assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Sunday, October 5, 2008

Musim memilih pemimpin - Yang MAMPU atau PENGAMPU?

Hari ini (5 Oktober) sudah masuk hari kelima kita berhari raya, setelah sebulan kita menyempurnakan ujian Allah dengan menunaikan fardhu puasa di bulan ramadan. Syawal merupakan hari kemenangan kepada umat Islam, dan kita mesti bersyukur kehadrat Illahi kerana usia kita masih berkesempatan untuk merayakan Aidilfitri pada tahun ini, sambil bermaaf-maafan dan manjalinkan ikatan silaturrahim sesama muslimin dan muslimat.
Kerdil di sisi Allah
Lazimnya apabila kita bermaaf-maafan, kita menyedari dengan penuh keinsafan betapa manusia sebagai insan yang lemah yang tidak dapat melarikan diri daripada melakukan kesalahan, bukan sahaja terhadap sesama manusia, malah kita juga terlalu kerdil di sisi Allah. Hanya keampunan yang dapat dipohon agar kesilapan lalu dan kata-kata nista dapat disifarkan secara 0-0.
Sifarkan Sikap Negatif
Agak sukar juga untuk kita mensifarkan sikap yang negatif seperti berhasad dengki, tamak haloba, bersangka buruk, fitnah memfitnahi dan berbagai lagi sikap buruk manusia walaupun kita telah menghulurkan tangan bermaaf-maafan sempena hari lebaran ini.
Penggiat politik lagi sukar untuk dipercayai, kerana mereka telah melazimkan diri untuk bergelumang dengan senda gurau yang bersulamkan kata-kata nista sehingga terlupa perbuatan memfitnah sesama manusia adalah satu dosa yang terkutuk.
Berintegriti
Barangkali mereka tidak ada orientasi untuk menjadi seorang pemimpin yang baik yang bercirikan sifat-sifat kepemimpinan yang dituntut oleh agama dan MAMPU menjadi penggiat politik yang berintegriti yang merangkumi aspek syakhsiah seperti berikut:-
.
MAMPU
  • Bijaksana
  • Amanah
  • Dinamis
  • Berkarisma
  • Berjiwa rakyat
  • Berhati mulia
  • Tulus ikhlas
  • Berwawasan
  • Bertanggungjawab
  • Berhemah
  • Budiman
  • Setiakawan
  • Muafakat
  • Pejuang Agama
  • Pejuang Bangsa
  • Patriotis
Kemampuan untuk menjiwai ciri-ciri kepemimpinan yang tersebut hendaklah juga terkehadapan dalam menongkah arus perjuangan UMNO yang sedang dilanda krisis kepimpinan akibat terlalu sarat dengan kes-kes ampu oleh PENGAMPU-PENGAMPU yang bercita-cita rakus untuk meletakkan diri masing-masing sebagai 'Pemimpin'. Pengampu di dalam dunia politik UMNO memang ramai dan mereka ini begitu ghairah sekali untuk 'placing' di dalam saf kepemimpinan UMNO di semua peringkat.
.
KAKI AMPU, dia juga adalah:
  • Temberang
  • Angkuh (Egois)
  • Batu Api
  • Kaki Kipas
  • Tin Kosong
  • Cakap Tak Serupa Bikin
  • Mungkiri Janji
  • Berfoya-foya
  • Kedekut (Tahi Hidung Masin)
  • Mengungkit
  • Pentingkan diri sendiri
  • Menabur fitnah
  • Tikam belakang
  • Lidah bercabang
  • Sombong
  • Memandang hina
  • Hati busuk
  • Kaki Hantuk
  • Hasad dengki
  • Makan kawan sendiri
  • Chah Keting
Oleh yang demikian jadikanlah ciri-ciri di atas sebagai rujukan untuk kita memilih pemimpin di dalam UMNO, samada di peringkat Puteri, Pemuda, Wanita mahupun di peringkat lebih atas lagi. Janganlah diri kita terjebak lagi dengan kesilapan yang membodohkan diri kita, sehingga kita tidak terasuh untuk mengenali yang mana satu kaca dan yang mana permata.
darjat dan martabat
Kini, sudah sampai masanya UMNO menolak pemimpin yang hanya MAMPU menjadi PENGAMPU, dan sebaik-baiknya kita lebih berhikmah untuk mengangkat seseorang menjadi pemimpin yang MAMPU mengangkat darjat dan martabat perjuangan dalam menegakkan agama, bangsa dan juga negara. Biarlah mereka yang hanya MAMPU menjadi PENGAMPU ini tidak bersekongkol untuk menjahanamkan UMNO yang masih diperlukan untuk sebuah bangsa yang bermaruah di bumi Melayu ini. Ayuh segera kita lakukan 'reform' di dalam UMNO untuk transisi perjuangan yang lebih terarah. Kita mesti yakinkan generasi hari ini betapa UMNO tidak akan mewariskan perjuangan ini kepada petualang yang tiada kerja lain, yang hanya bijak MENGAMPU sahaja.
anai-anai dalam UMNO
Waspadalah kita dengan kaki ampu ini yang menjadi anai-anai di dalam UMNO. Kepada calon-calon yang bakal bertanding untuk merebut jawatan tertinggi di dalam UMNO di semua peringkat hendaklah beringat dari sekarang bahawa diri kita mungkin tidak diperlukan jika kita tidak berkemampuan menjadi pemimpin yang berjati diri.
manis di bibir, berkarat di hati
Pemimpin mengampu ini tidak bertahan lama, kerana dia tidak memiliki tiang seri untuk memperkasakan UMNO. Keperkasaan UMNO hanya terletak kepada mereka yang MAMPU mencurahkan pengorbanan untuk menyuburkan wadah perjuangan yang masih belum selesai ini. Kita menjadi rimas dengan gelagat pemimpin yang berjenama AMPU ini. Pemimpin AMPU hanya manis di bibir, tetapi berkarat di hati. Pengampu hanya pandai memuji di depan, tapi mengutuk di belakang.
kekuatan aura
Manakala pemimpin yang MAMPU pula adalah mereka yang terbukti keikhlasannya untuk mengemudi perjuangan secara kolektif yang bersendikan kekuatan auranya. Pemimpin jenama ini lazimnya memiliki 'Political Will' yang menjurus kepada kemantapan sebuah perjuangan yang terarah dan fokus.
Biarpun ramai yang menawarkan diri untuk menjadi pemimpin, tetapi biarlah pemimpin berjenama MAMPU mendepani perjuangan UMNO, daripada terjebak dengan kepalsuan pemimpin berjenama AMPU.

Kunjungan Berhari Raya Di Rumah Terbuka Dato' Sri Zulhasnan



Ketua Panitia Locengwangsa.blogspot.com (Abdul Rahman Hashim) bersama-sama dengan Rosli Mohammad juga anggota Panitia Locengwangsa turut menghadiri ke majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dato' Sri Zulhasnan Rafique, Menteri Wilayah Persekutuan yang diadakan Jumaat lepas (3 Oktober). Kami merasa bangga kerana dapat bersua muka dengan beliau sempena Rumah Terbuka tersebut.

Saya dan isteri, Nora Nordin bersama-sama dengan Rosli dan isterinya, Nora Tarmizi telah mengambil peluang daripada majlis rumah terbuka tersebut untuk bermaaf-maafan dengan YB Dato' Sri Zulhasnan dan isterinya, Datin Sri Anna Razak sempena hari lebaran yang mulia ini, sambil menikmati sajian makanan yang sungguh enak yang disediakan untuk para tetamu. Difahamkan ramai sahabat-sahabat seperjuangan yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Bahagian Setiawangsa dan juga Ketua-Ketua UMNO Cawangan 4 Peringkat telah menghadiri ke majlis rumah terbuka ini.

Majlis rumah terbuka ini turut dihadiri para VIP yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin politik dan ahli-ahli korporat di sebelah malamnya.