assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Tuesday, January 31, 2012

BUDAYA FITNAH BUKAN LAGI KEBATILAN?

Oleh Abdul Rahman Hashim

Di antara fitnah besar pada zaman ini ialah budaya fitnah memfitnah dalam berpolitik. Ia adalah mainan kotor orang politik yang di warisi dari idelogi barat. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa ianya semakin terserlah sebagai “political game” yang terhias indah pada segala medium massa rakyat sehingga ia menjadi budaya kepada pemain-pemain politik yang begitu rakuskan kuasa.

Malangnya orang orang politik yang beragama Islam pun turut serta dalam ‘political games” yang jijik ini kerana mungkin mereka tidak mahu tersingkir dari arena atau gelanggang politik. Mereka tergamak menghalalkan permainan kotor ini atas alasan terpaksa (darurat). Sebab itu kita sering berhadapan dengan tentangan dari golongan ini apabila kita kata fitnah, mengumpat, mengata, memaki hamun, mengaibkan orang walaupun dalam berpolitik, adalah haram, iaitu berdosa besar.

Mereka kata dalam berpolitik perbuatan ini di benarkan oleh Islam berdasarkan hukum fiqh (maslahat politik). Tetapi itulah akibatnya, kata Imam Ghazali, apabila seseorang hanya mengambil fiqh dalam membuat keputusan ke atas sesuatu masaalah (tanpa pertimbangan ilmu tasauf) maka dia akan menjadi sombong dan akan merasakan diri dia sentiasa betul dan benar malah terlalu sukar untuk menerima pendapat orang lain.

Golongan ini pada zahirnya dilihat berpegang kuat kepada agama, tetapi pada hakikatnya mereka mematuhi pendapat dan fikiran dangkal mereka sendiri. Mereka membuat keputusan mengikut kehendak hawa nafsu atas kecenderungan dan keperluan sentimen politik mereka. Mereka kemudian cuba menyesuaikan agama mengikut selera politik mereka. Maka mereka pada hakikatnya adalah golongan yang memperalatkan agama untuk kepentingan dan “survival” kejijikan politik.

Berwaspadalah! Jangan kita terjebak dengan kemungkaran politik seumpama ini. Berpolitik bukannya bermakna seseorang itu mesti berada di dalam limbah yang digenangi dengan najis sehingga kita tidak mampu lagi untuk membezakan di antara yang makruf dan yang mungkar.

Jika Allah berfirman bahawa orang yang melakukan perbuatan memfitnah itu adalah lebih merbahaya daripada perbuatan membunuh, maka sewajarnya kita menjiwai kalam Tuhan itu malah perbuatan haram itu wajib kita menjauhinya kerana di situ ada DOSA.

DOSA bukanlah eksklusif hanya kepada musuh politik kita sedangkan mungkin kita lebih berdosa kerana menabur fitnah sesama manusia sehingga ia tidak terkawal lagi. Melakukan fitnah bukannya Tuhan menjanjikan PAHALA sebaliknya kita yang mendapat BALA. Kadang-kadang kita terlupa dek kerana nafsu serakah membencikan seseorang yang dimusuhi, maka kita telah menjerumuskan diri dengan kemurkaan Allah. Jika itu terjadi, nescaya politik kita akan menjurus kepada bibit-bibit kemusnahan. Na'uzubillah!

Sedapat mungkin jauhkan diri dari berhubung atau berinteraksi dengan pemimpin politik atau dengan mereka yang gemar menabur fitnah, mengata, mencerca, mengumpat dan mengaibkan orang lain.

Apabila kita berhadapan dengan isu-isu yang berbaur fitnah yang di cetuskan oleh orang politik, jangan libatkan diri, kerana kita mesti percaya bahawa perebuatan jijik itu akan mengotorkan jiwa dan akhlak politik kita. Seelok-eloknya minta nasihat dan pandangan alim ulama yang bebas (yang tidak berpihak), Kerana jiwa seorang ulamak akan berpegang teguh dengan syariat Islam yang menggesa umatnya supaya lebih mencintai kebaikan daripada terjebak dengan amalan kemungkaran.

Ulamak Hasan Al-Basri Rahimahumullah pernah mengungkapkan kata-katanya:

“Sesungguhnya fitnah ini, jika dia datang maka sudah diketahui oleh setiap alim dan jika dia sudah pergi maka baru diketahui oleh setiap yang jahil.”

Maksudnya lebih kurang begini, kita sebagai insan biasa kadang kadang kita tidak tahu bahawa sesuatu isu itu adalah isu berbentuk fitnah sehingga kita terikut-ikut dalam menyebarkannya. Adalah lebih baik kita bertanya kepada alim ulama untuk mendapatkan nasihat sebelum kita bertindak. Jika ada pula di kalangan orang-orang alim yang bertindak mengikut jalur fahaman politik yang dianutinya maka dibimbangi dia juga akan terjerumus dengan serakah fitnah sehingga sanggup pula membuat kenyataan berperisa fitnah semata-mata menuruti kehendak orang yang bersangka jahat terhadap musuh politiknya.

Budaya fitnah pada suatu ketika dahulu situasi dan tempatnya sangat terpinggir dan terpencil serta tersembunyi tetapi kini ianya terserlah dan terpampang di dada akhbar serta terdapat juga yang dibukukan di dalam buku yang berkulit indah dan dijual dengan harga yang berpatutan, malah ada juga yang mahal, media elektronik juga tidak ketinggalan memberi ruang sepuas-puasnya kepada budaya buruk ini.

Laman blog dan facebook serta laman maya yang lain juga turut mengambil bahagian untuk memburukkan lagi persoalan tersebut. Oleh itu masyarakat kita dari berbagai kalangan meratahnya setiap hari.Fitnah telah dihias indah sehingga kelihatan ia bukan lagi KEBATILAN.

Peringatan untuk kita dari Surah Al-Hujurat Ayat 6 yang bermaksud:-

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan".