assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Monday, December 19, 2011

MAHATHIR & ANWAR DITUDUH PEMBOHONG?

Mahathir & Anwar dituduh berbohong?

Oleh Abdul Rahman Hashim

Anwar Ibrahim dituduh berbohong oleh orang UMNO apabila rancangannya untuk menawan Putrajaya pada 16 September 2009 tidak berjaya menjadi kenyataan. Sekarang ini orang-orang PKR pula mendakwa Tun Dr. Mahathir Mohamad berbohong (tidak bercakap benar) kerana mereka mendakwa mantan Perdana Menteri itu telah membuat pinjaman kepada Bank Dunia bagi menangani kemelut krisis kewangan 1997/1998, walaupun beliau dilihat amat membenci IMF.

Kedua-dua tokoh ini pernah menjadi Perdana Menteri dan juga Timbalan Perdana Menteri, malah kedua-duanya juga pernah menjadi Menteri Kewangan. Kini kedua-dua mantan pemimpin UMNO itu telah dicap sebagai pembohong oleh musuh-musuh politik mereka.

Semasa Anwar di dalam kerajaan tidak ada pun yang berani mendakwa beliau berbohong walaupun pembohongan politik tetap wujud dan lazim berlaku kepada orang-orang politik. Dr. Mahathir juga mungkin tidak terlepas daripada melakukan pembohongan politik, kerana mungkin pembohongan yang dilakukan itu adalah sebahagian daripada strategi untuk berhadapan dengan musuh politiknya.

Apabila kita enggan mendedahkan sesuatu yang menjadi rahsia/sulit, maka kita mungkin terpaksa berbohong kerana ia adalah strategi yang tidak boleh didedahkan. Dalam hal ini, para wartawan sering berhadapan dengan pembohonganp-pembohongan politik yang menyebabkan mereka keliru samada kenyataan sang pemimpin itu boleh dipercayai.

Tun Dr. Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri sering juga memberikan reaksi balas yang tidak tepat kepada wartawan apabila disoal tentang kerahsiaan strategi politiknya dalam menghadapi kemelut atau isu-isu politik yang melanda UMNO dan juga kerajaan. Kadangkala beliau terpaksa berbohong walaupun maklumat kerahsiaan itu telah dihidu oleh pihak media.

Contohnya beliau terpaksa berbohong tentang kerahsiaan tarikh untuk membubarkan parlimen, kadang-kadang terpaksa juga bercakap tidak benar tentang maklumat rombakan kabinetnya apabila ia diketahui oleh pihak media. Dr. Mahathir dilihat tidak suka maklumat strateginya diketahui oleh pihak lain, walaupun maklumat itu bukannya pembohongan.

Melanjutkan lagi tentang isu pembohongan ini, Dato' Sri Najib Tun Razak, Perdana Menteri sekarang ini juga tidak terlepas dari dakwaan oleh pihak tertentu sebagai 'pembohong'. Pada 16 September 2011, Najib mengumumkan akan menghapuskan akta ISA, namun beliau dituduh sebagai pembohong kerana terus melakukan tangkapan terhadap 10 orang di Sabah di bawah akta yang sama setelah beliau merasakan akta ISA masih diperlukan untuk keselamatan negara.
Mungkin beliau mempunyai alasan yang konkrit untuk berbuat demikian, namun musuh politiknya akan mencanangkan bahawa Najib adalah PM pembohong.

Mengandaikan bahawa Anwar adalah pembohong terbesar di dunia semata-mata tidak berjaya menunaikan hasratnya untuk menawan Putrajaya pada 16 September 2009 lalu, itu juga adalah taktik beliau untuk membuatkan UMNO/BN terus menggelabah. Akibat provokasi politik yang dianggap sebagai satu pembohongan oleh orang-orang UMNO itu, mengapa pula pihak BN dilihat seakan-akan mempercyaianya? Jikalaulah itu sebagai pembohongan, rasanya tak payahlah pihak kerajaan BN pergi menghantar lebih daripada 30 orang ahli-ahli parlimennya ke Taiwan pada masa itu semata untuk mengelakkan sebahagian daripada mereka itu keluar parti meninggalkan BN.

Bukankah kita telah tertipu dengan dakwaan pembohongan kita terhadap Anwar? Mungkin Anwar tidak berbohong, cuma perancangannya sahaja tidak kesampaian dan berkecai. Dalam hal ini, kita telah bertindak lebih pantas kerana terhidu dengan dakwaan bahawa Anwar telah membohongi kita! Persoalannya, kenapa UMNO/BN harus tertipu dengan kelicikan politik Anwar, lantas kita telah melabelkan Anwar seorang pembohong? Lain kali sebelum kita menuding orang lain sebagai pembohong, kita juga harus pastikan bahawa semua orang UMNO bukanlah pembohong dan yang afdal ialah kita jangan memohongi rakyat.

Jika kita bertekad untuk mendahulukan rakyat, kita mesti bersama-sama dengan rakyat jelata bukannya sekadar retorik politik membohongi mereka. Apakah kita yakin bahawa orang UMNO berada dalam posisi yang tidak berbohong? Jika kita tidak mahu rakyat mendakwa kita sebagai pembohong, maka jangan sekali-kali kita berbohong dengan mereka. Dengan menuding bahawa Anwar sebagai pembohong, kita juga terkedu kerana mereka semakin berani mendakwa Tun Dr. Mahathir juga telah berbohong.