assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Friday, July 16, 2010

PELAWAAN UMNO HANYA MENJARING ANGIN...

Pelawaan UMNO untuk berunding dengan PAS mengenai perpaduan Melayu hampir menjaring angin setelah PAS sekali lagi mengulangi kesetiaannya kepada Pakatan Rakyat dengan menolak perbincangan dengan parti lawannya UMNO.

Walau bagaimanapun, perbincangan antara "G to G" (kerajaan dengan kerajaan) masih boleh diteruskan bagi kepentingan masyarakat dan umat Islam keseluruhannya.

"Kalau G to G, tidak menjadi masalah kerana kita mengamalkan konsep federalisme," kata setiausaha agung PAS Datuk Mustafa Ali. "Pendekatan politik kami tetap bersama dengan Pakatan. Kamu boleh buat andaian (pendirian kami)".

Pendirian ini memberikan tamparan kepada UMNO terutamanya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden UMNO yang cenderung untuk duduk semeja dengan pemimpin PAS bagi membincangkan masalah perpecahan di kalangan umat Islam di negara ini yang dilihatnya tidak membawa keuntungan kepada survival Melayu.

Namun begitu hasrat Muhyiddin itu dilihat sinis oleh Dato' Sri Najib, kerana Presiden UMNO itu berpendapat bahawa UMNO tidaklah selemah yang disangka sehingga memerlukan PAS. Masalah perpecahan di kalangan umat Melayu negara ini semakin parah setelah UMNO menghadapi kehilangan banyak kerusi di Dewan Rakyat dan juga DUN di beberapa negeri dalam PRU12 yang lalu.

Dalam PRU12 itu Pakatan Rakyat telah menguasai enam buah negeri termasuk di Wilayah Persekutuan, namun begitu negeri Perak telah berjaya dikudetakan dan telah kembali ke pangkuan BN.

Melihat senario yang berlaku hingga ke hari ini, UMNO dikatakan sedang mengintai peluang dan mencari formula yang dapat mengembalikan semula kepercayaan rakyat terutamanya masyarakat Melayu terhadap UMNO dan BN.

Mengajak PAS untuk duduk semeja dengan UMNO dilihat sebagai langkah terbaik untuk penyatuan umat Melayu. Namun pelawaan yang dibuat oleh UMNO itu bagaikan ajak-ajak ayam kerana di kalangan pemimpin UMNO sendiri masih berbelah bahagi untuk sebumbung bersama PAS.

Nik Aziz sendiri menyatakan kesediaannya untuk bertemu dengan Muhyiddin, namun rata-rata di kalangan pemerhati politik berpendapat bahawa pertemuan itu tidak memungkinkan UMNO dan PAS akan tidur sebantal dan sekelambu seperti yang pernah digagaskan oleh Tun Razak pada tahun 1972 sehingga terbentuknya Barisan Nasional.

Apakah kesediaan Mursyidul Am PAS itu untuk duduk semeja dengan Muhyiddin boleh diandaikan bahawa PAS sanggup bersekongkol dengan rejim Najib dan mensayonarakan Anwar/PKR selepas ini? Rasanya teori sedemikian tidak mungkin terjadi kerana diantara PAS dan PKR kini dilihat semakin intim malah mereka sedang asyik maksyuk mengidamkan Putrajaya yang mereka sifatkan semakin hampir di sisi mereka.

PAS dan PKR yang disokong kuat oleh DAP telah meletakkan harapan yang tinggi agar Anwar dapat mengganti Najib menjelang PRU13 nanti. Mereka menganggap Pakatan Rakyat kini berada dalam posisi yang kuat untuk menumbangkan kerajaan UMNO/BN di bawah rejim Najib Tun Razak.

Walaupun Najib menyifatkan UMNO masih kuat dan tidak perlukan PAS, namun hakikat sebenarnya UMNO memerlukan suatu transformasi yang mampu merobah persepsi rakyat yang melihat parti itu tidak lagi bermampuan membela rakyat, sebaliknya rakyat semakin meluat dengan gelagat pemimpin yang lebih mementingkan 'perutisme' dan bercakaran sesama sendiri menggilakan jawatan. Masalah rakyat semakin dipinggirkan.

Rasanya penolakan PAS terhadap pelawaan UMNO itu memang telah dijangkakan, dan UMNO perlulah melakukan lebih banyak transformasi, bahkan UMNO perlu berani untuk melakukan ops pemutihan terhadap pendurjana dalaman yang masih melilit politik UMNO.