Karpal Singh mengulangi pendirian bahawa parti DAP tetap tidak menerima Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Menurutnya negara ini merupakan sebuah negara 'sekular' hanya meletakkan Islam sebagai agama rasmi, tetapi bukannya sebuah negara Islam. Oleh itu beliau menolak jika ada pendapat yang mengatakan negara ini sebagai negara Islam.
Di dalam Pakatan Rakyat, PAS merupakan parti yang bertegas untuk menjadikan negara ini sebagai sebuah negara Islam. Namun Karpal Singh sejak dahulu lagi tidak bersetuju dengan perjuangan PAS itu, malah beliau pernah mengeluarkan kenyataan 'langkah mayatnya dahulu' jika PAS mahukan Malaysia menjadi negara Islam.
Karpal menyalahkan Dr. Mahathir kerana telah mengubah persepsi perlembagaan negara yang menyifatkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam, sebaliknya bersetuju dengan persepsi Tunku Abdul Rahman yang menyifatkan negara ini sebagai negara sekluar.
Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa menjadi Perdana Menteri telah banyak memperkenalkan dasar-dasarnya yang menjurus kepada nilai-nilai Islam sehingga telah membentuk sebuah majlis yang diberikan peranan dan tanggungjawab untuk melaksanakan 'Dasar Penerapan Nilai Islam' di bawah Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Hal Ehwal Islam) yang kini dikenali sebagai JAKIM. Anwar Ibrahim pernah mengetuai jawatankuasa ini ketika beliau menjadi Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana sekitar tahun 1982 dan 1983.
Menerusi dasar penerapan nilai-nilai Islam inilah terbentuknya berbagai-bagai projek yang melambangkan gagasan Islamisasi seperti penubuhan Bank Islam, Pajak Gadai Islam, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM) malah di zaman Tun Dr. Mahathir jugalah tertubuhnya Universiti Islam Antarabangsa (UIA).
Dasar Penerapan Nilai Islam yang diperkenalkan itu dilihat telah berjaya membentuk Malaysia sebagai sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasminya. Walaupun perlaksanaan dasar itu tidak mengubah secara keseluruhannya Malaysia sebagai sebuah negara Islam, namun negara sekular persepsi Tunku Abdul Rahman itu telah dapat melaksanakan berbagai-bagai langkah syiar Islam ke arah Islamisasi yang hakiki.
Tidak timbul polemik yang hingar bingar termasuk daripada DAP yang menentang dasar penerapan nilai Islam itu, mungkin kaedah yang diperkenalkan itu tidak terlalu menjolok mata Karpal Singh dan DAP. Demikianlah syumulnya Islam jika diperkenalkan secara berhikmah tanpa memaksa orang-orang bukan Islam yang lainnya untuk menjadi lebih Islam.
Di sini jugalah letaknya 'Uslub Dakwah' di sebalik 'Dasar Penerapan Nilai Islam' yang lebih kurang sama dengan konsep 'Islam Hadhari' yang diperkenalkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam eranya menjadi Perdana Menteri sebelum Najib memperkenalkan 'Dasar 1Malaysia' untuk semua kaum.
PAS mungkin tidak boleh menerima cara UMNO melaksanakan konsep Islamisasi ini, kerana mungkin PAS berpendapat Islam yang diperkenalkan oleh UMNO itu hanya kosmetik. PAS berkehendakkan hukum hudud diperkenalkan jika benar UMNO serius untuk melaksanakan hukum Islam di negara ini. PAS berpendapat Malaysia hendaklah melaksanakan hukum Islam dan bukannya penerapan nilai Islam.
Karpal Singh yang bukan seorang penganut Islam tentulah tidak menjiwai Islam sebagai 'Ad-Deen' (A Way Of Life), maka sebab itu pemahaman konsep Islamnya tidak cenderung kepada Islam sebagaimana yang dikehendaki oleh Al-Quran As-Sunnah.


.jpg)