assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Saturday, June 18, 2011

15 ANGGOTA PEMBANGKANG BAKAL GEGARKAN SIDANG DEWAN NEGERI SARAWAK BERMULA ISNIN INI

Oleh Abdul Rahman Hashim

Kompleks Dewan Undangan Negeri Sarawak

Saya kini berada di Kuching, Sarawak. Genap dua bulan saya tidak posting dalam blog ini. Kali terakhir saya menulis mengenai Khairy Jamaludin, Ketua Pemuda BN dan juga Ketua Pemuda UMNO yang mendesak BN tunaikan janji untuk segerakan peralihan kuasa di negeri Sarawak pada 18 April yang lalu. Selepas itu locengwangsa dilihat menyepi, walaupun saya masih aktif mengeluarkan pandangan kritis saya menerusi laman facebook saya'Abdul Rahman Hashim'.

Hari ini saya tampilkan diri untuk memberikan selayang pandang mengenai politik negeri Bumi Kenyalang setelah BN sekali lagi memperolehi majoriti dua pertiga di dalam PRU negeri pada 15 April 2011. Kejayaan BN memperolehi dua pertiga kali ini telah mengundang 15 Ahli Dewan Undangan Negeri di pihak pembangkang termasuk seorang dari Bebas.

DAP agak bergaya kali ini kerana parti ini telah memenangi 12 kerusi sekaligus meranapkan impian SUPP untuk membuktikan parti komponen BN itu masih relevan di kalangan masyarakat Cina di negeri Sarawak. Gelombang kekalahan SUPP kali ini telah mengakibatkan parti tertua negeri Sarawak itu terus dianda masalah kepimpinan yang kian meruncing.

PKR pula walaupun tidak banyak kerusi yang dimenanginya kali ini, namun dalam PRU yang baru lepas menyaksikan pertambahan daripada satu kerusi yang dimenangi sebelum ini, kini PKR berjaya menambah dua lagi kerusi di DUN Ba Kelalan. Satu lagi kerusi DUN yang dimenangi oleh PKR ialah di DUN Batu Lintang dekat Kuching.

Barisan Nasional sebelum ini menang di 63 kerusi, namun gelombang PRU negeri 15 April lepas telah menyaksikan BN hanya mampu bertahan dua pertiga dengan memperolehi 55 kerusi daripada 71 kerusi yang dipertandingkan. Bersyukur juga kerana BN tidak kecundang keseluruhannya malah BN telah berjaya membentuk semula kerajaan di negeri ini. Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Taib Mahmud telah pun melantik jemaah menterinya untuk penggal kali ini.

Isnin ini (20 Jun 2011) semua ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak yang berjaya memenangi kerusi masing-masing itu akan bersidang buat pertama kalinya selepas diadakan pilihan raya umum negeri 2011. Mereka juga akan mengangkat sumpah di hadapan YDP Dewan sebelum memulakan sesi persidangan.

Jika sebelum ini, kehadiran 8 Ahli DUN di pihak pembangkang telah menjadikan suasana Dewan Undangan Negeri menjadi higar bingar, maka sidang Dewan yang bakal berlangsung Isnin ini akan menjadi lebih panas, kerana 15 anggota dari pihak pembangkang pastinya akan bertikam lidah dengan pihak kerajaan terutama membabitkan isu-isu rakyat dan juga masalah ketelusan yang didakwa oleh pembangkang semakin membarah.

Dalam pada itu, semua anggota BN negeri ini telah menghadiri seminar 'Wacana Parlimen Mengenai Kerajaan 2011' yang telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Sarawak di Kompleks DUN Sarawak di Petrajaya pada 17 Jun lepas.

Semasa berucap Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak menaruh harapan yang tinggi kepada semua angggota BN di negeri ini supaya menjadikan kelebihan majoriti dua pertiga kali ini untuk mereka memppertahankan dasar-dasar kerajaan.

"Sebagai wakil rakyat BN, anda mesti memahami peranan anda sebagai penyokong kerajaan untuk bertindak selaku rangkaian dalam menjalin suatu sistem serta penyelesaian baru ke arah menjayakan urus tadbir kerajaan dengan memperjelaskan secara mudah kepada penduduk di peringkat akar umbi." katanya

Beliau menambah, pembangkang akan lebih berkuasa hanya jika 55 wakil rakyat daripada BN membenarkan diri mereka terus memainkan isu berkaitan kebebasan agama dan perkauman yang dapat membangkitkan emosi rakyat dengan mudah.

Abdul Taib juga membidas pihak pembangkang, kerana menurutnya kita masih belum mempunyai pembangkang yang berdaya maju. Walaupun mereka telah mencuba menubuhkan kabinet bayangan namun Taib merasakan bahawa mereka kena belajar lebih untuk mengurus negara ini secara bertanggungjawab.