assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Thursday, October 29, 2009

KEMELUT PAS - ISU KERAJAAN PERPADUAN DITUTUP, SEMINAR GANTI EGM, PAS SELANGOR BAKAL DIHADAP TRIBUNAL

Parti PAS sekali lagi menegaskan bahawa isu kerajaan perpaduan bersama UMNO tidak berbangkit lagi malah telah ditutup rapat. Demikian sebahagian daripada ketetapan yang telah diambil oleh mesyuarat khas PAS pusat yang berlangsung selama lebih empat jam di ibu pejabatnya di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur kelmarin, yang berakhir kira-kira jam 1.00 pagi.

Mesyuarat itu yang dihadiri bersama oleh Tok Guru Nik Aziz Nik Mat telah dipengerusikan oleh Presidennya sendiri Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Di dalam mesyuarat itu juga PAS telah mengambil ketetapan untuk mengadakan seminar pada 7 November depan bagi menggantikan EGM yang telah dicadangkan oleh Nik Aziz.

Selain itu PAS juga bersetuju untuk membawa kes Perhubungan PAS Negeri Selangor yang dipengerusikan oleh Dato' Dr. Hassan Ali kepada Jawatankuasa Disiplin parti yang dipengerusikan oleh Naib Presidennya Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man. Difahamkan isu ini telah dibahaskan dengan panjang lebar seterusya menyerahkan mandat kepada Jawatankuasa Disiplin untuk menyiasat secara terperinci sebelum diambil apa-apa tindakan selanjutnya.

Dalam arti kata lainnya, kelicikan Hassan Ali yang dilihat terjebak dengan 'main nyorok-nyorok' bersama UMNO telah dapat dikesan oleh partinya sendiri sehingga Mursyidul Amnya semakin menyinga. Kelibat Dr. Hassan Ali juga dilihat semakin mencurigakan kerana sebelum ini beliau juga dikatakan telah dijanji manis oleh UMNO untuk menjadi Menteri Besar Selangor sekiranya pakatan kerajaan perpaduan ini menjadi kenyataan.

Difahamkan juga terdapat beberapa desakan supaya Dr. Hassan Ali dipecat sebelum ianya membarah. Namun begitu Hadi Awang telah meminta supaya ianya di siasat terlebih dahulu sebelum menghukum kedurjanaan yang dicetuskan oleh Pengerusi PAS Selangor itu. Dipercayai juga Dr. Hassan Ali begitu tersinggung dengan beberapa tuduhan yang dilemparkan terhadap beliau, malah isu ini dilihat bakal merobah lanskap politik negeri Selangor yang amat menggerunkan PAS dan kerajaan Pakatan Rakyat amnya.

Mencongak politik terhadap isu ini bakal menyaksikan UMNO akan terus melipat gandakan usahanya untuk menangguk sehingga dapat memenangi hati Hassan Ali yang terlalu cintakan 'perpaduan'.