assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Monday, February 2, 2009

Dua Exco Perak nafi letak jawatan dan masih kekal ADUN PKR. BN menggigit jari...

Situasi politik negeri Perak nampaknya semakin panas dan cukup dramatik untuk diikuti. Dalam kegawatan kononnya dua orang Exco Kerajaan Negeri Perak iaitu Jamaluddin Mohd. Radzi (ADUN Behrang) dan Kapt (B) Mohd. Osman Mohd. Jailu (ADUN Changkat Jering) menghilangkan diri yang dikatakan sebagai langkah untuk keluar daripada PKR menyertai UMNO/BN, tiba-tiba kita dikejutkan dengan kenyataan bahawa mereka berdua tidak meletakkan jawatan, sebaliknya pasangan belangkas ini dipetik sebagai berkata 'masih kekal' sebagai Wakil Rakyat DUN bagi kawasan yang diwakilinya.

Ini bermakna hasrat BN untuk menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat dengan 'membeli' atau 'menyogok' atau 'memancing' atau apa jua istilah pra rasuah terhadap dua ADUN PKR yang sedang berhadapan dengan kemelut kes rasuahnya di mahkamah nanti dilihat semakin berkecai. BN juga dilihat menggigit jari....kempunan untuk melihat kehadiran mereka berdua. Kesian....

Setelah Sepaker Dewan Undangan Negeri Perak sendiri menyerahkan surat yang dikatakan sebagai aku janji kesetiaan kepada parti yang diwakilinya kepada pihak SPR, maka kedua-duanya yang dikuarantin di Pekan, Pahang itu muncul secara tiba-tiba mengeluarkan kenyataan untuk menafikan perletakan jawatan tersebut.

Kedua-duanya menjadi bebal bagaikan cacing kepanasan malah menjadi kalimayo tidak keharuan samada nak merebut 'habuan' yang ditawarkan oleh BN, ataupun mengekalkan kedudukannya sebagai Exco dan juga ADUN yang disandangnya sejak Mac tahun lalu. Kedua-duanya dikatakan mengalami trauma dan 'pening lalat' kerana begitu tertekan dengan masalah yang bakal dihadapinya (kes rasuah).

Difahamkan ada 'wow' menarik yang ditawarkan sehingga mereka terbayang kesnya bakal digugurkan oleh kerajaan BN, sekaligus merasakan dirinya terselamat daripada jaringan hukuman yang akan menyebabkan hilang kelayakan mereka sebagai seorang wakil rakyat.

Dia merasakan jika menjadi wakil rakyat BN nanti, kes rasuahnya boleh dilindungi oleh kerajaan UMNO/BN yang dilihatnya boleh berkompromi dengan masalah rasuah yang menimpanya. Pak Lah sendiri mengakui bahawa akan ada ADUN PKR yang akan meloncat masuk BN. Siapa lagi, kalau bukan Jamaludin dan juga Osman Jailu yang dikatakan telah bertindak mengeluarkan barang pejabat masing-masing dan juga menyerahkan kunci kereta resmi Exco sebelum mereka menghilangkan diri untuk menyertai UMNO.

Jika begitu keadaannya, mengapa tiba-tiba Jamaludin Mohd. Radzi dan Osman Jailu telah menunjukkan minatnya semula terhadap parti yang telah memenangkan dirinya semasa PRU12 yang lalu? Berasaskan kepada kenyataan media oleh kedua-dua YB ini, jelas memperlihatkan bahawa diri mereka berhasrat untuk membuat pusingan U (u turn) ke dalam PKR yang diwakilinya selama ini. Ini juga bermakna bahawa UMNO telah dipersendakan oleh mereka berdua, setelah mengkhianati parti asalnya, PKR.

Persoalannya sekarang apakah surat makluman Speaker DUN Perak itu akan dijadikan asas yang kukuh oleh pihak SPR untuk mengadakan satu pilihan raya kecil setelah kedua-dua ADUN berkenaan dikatakan sebagai telah mengosongkan kerusi masing-masing. Difahamkan juga MB Perak telah menghadap Baginda Sultan Azlan Shah hari ini (2 Februari 2009) untuk menyembah maklum kepada baginda tentang suasana terkini politik negeri Perak. Difahamkan baginda Sultan Perak telah memperkenankan supaya diadakan pilihan raya kecil bagi kedua-dua kawasan DUN Behrang dan DUN Cangkat Jering.

Jika berlaku juga pilihan raya kecil bagi kedua-dua kawasan DUN ini, bermakna kedua-duanya tidak boleh lagi bertanding dalam pilihan raya berkenaan, dan PKR terpaksa memilih calon yang lebih berwibawa untuk mempertahankan semula kerusi yang dimenangi dalam PRU12. Demikianlah episod si luncai dengan labu-labunya yang akan membawa padah kepada dirinya sendiri. PKR dilihat begitu terlepas beban apabila kedua-dua belangkas ini termakan jerat untuk memasuki UMNO. Namun begitu UMNO juga dilihat begitu serik untuk diperdayakan lagi oleh petualang seperti dua insan ini. Janganlah lagi ada petualang seperti ini di dalam PKR ataupun UMNO selepas ini. UMNO harus menjadikan insiden ini sebagai satu pengajaran betapa lemahnya strategi memancing ikan yang tidak mengena ini.




Lampiran 1.

Surat penafian YB Jamaludin Mohd. Radzi, ADUN Behrang:

Merujuk kepada laporan media semalam yang menyatakan saya telah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Ahli Dewan Unangan Negeri (Adun) kawasan Behrang.

Sukacita saya sekai lagi ingin menegaskan bahawa laporan tersebut adalah tidak benar sama sekali.

Ini kerana saya masih berkhidmat sebagai wakil rakyat dan sehingga kini tidak mempunyai sebarang rancangan untuk melepaskan jawatan setelah dipilih oleh rakyat.

Berhubung dakwaan bahawa saya telah menghilangkan diri kerana mahu melompat parti, suka saya menjelaskan bahawa saya tidak pernah menghilangkan atau melarikan diri daripada mana-mana pihak.

Sebaliknya, ingin saya jelaskan bahawa saya telah bercuti dari 28 Januari hingga 30 Januari 2009 kerana sakit.

Pada 31 Januari 2009 hingga 1 Februari 2009 pula adalah cuti hujung minggu dan tempoh tersebut digunakan oleh saya untuk berehat.

Bagaimanapun, laporan berita semalam yang kononnya saya telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai wakil rakyat benar-benar mengejutkan saya.

Dalam hubungan ini, adalah jelas kenyataan yang dibuat oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah tidak berasas sama sekali.

Lebih-lebih lagi saya sendiri semalam tidak berada di Perak, apatah lagi untuk menghantar sendiri surat peletakan jawatan saya ke rumah beliau.

Kenyataan tuan Speaker tersebut benar-benar mengejut saya dan telah menimbulkan kekeliruan dan kegemparan di seluruh negara sedangkan perkara ini tidak sepatutnya berlaku.

Buat masa ini, saya akan meneruskan tugas saya dan tanggungjawab saya seperti biasa dan tidak timbul isu kononnya saya telah bertukar parti.

Saya berharap penjelasan ini akan menghuraikan kekeliruan yang ada dan saya berharap pemimpin Pakatan Rakyat tidak membuat sebarang kenyataan yang tidak benar demi kepentingan politik pihak tertentu.

Yang benar,
YB Jamaluddin Mohd Radzi
2 Februari 2009

---------------------------------------------------------------------------------------

Lampiran 2.

Surat Penafian peletakan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Changkat Jering.


Adalah saya, Yang Berhormat Kapten (B) Mohd Osman Mohd Jailu, Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Changkat Jering, ingin menafikan bahawa saya telah meletakkan jawatan saya sebagai wakil rakyat.

Saya juga ingin menegaskan bahawa saya tidak pernah pergi ke rumah Speaker Dewan Undangan Negeri Perak bagi menyerahkan surat peletakan jawatan saya seperti yang didakwa.

Sebaliknya, saya masih berkhidmat sebagai wakil rakyat seperti biasa dan sehingga kini tidak timbul soal saya telah melompat parti.

Saya berharap penjelasan saya ini akan merungkai segala kekeliruan yang timbul.

Pada masa yang sama, saya juga berharap para pemimpin Pakatan Rakyat terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri menghentikan sebarang kenyataan yang berunsur tohmahan terhadap saya.

Sebagai wakil rakyat yang dipilih oleh majoriti penduduk di kawasan Changkat Jering, saya merasakan bahawa tugas saya sebagai wakil rakyat masih banyak dan mesti diteruskan berdasarkan amanah yang dipikul di bahu saya.

Sekian.

Yang benar,
YB Kapt (B) Mohd Osman Mohd Jailu





Datuk Nasa dicaci kerana masuk PKR, tapi UMNO tak mencaci dua Exco Perak nak lompat masuk BN?

Dunia politik ini sememangnya bergelut dengan segala unsur kekejiannya, terutama apabila dianya dicatur oleh penguasa politik yang tidak beretika kerana rendah akal budinya. Ezam Mohd. Noor yang pernah mencerca UMNO kerana mendakwa parti ini perasuah besar abad ini, begitu mudah sekali diterima semula menjadi ahli UMNO, bukannya kerana Ezam terlalu berjasa kepada parti yang sudah tua ini, tetapi Ezam dilihat begitu berguna untuk dijadikan bom berangkai supaya kubu Anwar dapat dimusnahkan.

Pengundi benci Ezam, tapi UMNO suka Ezam

Ezam bukan sahaja gagal melakukan misi tersebut, malah Ezam dilihat menjadi beban kepada UMNO yang dikatakan oleh Muhyiddin Yassin sebagai 'tidak ada daya penarik' lagi. Ezam semakin dibenci oleh pengundi, tetapi disukai pula oleh UMNO.
Datuk Nasarudin Hashim, ADUN Bota yang telah berhijrah ke pangkuan PKR meninggalkan UMNO telah menerima cacian yang menghina tindakan politiknya itu. Beliau menerima tuduhan kononnya telah menerima sogokan itu dan sogokan ini, persis apa yang pernah diperlakukan oleh parti lamanya (UMNO) yang begitu licik untuk memperdayakan beberapa orang Wakil Rakyat daripada Pakatan Rakyat yang sedang memerintah negeri Perak supaya dapat meninggalkan parti mereka untuk menyertai UMNO.

Dua ADUN PKR di pancing UMNO

Sambil menuding jari kepada Datuk Nasa yang dianggap sebagai pengkhianat UMNO, tetapi dalam waktu yang sama juak-juak UMNO/BN Negeri Perak yang diketuai Ketua Perhubungannya yang baru Datuk Sri Najib telah menjalankan gerak kerja sulitnya memancing dua orang Exco Kerajaan Negeri Perak (ADUN Behrang dan ADUN Changkat Jering) yang akan berhadapan dengan pertuduhan rasuahnya di Mahkamah lewat minggu hadapan - dengan khabarnya mereka berdua ini (lihat foto) dijanjikan dengan berbagai jaminan yang memberangsangkan (?) supaya dua ADUN PKR ini meninggalkan partinya untuk memasuki gawang UMNO.
Jika ini terjadi, tentunya pemimpin-pemimpin UMNO akan segera memberikan respon sehingga memberikan pujian melangit kepada dua ADUN ini kononnya tindakan mereka ini adalah wajar dan bermoral?
Pak Lah sendiri telah membuat kenyataan mengesahkan bahawa kemungkinan ada dua orang ADUN PKR akan menyertai Barisan Nasional dalam masa yang terdekat ini, dan segala langkah perlu telah diambil supaya mereka ini benar-benar dapat menyertai UMNO.

Melompat ke dalam UMNO tidak menjadi hina?

Penghinaan terhadap Datuk Nasa yang melompat parti itu kemungkinan tidak menjadi hina kepada dua ADUN PKR yang akan melompat ke dalam UMNO. Kewajaran cadangan Fuad Zarkarshi MP UMNO/BN Batu Pahat supaya Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi mengelakkan 'lompat katak' ini dari terus berleluasa, kemungkinan tidak relevan kerana ia menjadi penghalang kepada usaha BN untuk memancing Wakil-Wakil Rakyat dari Pakatan Rakyat di negeri-negeri yang kini dikuasai oleh mereka.

Opera Politik Murahan

Demikianlah opera politik murahan yang sedang berlaku akhir-akhir ini yang akan menjebakkan UMNO di dalam kancah yang bakal dimalukan oleh rakyat nanti. Isu misteri dua ADUN PKR yang juga Exco Kerajaan Negeri Perak yang dilaporkan 'hilang' entah ke mana dipercayai di sindiketkan oleh pmguasa-penguasa tertentu di dalam UMNO yang mahukan supaya mereka ini menyertai UMNO.

Dua ADUN PKR di rumah Najib di Pekan?

Bagaimana boleh timbul cerita yang menyebutkan bahawa mereka berdua ini disorokkan di rumah Najib di Pekan, Pahang? Begitu juga tercetusnya dakwaan yang mengaitkan SPRM yang terbabit dengan konspirasi yang dikatakan boleh berkompromi menggugurkan pertuduhan rasuah terhadap mereka berdua? Angkara siapakah yang cuba mengheret SPRM dalam kemelut membeli dua ADUN PKR Perak ini? Timbul juga cerita kononnya mereka ini ditawarkan dengan jutaan ringgit sekiranya sanggup meninggalkan PKR untuk menyertai UMNO? Bagaimana boleh tersebar cerita ini, kalau bukan daripada UMNO yang memang biasa melakukannya?

Rakyat mahir dengan susur galur UMNO

Siapakah 'pengatur rancangan' yang tidak bermoral ini? Dibimbangi taktik sedemikian akan 'back fire' kepada UMNO/BN yang sememangnya memiliki track record dalam gejala rasuah! Rakyat hari ini cukup mahir untuk mengikuti susur galur politik UMNO yang digenangi dengan rasuah kini pula sedang berhadapan dengan krisis keyakinan di peringkat akar umbi.
Perkembangan terkini pula menyaksikan betapa kalutnya dua ADUN PKR yang dikatakan sedang berlindung di bawah lembayung BN, samada mereka ini terdorong untuk melompat parti ataupun mereka memilih untuk meletakkan jawatan sebagai ADUN di kedua-dua DUN yang berkenaan? Jika mereka berdua memilih untuk menyelamatkan diri daripada pertuduhan rasuah, mereka merasakan platform yang sesuai ialah menyertai parti yang mengamalkan rasuah iaitu UMNO.

UMNO bakal menerima dua ADUN bermasalah

Biasanya jika benar kita melakukan amalan keji ini, dengan sendirinya akan menggerakkan hati kita untuk mencari perlindungan serta bijak pula mengintai peluang untuk meloloskan dirinya daripada menerima hukuman yang bakal dihadapinya. Ketika itu mereka yang tidak berpegang kepada prinsip perjuangan asalnya, akan goyah pendirian untuk menyelamatkan dirinya semata-mata. Jika itu yang terjadi, UMNO bakal menerima dua ADUN yang sudah rosak moralnya akibat kes rasuah yang dihadapinya.
Jika pertuduhan rasuah itu digugurkan setelah dua ADUN ini menyertai UMNO, memang jelas lagi bersuluh betapa UMNO begitu inginkan amalan rasuah ini bermaharaja lela di dalam partinya. Jika berlaku pula sebaliknya dimana dua ADUN yang berkenaan disabitkan kesalahan rasuahnya walaupun setelah menyertai UMNO, maka kesan daripadanya akan berlaku pula pilihan raya kecil dimana dua ADUN BN yang lompat katak ini tidak layak untuk bertanding semula dan sekali lagi saya percaya rakyat akan menolak UMNO/BN dalam pilihan raya kecil yang bakal diadakan di dua kawasan DUN Behrang dan Changkat Jering.

Percaturan yang membahayakan UMNO

Senario ini menjuruskan lagi andaian saya betapa UMNO tidak cermat dalam percaturan memikat hati rakyat akar umbi. Rakyat akar umbi bertambah marah dengan percaturan politik murahan yang berunsurkan rasuah ini, dan sebahagian besar rakyat akan sekali lagi menghukum UMNO dengan menewaskan calon-calonnya di dua DUN yang berkenaan. Pada saya percaturan yang dibuat ini cukup merugikan malah membahayakan UMNO.
Sepatutnya UMNO harus berusaha secara bersungguh-sungguh untuk medekati rakyat dengan melakukan beberapa perubahan radikal yang melibatkan struktur organisasinya di semua peringkat agar dapat diterima oleh rakyat.