assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Thursday, April 30, 2009

SYED SOBRI TAK JADI LETAK JAWATAN ADUN KUALA NERANG?

Datuk Syed Sobri Syed Hashim, Ahli Dewan Undangan Negeri N.07 Kuala Nerang (Foto) akhirnya menafikan yang beliau akan meletakkan jawatannya itu. Di dalam satu kenyataannya yang telah dipetik oleh beberapa akhbar kelmarin, Syed Sobri telah membuat penafian tentang desas desus kononnya beliau telah menghantar surat perletakan jawatan sebagai ADUN Kuala Nerang kepada Dato' Sri Najib Tun Razak.

Sebelum ini tersebar luas berita mengenai hasratnya untuk meletakkan jawatan tersebut setelah beliau dikatakan begitu tertekan dengan masalah kewangan yang dihadapinya. Ekoran masalah itu difahamkan Syed Sobri telah mengutus sepucuk surat bertarikh 23 April 2009 kepada Perdana Menteri dengan menyatakan alasan-alasan bernada kecewa yang membabitkan masalah kehimpitan kewangan yang dihadapinya selama ini.

Beliau juga dikatakan telah mendapatkan pandangan dan nasihat daripada keluarga terdekatnya termasuk di kalangan rakan-rakan yang mendorong beliau untuk meneruskan niatnya meletakkan jawatan sebagai ADUN Kuala Nerang yang telah dimenanginya dalam PRU12 yang lalu.

Kedudukannya sebagai Wakil Rakyat yang tidak menjadi Ketua UMNO Bahagian di Padang terap juga dilihat sebagai faktor yang menghalangnya untuk memperolehi peruntukan (grant) yang setimpal untuk membolehkan beliau menumpukan khidmat sebagai ADUN di Kuala Nerang.

Kekurangan 'political fund' juga dinyatakan sebagai alasan kecewanya yang mendorong untuk beliau meletakkan jawatan. Difahamkan tindakan Syed Sobri ini tidak disenangi oleh pucuk pimpinan parti dan usaha memujuknya supaya dapat menarik balik hasrat perletakan tersebut sedang dilakukan bagi mengelakkan pilihan raya kecil diadakan.

Di saat ini UMNO/BN seboleh-bolehnya mahu mengelakkan diri daripada terjebak dengan fenomena pilihan raya kecil yang dilihat lebih memihak kepada Pakatan Rakyat untuk memenanginya. Perletakan jawatan DUN Penanti di Pulau Pinang yang mengundang satu pilihan raya kecil diadakan di DUN berkenaan pada 31 Mei ini telah mendorong Dato' Sri Najib membuat kenyataan awalnya untuk memikirkan kewajaran UMNO menyertai pilihan raya kecil tersebut.

Hasrat Perdana Menteri itu telah mendorong pula Tun Dr. Mahathir Mohamad membuat ulasan pedasnya yang jelas memperlihatkan betapa tidak bersetujunya beliau dengan pendirian yang dibuat oleh Najib. Pendirian Najib itu dilihat sebagai pengecut dan menyerah diri sebelum bertempur.

Jika Najib merasakan tidak perlu menyertai pilihan raya kecil di DUN Penanti, apakah jika berlaku juga kekosongan di DUN Kuala Nerang nanti, UMNO turut memulaukannya? Kerisauan untuk menerima kekalahan di DUN Penanti tidak sama dengan kegelisahannya di DUN Kuala Nerang yang diwakili oleh UMNO.

Sepatutnya UMNO tidak perlu memperlihatkan kegusarannya itu, sebaliknya UMNO harus diperkasakan dengan slogan Iban AGI IDUP AGI NGELABAN (Selagi hidup kita pasti melawan). BIARKU PARAI ENGGAI KU PULAI (Biarpun diri terkorban, Takkan aku pualng).

LAILA TAIB WANITA PERTAMA SARAWAK KEMBALI KE RAHMATULLAH...AL-FATIHAH!

Wanita pertama negeri Sarawak, Datuk Amar Puan Sri Dr. Laila Taib telah kembali ke rahmatullah kira-kira jam 3.45 petang pada hari Rabu, 29 April 2009. Isteri tercinta Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak ini telah menghembuskan nafas terakhirnya di kediaman resminya di Demak Jaya Kuching, Sarawak.

(Foto: Almarhumah Laila Taib (Kanan) bersama anaknya Datuk Seri Sulaiman (Tengah) dan suaminya Pehin Sri Abdul Taib Mahmud (Kiri).

Almarhumah Laila Taib, 68 juga telah meninggalkan 4 orang anak kesayangannya Jamilah, Mahmud, Sulaiman Abdul Rahman dan Hanifah; termasuk 15 orang cucu.

Ibu kepada Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abd. Taib ini telah dipertemukan jodohnya bersama Abdul Taib Mahmud pada 13 Januari 1959, di Adelaide, Australia. Pada masa itu Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sedang mengikuti pengajian undang-undang di negara tersebut. Nama remaja Laila Taib pada masa itu ialah Lejla Chalecki.

Saya mengucapkan takziah kepada YAB Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud sekeluarga di atas pemergian Almarhumah isteri kesayangannya itu. Seluruh warga Bumi Kenyalang telah merasakan kehilangan wanita pertama negeri Sarawak ini. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya....Al-Fatihah!