
Dato' Sri Zulhasnan Rafique
Setelah saya mendengar berita bahawa Dato' Sri Zulhasnan Rafique bersetuju untuk bertanding jawatan Majlis Tertinggi UMNO, terlintas di fikiran saya sememangnya beliau patut dan layak untuk turut serta di dalam sirkit pertandingan merebut 25 kerusi Majlis Tertinggi di dalamPerhimpunan UMNO musim ini.
Mulanya belum bersedia
Sebelum ini saya pernah bertanyakan tentang perkara ini dengan Dato' Sri Zulhasnan di dalam satu pertemuan di kediamannya sebelum musim persidangan cawangan dijalankan, dan beliau secara spontan menjawab 'belum bersedia' untuk bertanding. Pada mulanya saya agak terperanjat apabila mendengar jawapan beliau itu, namun saya berkeyakinan bahawa beliau mungkin akan mengubah fikirannya untuk tidak terkecuali bersama-sama Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri-Negeri yang lain yang telah membuat pengumuman lebih awal untuk menyertai pertandingan jawatan MT, termasuk Datuk Seri Shahidan Kasim yang bukan lagi menjadi Menteri Besar Perlis.
Mewakili Wilayah Persekutuan
Sebenarnya Zulhasnan atas kapasitinya sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, ditambah pula dengan kekuatan imej kepemimpinannya sebagai seorang Menteri yang bertanggungjawab terhadap pembangunan Wilayah Persekutuan; telah meletakkan kelayakan dirinya untuk mengisi jawatan Majlis Tertinggi sebagai mewakili sebuah negeri, yakni Wilayah Persekutuan.
13 Bahagian WP
Zulhasnan tidak perlu bimbang untuk turut serta bertanding, kerana kedudukan beliau yang mengetuai 13 Bahagian di Wilayah Persekutuan, menjadikan dirinya lebih berketrampilan daripada Pengerusi Perhubungan Negeri yang lain, terutama yang mempunyai bilangan Bahagian yang kurang daripada Wilayah Persekutuan.
Negeri Melaka misalnya, hanya mempunyai lima bahagian, begitu juga Perlis sebuah negeri yang hanya mempuyai kekuatan tiga buah bahagian sahaja. Kedua-dua negeri ini telah mempertaruhkan Pengerusi Perhubungan masing-masing untuk menyertai sirkit pertandingan di dalam Perhimpunan Agung kali ini.
Ali Rustam tanding Timbalan Presiden
Datuk Seri Mohd. Ali Rustam (DSAR) yang mengetuai UMNO Negeri Melaka lebih fokus dan terdorong untuk mempertaruhkan dirinya bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO, walaupun menyedari kekuatan UMNO negerinya hanya mempunyai lima bahagian sahaja. Mungkin faktor kedudukan dirinya yang tidak berkedudukan di peringkat Kerajaan Persekutuan, samada sebagai seorang Menteri Pusat mahupun sebagai Ahli Dewan Rakyat akan menyulitkan dirinya untuk meraih keyakinan para perwakilan nanti; namun begitu Mohd. Ali Rustam tidak memperlihatkan faktor sedemikian sebagai penghalang terbesar untuk dirinya menghampiri jawatan yang menjadi tradisi sebagai Timbalan Perdana Menteru kelak. Ali Rustam Kelas Dunia
Datuk Seri Mohd. Ali Rustam walaupun dikatakan bukannya calon favourite untuk menjadi seorang Timbalan Perdana Menteri, namun beliau mempunyai 'track record' sebagai seorang pemimpin 'kelas dunia' (World Class).
Mohd. Ali Rustam walaupun memimpin sebuah negeri yang kecil, tetapi dunia mengiktirafnya sebagai pemimpin belia sedunia. Ali Rustam juga pernah memimpin Majlis Belia Malaysia, di samping mempunyai pengaruh yang besar di kalangan pemimpin UMNO di seluruh negara yang seangkatan dengannya di dalam Gerakan Belia 4B Malaysia.
Pejuang Bangsa Bumi Hang Tuah
Pendekata, Mohd. Ali Rustam memiliki semangat dan jiwa yang besar, kerana beliau cukup terlatih dalam selok belok kepimpinan dan kaya dengan budi bahasa serta bijak menggayakan dirinya persis seorang pejuang bangsa yang berasal dari bumi Hang Tuah.
Zulhasnan pemimpin berkarisma
Dato' Sri Zulhasnan Rafique apa kurangnya. Beliau bukan sahaja telah berjaya memenangi pilihan raya umum sebagai Ahl Parlimen sejak 1999, Zulhasnan juga tergolong daripada kalangan pemimpin pelapis yang berkarisma, dinamik lagi berjiwa rakyat. Kemunculannya tidak bermula dalam era Pak Lah sebagai PM, tetapi Zulhasnan muncul sebelum Dr. Mahathir melepaskan jawatannya kepada Pak Lah. Dr. Mahathir yang merestuinjya sebagai calon BN di Parlimen Wangsa Maju pada tahun 1999, kemudian meneruskan perjuangannya dengan memenangi pilihan raya umum tahun 2004 sebagai Ahli Parlimen Setiawangsa, seterusnya dinobatkan semula di dalam PRU12 yangt lepas.
PKR rebah di Setiawangsa
Asakkan gelombang tsunami politik PRU12 yang lalu, tidak memungkinkan 'Setiawangsa' menjadi mangsa ratahan oleh arus Pakatan Rakyat, sebaliknya calon PKR yang menentangnya tertewas dan rebah dengan majoriti yang selesa, jika dibandingkan dengan kekalahan mengejut calon-calon BN yang lainnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Pendakian karier politiknya semakin menyinar setelah beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan seterusnya dinaikkan pangkat sebagai Menteri penuh di kementerian yang sama pada tahun 2006 hingga ke hari ini. Sememangnyalah beliau menjadi pilihan di hati Pak Lah untuk meletakkannya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan. Beliau tidak dapat mengelak, kerana Perdana Menteri mempunyai kuasa untuk memilihnya mengangotai jemaah menteri.
Zulhasnan pasrah dengan kekuatannya
Biar pun ada yang bercakap sumbang konon masa depannya hanya bergantung kepada Pak Lah, dan selepas ketiadaan Pak Lah maka berkuburlah masa depan politiknya, namun Zulhasnan lebih pasrah dengan kekuatan dan keupayaan jati dirinya sebagai Ketua UMNO Bahagian, Ahli Parlimen, Pengerusi Perhubungan UMNO WP dan sebagai seorang Menteri Wilayah Persekutuan.
Ampu bodek Pak Lah?
Sebagai seorang Ketua UMNO Bahagian, beliau begitu berpengaruh di kalangan ahli-ahli UMNO akar umbi; begitu juga beliau memenangi tiga pilihan raya sebelum ini bukan kerana sifat ampu bodeknya terhadap Pak Lah, tetapi beliau berjaya meyakinkan Pak Lah sepertimana pemimpin-pemimpin UMNO yang lainnya berjaya membuktikan kesungguhan untuk menawan hati rakyat.
Kita mengharapkan Dato' Sri Zulhasnan Rafique akan dapat dibantu oleh seluruh jentera di dalam UMNO Wilayah Persekutuan. Janganlah kita mengkhianati mandat ini dengan mengatur langkah songsang supaya beliau kalah dalam pertandingan merebut jawatan MT kali ini.
Suleiman Mohamed sokong Zulhasnan
Saya begitu terharu dengan kenyataan tulus yang dibuat oleh Dato' Seri Dr. Suleiman Mohamed kepada saya semasa diadakan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Setiawangsa pada 25 Oktober lepas, bahawa beliau tidak berminat untuk bertanding MT, kerana beliau lebih menghormati untuk memberi laluan kepada Dato' Sri Zulhasnan, malah beliau berkata kepada saya bahawa beliau akan bekerja keras untuk membantu Zulhasnan memenangi jawatan MT ini. Mendengar perakuannya itu, maka saya terus bersalam dengannya sebagai menghargai di atas kesungguhan untuk membantu Zulhasnan bertanding MT.
Persahabatan bersama Dr. Suleiman
Saya telah berkawan dengan Dr. Suleiman sejak tahun 1984, ketika itu beliau Ketua Pemuda Bahagian Setapak dan juga Exco Pemuda UMNO Malaysia. Saya pernah terlibat dengan beliau di dalam Biro Latihan Pemuda UMNO Malaysia pada masa itu.
Dr. Suleiman Mohamed begitu berjasa kepada saya, kerana beiau juga pernah membiayai elaun bulanan saya sebagai 'Setiausaha Kerja Majlis Belia Wilayah Persekutuan' sekitar tahun 1987/1988/1989. Pengerusi Majlis Belia WP pada masa itu ialah Dato' Fuad Hassan, sementara Dato' Seri Dr. Suleiman Mohamed yang ketika itu sebagai Timbalan Menteri di JPM merupakan Penaung kepada Majlis Belia WP.
Jangan bersusah hati
Berbalik memperkatakan tentang kesediaan Zulhasnan bertanding jawatan MT UMNO, saya menyarankan agar kita semua dapat menyatakan sokongan kepadanya. Kita kena menghormati haknya sebagai ahli UMNO yang membenarkan dirinya menyertai pertandingan ini. Janganlah kita bersusah hati, berdengki hati dan busuk hati untuk menghalangnya mara ke hadapan dalam arena politik nasional.
Bijak mengguna mulut
Biarkanlah penyertaannya kali ini mendapat sokongan padu daripada semua perwakilan di Wilayah Persekutuan. Walaupun dalam politik, tikam menikam dianggap sebagai asam garam, namun kita harus mengelakkan diri daripada terjebak sebagai 'budak jahat' sehingga terlupa diri kita juga sedang diperhatikan oleh orang lain. Mungkin juga kita akan marah apabila menyedari ada pihak yang cuba menikam kita, namun sebagai seorang pemimpin politik kita hendaklah menampilkan keikhlasan dan berakal budi yang tinggi serta bijak 'mengguna mulut' tanpa membinasakan maruah peribadi orang lain.
Pembinasa yang binasa
Jika kita meletakkan martabat diri kita sebagai 'pembinasa' akhirnya diri kita turut dibinasakan. Begitu juga jika kita sering menuding jari memburukkan orang lain, akhirnya diri kita turut dibenci orang lain. Jadikan diri kita contoh teladan yang terbaik untuk diikuti oleh orang lain, bukannya melaga-lagakan diantara satu sama lain.
Semoga Dato' Sri Zulhasnan Rafique dapat mengambil iktibar daripada saranan yang saya kemukakan ini, kerana diri kita masih di kelilingi orang jenis itu...
(Sila komen tentang hasrat Dato' Sri Zulhasnan tanding jawatan MT)

