assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Monday, April 15, 2013

ENAM CALON UMNO WP MESTILAH MENANG UNTUK CAPAI HASRAT DUA PERTIGA

Oleh Abdul Rahman Hashim

Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin,
Lembah Pantai
Dato' Dr Shafei Abdullah, Wangsa Maju
Dato' Ahmad Fauzi Zahari, Setiawangsa
Tengku Adnan Tengku Mansor, Putrajaya
Dato' Johari Ghani, Titiwangsa
Datuk Yusoff Mahal, Labuan

Calon-calon UMNO dijangkakan akan bertanding di enam kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan. Beberapa calon baru dari UMNO dijangka akan dinamakan oleh Dato' Sri Najib Tun Razak, Pengerusi Barisan Nasional di kawasan-kawasan parlimen yang terbabit. 
Diantara muka baru yang bakal dinamakan bertanding di dalam sirkit PRU13 ini nanti ialah Dato' Raja Nong Chik di Lembah Pantai, Dato' Johari Ghani di Parlimen Titiwangsa, Dato' Ahmad Fauzi Zahari di Setiawangsa dan Dato' Dr Mohd Shafei Abdullah di Wangsa Maju. 
Manakala bagi kawasan Parlimen Labuan pula Datuk Hj Yusoff Hj Mahal berkemungkinan juga akan digantikan dengan muka baru, begitu juga di Putrajaya di mana akan berlaku kejutan kerana nama Tengku Adnan Tengku Mansor yang menjadi Ahli Parlimen sebelum ini dikatakan akan digantikan dengan calon yang lain. 
Namun begitu, sebagai Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan dikatakan wajar kekal bertanding di Putrajaya walaupun ada ramalan yang menyebut bahawa mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed akan bertanding semula bagi kali ini menggantikan Tengku Adnan. PAS baru-baru ini telah menamakan Naib Presidennya Datuk Husam Musa akan dicalonkan bertanding di Parlimen Putrajaya. Terdapat juga ramalan yang menyatakan bahawa Tan Sri Aseh Che Mat, Presiden Perbadanan Putrajaya juga disebut-sebut bakal dicalonkan untuk menentang Husam Musa.
Dato' Sri Zulhasnan Rafique, mantan Menteri Wilayah Persekutuan yang juga telah menjadi Ahli Parlimen selama tiga penggal di Wangsa Maju dan juga di Setiawangsa, dikatakan tidak dipilih semula menjadi calon dalam PRU13 kali ini. Seorang muka baru, Dato' Ahmad Fauzi Zahari yang menjadi Naib Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa diramal bakal menggantikannya sebagai calon di Setiawangsa. Fauzi Zahari dilihat winnable di Setiawangsa, kerana beliau juga dikatakan di antara 6 calon yang telah direstui oleh UMNO Bahagian berkenaan, malah Fauzi juga mendapat sokongan di peringkat Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan. Fauzi merupakan Setiausaha Kerja BN Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam pilihan raya umum yang lepas, calon UMNO hanya menang di Setiawangsa, Putrajaya dan juga di Labuan sahaja. Lembah Pantai dan Titiwangsa telah dikejutkan apabila tewas di tangan PKR dan juga PAS. Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai telah dibawa masuk menyertai kabinet Najib menjadi Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar setelah dilantik sebagai seorang senator. Nong Chik diharapkan dapat menebus kembali kekalahan yang dialami oleh Dato' Seri Shahrizat Jalil di Lembah Pantai pada PRU12 yang lalu.
Begitu juga, Dato' Johari Ghani yang memangku jawatan Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa diberikan tugas yang berat agar dapat merampas semula kerusi Parlimen Titiwangsa yang telah dimenangi oleh Allahyarhamah Dr Lo Lo dari PAS pada musim PRU12 tahun 2008.
Berbeza pula di Parlimen Wangsa Maju, di mana Dato' Dr Mohd Shafei Abdullah, Ketua UMNO Bahagian tersebut dilihat semakin berjaya untuk mengembalikan semula kerusi Wangsa Maju kepada UMNO setelah dua penggal diwakili oleh calon MCA. Dalam PRU12, Yew Teong Look dari MCA telah tewas 150 undi di tangan PKR, maka kali ini UMNO merasakan wajar meletakkan calonnya untuk mengembalikan semula momentum kemenangan yang pernah dicapai oleh UMNO pada pilihan raya umum 1995 dan 1999. 
Walaupun MCA Wangsa Maju terkilan kerana kerusi yang dipinjamkan oleh UMNO selama dua penggal akan diambil semula menjelang PRU13 ini, namun kerja kuat dan semangat kental yang ditunjukkan oleh Dr Shafei Abdullah dan team UMNO sejak kebelakangan ini dilihat ada pencerahannya, terutama di kalangan pengundi Melayu yang mewakili 53 peratus yang pastinya akan memihak kepada Barisan Nasional kali ini. Shafei kena bekerja keras dan menggandakan keyakinan terutama di kalangan pengundi Cina supaya mengukuhkan lagi keyakinan BN untuk menang kali ini.
UMNO jangan terlalu selesa dalam mengharungi pancaroba PRU13 kali ini. Jika UMNO boleh tewas di Lembah Pantai dan Titiwangsa pada PRU12 2008, ini memberikan suatu cabaran kepada seluruh jentera UMNO/BN di kawasan-kawasan terbabit supaya tidak bercakaran sesama sendiri, sebaliknya UMNO harus membuktikan kesemua enam kerusi yang ditandingi di WP mampu dimenangi. Jika harapan Najib agar BN kali ini dapat menang dua pertiga, maka keenam-enam kerusi UMNO di Lembah Pantai, Titiwangsa, Wangsa Maju, Setiawangsa, Putrajaya dan Labuan mestilah menyumbang kepada kejayaan ini.

Wilayah Persekutuan mempunyai 13 kerusi Parlimen yang terdiri dari Lembah Pantai, Titiwangsa, Setiawangsa, Wangsa Maju, Bandar Tun Razak, Cheras, Seputeh, Bukit Bintang, Segambut, Kepong, Batu, Putrajaya dan juga Labuan.

Friday, April 12, 2013

IBRAHIM YAACOB (PKR) SEKALI LAGI BERENTAP DENGAN ZULHASNAN RAFIQUE DI SETIAWANGSA?

 Oleh Abdul Rahman Hashim
Zulhasnan Rafique,
Juruterbang Jet Pejuang TUDM, 1972
Dato' Sri Zulhasnan Rafique,
Apakah beliau bakal calon BN Setiawangsa kali ini?
Ibrahim Yaacob (PKR), bertanding kali kedua di Setiawangsa

WASPADA buat calon BN Setiawangsa! Calon PKR, Ibrahim Yaacob yakin untuk merampas kerusi Parlimen Setiawangsa pada PRU13 nanti. Beliau berkata sekiranya PKR mendapat undi tentera sekurang-kurangnya 5,000 undi, maka beliau yakin BN mampu ditewaskan oleh Pakatan Rakyat. Ini kerana, katanya, pada pilihan raya umum lalu, 'undi biasa' telah memihak kepadanya melainkan undi pos sahaja yang menjadikan 'Setiawangsa' kini dianggap sebagai kawasan putih buat BN? 
Apakah undi tentera&polis masih menjadi fix deposit kepada UMNO/BN, jika bukan Zulhasnan Rafique yang menjadi calonnya? Namun begitu angin sepoi-sepoi telah memberi perkhabaran iaitu Dato' Sri Zulhasnan bekas juruterbang jet pejuang TUDM, bakal diheret sekali lagi bertarung dengan Ibrahim Yaacob dari PKR di Setiawangsa menjelang hari mengundi 5 Mei 2013.
Dalam pilihan raya umum 2008, Zulhasnan Rafique memperolehi 25,489 undi berbanding Ibrahim Yaacob dari PKR yang meraih 17,355 undi. Zulhasnan, BN menang dengan majoriti 8,134 undi. Sekiranya Zulhasnan terpilih semula sebagai calon BN dalam PRU13, ini merupakan penggal keempat bagi beliau menyertai pilihan raya umum semenjak PRU 1999, PRU 2004 dan PRU 2008. 
Dalam PRU10/1999, Zulhasnan buat pertama kalinya telah memenangi kerusi Parlimen Wangsa Maju sebelum bertukar menjadi Ahli Parlimen Setiawangsa pada PRU11/2004 dan mengekalkan momentum kemenangannya dalam PRU12/2008. 
Kedengaran di peringkat awalnya, Zulhasnan dikatakan enggan bertanding semula kerana beliau merasakan sudah tiba masanya untuk beliau menyerahkan baton kepada pelapis lebih muda bagi meneruskan pencerahan legasi Setiawangsa sebagai kubu kuat UMNO/BN. Namun perkembangan mutakhir dari jendela BN Pusat di PWTC telah membawa perkhabaran mahukan beliau sekali lagi menjadi calon BN di Parlimen Setiawangsa. 
Jika benar perkhabaran dari kantor Najib Razak yang menyebut bahawa Zulhasnan telah dipanggil bertemu dengan Perdana Menteri baru-baru ini, maka ada kemungkinan nama 'Dato' Ahmad Fauzi Zahari' yang ditinta sebelum ini sebagai bakal calon BN Setiawangsa kini menjadi pudar, kerana pucuk pimpinan rupa-rupanya lebih meyakini Zulhasnan berkeupayaan tinggi dan lebih 'winnable' untuk menggalas sekali lagi kemenangan menewaskan Ibrahim Yaacob dari PKR pada PRU13 ini.
Percubaan kali kedua Ibrahim Yaacob berhadapan dengan calon UMNO/BN di Setiawangsa kali ini tentunya disulami dengan azam dan tekad untuk merampas dominasi kerusi ini yang dimiliki oleh BN sebelum ini. Jika Ibrahim Yaacob terhidu kononnya berlaku keretakan dalam penentuan calon BN yang melibatkan Zulhasnan dan Fauzi, sebenarnya itu hanyalah andaian yang menjaring angin sahaja. 
Di antara Zulhasnan Rafique dan Fauzi Zahari tidak wujud keretakan walau siapa jua di antara mereka yang terpilih menjadi calon. Begitu juga dengan pendirian yang dibuat oleh Timbalannya Datuk Seri Halim Samad yang sentiasa menyarankan agar semua pihak mematuhi sesiapa jua yang dipilih oleh pucuk pimpinan sebagai calon BN di Setiawangsa.
Hubungan akrab Zulhasnan sebagai Ketua Bahagian dan Fauzi Zahari sebagai Naib Ketua Bahagian di Setiawangsa bagaikan aur dengan tebing, malah mereka kelihatan selenggang dan sehayun dalam membahterai perjalanan politik UMNO di Bahagian Setiawangsa. 
Rasanya Zulhasnan tidak terlintas di hatinya untuk bersangka buruk terhadap kesetiaan Naib Ketuanya itu. Fauzi Zahari juga dikatakan tidak bijak untuk mengkabilahkan dirinya secara terasing dengan kabilah kepimpinan Dato' Sri Zulhasnan Rafique. Walaupun beliau dianggap sebagai pemimpin yang sentiasa di bawah ketiak Zulhasnan, namun dirinya lebih selesa berkeadaan sedemikian. Kelibat untuk menderhaka kepada bosnya bukanlah suatu mainan politik Fauzi Zahari.
Maka sebab itu, jika Zulhasnan Rafique dipilih semula menjadi calon dalam PRU13 ini, rasanya Zulhasnan tidak akan berhadapan dengan 'unsur sabotaj' daripada Fauzi Zahari; malah saya lebih yakin jika Dato' Ahmad Fauzi Zahari pula yang dipilih menjadi calon kali ini, Zulhasnan atas sifatnya sebagai Pengerusi Penyelaras BN Setiawangsa akan lebih konsisten untuk membantu kemenangan BN. Tidak mungkin Ketua UMNO Bahagian ini akan meminggirkan dirinya dan membiarkan BN kecundang di tangan Ibrahim Yaacob, jika beliau bukan lagi calon BN P.118 Setiawangsa. 

Thursday, April 11, 2013

PRU13 - BIARKAN ANWAR SYOK SENDIRI ASALKAN NAJIB TIDAK SEDEMIKIAN RUPA

Oleh Abdul Rahman Hashim

Najib TIDAK syok sendiri seperti ANWAR

SPR sudah pun mengumumkan iaitu hari penamaan calon bagi PRU13 ialah pada 20 April 2013, manakala hari pembuangan undi pula telah ditetapkan pada 5 Mei 2013. Semua parti yang akan menyertai pilihan raya umum kali ini dilihat sudah pun bersedia untuk sirkit PRU13 yang dianggap paling sengit dalam sejarah pilihan raya umum sebelum ini. 
Dato' Sri Najib Tun Razak, Pengerusi BN menyatakan akan berlaku beberapa kejutan yang mungkin di luar jangkaan terutama dalam proses menamakan calon-calon BN yang akan bertanding nanti. Tanpa menyebutkan apakah kejutan yang bakal dilakarkan oleh beliau nanti, Najib tentunya akan lebih berhati-hati untuk membariskan nama-nama player's pasukannya, kerana team BN kali ini mestilah yang 'winnable' untuk dipertaruhkan menentang team PR yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim.
Rasanya Najib lebih arif untuk menentukan barisan calon yang mampu menggalas tugas dan amanah untuk mengembalikan kekuatan dua pertiga seperti yang dikehendaki oleh beliau selama ini. Kegagalan BN memperolehi majoriti dua pertiga dalam PRU13 kali ini sudah dibayangkan betapa Najib bakal menghadapi tekanan supaya berundur dari memimpin BN dan juga sebagai Perdana Menteri. Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kenyataan sinikalnya baru-baru ini juga membayangkan sekiranya BN gagal memperolehi majoriti dua pertiga, Najib haruslah berundur seperti yang pernah berlaku kepada Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi sebelum ini.
Dalam suasana politik yang gawat ini, apakah begitu mudah untuk BN melepasi halangan dua pertiga ini? Inilah persoalan yang sering dicongakkan oleh penganalisa politik yang turut khuatir kemungkinan akan berlaku kejutan-kejutan sebaliknya terhadap BN. Rasanya Najib juga tahu betapa getirnya untuk menghadapi PRU13 ini; sebab itulah tarikh membubarkan parlimen sering tertangguh hingga ke waktu kecederaan, malah kini permainan ditambah sedikit masa kerana kedua-dua pasukan sedang bergelut dalam 'mode seri'. 
Dalam proses mentransformasikan politik UMNO/BN, Najib haruslah menggunakan kesempatan PRU13 ini untuk membuktikan acuannya adalah yang terbaik untuk masa depan generasi yang sedang mewarisi kepimpinan politik hari ini. Apakah UMNO/BN masih relevan lagi? Jika tersilap mencaturya, kemungkinan PRU13 bakal menjadi mimpi ngeri buat UMNO/BN. 
Dalam mengemudi bahtera kemenangan, jangan kita alpa bahawa kapal yang sedang dibahterai ini apakah ia masih berupaya untuk melawan ombak dan tsunami yang telah meranapkan enam negeri ketika PRU12 yang lalu? Tersilap memilih kelasi-kelasi kapal kali ini bukan sahaja misi merampas semula negeri-negeri yang kalah itu akan kecundang lagi, malah kita bimbang dua tiga negeri lagi turut menjadi mangsa; akhirnya Putrajaya turut berputih mata.
Apakah kekecewaan mereka yang tidak dicalonkan semula bertanding dalam PRU13 kali ini boleh menunjukkan supporting spirit sebagaimana sokongan yang telah diberikan oleh orang lain kepadanya ketika menjadi calon sebelum ini? Jika jiwa semurni ini diterapkan di hati sanubari setiap pemimpin yang tidak dicalonkan lagi kali ini, sudah pasti Najib akan tersenyum girang kerana BN telah berjaya ditransformasikan oleh beliau.
Jika berlaku sebaliknya, Najib sendiri bakal berhadapan dengan 'mimpi ngeri' akibat igauan dan kelakuan yang tidak senonoh oleh mantan-mantan yang hanya mementingkan diri mereka sendiri sahaja. Mereka inilah politikus yang menjadi perosak kepada entiti parti yang lebih buruk perangainya daripada tikus.
Mudah-mudahan gandingan Najib dan Muhyiddin tidak berhadapan dengan banyak karenah dan juga masalah untuk mencipta kemenangan yang berganda kali ini. Biarkan Anwar yang syok sendiri asalkan Najib tidak sedemikian rupa.