Oleh Abdul Rahman Hashim
![]() |
| Jangan sampai Hudud dimatadorkan |
Nik Abduh Nik Aziz, Timbalan Ketua Pemuda PAS meminta DAP menyatakan pendirian rasmi parti itu terhadap hukum undang-undang Islam khususnya hudud yang sedang hangat dihebohkan sekarang ini. Bagaimana pula dengan Pemuda UMNO, apakah tidak tercabar dengan pendirian yang dibuat oleh Pemuda MCA yang turut menolak Hudud atau mungkinkah UMNO juga turut bersimpati dengan DAP yang dikecam kuat oleh PAS sehingga tidak tergamak untuk mencabar rakan sekutunya dalam BN, MCA?
Demikianlah malangnya hukum Tuhan ini apabila dihangatkan dari kacamata politik sempit. Masing-masing rasa tidak berdosa apabila hudud tidak mendatangkan keuntungan politik kepada parti-parti tertentu. Di Kota Bharu Kelantan, Ketua UMNO Bahagiannya Datuk Fatmi Salleh yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri dikatakan kecewa kerana parti PAS masih berdegil mahu berkawan dengan DAP walaupun parti itu khususnya Karpal Singh berterusan menentang hudud?
Jika itulah respon pemimpin UMNO terhadap isu ini, maka ia bagaikan terpercik ke muka sendiri, kerana MCA yang menjadi rakan sekutu kuat UMNO di dalam BN juga tidak kurang hebatnya menentang hudud, malah ada di kalangan pemimpin MCA pernah melemparkan ugutan kepada UMNO supaya tidak melaksanakan hudud jika mahu MCA kekal di dalam BN. Demi menjaga hati MCA ini, tidak ada seorang pun pemimpin kanan UMNO yang rasa tercabar apabila hukum Allah ini dipersendakan sebegitu rupa.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terpaksa mengeluarkan kenyataan resmi bahawa kerajaan tidak akan melaksanakan hukum hudud kerana menurutnya hukum Tuhan ini tidak sesuasi dilaksanakan di negara berbilang kaum seperti Malaysia. MCA merasa lega dan gembira dengan kenyataan Najib itu, kerana MCA mungkin merasakan itu adalah jaminan untuk meraih sokongan semula pengundi Cina kepada BN dalam PRU13 nanti.
MCA dilihat tidak mahu tertinggal keretapi apabila DAP berterusan membuat kenyataan untuk menolak hudud. Karpal Singh tidak mencabar UMNO kerana beliau tahu sememangnya UMNO tidak mahukan hudud di negara ini. Cuma Karpal Singh masih enggan untuk menyatakan sokongan kepada UMNO yang secara terbuka telah menolak hudud demi hendak menjaga hati Pakatan Rakyat.
Masih panjang lagikah isu hudud ini hendak dipolitikkan? Jika ia diperhangatkan lagi mungkin akan menyebabkan PAS semakin menyinga kepada DAP, kerana Karpal Singh dilihat masih menjadi faktor kesukaan pihak media untuk melaga-lagakan PAS dengan DAP, kalau boleh hendak memisahkan kedua-duanya dalam Pakatan Rakyat. Utusan Malaysia tetap menjadi media matador tunggangan UMNO untuk tujuan ini. Sebelum ini akhbar Utusan dan media sekutunya yang lain juga telah mempalitkan PAS dan parti-parti sekutu Pakatan Rakyat sebagai penderhaka kepada Raja.
Setiap hari di dada-dada akhbar berkenaan dan boleh dikatakan setiap malam di kaca TV1, TV2 dan TV3 rakyat di seluruh negara dipertontonkan betapa durhakanya pemimpin parti pembangkang yang kononnya telah menghina Sultan. Parti-parti pembangkang Pakatan Rakyat dalam respon mereka terhadap percubaan pihak media memainkan sentimen kebencian kepada Raja itu telah meminta supaya isu ini dihentikan sahaja kerana mereka juga mendakwa bahawa UMNO pernah terjebak dengan isu menghina Raja-Raja Melayu sehingga telah menghilangkan kekebalan Raja-Raja Melayu menerusi pindaan Perlembagaan yang mereka gubal sebelum ini. Hampir semua media arus perdana memberikan liputan meluas menghina dan memalukan Raja-Raja Melayu demi sokongan kuat mereka kepada UMNO/BN pada masa itu. Deria rasa menghina Sultan langsung telah diketepikan.
Begitulah yang berlaku pada hari ini, pihak media berterusan membesarkan isu hudud tanpa segan silu malah semacam tidak berdosa dengan Allah apabila hukum Allah ini dipersendakan bahkan dimatadorkan. Wajah Karpal Singh yang bukannya seorang Islam telah mendapat liputan dan publisiti meluas untuk memanjangkan kecamannya terhadap hukum Allah. Tindakan Karpal Singh itu diolah bagaikan seorang 'kafir harbi' yang patut ditentang oleh semua umat Islam negara ini, tetapi mereka telah mengecualikan Presiden MCA Chua Soi Lek yang juga dilihat senada dengan Karpal Singh.
Nampaknya media arus perdana tetap dengan polisi matadornya, tetapi motif matodarisme kali ini tidak melagakan UMNO dan MCA sebaliknya memilih matador parade untuk melaga-lagakan di antara DAP dan PAS. Jika ada pun serangan satu dua pemimpin UMNO terhadap kebiadapan MCA terhadap hukum Allah ini, mungkin ia tidak disiarkan demi menjaga keakraban intim UMNO/MCA.
Demikianlah HUDUD disatirakan mengikut persepsi politik matador kepartian di negara Islam seperti Malaysia yang berpegang kepada konsep 1Malaysia.



