assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Saturday, February 12, 2011

ADUN KERDAU PULA MENINGGAL DUNIA, PRK PERTAMA DI PAHANG

DUN Kerdau, Datuk Zaharuddin Abu Kassim (foto) daripada Umno meninggal dunia petang tadi. Allahyarham dikatakan menghembuskan nafas terakhirnya ketika dalam perjalanan ke hospital selepas dilaporkan terjatuh di bilik air rumahnya.

Menurut laporan Bernama, Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh Supt Zundin Mahmood berkata pihak Hospital Sultan Ahmad Shah Temerloh mengesahkan Zaharuddin, 63, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital berkenaan pada jam 6.30 petang.

Sejak setahun lalu, Zaharuddin seringkali keluar masuk hospital kerana pelbagai penyakit. Kali terakhir adalah pada November tahun lalu di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Hospital di Temerloh kerana tekanan darah yang tidak menentu.

Allahyarham juga sebelum ini pernah dimasukkan ke IJN pada 9 Mei tahun lalu apabila berlaku masalah pada buah pinggang dan jantungnya selepas menjalani pembedahan ulser usus.

"Masih belum dapat dipastikan sama ada Datuk Zaharuddin mengalami serangan jantung ketika terjatuh di dalam bilik air," kata Supt Zundin.

Pilihan raya kecil ke-16
Kematian itu menyaksikan pilihan raya kecil kali ke-16 bakal diadakan selepas pilihan raya umum 2008. Ia adalah pilihan raya kecil pertama di Pahang.

Mengikut undang-undang pilihan raya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mesti mengadakan pilihan raya kecil dalam tempoh 60 hari.

Ketika ini, parti-parti politik sibuk membuat persiapan bagi pilihan raya kecil ke-15 bagi mengisi kekosongan kerusi dewan undang negeri Merlimau, Melaka akibat kematian Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan kerana sakit jantung.

Zaharuddin, 63, menang kerusi DUN Kerdau pada pilihan raya umum 2008 dengan majoriti 1,615 undi, menewaskan calon PAS, Hassanudin Salim.

Kawasan tersebut mempunyai pengundi yang terdiri daripada 89 peratus Melayu, 6 peratus Cina, 3.7 peratus India dan 2.5 peratus kaum-kaum lain.


Sumber: Malaysiakini

MUBARAK LETAK JAWATAN, CABUT LARI KE LAUT MERAH, RAKYAT BERPESTA

Presiden Hosni Mubarak letak jawatan.
30 tahun memerintah Mesir, akhirnya direbahkan menerusi
kebangkitan rakyatnya
setelah 18 hari berdemonstrasi.

Rakyat Mesir berpesta setelah berjaya mengusir pemimpin mereka

KAHERAH 12 Feb. - Presiden Hosni Mubarak akhirnya tunduk kepada desakan jutaan rakyatnya apabila meletakkan jawatan yang diumumkan oleh naib presidennya, Omar Suleiman dalam televisyen negara itu malam tadi.

“Mengambil kira ketegangan yang berlaku, presiden mengambil keputusan meletak jawatannya sebagai presiden dan Majlis Tertinggi Tentera akan mengambilalih pentadbiran negara,” kata Omar ketika mengumumkannya dalam televisyen.

Jutaan rakyat Mesir yang membanjiri Dataran Tahrir dan yang mengadakan tunjuk perasaan diseluruh negara bersorak dan menari kegembiraan sebaik Omar membuat pengumuman tersebut.

Mubarak, 82, yang memerintah selama 30 tahun telah meninggalkan Kaherah bersama anggota keluarganya ke pusat percutian di Sharm el-Sheikh di Laut Merah.

Di Tunis, rakyat Tunisia turut berpesta meraikan perletakkan jawatan Mubarak selepas empat minggu mereka menggulingkan Zine El Abidine Ben Ali dari tampuk pemerintahan dengan menari dan membunyikan hon kenderaan sepanjang jalan.

Sebelum itu, satu sumber memberitahu AFP, setiausaha agung parti pemerintah Mesir, Parti Demokratik yang baru dilantik oleh Mubarak, Hossam Badrawi meletakkan jawatan. - AFP