Oleh Abdul Rahman Hashim
| Trio pemimpin UMNO Setiawangsa Dari Kanan: Zulhasnan, Halim Samad dan Fauzi Zahari |
UMNO Bahagian Setiawangsa akan bersidang pada Sabtu ini, 11 Ogos 2012. Persidangan yang diadakan dalam bulan puasa ini memang tidak pernah berlaku sebelum ini, namun ia bukannya satu kesalahan yang pelik kecuali mereka yang memang menggemari untuk mencari kesalahan semata-mata tebalnya sifat kebencian terhadap kepimpinan UMNO Bahagian Setiawangsa yang dipimpin oleh Dato' Sri Zulhasnan Rafique.
Samada suka ataupun sebaliknya, Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Setiawangsa akan tetap berlangsung pada tarikh yang telah ditetapkan. Kali ini 50 cawangan akan menghantar wakil masing-masing termasuk wakil-wakil Wanita, Pemuda dan juga Puteri.
Walaupun persidangan pada tahun ini tidak membabitkan pemilihan jawatan, namun ia tetap menarik kerana persidangan kali ini diadakan begitu hampir dengan musim PRU13 yang bakal disebut-sebut akan diadakan samada pada bulan September ini ataupun mungkin juga selepasnya.
Parlimen Setiawangsa satu-satunya kawasan parlimen yang telah dimenangi oleh UMNO di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selain Putrajaya dan juga Labuan. Kawasan ini dikatakan selamat dan dikategorikan sebagai kawasan putih untuk UMNO/BN di WP. Zulhasnan Rafique yang telah tiga penggal bertanding dalam pilihan raya umum sebelum ini, dikatakan berada dalam kedudukan yang begitu selesa untuk dikekalkan bertanding semula di Parlimen Setiawangsa buat penggal yang keempat pada PRU13.
Walaupun wujudnya spekulasi saingan dalam penonjolan diri beberapa calon yang lainnya, namun difahamkan nama Zulhasnan Rafique menjadi sebutan dalam 'senarai pendek' oleh pihak Jasa, Kemas mahupun di peringkat perisikan politik MIO dan juga Cawangan Khas PDRM.
Nama-nama calon lain yang turut menunjukkan idaman ialah Datuk Seri Abdul Halim Samad, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa yang menjadi Pengerusi KUB sekarang ini. Populariti nama Dato' Ahmad Fauzi Zahari, Naib Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa juga membayangi potensi sekiranya nama Zulhasnan tidak lagi dicalonkan. Beliau disifatkan calon baru yang winnable, malah beliau dilihat sebagai calon yang 'seiring dan sejalan' dengan era kepimpinan Zulhasnan Rafique.
| Saya (kanan sekali) bersama Dato' Ahmad Fauzi Zahari (Tengah) dan Ahmad Laili Tajul Arus (Kiri sekali) |
Saya menjangkakan Fauzi Zahari lebih disenangi oleh Zulhasnan jika Ketua UMNO Bahagian itu tidak dicalonkan semula kali ini. Penyerahan baton ke tangannya lebih bersifat memenuhi kelangsungan politik yang diwarisi oleh Dato' Sri Zulhasnan Rafique yang boleh dipertimbangkan oleh pucuk pimpinan parti.
Nama Datuk Astaman Abdul Aziz dan juga nama Datuk Izudin Ishak juga menjadi sebutan. Kedua-dua tokoh ini dilihat tidak selenggang dengan kepimpinan Zulhasnan walaupun mempunyai pengikut tersendiri di dalam arena politik UMNO di Bahagian Setiawangsa.
Datuk Izudin dilihat berkecenderungan untuk menyelitkan diri dalam penonjolan namanya menerusi pembabitan saingan G7 yang akan beliau tandingi di dalam Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Sabtu ini. Sudah tentu beliau mengharapkan kemenangan paling atas dalam saingan G7 kali ini untuk membuktikan pengaruh politiknya masih tegar di Setiawangsa. Beliau sendiri merasakan peluang untuk menjadi calon dalam PRU13 nanti bukanlah memihak kepada dirinya, namun ambisi politiknya di Bahagian ini tetap berakar.
Peluang mencari calon winnable di Setiawangsa tidak setakat nama-nama besar yang saya sebutkan di atas. UMNO Bahagian Setiawangsa sendiri turut menamakan Ketua-Ketua sayapnya seperti nama Hairunnisha Ismail (Ketua Wanita), Azmi Badarudin (Ketua Pemuda) dan juga Seriwani Sabtu (Ketua Puteri) untuk disenaraikan pendekkan sebagai calon pilihan.
Dalam keghairahan UMNO untuk mencari calon yang winnable di Setiawangsa, tiba-tiba kedengaran spekulasi bahawa kemungkinan calon MCA akan diletakkan bertanding di Parlimen Setiawangsa sebagai tukar ganti dengan Parlimen Wangsa Maju yang dikatakan akan dikembalikan semula kepada calon UMNO. Sejauh mana rasionalnya Setiawangsa akan ditandingi oleh MCA, ianya masih kabur bahkan jika ia menjadi kenyataan kemungkinan BN Setiawangsa bakal rebah di tangan pembangkang akibat kejutan yang menimpa UMNO.
Diharapkan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Setiawangsa kali ini tidak dibahangkan dengan situasi hangat semberono semata-mata untuk perjuangan menentukan calon yang layak oleh pencatur dan pengikut calon masing-masing. Kita mesti memperkasakan jentera pilihan raya yang sudah pun terbentuk. Jangan ada elemen menendang gol ke gawang sendiri.
Sewajarnya kita menghindarkan diri daripada pergelutan yang membawa kepada pertikaman sehingga membunuh rakan seperjuangan. Musuh politik yang sebenarnya adalah golongan yang bermusuh dengan perjuangan parti kita, bukannya beramuk dengan rakan separti yang tidak sekabilah dengan kita.
Apa gunanya kita mensabotaj parti semata-mata tokoh idaman kita tidak menjadi calon dalam pilihan raya nanti, akibatnya parti menjadi lemah dan kecundang. Jika kita taksub dengan percaturan sedemikian, tanpa disedari kita juga mendorong orang lain melakukan perbuatan yang sama apabila calon mereka tidak terpilih. Apa pun saya tidak terkejut jika calon MCA yang terpilih bertanding di Setiawangsa akibat perkelahian sesama sendiri di dalam UMNO. Selamat bersidang kepada semua perwakilan UMNO Bahagian Setiawangsa. Perkasakan UMNO supaya jangan rebah.

