganggu lalulintas, jauh sekali buat kacau ganggu. Tapi kenapa tindakan terus diambil?
---------------------------------------------------------
Encik Roslan Abd. Rahman yang berada di lokasi telah menghubungi Tuan Hj Hashim (Setiausaha Politik Menteri Wilayah Persekutuan) mempersoalkan tindakan yang telah diambil oleh pihak DBKL itu, yang dianggapnya sebagai tidak berperi kemanusiaan. Menurut katanya, nasib baik beliau sempat bergegas ke lokasi berkenaan dan berjaya membuat rayuan kepada Pegawai penguatkuasa DBKL (Encik Azlan Abdullah Pegawai Perancang Bandar) supaya tidak meneruskan tindakan meroboh sebahagian bengkel kereta milik Zaki Majid yang menempatkan anak-anaknya yang masih kecil di situ.

1.
2.

3.
4.
5.
6. 7.

8.

Keterangan Gambar:

Gambar 1 - Sisa bengkel besi buruk yang dirobohkan

Gambar 2 - Anak Encik Zaki Abd. Majid menunjukkan sebahagian daripada bengkel kereta bapanya yang dirobohkan.

Gambar 3 - Bengkel kereta Encik Zaki Majid yang telah dirobohkan.

Gambar 4 - Roslan (Dua dari kiri) pemilik tanah berkenaan bersama-sama dengan pengusaha-pengusaha bengkel yang terlibat.

Gambar 5 - Anak En. Zaki pengusaha bengkel kereta sedang melihat sisa-sisa runtuhan di depan rumahnya.

Gambar 6 & 7 - Kiri: En. M. Muraly (Pengusaha Isdany Metal & Trading) menunjukkan surat/notis yang diterimanya daripada DBKL.

Gambar 8 - Kedai tempat sembelihan ayam yang telah dirobohkan.

-----------------------------------------------------------

Sekadar Meraih Simpati DBKL...

1. Jika nak bertindak meroboh samada tapak penjaja tak berlesen, bangsal besi buruk, bengkel-bengkel membaiki kereta ataupun penempatan tertentu biarlah menyeluruh dan tidak kelihatan 'terpilih'. Nanti rakyat yang menderita itu akan menuduh bahawa tindakan DBKL itu ada unsur rasuah.

2. Jika ada rayuan meminta supaya tindakan meroboh itu dilanjutkan kepada satu tempoh, hendaklah dilayan! Berikan mereka masa yang mencukupi untuk mencari tapak lain bagi meneruskan kehidupan marhainnya.

3. Biarlah tindakan yang diambil itu tidak memperlihatkan unsur penindasan dan kezaliman pihak kerajaan terhadap rakyat yang memerlukan pembelaan. Pengusaha bengkel kereta yang terbabit terpaksa menanggung kerugian yang akan menyulitkan lagi kehidupan 12 anak beranak itu. Peralatan yang rosak akibat perobohan terpaksa mereka bayar ansuran juga kepada pihak bank yang memberikan pinjaman perniagaan, sedangkan perniagaannya telah terhenti akibat tindakan DBKL itu!

4. Jika terpaksa dirobohkan juga, usahakanlah penempatan keluarga ini di rumah PPR yang berdekatan. Difahamkan anak-anak kecil ini masih bersekolah di sekitar Air Panas. Anak yang paling kecil (anak ke-10) masih dalam usia 1 1/2 tahun. Kasihanilah mereka ini. UMNO Cawangan Air Madu kena bantu keluarga Melayu ini yang sedang menghadapi tekanan daripada kerajaan UMNO yang memerintah. Mereka sedang menghitung hari untuk diambil tindakan susulan DBKL