assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Sunday, December 27, 2009

KEHILANGAN DUA ENJIN F-5E DENGAN KEHILANGAN LIMA NEGERI...ANGKARA SIAPA?

Zahid Hamidi yang juga Menteri Pertahanan sekarang tiba-tiba telah mensensasikan kehilangan dua enjin pesawat pemintas F-5E milik TUDM yang berharga RM50 juta setiap satu itu, sehingga memaksa Dato' Sri Najib yang pernah mengetuai kementerian ini membuat kenyataannya dengan memberi jaminan bahawa kerajaan tidak berhasrat untuk menutup kes kehilangan dua enjin yang bernilai RM50 juta setiap satu sebagaimana yang didedahkan itu.

Malahan beliau juga berkata aduan polis telah dibuat apabila kementerian pertahanan menyedari tentang kejadian tersebut yang berlaku semasa beiau menjadi menteri berkenaan.

"kita telah pergi kepada polis, ketika itu saya adalah menteri yang berkenaan. Saya membuat keputusan bahawa kita perlu membuat laporan polis," beliau dipetik berkata lapor Bernama.

Zahid Hamidi dalam kenyataan susulannya juga berkata selain daripada dua pesawat yang telah hilang, terdapat peralatan lain yang berkaitan turut lesap tiga tahun lalu.

Persoalan yang timbul daripada insiden yang memalukan ini ialah kenapa hampir tiga tahun baru cerita ini berbangkit - yang mendedahkannya pula bukan dari kalangan pembangkang malah pihak pembangkang dilihat semakin mencungkil dan terus menggali untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenainya.

Isu 'kehilangan enjin F-5E' ini juga dilihat akan terus disensasikan oleh para politikus, kerana kehilangannya juga dilihat menjadi bebanan kepada kerajaan BN yang pastinya tidak mahu 'kehilangan kuasa' menjelang PRU13.

Angkara siapakah ini? Apakah Zahid Hamidi begitu optimistik untuk mendedahkan nama-nama mereka yang terbabit itu sebagai bukti ketelusan kerajaan 1Malaysia yang ingin mendahulukan rakyat untuk mengejar pencapaiannya?

Sebenarnya saya semakin runsing untuk menterjemahkan motif di sebalik pendedahan itu, kerana ianya bakal mengundang risiko yang amat membahayakan Barisan Nasional yang telah kehilangan banyak kerusinya di dalam PRU12, sehingga telah merebahkan empayar BN di Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Kelantan termasuk Perak dan juga di Wilayah Persekutuan.

Jika diperhalusi di sebalik kenyataan Perdana Menteri itu, jelas membayangkan bahawa beliau sendiri mengetahuinya, jika tidak mana mungkin beliau terdorong untuk melaporkan kepada pihak polis? Persoalan yang timbul ialah kenapa kejadian yang berlaku pada tahun 2007 ini dilihat semacam hendak disembunyikan sehinggalah Zahid Hamidi sendiri menyelongkarkannya untuk diketahui umum?

Kehilangan enjin pesawat pemintas yang bernilai puluhan juta ringgit ini begitu menyayat hati, kerana ia berlaku di dalam zon larangan tentera (kem tentera) yang menggambarkan kerapuhan sistem pertahanan negara yang amat mudah ditembusi dan dicerobohi. Kerakusan pihak tertentu yang dikatakan telah berjaya menjual enjin-enjin itu kepada sebuah syarikat antarabangsa yang berpengkalan di Afrika Selatan hendaklah segera disiasat supaya mana-mana pihak yang terbabit itu tidak dibiarkan bermaharaja lela mengaup laba keuntungan sehingga rakyat dan negara terdedah dengan bala.

Kita tidak mahu lagi mendengar terdapatnya penyiasatan terpilih oleh pihak polis dan juga pihak SPRM sebagaimana yang didakwa oleh pembangkang setelah beberapa insiden yang membabitkan juga isu PKFZ yang tidak menampakkan 'pemain utamanya' diambil tindakan. Rakyat semakin jelik dengan opera sedemikian rupa dan akhirnya rakyat juga yang akan menjatuhkan hukuman setimpal kepada kerajaan yang tidak telus.

Sesungguhnya sindikator kehilangan enjin pemintas F-5E TUDM dengan sindikator kehilangan kuasa BN di lima negeri merupakan lanjutan sindiket yang telah mencetuskan kebenciaan rakyat kepada krew opera BN yang dilihat tidak bijak lagi menghambat hati nurani rakyat. Najib hendaklah segera menghidu vibrasi atau gerak hati rakyat menjelang PRU13 dengan segala daya dan deria rasa; kerana begitu banyak isu yang menimbulkan kebimbangan yang membabitkan kepincangan gerak laku di dalam urusan politik dan juga pentadbiran negara.