Majlis Tertinggi UMNO telah membuat ketetapannya pada hari ini untuk menangguhkan Perhimpunan Agung UMNO serta pemilihan parti dari Disember tahun ini ke bulan Mac tahun depan. Sementara itu Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian yang dijadualkan bermula 9 Oktober ini tetap diteruskan. Keputusan luar jangka ini telah diambil di dalam mesyuarat khas MT yang diadakan hari ini di Ibu Pejabat UMNO.
Mesyuarat yang dipengerusikan sendiri oleh Presidennya Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi telah berlangsung selama lebih kurang setengah jam sahaja setelah Pak Lah dan Dato' Sri Najib selesai mengadakan perundingan tertutup setengah jam sebelumnya.
Persis Lowbatt
Sebelum ini pelbagai peringkat di dalam UMNO telah memperkatakan isu peralihan kuasa ini yang memberi gambaran betapa lesunya kepimpinan UMNO persis 'lowbatt' yang bakal menghilangkan hayatnya.
UMNO di bawah kepimpinan Pak Lah dikatakan antara yang paling lemah sehingga meyebabkan UMNO ditolak oleh rakyat di lima buah negeri, iaitu di Kedah, Perak, Pulau Pinang, Selangor dan juga Kelantan. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga telah mencatatkan rekod terburuknya setelah sembilan kawasan parlimen kecuali Parlimen Setiawangsa yang telah dimenangi oleh parti pembangkang.
Dato' Sri Zulhasnan Rafique, Menteri Wilayah Persekutuan yang turut bertanding di kawasan Parlimen Setiawangsa nyaris tertewas kerana kemenangannya telah dapat ditampung dengan kelebihan undi pos yang diperolehinya.
bijak mencuri peluang
Gelombang Anwarisme dikatakan begitu kuat mempengaruhi fakta kemenangan Pakatan Rakyat yang bijak mencuri peluang di sebalik kelemahan UMNO yang di pimpin oleh Pak Lah. Rakyat tidak lagi rasa bersalah untuk mengenepikan UMNO yang telah banyak berjasa kepada bangsa Malaysia sehingga negara mencapai kemerdekaan sejak 51 tahun lalu.
UMNO dahulu dilihat sungguh perkasa, tetapi tidak hari ini. UMNO selepas Che' Det tidak berupaya untuk menyekat kebencian yang meluap-luap oleh penyokong akar umbi yang selama ini begitu selamat berada di bawah kekuasaan UMNO. UMNO semakin tidak relevan lagi jika faktor kepimpinan ini tidak diselesaikan segera.
Sebelum ini berbagai pandangan dan juga kritikan telah diasak supaya UMNO segera dipulihkan. Rata-rata berpendapat jika isu peralihan kuasa ini lambat ditangani, nescaya UMNO akan terperangkap dengan desakan rakyat supaya segera diturunkan takhtanya. Anwar Ibrahim dan konco-konconya dalam Pakatan Rakyat pula tentu terpaksa mengubah sauhnya setelah melihat perkembangan mutakhir di dalam UMNO ini.
sudah mual
Walaupun Mat Sabu daripada PAS berkata bahawa pembangkang lebih sukakan pemimpin yang lemah seperti Pak Lah supaya lebih lama lagi memimpin UMNO, namun mereka juga berpendapat kemunculan Najib yang bakal mengganti Pak Lah tidak memberikan apa-apa impak kepada rakyat yang sememangnya sudah mual dengan sikap kedua-dua pemimpin besar UMNO itu.
Mereka memberikan gambaran betapa UMNO hari ini ketandusan pemimpin yang bakal membuka ruang secukupnya kepada pakatan pembangkang untuk bersaing dengan parti yang bakal rebah itu. Pada mereka walaupun Najib lebih baik daripada Pak Lah, tetapi Najib juga bakal melilitkan UMNO dengan pelbagai masalah peribadinya.
Iktibar Kepada Najib
Keputusan yang telah diambil oleh Majlis Tertinggi UMNO hari ini haruslah menjadi iktibar kepada Dato' Sri Najib supaya dirinya tidak menjadi mangsa sebagaimana yang telah berlaku terhadap Pak Lah. Mampukah Najib melakukan perubahan terhadap UMNO yang sedang dilanda pelbagai masalah ini?
Satu lagi persoalan yang jangan dipandang remeh, iaitu mampukah Najib untuk melepasi berbagai halangan sebelum sampai ke destinasi Mac 2009? Dalam politik, macam-macam boleh terjadi. Pak Lah yang sudah pun mengumumkan untuk melepaskan jawatannya pada tahun 2010, tiba-tiba tersekat di tengah jalan sehingga memaksa beliau mempercepatkannya.
Disayonarakan
Pak Lah semakin tidak diperlukan lagi oleh UMNO, dan tempoh peralihan yang bakal dijadualkan semula ini hanya memenuhi tuntutan supaya Presiden UMNO disayonarakan secara lebih terhormat. Apakah Che'Det akan masuk semula dalam UMNO setelah Pak Lah tidak lagi memimpin UMNO? Sama-samalah kita saksikan percaturan politik yang semakin berliku ini.

