Persoalan tentang berapa lama lagi UMNO akan mendominasi pemerintahan di negara ini harus dijawab oleh warga UMNO sendiri yang mendukungnya hari ini. Generasi hari ini hanya mewarisi perjuangan terdahulu, dan UMNO hari ini perlulah dipanjangkan hayatnya supaya terus menjadi wadah perjuangan kepada bangsa Melayu secara berterusan demi untuk mengekalkan kuasanya setelah kita berjaya melepasi belenggu penjajahan sejak 1511 lagi hinggalah kita dimerdekakan pada tahun 1957. 446 tahun bangsa kita dijajah dengan penuh kehinaan. Kedatangan portugis merentasi Selat Melaka pada tahun 1509 bukan hanya untuk berdagang, malah mereka mengetahuinya betapa bangsa Melayu yang menjadi tuan di nusantara ini boleh dibuli dan dibeli, bahkan mereka juga mengetahuinya bahawa kekuatan Empayar Melaka boleh diruntuhkan kerana di kalangan penguasa yang bertakhta pada masa itu sering bertikam sesama sendiri, akibat kelicikan adu domba dan budaya fitnah yang melilit pemikiran pembesar-pembesar negara.
Dato' Onn Jaafar, Pengasas UMNOPatih Karma Wijaya begitu angkuh mempengaruhi Sultan yang memerintah Melaka supaya singkirkan Hang Tuah dengan pelbagai rencah fitnah yang disajikan kepada baginda Sultan dengan membuat tuduhan palsu sehingga Sultan mempercayainya, lalu Hang Tuah yang bersetia dengan Sultan selama ini dijatuhkan hukuman mati tanpa mendapat keadilan yang saksama.
Si Jebat yang mewarisi pusaka keris Taming Sari daripada Si Tuah, telah diperkenankan oleh Sultan menjalankan tugas-tugas sebagai Laksamana menggantikan Hang Tuah. Hang Tuah yang begitu setia dengan Sultan meminta Hang Jebat supaya bersabar dan mematuhi perintah Sultan yang telah menjatuhkan hukuman mati terhadapnya.
Hang Jebat menyinga kerana Abang Tuahnya difitnah, lalu bertekad akan membalas dendam walaupun terpaksa berhadapan dengan kuasa Sultan. Sultan yang termakan fitnah itu merasakan dirinya tidak selamat lagi, lalu memerintahkan Hang Kasturi, Hang Lekiu dan Hang Lekir supaya segera menghapuskan Hang Jebat. Usaha memaksa mereka berlawan dengan Jebat tidak berhasil, kerana Jebat terlalu handal bermain senjata.
Pembelaan Si Jebat terhadap saudaranya Hang Tuah tidak dapat diterima oleh Tuah yang telah dikembalikan kepada baginda Sultan. Kesetiaan Hang Tuah kepada Raja telah mendorong dirinya untuk menghapuskan Hang Jebat yang membelanya. Akhirnya Tuah dan Jebat bertikam sesama sendiri, sedangkan mereka berdua seperguruan dengan Adi Putra. Hang Tuah dipuji oleh Sultan kerana berjaya membunuh musuh Sultan yang sedang membelanya.
Demikianlah malangnya satira kepahlawanan Melayu yang memaparkan sikap berkawan yang tidak kekal lama malah kelihatan rapuh sehingga sanggup berkorban apa saja walaupun yang di korbankan itu adalah kawan sendiri.
Meludah
Hendaknya UMNO tidak terjadi sedemikian, kerana kuasa yang ada sekarang ini akan menjadi punah sekiranya UMNO tidak dapat diperkasakan lagi. Percakaran sesama sendiri hanya untuk merebut jawatan, dilihat tidak membawa keuntungan kepada parti, sebaliknya parti bakal menjadi retak sehingga menjadi rebah di bumi sendiri. Perlembagaan UMNO sememangnya membenarkan proses demokrasi bagi memilih pemimpin, tetapi bukannya mengangkat seseorang pemimpin dengan 'meludah' orang lain yang tidak sekutu dengan pilihan kita.
Pertaruhan memilih pemimpin UMNO dewasa ini telah banyak ternoda dengan 'unsur rasuah' yang menghakiskan nilai dinamisme yang berteraskan kepada kewibawaan memikul tanggungjawab. Rakyat akar umbi tidak terasa aura pemimpin jenis ini, kerana dia dipilih hanya untuk menjaga kepentingan dirinya sendiri bersama-sama dengan kroni di sekelilingnya.
Malang sungguh nasib UMNO, kerana jati diri memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan negara semakin terketepi. Banyak isu maruah bangsa yang tidak berkesampaian untuk dibela oleh penguasa-penguasa di dalam UMNO. Mereka semakin dibenci rakyat sehingga UMNO turut menjadi alergik.
Bahasa Ibunda
Isu pendidikan anak bangsa terus dipersendakan sehingga UMNO terlupa untuk memartabatkan 'Bahasa Ibunda' kerana penguasa UMNO terpengaruh dengan sentimen globalisasi yang malu untuk meletakkan Bahasa Melayu terus bersaing di persada antarabangsa. Bahasa pusaka bangsa kita semakin ditenggelami akibat kealpaan UMNO untuk menyelamatkannya. Rupa-rupanya keris yang dikucup hanya sandiwara yang memalukan bangsa Melayu, kerana akhirnya pemegang keris berkenaan pancit di tengah jalan lalu minta maaf kerana dikatakan menyinggung bangsa lain di negara ini.
Isu ekonomi juga semakin dipersendakan, kerana UMNO dilihat begitu lemah untuk mengangkat taraf ekonomi anak bangsa yang memerlukan pembelaan. Pelbagai dasar ekonomi dicetuskan, tapi ianya turut tenggelam di tengah lautan kerakusan penguasa yang dilihat melonggokkan kekayaan kepada dinasti tertentu, dan masyarakat marhain terus dibebankan dengan kenaikan harga barang yang tidak dirasai oleh mereka yang kaya raya ini.
Pemuda UMNO hari ini tidak senyaring Pemuda UMNO dahulu. Pemuda UMNO dahulu sering terkehadapan untuk menjadi pembela bangsa sehingga segala dasar yang dicipta terpaksa berhadapan dengan pelbagai soalan daripada Pemuda UMNO. Pemimpin Pemuda dahulu sanggup dipenjarakan jika itulah yang dipertaruhkan untuk menegakkan martabat dan harakat agenda Melayu.
Singa Sarkis
Pemuda UMNO hari ini bercakap 'tidak serupa bikin' kerana perjuangan mereka tidak lagi bersalutkan keinsafan, sebaliknya mereka terdorong untuk bersekongkol dengan dasar-dasar yang begitu longgar yang menjerumuskan bangsa Melayu sebagai bangsa pinggiran. Zaman Syed Jaafar Albar yang dikenali sebagai 'Singa UMNO' telah meletakkan Pemuda UMNO sentiasa 'mengaum' tetapi kini suara Pemuda UMNO hanya menjadi 'Singa Sarkis'.
Pemuda UMNO di zaman Dato' Senu pula yang berslogankan 'Tahan Lasak' telah meletakkan maruah Pemuda UMNO sebagai benteng pertahanan yang sukar digugat, malah sentiasa siap siaga untuk menyerang jika bangsa Melayu disinggung.
Dato' Harun Wira Melayu
Sementara itu, Pemuda UMNO dalam era Dato' Harun Idris menjadi lebih berbisa tampak kelibat kepahlawanannya. Pemuda UMNO menjadi 'kumpulan pendesak' di samping menjadi pelopor kepada pembangunan negara. Dato' Harun Idris lagenda pemuda UMNO dijulang sebagai 'Wira Melayu' kerana berani menampilkan kejantanan Pemuda UMNO. Beliau dipenjarakan, tetapi semangat perjuagannya tidak terpenjara.
Pemuda UMNO di zaman Haji Suhaimi Kamarudin terkenal dengan slogan 'Era Bertindak' terus menyambung perjuangan Syed Jaafar Albar yang tidak lama menerajui Pemuda UMNO kerana telah meninggal dunia, dan Haji Suhaimi dilihat berjaya menampilkan tokoh-tokoh Pemuda yang digeruni seperti Kadir Sheikh Fadzir, Megat Junid, Rahim Thamby Chik, Isa Samad, Mokhtar Hashim, Najib Tun Razak, Tamrin Ghafar, Ajib Ahmad, Dusuki Ahmad dan ramai lagi yang kini telah menjadi veteran UMNO.
Penulis sendiri (Abdul Rahman Hashim), muncul di zaman ini iaitu pada tahun 1979 menjadi Pen. Setiausaha Pemuda UMNO Bahagian Damansara (Kini Lembah Pantai). Ketua Pemuda Bahagian saya ketika itu ialah Zainuddin Bendahara (Allahyarham), manakala Dato' Halim Samad ketika itu menjadi Ketua Pemuda Bahagian Setapak merangkap Ketua Badan Perhubungan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan.
Penggerak Zaman
Perjuangan Pemuda terus berkesinambungan dengan gagah perkasa apabila Anwar Ibrahim menerajuinya pada tahun 1982 dengan membawa slogan 'Pemuda Penggerak Zaman'. Beliau bergandingan dengan Dato' Sri Najib sebagai Naib Ketua Pemuda dan sebaris dengan barisan exconya ketika itu seperti Muhyidin Yasin, Suleiman Mohamed, Megat Junid, Fahmi Ibrahim, Ibrahim Ali, Dusuki Ahmad, Awang Jabar, Tamrin Ghafar, Nazri Aziz, Mazlan Harun, Mazlan Idris, Zahid Hamidi dan saya sendiri turut terlibat sebagai 'Setiausaha Biro Dakwah' Pemuda UMNO Malaysia.
Pemuda UMNO ketika itu semakin disegani dan digeruni, kerana iltizam perjuangan kami dalam Pemuda UMNO telah diterapkan dengan nilai perjuangan membela agama, bangsa dann juga negara. Pemuda UMNO cukup terlatih dengan ketahanan mental dan fizikalnya. Dato' Najib telah berjaya pula mewarisi kepimpinan Pemuda UMNO selepas Anwar, diikuti pula dengan era Rahim Thamby Chik, Zahid Hamidi dan kini Hishammuddin.
Walaupun kepimpinan Pemuda UMNO dilihat dengan pelbagai gayanya, tetapi Pemuda UMNO hari ini dilihat begitu 'lowbatt' dan seolah-olah tidak cukup vitamin untuk menggerakkan jiwa bangsa yang semakin tertekan ini.
UMNO mestilah diperkasakan. UMNO mesti dijiwai dengan sekuat hatinya. UMNO jangan gentar untuk memperkatakan yang benar walaupun pahit untuk ditelan. UMNO mesti teruskan semangat kemerdekaan agar negara tidak dijajah lagi dengan elemen pemikiran yang terjajah. Semua isu yang berbangkit hari ini hendaklah menjurus kepada perjuangan jati diri Melayu yang yang menjadi tonggak kepada perjuangan UMNO. Islam hendaklah terus dipertahankan kemuliaannya. Akhlak pemimpin patut dijadikan contoh dan teladan, bukannya dipersendakan sehingga dipandang jijik oleh rakyat.
UMNO hari ini tidak mahu pemimpin yang lemah, pemimpin yang tidak berjiwa rakyat, pemimpin korup, pemimpin yang bergelut dengan masalah moral dan kita sebenarnya mahukan UMNO yang bercita rasa rakyat, bergelut demi membela rakyat, bijak mengemudi bahtera, dan yang maha penting ialah mampu berktrampilan sebagai 'Pejuang Melayu' yang berpandangan jauh setara dengan pemikiran MAHATHIR yang berjaya melonjakkan Malaysia di persada dunia.

